SELESAI: Muhtar (barisan hadapan, enam kiri) bergambar bersama wakil MPOB dan pemegang taruh yang hadir pada Majlis Dialog dan Makan Malam MPOCC di Miri, malam kelmarin.
MIRI: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat menghargai usaha yang dilakukan pemegang taruh industri minyak sawit di Sarawak terutama dalam usaha mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Pengerusi MPOCC Muhtar Suhaili berkata, Sarawak mempunyai 1.71 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit di mana 13.6 peratus diusahakan pekebun kecil dan 86.4 peratus diusahakan ladang-ladang kelapa sawit.
“Sehingga 15 September tahun ini, seramai 17,785 atau 42.6 peratus pekebun kecil persendirian yang menyertai Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) telah mendapatkan pensijilan MSPO.
“Manakala untuk kategori estet sebanyak 583 entiti atau ladang kelapa sawit manakala kategori kilang sebanyak 76 kilang kelapa sawit dengan kapasiti memproses buah tandan segar (BTS) kepada minyak sawit mentah (CPO) sebanyak 4,910 tan metrik per jam telah mendapatkan pensijilan MSPO,” katanya.
Muhtar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog dan Makan Malam Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) bersama pemegang taruh industri sawit Sarawak di sini, malam kelmarin.
Selain itu katanya, sebanyak 59 entiti yang terdiri daripada kilang minyak kelapa sawit, kilang penapisan, kilang oleokimia, kilang biodiesel dan kilang penghancur isirung kelapa sawit telah mendapatkan pensijilan MSPO Piawaian Pensijilan Rantaian Bekalan (SCCS).
“KPPK mengalu-alukan kerjasama antara pemegang taruh industri minyak sawit Sarawak bagi mencipta pasaran baharu di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa khas untuk produk sawit tempatan yang telah disijilkan MSPO.”
“Kementerian melalui MPOCC komited untuk meningkatkan taraf pensijilan MSPO di peringkat antarabangsa bagi memastikan produk-produk tempatan yang telah mendapat pensijilan MSPO dapat dipasarkan dan diterima baik di pasaran antarabangsa,” katanya.
Katanya, dengan komitmen yang boleh diberikan pemegang-pemegang taruh industri minyak sawit Sarawak, MPOCC yakin pensijilan MSPO akan diterima baik dan dapat dipasarkan di pasaran antarabangsa.
Ujar beliau, MPOCC juga komited untuk memastikan pematuhan terhadap standard-standard yang telah ditetapkan dalam skim pensijilan MSPO.
Muhtar menambah, pelaksanaan skim pensijilan MSPO di peringkat ladang, kilang kelapa sawit serta rantaian bekalan industri minyak sawit harus dipatuhi dengan tahap pelaksanaan yang tinggi.
“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi komited dan akan terus memberi sokongan kepada pemegang taruh industri minyak sawit di Sarawak untuk kemajuan industri minyak sawit negara.
“Ini termasuk memberikan khidmat nasihat teknikal mengenai pensijilan, aduan dan isu berkaitan dalam membangun dan mengoperasikan skim pensijilan MSPO bagi kebaikan industri minyak sawit Malaysia dan industri minyak sawit antarabangsa,” katanya.
Hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan wakil Bahagian Industri Sawit & Sagu (BISS) KPPK, Persatuan-Persatuan Pengusaha Sawit (SOPPOA & DOPPA) dan syarikat-syarikat perladangan.
https://www.utusanborneo.com.my/2020/09/28/peserta-industri-sawit-digalak-dapatkan-mspo
Sumber : Utusan Borneo