BANTUAN: Madius (empat kanan) menyampaikan bantuan kepada seorang wakil penerima. Turut kelihatan, Joisin (tiga kiri), Sofian (dua kiri) dan Frankie Goh (tiga kanan).
TUARAN: Keputusan Sabah COVID-19 Command Centre untuk membenarkan 18 jeti persendirian industri kelapa sawit di negeri ini beroperasi sangat dialu-alukan.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, semua jeti itu sebelum ini diarah supaya menghentikan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Bagaimanapun kita mendengar dengan teliti semua pandangan daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), penggiat industri yang terlibat serta pengusaha-pengusaha termasuk pekebun-pekebun kecil yang terjejas kerana tidak dapat mengangkut buah kelapa sawit mereka.
"Kementerian saya telah sedaya upaya membuat kajian dan setiap hari membincangkan perkara ini dalam mesyuarat di Sabah COVID-19 Command Centre. Akhirnya, telah dibuat keputusan kelmarin dan saya difahamkan 18 jeti itu telah dibenarkan beroperasi bermula hari ini," katanya dalam satu kenyataan selepas menyampaikan 185 pakej makanan kepada penduduk terjejas di sekitar daerah Tuaran.
Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, semua pihak sedia maklum industri kelapa sawit antara sumber ekonomi Kerajaan Sabah yang penting selain merupakan punca pendapatan penduduk setempat.
Katanya, dalam masa sama ia juga membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan warga asing dari negara jiran.
"Sebenarnya, sebelum ini jeti terpaksa ditutup antaranya bagi mengelakkan sebarang pergerakan keluar masuk ke negara ini.
"Kita mempunyai ramai pekerja asing, jadi kita perlu sangat berhati-hati kerana kes jangkitan COVID-19 di Indonesia dan Filipina juga sedang meningkat," katanya.
Ahli Parlimen Tuaran itu turut mengingatkan agar semua pemain industri kelapa sawit menjalankan operasi dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
"Kita berterima kasih dan menghargai kebenaran yang diberikan oleh kerajaan negeri ini.
"Namun, sekiranya ada kes jangkitan COVID-19 yang direkodkan di sini, jeti ini akan ditutup semula," katanya.
Dalam pada itu, sumbangan bekalan makanan ada dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) Lions Club disalurkan kepada Kampung Dungang, Marabahai, Timbok, Lapasan, Pendamai, Telibong, Kauluan, Namadan, Rangalau Baru, Lok Nunuk, ibu bapa Sekolah Chen Sin Tuaran, dan kampung Topokon.
Hadir sama, Setiausaha Politiknya, Joisin Romut; Pegawai Daerah Tuaran, Mohd Sofian Alfian Nair dan Presiden Lions Club Tuaran, Frankie Goh.

https://www.utusanborneo.com.my/2020/04/27/madius-sambut-baik-keputusan-benarkan-18-jeti-sawit-beroperasi
Sumber:Utusanborneo.com.my