KUALA LUMPUR, 19 Mac -- Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menggesa kerajaan untuk membenarkan pengeluaran sarung tangan berjalan pada kapasiti penuh semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding dengan 50 peratus sekarang ini.
Presidennya, Denis Low berkata industri sarung tangan sedang beroperasi pada tahap separuh kapasiti seperti yang diarahkan kerajaan.
Kerajaan meminta kami mengurangkan sehingga 50 peratus daripada tenaga kerja kami semasa dalam PKP, oleh itu, separuh kapasiti pengeluaran akan hilang.
"Ini agak besar memandangkan Malaysia dijangka akan menghasilkan 220 bilion keping sarung tangan getah pada tahun ini dan ianya sangat kritikal kerana sarung tangan getah diperlukan bagi menangani COVID-19," katanya kepada Bernama.
Setiap pekerja penjagaan kesihatan diberi mandat untuk memakai sarung tangan bagi menangani COVID-19, ini mencerminkan bertapa pentingnya sarung tangan getah ketika ini.
Industri itu akan dapat memenuhi permintaan melalui pengurusan masa dan mempercepatkan talian pengeluaran. Ini akan membolehkan ia mencapai kapasiti 220 bilion keping sarung tangan getah pada tahun ini.
Baru-baru ini, MARGMA sedang mendapatkan persetujuan kerajaan untuk membenarkan pembekal perkhidmatan, bahan mentah dan pembungkusan dalam industri sarung tangan getah agar terus beroperasi di tengah-tengah PKP COVID-19.
Awal hari ini, MARGMA mengeluarkan satu kenyataan yang mendesak kerajaan untuk "mempertimbangkan semula" kebenaran bagi pengeluar sarung tangan getah untuk terus beroperasi pada tahap 100 peratus, kebenaran ini juga perlu diberikan kepada industri sokongan.
Low berkata anggota MARGMA telah menerima permintaan dari 190 negara dan ada kerajaan yang merayu untuk mendapatkan tambahan sarung tangan.
"Anggota MARGMA mampu untuk meningkatkan kapasiti dengan syarat, kerajaan memberikan kelulusan yang kami perlukan," katanya.
"Malaysia adalah pengeluar sarung tangan perubatan terbesar di dunia dan kami pula terikat dengan kewajipan serta bertanggungjawab terhadap kebajikan semua umat manusia di dunia," kata Low.
Malaysia merupakan pengeluar terbesar bagi sarung tangan perubatan getah, negara ini membekalkan hampir 65 peratus daripada permintaan global. Low menjelaskan berikutan keadaan global yang semakin kritikal, industri berkenaan perlu beroperasi untuk memastikan bekalan yang cukup dalam usaha menangani virus itu.
MARGMA ditubuhkan pada 1989 sebagai sebuah pertubuhan industri bukan keuntungan yang memberi pelbagai perkhidmatan kepada anggota yang terdiri daripada pengeluar sarung tangan getah Malaysia serta pembekal berkaitan dan organisasi sokongan.
-- BERNAMA
https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1822762
Sumber: bernama.com/Oleh Azlee Nor Mahmud