Jata

KENYATAAN MEDIA

IBS TASBLOCK BERASASKAN KENAF MAMPU MENJIMATKAN KOS PEMBINAAN BANGUNAN

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan pejabat Sistem Binaan Berindustri (IBS) Tasblock di Lot 1099, Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf, Setiu Terengganu. Lawatan berkenaan bagi meninjau perkembangan proses pembinaan pejabat serta ruang pameran menggunakan teknologi IBS Tasblock berasaskan kenaf.

2. Industri kenaf negara telah mencipta sejarah apabila berjaya menghasilkan bahan binaan berasaskan kenaf hasil kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan Tasblock (M) Sdn. Bhd. Kos pembinaan projek adalah dianggarkan sebanyak RM81,000 dengan keluasan 700 kaki persegi menggunakan 600 kilogram gentian kenaf, dilengkapi dengan ruangan pejabat, bilik mesyuarat, stor dan tandas.

3. Penggunaan kenaf dalam sistem Tasblock ini mampu menghasilkan produk berkualiti tinggi sekali gus merancakkan lagi pembangunan industri pembinaan berasaskan kenaf. Teknologi baharu itu juga mampu menjimatkan kos pembinaan, tenaga kerja, logistik dan masa. Tempoh masa untuk menyiapkan pejabat dan ruang pameran itu hanya mengambil masa selama 30 hari berbanding tiga hingga empat bulan dengan menggunakan kaedah secara konvensional.

4. Inovasi yang dihasilkan melalui kerjasama LKTN dan pihak swasta ini adalah selaras dengan tumpuan kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran produk serta meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran. Usaha berterusan akan dilaksanakan agar permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuk pembinaan.

5. Kementerian melalui LKTN akan terus memberi perhatian dan usaha-usaha serta melaksanakan pelbagai inisiatif serta kemudahan demi memastikan pembangunan industri ini diperkasa dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan keseluruhan rantaian nilai industri kenaf dan sosioekonomi dapat memberi manfaat kepada rakyat khususnya penduduk di luar bandar, serta negara amnya.

 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Setiu, Terengganu
12 Disember 2020