Gambar fail. Pekerja ladang, Dellas Uhon,32, menjalankan kerja menuai hasil sawit di Ladang Kelapa Sawit Bukit Tampoi, Dengkil. - Foto: NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

KUALA LUMPUR: CGS-CIMB Research mengunjurkan harga minyak sawit mentah (MSM) akan diniagakan pada RM2,800 hingga RM3,400 satu tan pada Disember 2020.
Ini berikutan unjuran rendah inventori Malaysia yang memakan masa untuk dibina semula serta eksport yang lebih tinggi dari negara ini kerana peniaga memanfaatkan duti import MSM India yang lebih rendah dan cukai eksport sifar MSM Malaysia ketika ini.


Firma penyelidikan itu berkata harga purata MSM naik 15 peratus bulan ke bulan dan 37 peratus tahun ke tahun kepada RM3,436 satu tan pada November kerana kebimbangan tahap inventori yang rendah minyak sawit Malaysia dan Indonesia, serta bekalan ketat minyak boleh dimakan yang lain.
"Kami mengekalkan penilaian 'Neutral' terhadap sektor perniagaan tani, dengan Genting Plantations Bhd, Hap Seng Plantations Holdings dan Ta Ann Holdings Bhd sebagai saham pilihan," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Selain itu, CGS-CIMB Research menganggarkan eksport minyak sawit susut 17 peratus bulan ke bulan pada November 2020 kepada 1.38 juta setan metrik, lebih rendah daripada eksport minyak sawit pada purata 149 juta satu tan.
"Kami merasakan eksport yang rendah mungkin sebahagiannya disebabkan kenaikan harga MSM yang menyebabkan pencatuan permintaan daripada pengguna.
"Di samping itu, sebahagian peniaga menarik semula pembelian dengan harapan berlaku kemungkinan pengurangan duti import MSM oleh kerajaan India. Terdahulu, India mengurangkan duti import MSM sebanyak 10 peratus kepada 27.5 peratus berkuat kuasa 27 November 2020," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata pengeluaran turut terjejas akibat La Nina, kekurangan tenaga kerja dan musim.
Ia mengunjurkan pengeluaran MSM pada November 2020 jatuh 10.4 peratus bulan ke bulan kepada 1.55 juta satu tan iaitu paling rendah dalam sejarah pengurangan pengeluaran November sebanyak 3.5 peratus bulan ke bulan dalam 10 tahun yang lalu.
"Tinjauan kami mendapati ladang di Sabah mencatatkan kejatuhan paling tinggi dalam pengeluaran manakala ladang di Sarawak yang paling rendah.
"Bagaimanapun, pengeluaran yang rendah berbanding purata 1.73 juta 10 tahun kebelakangan ini mungkin akibat masalah kekurangan tenaga kerja kerana pembekuan permit kerja pekerja asing dan faktor musim, juga gangguan dalam penuaian dan pemindahan disebabkan hujan lebat daripada biasa akibat La Nina," katanya.
– Bernama

Harga sawit dijangka antara RM2,800 hingga RM3,400 satu tan (bharian.com.my)
Sumber : Berita Harian Online