KUALA LUMPUR: Kaunter saham berkaitan pengeluar sarung tangan getah rendah hari ini susulan pelabur mengambil untung daripada peningkatan kukuh yang dicatatkan kaunter berkenaan baru-baru ini, kata penganalisis.
Saham pengeluar sarung tangan getah menerajui kaunter saham paling rugi hari ini dengan diterajui oleh saham Hartalega Holdings Bhd yang susut RM1.52 kepada RM11.22, diikuti Rubberex Corporation (M) Bhd rendah 87 sen kepada RM2.93.
Saham pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd jatuh 10 sen kepada RM14.70, Kossan Rubber Industries Bhd susut 40 sen kepada RM8.80 dan Supermax Corporation Bhd merosot 47 sen kepada RM7.14.
Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli, berkata aktiviti pengambilan untung berlaku terutama dalam kaunter berkaitan penjagaan kesihatan berikutan kenaikan yang terlalu kukuh dicatatkan sebelum ini.
Beliau berkata, permintaan global yang kukuh terhadap sarung tangan getah susulan usaha membendung penularan COVID-19 memacu rali dalam harga saham berkenaan.
"Harga (saham berkaitan pengeluar sarung tangan) meningkat dengan kukuh dan menyebabkan ia berada pada paras 'terlebih belian'. Justeru, pelabur mengambil kesempatan untuk mengambil untung," katanya kepada BH.
Kenanga Research dalam satu nota berkata, permintaan untuk sarung tangan getah akan terus meningkat untuk sekurang-kurangnya setahun lagi, di sebalik kebimbangan berterusan ke atas pandemik COVID-19 serta pembukaan lebih banyak perniagaan.
Ia berkata, purata harga jualan industri (ASP) bagi sektor sarung tangan terus melonjak dari bulan ke bulan dalam jangkaan penawaran yang lebih ketat dan purata permintaan yang luar biasa disebabkan oleh pandemik.
Sementara itu, Affin Hwang Capital dalam nota penyelidikannya baru-baru ini berkata, saham syarikat sarung tangan getah mencatatkan peningkatan 43.9 peratus dengan mengatasi prestasi Indeks FBM KLCI sebanyak 57.0 mata asas.
Ia berkata, permintaan bagi sarung tangan getah terus meningkat dengan beberapa pengeluar menerima tempahan sehingga akhir 2020.
Katanya, walaupun pengeluar meningkatkan penggunaan mereka melebihi 90 peratus, ia masih tidak mencukupi untuk memenuhi peningkatan dalam permintaan.
https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2020/06/695970/pelabur-ambil-untung-saham-sarung-tangan-getah
Sumber: bharian.com
Oleh Mahanum Abdul Aziz
mahanum_aziz [AT] bh [DOT] com [DOT] my
Insentif Pengeluaran Getah bagi Mei 2020 diaktifkan
https://www.utusanborneo.com.my/2020/06/03/insentif-pengeluaran-getah-bagi-mei-2020-diaktifkan
Sumber: utusanborneo.com.my
• 2020-06-03T17:07:37+08:00
Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi Mei 2020 telah diaktifkan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pekebun kecil membuat tuntutan pembayaran berdasarkan pengeluaran pada Mei.
Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam kenyataan hari ini, pengaktifan itu berikutan harga purata getah peringkat ladang pada Mei 2020 bagi getah sekerap berada pada RM1.65 sekilogram di Semenanjung, RM1.35 sekilogram di Sabah dan RM1.50 sekilogram di Sarawak.
“LGM juga memaklumkan IPG teraktif bagi Mei 2020 dengan bayaran di Semenanjung pada RM0.85 sekilogram, RM1.15 sekilogram di Sabah serta RM1.00 sekilogram di Sarawak,” katanya.
Sejak Januari 2019, IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan getah SMR 20 Percuma Atas Kapal (FOB) berada pada paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang mencecah RM2.50 sekilogram ke bawah.
"Pekebun kecil boleh membuat tuntutan IPG berdasarkan pengeluaran Mei 2020 mulai 1 Jun hingga 30 Jun, 2020,” menurut LGM. - Bernama
MEDIA CETAK
Sumber: Berita Harian Mukasurat 37
Sumber: StarBiz mukasurat 3