KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN REBUT PELUANG PASARAN LEMAK BAKERI
DI CHINA UNTUK TERUS PERKUKUH SEKTOR HILIRAN SAWIT
NEGARA
1. Industri bakeri di China yang semakin mengembang, di mana lemak bakeri (shortening) merupakan antara bahan mentah utama dijangka mendorong keberlimpahan ekonomi bagi segmen hiliran sektor minyak sawit Malaysia.
2. Dengan produk bakeri seperti kek dan roti yang semakin popular di kalangan penduduk China, permintaan juga dijangka meningkat untuk bahan seperti shortening dan marjerin yang menggunakan minyak sawit sebagai bahan mentah.
3. Buat masa ini, pengeluaran tahunan shortening di China tidak mampu menampung permintaan penggunaan domestik yang semakin meningkat setiap tahun. Negara itu terpaksa mengimport bahan mentah terutamanya dari Indonesia dan Malaysia. Negara kita mengeksport sebanyak 7,655 tan metrik (MT) shortening ke sana pada tahun 2021.
4. Pada waktu yang sama, pasaran marjerin China juga berkembang pesat dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 20%. Negara paling ramai penduduk di dunia yang juga ekonomi global kedua terbesar itu mengimport bekalan marjerin dari Indonesia manakala jumlah import marjerin dari Malaysia pula adalah sebanyak 650 MT pada tahun 2021, dengan peningkatan sebanyak 10% daripada 590 MT pada tahun 2020.
5. Walaupun bahagian pasaran Malaysia dalam industri bakeri China ketika ini kecil, Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia mampu mengembangkan bahagian pasarannya dengan strategi promosi dan pemasaran yang betul. Mengambil kira perkara ini, pengeluar shortening dan marjerin tempatan harus secara proaktif menjalinkan hubungan dengan pengusaha bakeri terkemuka di China.
6. Walaupun masih terdapat sekatan secara sporadis kerana dasar sifar COVID-19 di China, pembukaan semula sempadan negara tersebut secara beransur-ansur kepada peniaga dalam masa terdekat boleh dijadikan peluang yang baik untuk pemain industri lemak bakeri Malaysia untuk membina hubungan perniagaan, sekali gus meningkatkan eksport ke negara tersebut.
7. Dari 2017 hingga 2021, saiz pasaran industri bakeri China telah meningkat kepada 265.7 bilion yuan (RM172.53 bilion) daripada 187.7 bilion yuan (RM121.88 bilion) dengan purata kadar
pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) kira-kira 9%, iaitu jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan saiz pasaran industri bakeri global. Saiz pasaran industri makanan bakeri China dijangka mencecah 287.4 bilion yuan (RM186.62 bilion) pada 2022.
8. Selain itu, pendaftaran syarikat bakeri di China telah melonjak daripada 2,040 kepada 6,395 dalam tempoh 2017-2021 dengan purata CAGR kira-kira 33%. Dalam enam bulan pertama tahun ini sahaja, bilangan syarikat berkaitan bakeri di China yang berdaftar berjumlah 2,815. 2021 juga menyaksikan pelaburan dalam industri bakeri China mengatasi 26 industri lain dengan jumlah keseluruhan 6.14 bilion yuan (RM3.98 bilion). Ini disebabkan oleh pemulihan rancak ekonomi negara tersebut pasca COVID-19.
9. Untuk melengkapkan penyertaan industri hiliran minyak sawit, Kementerian ingin menekankan bahawa Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memulakan kempen "Gerakan Global untuk Memenangi Kebaikan Minyak Sawit" sebagai platform bagi mencetuskan kesedaran tentang kualiti minyak sawit Malaysia serta menangkis dakyah dan berita palsu mengenai komoditi nombor satu negara.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
21 SEPTEMBER 2022