KENYATAAN MEDIA
PROGRAM HELLO KOMODITI
BERTEMPAT DI DEWAN BANDARAN, TELUK INTAN, PERAK
25 MAC 2017 (SABTU)
Sebagai salah satu langkah untuk mendekati dan meraikan pekebun kecil, golongan belia dan usahawan komoditi, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah mengadakan program turun padang melalui penganjuran program Hello Komoditi di Dewan Bandaran Teluk Intan, Perak Pada 25 Mac 2017 (Sabtu).
2. Penganjuran Hello Komoditi ini telah menjadi pemangkin bagi menonjolkan perkembangan dan kemajuan terkini di sektor komoditi iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf kepada pelanggan dan stakeholders industri. Ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat, terutamanya kepada kumpulan sasar iaitu pekebun kecil, para belia dan usahawan komoditi berhubung inovasi dalam sektor komoditi serta pelbagai kemudahan serta bantuan yang disediakan oleh Kerajaan.
3. Di samping itu, penganjuran program ini juga dilihat dapat menarik lebih ramai orang awam menceburi untuk bidang kerjaya dan keusahawanan berasaskan komoditi serta seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dan juga peningkatan pendapatan pekebun kecil.
4. Antara pengisian program Hello Komoditi ialah penganjuran seminar, pameran, demonstrasi masakan dan jualan produk komoditi, seminar berkaitan komoditi serta kaunter khidmat nasihat dari pelbagai agensi.
5. Penganjuran Seminar Komoditi adalah disasarkan khusus kepada pekebun kecil, belia dan usahawan komoditi. Melalui seminar tersebut para peserta didedahkan dengan pelbagai maklumat mengenai bantuan dan bimbingan komoditi yang disediakan. Seminar ini telah dihadiri oleh seramai 500 orang peserta yang terdiri dari pekebun kecil, masyarakat dan belia tempatan dan Sebanyak tiga topik dibincangkan di dalam seminar iaitu:-
i. Bantuan dan insentif kepada pekebun sawit - MPOB;
ii. Seminar perlesenan dan pengredan sawit – MPOB,dan:
iii. Peluang dan kerjaya dalam sektor perladangan dan komoditi - IMPAC.
6. Selain dari seminar, aktiviti seperti pameran, demonstrasi dan jualan produk komoditi juga diadakan dengan melibatkan Agensi-agensi di bawah seliaan MPIC iaitu :
i. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ;
ii. Lembaga Getah Malaysia (LGM) ;
iii. Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) ;
iv. Lembaga Koko Malaysia (LKM) ;
v. Lembaga Lada Malaysia (MPB) ;
vi. Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ; dan
vii. Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).
7. Selain itu, pada sesi pagi sebentar tadi, YB Dato’ Seri Mah Siew Keong sempat melawat Pusat Khidmat 1Komoditi (1CSC) di Pejabat MPOB Cawangan Teluk Intan bertempat Bandar Baru, Teluk Intan. Pusat Khidmat 1Komoditi (1CSC) merupakan salah satu program transformasi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).
8. Objektif penubuhan 1CSC sebagai sebuah pusat setempat yang menawarkan perkhidmatan berkaitan perladangan dan komoditi. Perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti berikut:
(i) membolehkan pekebun kecil/orang ramai mendapatkan maklumat asas tentang tanaman komoditi;
(ii) membolehkan pekebun kecil/orang ramai membuat permohonan bantuan, insentif dan latihan;
(iii) menyediakan perkhidmatan penggunaan komputer bagi permohonan atas talian (online);
(iv) menerima permohonan dan aduan pekebun kecil/orang ramai untuk dikemukan kepada agensi berkaitan; dan
(v) membolehkan pekebun kecil/orang ramai mendapatkan maklumat berhubung permohonan pekerja asing.
9. Sebanyak tiga (3) pusat 1CSC telah ditubuhkan pada tahun 2016 di Sungai Petani, Kedah; Tawau, Sabah; dan Betong, Sarawak. Program Hello Komoditi ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh, YB Datuk Seri Hj. Ahmad bin Hamzah, Pengerusi MPOB, YB Datuk Mohd Azhar Jamaludin, Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jong, dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian dan agensi di bawah MPIC serta ketua-ketua jabatan kerajaan tempatan.
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
25 MAC 2017