PENGERUSI Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

RAUB: Kerajaan dijangka memperoleh pendapatan menerusi cukai luar biasa lebih RM500 juta, sekiranya harga sawit terus stabil pada paras RM3,000 setan sehingga tahun hadapan.
Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata ia menjadi sumbangan penting sektor perladangan sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam situasi pandemik COVID-19 belum pulih di dalam negara.


Beliau berkata, harga sawit dijangka meningkat lebih tinggi susulan peningkatan permintaan eksport, selain disebabkan stok negara berada di bawah dua juta tan iaitu kira-kira 1.6 juta tan.
"Cukai luar biasa atau durian runtuh yang dikenakan ke atas hasil jualan sawit pada paras harga sekarang, akan membolehkan negara mengutip cukai dianggar RM348 juta.
"Jika harganya terus stabil pada paras RM3,300 setan ke atas sehingga tahun 2021 kerajaan mungkin memperoleh RM500 juta atau lebih lagi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Kempen Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Pekebun Kecil di pejabat KWL Bina Jaya Sendirian Berhad di sini, petang tadi.
Ahmad Jazlan berkata, cukai luar biasa sebanyak tiga peratus hanya dikenakan apabila harga sawit di Semenanjung mencecah RM2,500 setan ke atas, manakala Sabah serta Sarawak dikenakan cukai 1.5 peratus apabila komoditi itu mencecah RM3,000 setan ke atas.
Dalam perkembangan berkaitan juga, beliau meminta agar lebih ramai pekebun kecil persendirian bukan sepenuh masa, tampil mendaftar untuk pensijilan MSPO bagi memudahkan mereka memasarkan hasil sawit ke luar negara.
"Pekebun kecil di negara ini dianggar berjumlah 481,375 orang, manakala pekebun kecil persendirian ialah seramai 248,182 orang yang mengusahakan ladang seluas 959,444 hektar.
"Setakat ini, lebih 30 peratus daripada pekebun kecil sudah mendapatkan pensijilan dan ramai yang belum memilikinya terdiri daripada pekebun kecil persendirian.
"Sijil MSPO amat penting dan menjadi penanda aras bagi memenuhi permintaan di peringkat antarabangsa di mana ia memberi keyakinan kepada negara pengimport bahawa minyak itu selamat digunakan," katanya.

Kerajaan dijangka peroleh RM500 juta hasil cukai luar biasa sawit (bharian.com.my)
Sumber : Berita Harian Online