KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Kebelakangan ini isu pencemaran daripada kilang-kilang produk berasaskan getah telah mendapat perhatian umum berikutan beberapa aduan telah dilaporkan. Pencemaran yang tidak terkawal ini boleh menjejaskan alam sekitar dan membahayakan kesihatan dan kehidupan air khususnya yang melibatkan pencemaran sungai. Maka pengurusan efluen perlu diuruskan secara efektif dan efisyen oleh semua kilang melalui peraturan berkaitan yang berkuatkuasa.
Kementerian memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan pengilang yang melanggar peraturan yang ditetapkan terutama syarikat yang telah diberi kelonggaran untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebelum ini, terdapat syarikat berkaitan dengan industri getah di Sungai Meru, Kawasan Perindustrian Jelapang, Perak didapati menyebabkan insiden pencemaran alam sekitar disebabkan pekerjanya telah cuai dan melepaskan lateks ke dalam sungai berhampiran.
Terkini, pada 3 Mei 2020, Kementerian menerusi pasukan Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan (UIP) Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah bertindak segera turun ke kilang produk getah di Bukit Beruntung yang dipercayai melepaskan efluen berbuih ke longkang awam melalui aduan yang diterima pada 2 Mei 2020. Secara ringkasnya, pemeriksaan tersebut mendapati efluen berbuih terhasil daripada proses pembuatan produk getah yang menggunakan lateks. Walaupun sistem rawatan pelepasan efluen berfungsi, namun bahan surfaktan yang terkandung di dalamnya dengan isipadu air berkelajuan tinggi semasa proses pelepasan telah menyebabkan buih terhasil. Tindakan penambahbaikan serta merta telah diambil oleh kilang semasa proses pelepasan efluen untuk mengurangkan penghasilan buih. Pihak JAS telah mengambil sampel pelepasan efluen untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia dan laporan siasatan penuh sedang disediakan.
Sekiranya terbukti bahawa syarikat berkenaan melanggar peraturan dan menyalahi undang-undang, Kementerian melalui LGM akan menggantung atau membatalkan lesen syarikat serta premis yang berdaftar dengan agensi berkenaan.
Kementerian amat menitikberatkan isu pencemaran alam sekitar dan komited untuk mengawalselia kilang-kilang yang beroperasi secara berterusan khususnya dalam tempoh PKP. Kementerian juga akan meningkatkan kerjasama dengan Kementerian dan agensi lain yang berkaitan bagi usaha-usaha pemantauan serta siasatan. Sebarang aduan boleh dibuat dengan menghubungi talian hotline LGM di 1- 800-888-474 atau hotline Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) di 03-8880-3498 dalam tempoh PKP.
YB DATO DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
5 Mei 2020
SUMBER: KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI (MPIC)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: MOHD HILMI BIN MOHD ALI
Pegawai Komunikasi Strategik 1
Unit Komunikasi Korporat (UKK)
Tel: +603-88803325 / +6016-2058311
E-mel: hilmihajiali [AT] mpi [DOT] gov [DOT] my
--BERNAMA
http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=13365
Sumber: bernama.com