KUALA LUMPUR, 7 Jun -- Pekebun kecil dan syarikat sawit yang terjejas akibat COVID-19 kini boleh menarik nafas lega susulan pengecualian cukai di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bertujuan menguruskan paras stok dan menstabilkan harga minyak sawit mentah (MSM) negara.
Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas MSM, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit yang diproses mulai 1 Julai, 2020 hingga 31 Dis, 2020.


Mengulas selanjutnya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata pengecualian cukai itu akan mendorong penggiat industri untuk menjual lebih banyak minyak sawit dan membantu menjana pendapatan lebih tinggi sambil menyelesaikan masalah yang dihadapi, termasuk kos tambahan yang dikenakan ketika tempoh sukar ini.
“Kita boleh mempromosikan lebih banyak eksport khususnya kepada pengguna minyak sayuran utama termasuk India, China dan Pakistan,” kata Ketua Pengarahnya Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir kepada Bernama.
Pengumuman itu juga amat bertepatan dengan langkah India untuk mengimport 1.14 juta tan minyak sayuran pada bulan ini berbanding purata bulanan 865,000 juta tan pada April hingga Mei.
Presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India (IVPA), Sudhakar Desai dilaporkan berkata, berikutan perintah berkurung yang dilonggarkan, purata import minyak sayuran dijangka menokok kira-kira 1.3 juta hingga 1.4 juta tan sebulan mulai Julai hingga September.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena webinar yang dihoskan IVPA pada 29 Mei lepas.
Menurut Ahmad Parveez, pengimport India telah menandatangani kontrak dengan pembekal Malaysia untuk penghantaran 200,000 tan MSM pada Jun/Julai.

https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1848960
Sumber: bernama.com