FGV Holdings Bhd (FGV) mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran biji benih kelapa sawit India dengan menyasarkan jualan 1.5 juta biji benih pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Haris Fadzilah Hassan, berkata setakat ini, syarikat itu telah menerima tempahan untuk sejuta biji benih kelapa sawit bagi India dan jumlah itu dijangka melonjak pada 2021 berikutan peningkatan permintaan biji benih sawit premium di pasaran berkenaan.

"Pembeli terbaharu adalah FGV Pre Unique, syarikat usaha sama antara FGV dan Pre-Unique Pvt Ltd untuk menembusi pasaran produk makanan di India.
"FGV Pre Unique juga berfungsi sebagai perantara bagi FGV untuk mengembangkan pasaran benihnya di negara berkenaan, terutama di negeri seperti Andhra Pradesh dan Telangana.

"Syarikat usaha sama ini telah memperoleh pesanan sebanyak sejuta biji benih sawit untuk pelanggannya sejak bulan September, empat bulan selepas usaha sama itu ditubuhkan," katanya dalam satu kenyataan.

Benih yang dijual ke pasaran India adalah jenis FGV Yangambi ML161, bahan tanaman kelapa sawit terbaik yang menguasai 43 peratus pasaran di Malaysia.
Haris Fadzilah berkata, Yangambi ML161 mempunyai ciri-ciri yang berbeza berbanding variasi lain kerana memberikan peratusan perahan minyak dan bilangan tandan yang lebih tinggi dengan tandan bersaiz sederhana, sekali gus menjadikannya sebagai salah satu jenis benih sawit paling digemari industri minyak sawit di dalam dan luar negara.

"Saya yakin kehadiran FGV di India adalah langkah yang tepat untuk pengembangan perniagaan masa depan. Selai India, Yangambi ML161 juga memenuhi permintaan tinggi di Indonesia dengan 1.5 juta biji terjual, Thailand (560,000 biji), Papua New Guinea (320,000 biji) dan Sri Lanka (250,000 biji) terjual hingga kini.
"Ini membuktikan keunggulan dan kualiti produk benih kami yang dipercayai di pasaran luar negara," katanya.

Biji benih Yangambi ML161 dicipta melalui program pembiakbakaan dan penyelidikan sawit yang meluas di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak milik FGV yang terletak di Jengka, Pahang.
Ia juga salah sebuah pusat penyelidikan kelapa sawit terbesar di Asia Tenggara.

Selain itu, biji benih sawit jenama Yangambi ML161 juga telah menerima anugerah berturut-turut 'Best Brand Oil Palm Germinated Seed' oleh The BrandLaureate Awards dari 2012 hingga 2016, serta Brand Influencer Award untuk tahun 2018-2019.

Selain Yangambi ML161, FGV menawarkan jenis biji benih Yangambi 3-Way, yang tumbuh menjadi pokok kelapa sawit dengan tetulang pelepah yang lebih pendek, kenaikan ketinggian sederhana dan memberikan hasil minyak yang lebih tinggi berbanding dengan pokok kelapa sawit komersial yang lain.
Pengeluaran biji benih tahunan FGV adalah sebanyak 20 juta.

Sejak dilancarkan dan dikomersialkan pada tahun 2002, FGV telah menjual sebanyak 400 juta biji benih, bersamaan dengan sekitar dua juta hektar tanah yang ditanam.
Semua bahan tanaman kelapa sawit FGV juga telah menerima kelulusan piawaian Malaysian Standard MS157: 2017.

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/11/749897/fgv-sasar-jual-15-juta-biji-benih-sawit-ke-india
Sumber: Berita Harian