KUALA LUMPUR, 2 Nov -- Kalangan penggiat industri minyak sawit Malaysia perlu berfikiran jauh selain berani meneroka perkembangan teknologi baharu, khususnya teknologi rantaian blok yang boleh memberi nilai besar terhadap pengeluaran minyak sawit Malaysia sebagai mampan dan berwibawa.
Rakan Pengurus Strategi dan Nasihat Perniagaan Lardi & Partner Consulting GmbH, Kamales Lardi berkata penggunaan teknologi rantaian blok (lejar secara digital, terbuka dan dikongsi) juga dapat memberi keyakinan dalam rantaian nilai industri sawit berkenaan.
“Malah, ia turut menyumbang ke arah melindungi persekitaran kerja dan aspek perundangan penggajian pekerja dan memberi data mengenai tuaian tanaman,” katanya.bootstrap slideshow
Beliau merupakan antara panelis pada Persidangan mengenai Minyak Sawit Mampan Antarabangsa (IPOSC 2020) anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), baru-baru ini.
Menurut Kamales, antara manfaat utama teknologi rantaian blok itu adalah penjejakan masa nyata minyak sawit daripada peringkat tumbuhan sehinggalah ke meja makan, pengurangan kos dan usaha bagi proses penjejakan selain menambah baik keadaan pekerja dan pengurusan ladang.
Ia juga dapat menyediakan data pengurusan tanaman, inventori digital ladang, menjejak konsesi tanah, meminimumkan kerosakan menerusi pemantauan suhu dan kelembapan ketika pemperosesan, penyimpanan dan pengangkutan.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan teknologi rantaian blok itu sebagai penyelesaian terhadap gesaan Kesatuan Eropah (EU) membabitan pembentukan satu rangka kerja untuk memastikan semua rantaian bekalan pengimport komoditi pertanian dapat dijejaki sehingga ke peringkat sumber bahan mentah, katanya.
Minyak sawit dan produk berasaskannya berdepan kontroversi di EU dari sudut kelestariannya (pembasmian hutan dan impak biodiversiti) selain impak sosial dan iklim berkaitannya.
“Saya melihat potensi besar dari segi digitalisasi dan manfaat yang boleh diraih menerusi teknologi rantaian blok ini. Oleh itu, adalah penting untuk berfikiran jauh dan meneroka teknologi ini dengan lebih lanjut. Setakat ini, penggunaan teknologi ini di lapangan masih kurang, khususnya dalam industri sawit.
“Kita perku melonjakkan lagi penggunaan teknologi rantaian blok ini dan menjejaki manfaat lestarinya terutama bagi tanaman yang diusahakan oleh setengah juta pekebun kecil,” katanya.
Kira-kira lima juta penduduk di Asia secara langsung bergantung dengan industri minyak sawit manakala tiga juta pekebun kecil mencari rezeki menerusi penanaman sawit secara global atau kira-kira 40 peratus daripada pengeluaran komoditi itu di peringkat dunia.
Sebanyak 70 peratus daripada tanaman itu digunakan dalam pengeluaran makanan, 20 peratus untuk segmen pembersihan dan kegunaan diri manakala 10 peratus untuk bahan makanan dan bahan api bio.
Pada masa ini, keluasan ladang sawit adalah meliputi lebih 27 juta hektar di permukaan bumi.
Selain itu, Kamales mengingatkan, antara cabaran mengendalikan penggunaan teknologi rantaian blok itu di beberapa industri adalah ciri-cirinya sebagai teknologi kompleks dan sukar untuk dilaksanakan.
“Namun, kita boleh melihatnya sama seperti internet...ya, ramai menggunakan internet namun tiada siapa yang tahu bagaimana ia berfungsi.
“Begitu jugalah teknologi rantaian blok ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Ia akan menjadi platform atau asas mewujudkan rasa percaya dan menjejaki banyak rantaian bekalan tanpa perlu memahami operasi teknologi itu,” katanya.
IPOSC 2020 merupakan acara persidangan dwitahunan yang mengetengahkan cabaran kemampan serta peluang dalam industri minyak sawit Malaysia, untuk pihak berkepentingan.
Pada tahun ini, IPOSC 2020 keenam itu diadakan secara maya dalam dua modul berikutan penularan pandemik COVID-19 di peringkat global.
-- BERNAMA
https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1896176
Sumber : Bernama