PUTRAJAYA, 1 April -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini menerima sejuta sarung tangan getah bagi membantu jabatan itu dalam usaha memerangi wabak COVID-19.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata sumbangan itu akan digunakan anggota bomba khususnya dalam operasi sanitasi di kawasan awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
"Sehingga semalam operasi sanitasi telah dilaksanakan di 85 kawasan oleh JBPM," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zuraida berkata demikian selepas menerima sumbangan itu daripada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Ditanya mengenai proses sanitasi yang didakwa dilakukan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, Zuraida berkata proses sanitasi itu lebih kepada SOP dalam crowd control.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata tidak timbul isu operasi sanitasi awam yang dijalankan tidak mengikut SOP berikutan cecair disinfeksi disemburkan ke atas permukaan jalan raya, kerana operasi sanitasi itu dilakukan bersama syarikat konsesi di bawah SWCorp.
"Pelaksanaan semburan kabus supaya ia dapat tersebar di tempat .. bahu jalan dan perabot jalan (road furniture) serta kawasan berdekatan tempat kemudahan yang diguna pejalan kaki," katanya.
Selain itu, beliau berkata operasi sanitasi dilakukan di atas jalan di lorong-lorong kerana risau ada titisan selepas orang bersin dan meludah yang akan dipijak pejalan kaki.
Sebelum ini, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman mempertikaikan proses disinfeksi yang dijalankan serta tindakan menyembur cecair ke atas permukaan jalan raya yang disifatkan sebagai satu pembaziran.
Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata kawasan bagi operasi sanitasi awam akan berubah berdasarkan kepada permintaan dan arahan daripada KKM.
Katanya 85 kawasan yang telah dilakukan sanitasi merupakan antara 255 kawasan yang telah dikenal pasti sebagai zon merah, zon jingga dan zon kuning oleh pihak KKM.
Beliau berkata negeri yang dikenal pasti sebagai zon merah ialah Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Sabah.
"Operasi sanitasi awam akan diteruskan, 85 kawasan telah dilaksanakan dan esok akan tambah 50 kawasan mengikut keperluan," katanya.
-- BERNAMA
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1827574
Sumber: bernama.com