SIARAN MEDIA 2019

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN REBUT PELUANG PASARAN LEMAK BAKERI
DI CHINA UNTUK TERUS PERKUKUH SEKTOR HILIRAN SAWIT
NEGARA


1. Industri bakeri di China yang semakin mengembang, di mana lemak bakeri (shortening) merupakan antara bahan mentah utama dijangka mendorong keberlimpahan ekonomi bagi segmen hiliran sektor minyak sawit Malaysia.


2. Dengan produk bakeri seperti kek dan roti yang semakin popular di kalangan penduduk China, permintaan juga dijangka meningkat untuk bahan seperti shortening dan marjerin yang menggunakan minyak sawit sebagai bahan mentah.


3. Buat masa ini, pengeluaran tahunan shortening di China tidak mampu menampung permintaan penggunaan domestik yang semakin meningkat setiap tahun. Negara itu terpaksa mengimport bahan mentah terutamanya dari Indonesia dan Malaysia. Negara kita mengeksport sebanyak 7,655 tan metrik (MT) shortening ke sana pada tahun 2021.


4. Pada waktu yang sama, pasaran marjerin China juga berkembang pesat dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 20%. Negara paling ramai penduduk di dunia yang juga ekonomi global kedua terbesar itu mengimport bekalan marjerin dari Indonesia manakala jumlah import marjerin dari Malaysia pula adalah sebanyak 650 MT pada tahun 2021, dengan peningkatan sebanyak 10% daripada 590 MT pada tahun 2020.


5. Walaupun bahagian pasaran Malaysia dalam industri bakeri China ketika ini kecil, Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia mampu mengembangkan bahagian pasarannya dengan strategi promosi dan pemasaran yang betul. Mengambil kira perkara ini, pengeluar shortening dan marjerin tempatan harus secara proaktif menjalinkan hubungan dengan pengusaha bakeri terkemuka di China.


6. Walaupun masih terdapat sekatan secara sporadis kerana dasar sifar COVID-19 di China, pembukaan semula sempadan negara tersebut secara beransur-ansur kepada peniaga dalam masa terdekat boleh dijadikan peluang yang baik untuk pemain industri lemak bakeri Malaysia untuk membina hubungan perniagaan, sekali gus meningkatkan eksport ke negara tersebut.


7. Dari 2017 hingga 2021, saiz pasaran industri bakeri China telah meningkat kepada 265.7 bilion yuan (RM172.53 bilion) daripada 187.7 bilion yuan (RM121.88 bilion) dengan purata kadar
pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) kira-kira 9%, iaitu jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan saiz pasaran industri bakeri global. Saiz pasaran industri makanan bakeri China dijangka mencecah 287.4 bilion yuan (RM186.62 bilion) pada 2022.


8. Selain itu, pendaftaran syarikat bakeri di China telah melonjak daripada 2,040 kepada 6,395 dalam tempoh 2017-2021 dengan purata CAGR kira-kira 33%. Dalam enam bulan pertama tahun ini sahaja, bilangan syarikat berkaitan bakeri di China yang berdaftar berjumlah 2,815. 2021 juga menyaksikan pelaburan dalam industri bakeri China mengatasi 26 industri lain dengan jumlah keseluruhan 6.14 bilion yuan (RM3.98 bilion). Ini disebabkan oleh pemulihan rancak ekonomi negara tersebut pasca COVID-19.


9. Untuk melengkapkan penyertaan industri hiliran minyak sawit, Kementerian ingin menekankan bahawa Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memulakan kempen "Gerakan Global untuk Memenangi Kebaikan Minyak Sawit" sebagai platform bagi mencetuskan kesedaran tentang kualiti minyak sawit Malaysia serta menangkis dakyah dan berita palsu mengenai komoditi nombor satu negara.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
21 SEPTEMBER 2022

 

KENYATAAN MEDIA
MAJLIS PENSIJILAN MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOCC) MENGENAI MSPO - TRACE

1. Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), yang merupakan sebuah badan pensijilian kelestarian sawit di bawah Kementerian Industri Utama, ingin membuat kenyataan bahawa usaha ke arah menerbitkan peta konsesi sawit bagi pencapaian umum adalah menjadi keutamaan Kerajaan dalam memaparkan ketelusan industri sawit negara.

2. MPOCC telah membangunkan sistem aplikasi MSPO Trace yang berupaya menjejak sumber minyak sawit di sepanjang rantaian nilai telah dilancarkan pada pertengahan bulan November 2019. MPOCC berkeyakinan bahawa pembangunan data raya MSPO Trace seperti mana GeoRSPO, dapat memberi keyakinan kepada para pengguna dan pengimport antarabangsa terhadap usaha untuk memastikan kebolehjejakan dan ketelusan dalam rantaian bekalan. Usaha ini adalah penting dalam menyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa minyak sawit yang dihasilkan oleh Malaysia adalah dijamin dari segi kelestarian dan kualiti, khususnya dalam menangani dakwaan yang mengaitkan produk sawit dengan penyahhutanan, eksplotasi pekerja, pelanggaran hak Orang Asli dan sebagainya.

3. MPOCC yakin menerusi aplikasi MSPO Trace, Malaysia dapat membangun dan mengendalikan operasi skim pensijilan minyak sawit kebangsaan yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

4. MSPO Trace adalah lebih lengkap dan menyeluruh dari segi mengenalpasti lokasi ladang dan fasiliti pemprosesan minyak sawit yang mendapat pensijilan mampan di Malaysia.

5. MPOCC menyasar kebolehjejakan minyak sawit seratus peratus (100%) dengan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga pada peringkat ladang di seluruh negara menjelang 2025.

6. MPOCC yakin MSPO Trace dapat menandingi aplikasi GeoRSPO dan aplikasi MSPO Trace boleh dicapai umum dan dimuat turun dari platform Apps Store dan Google Play.

7. Sehingga 30 November 2019, lebih 3.5 juta hektar atau 60 peratus daripada kawasan ladang sawit telah menerima pensijilan MSPO. Pensijilan ini termasuklah pekebun kecil dengan kawasan tanaman seluas 652,000 hektar dan 1,678 ladang dengan jumlah keseluruhan 2.89 juta hektar. Sebanyak 152 kilang minyak sawit dan 46 kilang penapis juga telah menerima pensijilan MSPO Supply Chain Certification Standard (SCCS).

8. MPOCC juga menyambut baik usaha Sekretariat RSPO yang telah menerbitkan peta konsesi sawit ahli-ahlinya bagi Semenanjung Malaysia dan Sarawak melalui aplikasi peta interaktifnya, GeoRSPO. Inisiatif MSPO Trace dan GeoRSPO akan membantu negara dalam menggalakkan ketelusan pemetaan kawasan tanaman sawit negara dalam memastikan kelestarian industri sawit dan kebertanggungjawaban sejagat semua pemegang taruh industri sawit negara.

Kenyataan oleh:

Encik Chew Jit Seng
Ketua Pegawai Eksekutif MPOCC
15 Disember 2019

KENYATAAN MEDIA
PENGURUSAN LADANG SAWIT WAJIB MEMATUHI PIAWAIAN PENSIJILAN MINYAK SAWIT MAMPAN MALAYSIA (MSPO)

BAGI MEMASTIKAN SIFAR KONFLIK DAN ISU PEMBANGUNAN MAMPAN

 

1. Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) menegaskan semua pengurusan ladang sawit termasuk pekebun-pekebun teratur wajib mematuhi dan melaksanakan piawaian skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi memastikan sifar konflik dan isu pembangunan mampan.

2. Dalam hal ini, MPOCC menggesa setiap pengurusan ladang sawit tidak meminggirkan atau mengabaikan mana-mana prinsip yang telah diberikan garis panduan di bawah MSPO. MPOCC juga sangat memandang serius dengan kejadian terbaharu seekor lagi gajah Pygmy Borneo ditemui mati dalam kawasan ladang sawit, di Beluran, Sabah pada 20 Oktober 2019 lalu, dengan kesan tembakan serta gading hilang seperti mana yang dilaporkan pihak polis.

3. Sehubungan itu, pengurusan ladang sawit hendaklah bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi mencari kaedah terbaik mengikut piawaian MSPO yang menitikberatkan pelan pengurusan konflik antara manusia dan hidupan liar termasuk mengenal pasti kawasan mempunyai nilai biodiversiti tinggi.

4. Pengurusan ladang sawit juga perlu mempertingkatkan inventori hidupan liar dan memahami lebih baik terhadap ekologi kehidupan komuniti hidupan liar seperti gajah Pygmy Borneo. Kesedaran komuniti ladang sawit adalah alat penting untuk mengukuhkan ke arah sifar konflik dan sebarang isu pembangunan mampan.

5. Aktiviti pendidikan dan latihan boleh diterapkan dan dilaksanakan bagi membina kapisiti tempatan untuk pencegahan dan penyelesaian konflik hidupan liar serta alam sekitar. Melalui pelan berkenaan, ada juga lokasi ladang sawit berada bersempadan dengan hutan simpan yang boleh menyumbangkan peranan sebagai kawasan perlindungan kepada hidupan liar.

6. Penyediaan laluan koridor di sungai atau anak sungai harus diadakan dan dijadikan sebagai kawasan pemampan sekaligus mengelak kejadian mati ditembak gajah Pygmy Borneo. MPOCC mengesyorkan pihak pengurusan ladang sawit dan Jabatan Hidupan Liar menilai semula kaedah intervensi untuk mengurangkan konflik manusia-gajah.

7. Pengurusan konflik mungkin bukan sahaja bergantung kepada satu kaedah intervensi tetapi perlu digabungkan dengan kaedah lain terdiri daripada tiga lapisan perlindungan seperti pengesan awal, penghalang pasif dan pencegahan aktif.

8. Sehubungan itu, pihak MPOCC akan mengarahkan kepada Badan Pensijilan (CB) yang dilantik untuk menjalankan siasatan lebih lanjut terhadap pengurusan ladang sawit terbabit, terutama dari aspek pematuhan piawaian MSPO, di mana kejadian kematian terbaharu gajah Pygmy Borneo dikatakan berada di kawasan ladang sawit.

Kenyataan oleh;

Encik Chew Jit Seng
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia
22 Oktober 2019

 

 

KENYATAAN MEDIA


BERHUBUNG BELANJAWAN 2020
“MEMACU PERTUMBUHAN DAN KEBERHASILAN SAKSAMA KE ARAH KEMAKMURAN BERSAMA”.

1. Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) mengalu-alukan langkah kerajaan untuk terus menyokong kelestarian industri sawit negara sewaktu dalam pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Yang Berhormat Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia pada 11 Oktober 2019 lalu.

2. Sebagai menyokong ke arah pembangunan mampan, pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) adalah untuk memastikan produktiviti dan kebolehpasaran lebih meluas di peringkat domestik dan global.

3. Sebagai agensi yang mengawal selia skim MSPO sejak 1 Januari 2015, MPOCC yakin langkah menjadikan pematuhan MSPO secara mandatori bertujuan untuk menaik taraf keseluruhan industri dan ia penting ke arah penjenamaan minyak sawit tempatan sebagai produk yang dihasilkan secara mampan dan selamat.

4. Langkah kerajaan dalam Belanjawan 2020 yang memberi dana pinjaman penanaman semula kelapa sawit berjumlah RM550 juta untuk pekebun kecil tanpa cagaran pada kadar faedah 2% setahun dilihat sebagai langkah positif membantu kelompok berkenaan.

5. Menerusi sokongan berterusan kerajaan, MPOCC berharap pelaksanaan dan perancangan kepada setiap pihak berkepentingan dalam industri sawit negara akan menjayakan matlamat MSPO ke arah mencapai 100 peratus pensijilan di seluruh negara, menjelang akhir tahun 2019 dan jangkaan peningkatan produktiviti dan kebolehpasaran sawit negara seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2020.

6. Menerusi MSPO, antara faedah yang diperolehi ialah peluang pemasaran buah tandan segar (BTS) mampan lebih luas, hak pekebun kecil lebih terjamin, akses kepada pinjaman atau modal pelaburan dari institusi kewangan, persekitaran biodiversiti terpelihara, pekebun kecil mempunyai rekod pengurusan ladang yang lebih baik serta keyakinan dan kepuasan pihak berkepentingan.

7. Di samping itu, MPOCC mengalu-alukan langkah kerajaan dalam Belanjawan 2020 yang menyokong usaha menangani kempen anti-minyak sawit dengan peruntukan sebanyak RM27 juta bagi tujuan meluaskan pasaran minyak sawit ke peringkat global serta pelaksanaan penggunaan Biodiesel B20 dalam sektor pengangkutan menjelang akhir tahun depan dijangka mampu meningkatkan permintaan minyak sawit sebanyak 500,000 tan setahun.

 

Kenyataan oleh;
Encik Chew Jit Seng
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia
18 Oktober 2019

 

KENYATAAN MEDIA

YB TERESA KOK
MENTERI INDUSTRI UTAMA

CADANGAN MALAYSIA DALAM USAHA MENGIMBANGI JURANG PERDAGANGAN DENGAN INDIA

Menteri Industri Utama, YB Teresa Kok telah mempengerusikan mesyuarat pada 14 Oktober 2019 yang melibatkan pegawai kanan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bagi membincangkan usaha untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan India.

Mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat susulan daripada perbincangan antara YB Teresa Kok, Menteri Industri Utama bersama Hon. Piyush Goyal, Menteri Perdagangan dan Industri India di New Delhi pada awal Ogos tahun ini. Semasa perbincangan tersebut, YB Teresa Kok telah menegaskan sekali lagi komitmennya untuk merapatkan jurang perdagangan antara kedua-dua negara. Dalam hal ini, Malaysia akan meneroka peluang untuk meningkatkan import gula mentah dari India pada tahun 2020.

Selain itu, syarikat-syarikat tempatan juga digalakkan untuk mengimport lebih banyak produk dari India dengan memanfaatkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA). Di samping itu, Malaysia juga sedang mengkaji prospek untuk mengimport lebih banyak daging kerbau dari India selaras dengan peningkatan permintaan pasaran tempatan.

Langkah ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan India sebagai pasaran eksport ketiga terbesar pada tahun 2018 bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit dengan nilai eksport sebanyak RM6.84 bilion. Jumlah ini menyumbang 10.1% kepada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit negara yang jelas menunjukkan betapa pentingnya pasaran India kepada Malaysia.

YB Teresa Kok mengambil perhatian terhadap berita-berita semasa mengenai isu-isu yang menggugat hubungan baik antara Malaysia dan India, yang telah lama terjalin dan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara sejak 6 dekad yang lalu. Dalam hal ini, Malaysia sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan India dalam mengimbangi jurang perdagangan antara kedua-dua negara.

YB TERESA KOK
15 Oktober 2019