KUCHING, 13 April -- Jabatan Pertanian Sarawak menyeru pekebun kecil getah untuk memohon Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang diperkenalkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) pada bulan lepas untuk membantu pekebun kecil di seluruh negara untuk mendapat harga yang lebih baik.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat, dan Pembangunan Wilayah negeri berkata kerajaan negeri telah membuat keputusan menjadikan insentif tersebut lebih menarik.


"LGM akan membayar RM1.40 sen sekilogram bagi getah sekerap cawan (100 peratus kandungan getah kering) dan RM0.90 sekilogram bagi lateks.
“Ia juga akan membayar RM1.40 sen sekilogram bagi kepingan getah (100 peratus kandungan getah kering). Kerajaan negeri akan membayar tambahan 50 sen bagi getah sekerap dan kepingan getah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata getah sekerap dan kepingan getah ketika ini berharga RM1.90 sekilogram dan menurutnya walaupun peningkatan itu tidak besar, ia akan memberikan harga yang berpatutan dan pendapatan kepada produk mereka.
“Memandangkan LGM berkata pekebun kecil di Sarawak yang di bawah seliaan Jabatan Pertanian boleh menuntut insentif bagi Mac, kenaikan tambahan itu juga akan turut diberikan,” katanya.
Uggah berkata mereka yang mahu membuat permohonan itu haruslah mempunyai Permit Autoriti Transaksi Getah seperti yang disyaratkan LGM.
“Permit ini juga boleh diperolehi secara percuma di semua pejabat pertanian di negeri itu dan kegagalan memberikan permit ini boleh menyebabkan kelewatan proses pembayaran.
“LGM juga berkata pembayaran akan dibuat secara terus kepada akaun bank pekebun kecil seperti yang tertera pada borang tuntutan mereka,” katanya.
Menurut LGM, insentif tersebut diberikan kepada pekebun kecil getah di seluruh negara mulai 1 hingga 30 April.
-- BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1831466
Sumber: bernama.com