Jata

KENYATAAN MEDIA


SEKTOR PERKAYUAN AKAN TERUS BERPERANAN MEMACU
EKONOMI NEGARA 2021


 


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis KayuKayan Malaysia (MTC), Mazli Zakuan Mohd Noor dan Ahli Pemegang Amanah serta Pengurusan Tertinggi di Ibu Pejabat MTC, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2020.

2. Pertemuan ini amat bermakna memandangkan ia merupakan kali pertama diadakan secara rasmi bersama semua Ahli Pemegang Amanah MTC dan pihak pengurusan di bawah kepimpinan baharu. Perbincangan tertumpu kepada langkah dan usaha MTC untuk terus mengukuhkan kedudukan industri perkayuan yang merupakan antara penyumbang utama kepada eksport komoditi negara.

3. Sebagai subsektor ketiga terbesar selepas sawit dan getah, prestasi eksport kayu-kayan negara sehingga Oktober 2020 mencatatkan nilai sebanyak RM17.8 bilion dan dijangka dapat melepasi RM20 bilion sebagai sumbangan sektor ini kepada pendapatan eksport negara bagi tahun ini.

4. Bagi memastikan sektor perkayuan terus kekal pada masa hadapan, kerajaan melalui KPPK telah menyediakan pinjaman sebanyak RM500 juta di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Usaha membangunkan ladang hutan di bawah PPLH ini merupakan usaha kerajaan bagi menjamin bekalan bahan mentah kepada industri perkayuan pada masa hadapan.

5. Sebagai agensi berkaitan, MTC akan memperuntukkan sebanyak RM5.4 juta untuk Program Bantuan Import dan sebanyak RM2.8 juta bagi Insentif Kewangan Untuk Pembelian Mesin (FIPM) pada tahun hadapan berbanding RM2.56 juta yang disalurkan kepada 81 syarikat pada tahun ini.

6. Usaha merancakkan penglibatan Bumiputera untuk lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa dalam sektor perkayuan di bawah Program Pembangunan dan Pemerkasaan Industri Bumiputera akan dilaksanakan dengan MTC bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta persatuan industri sedang merancang program pembangunan untuk meningkatkan keupayaan mereka.

7. KPPK yakin bahawa industri perkayuan akan terus berkembang dan memberi kemakmuran kepada negara dengan pelbagai insentif dan peruntukan yang disediakan Kementerian melalui agensi dan majlis di bawahnya. KPPK juga berharap agar penglibatan pemain industri dan sokongan persatuan industri perkayuan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan hasrat Kerajaan untuk memastikan industri ini terus dipacu demi kesinambungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Putrajaya
10 Disember 2020