KUALA LUMPUR, 18 April — Mekanisma Insentif Pengeluaran Getah (IPG) adalah satu bentuk penyelesaian jangka masa panjang bagi membolehkan pekebun kecil dapat memperoleh pendapatan yang lebih stabil, kata Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata kerajaan menyedari bahawa harga getah akan turun dan naik bergantung kepada pasaran dunia, justeru itu bagi memastikan pekebun kecil terus menoreh walaupun harga getah rendah, kerajaan telah menyediakan satu mekanisma untuk menyokong harga,
“Pada peringkat IPG ini, apabila harga getah turun, di bawah satu tahap harga pengaktifan, kerajaan akan bayar perbezaan kepada pekebun kecil.
“Contohnya, walaupun harga peringkat ladang RM1.70 sekilogram, dengan tuntutan IPG ini, harga getah disokong dan kekal pada RM2.50 sekilogram,”
“Jadi dengan ini, walaupun harga getah turun, tetapi sebenarnya kita telah menjamin serta menyokong harga getah pada harga RM2.50 sekilogram dan dengan cara ini pekebun kecil tidak ada masalah dan boleh terus menoreh,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian semasa program Ruang Bicara kelolaan Bernama TV, yang membincangkan mengenai tajuk ‘COVID-19: Kesan Kepada Industri Getah dan Hala Tuju Seterusnya’.
Menurut Zairossani pada peringkat awal terdapat banyak isu berkaitan IPG terutamanya dari segi tuntutan kerana pada hujung bulan pekebun kecil perlu memohon IPG dengan mengisi borang dan kemudiannya menghantar ke pejabat LGM.
“Kita nampak banyak isu pada peringkat awal, tetapi kita telah bekerjasama dengan pelbagai agensi yang terlibat dengan getah, contohnya Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA),” katanya.
Memandangkan RISDA mempunyai hampir 200 pejabat beliau berkata pekebun kecil tidak ada lagi masalah mengenai tuntutan dan mereka boleh menghantar borang tuntutan IPG sama ada ke pejabat LGM atau pejabat RISDA, ejen yang dilantik seperti ketua kampung dan pemborong getah.
Menurutnya, ketika ini kira-kira 90 peratus daripada 457,000 pekebun kecil telah berdaftar dengan LGM.
Sementara itu, katanya, walaupun pelaksanaan IPG untuk membantu menyokong harga getah, kerajaan menyedari bahawa ia tidak mencukupi bagi pekebun kecil memandangkan harga getah yang rendah ketika ini.
”Dengan purata keluasan kebun getah lebih kurang dua hektar untuk setiap pekebun kecil, pendapatan sekitar RM1,400 hingga RM1,500 sebulan, ditambah pula dengan kadar taraf sosio ekonomi sekarang ini, sudah tentu ia tidak mencukupi untuk pekebun kecil," katanya.
Sehubungan itu, katanya, LGM telah membangunkan teknologi untuk menambah sumber pendapatan pekebun kecil dan salah satu daripadanya adalah tanaman integrasi dengan pokok getah.
Zairossani berkata pekebun kecil disarankan agar pokok getah di selang-selikan dengan tanaman lain contohnya pokok buah-buahan dan sebagainya yang boleh mendatangkan pendapatan.
Menurutnya, kerajaan telah mengiktiraf industri getah sebagai industri strategik negara dan keluasan kawasan getah perlu dikekalkan bagi memastikan bekalan mencukupi bagi sektor hiliran.
“Dari segi polisi yang kita telah bangunkan untuk industri getah, pada waktu ini, keluasan tanah kebun getah di Malaysia adalah sejumlah 1.08 juta hektar dan pada peringkat dasar kerajaan, kita hendak pastikan kita kekalkan keluasan tanah ini untuk pengeluaran getah dan tidak boleh bergantung sepenuhnya dari bekalan luar negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan industri getah menghasilkan lebih banyak lateks (susu getah) kerana industri sarung tangan getah Malaysia memerlukan lebih kurang 400,000 tan metrik lateks setahun.
Namun, katanya, penghasilan tempatan hanya berjumlah kira-kira 40,000 tan metrik sahaja dan negara terpaksa mengimport untuk menyokong industri sarung tangan.
“Salah satu caranya adalah ada menerusi IPG juga, sekarang sesiapa yang menghasilkan lateks kami akan beri insentif RM0.90 sekilogram untuk lateks,” katanya.
Zairossani berkata pengeluaran lateks rendah di negara ini adalah disebabkan kekurangan infrastruktur dan pembeli yang semakin berkurangan.
Menurutnya, untuk menghasilkan lateks, industri getah memerlukan infrastruktur contohnya seperti tempat pengumpulan serta lori bagi mengangkut lateks setiap hari ke kilang pemprosesan
“Dengan menghasilkan lateks, kita dapat menghasilkan banyak keluaran getah yang lebih berkualiti dan produk-produk yang ada nilai tambah.
“Cuma apabila kita tengok pada peringkat penghasilan lateks, jika harga itu tidak menarik dan tiada tambah nilai ketara dengan getah sekerap, itu membuatkan pekebun kecil kurang berminat untuk menghasilkan lateks,” tambahnya.
-- BERNAMA
https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1833330
Sumber: bernama.com/Oleh Azlee Nor Mahmud