INFO ARKIB ELEKTRONIK

KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 20.9 peratus kepada 21,325 tan pada April 2024 berbanding 26,966 tan yang dicatatkan semasa Mac lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dari tahun ke tahun, pengeluaran getah asli menyusut sebanyak 9.1 peratus kepada 23,460 tan metrik pada April 2023, katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan pekebun kecil menyumbang 89.1 peratus pengeluaran getah asli pada April tahun ini, dengan baki 10.9 peratus datang dari sektor ladang.

Daripada segi inventori, jumlah stok getah asli merosot 5.1 peratus kepada 211,119 tan metrik daripada 222,455 tan metrik pada Mac 2024.

Kilang pemprosesan getah memegang 92.4 peratus daripada stok, diikuti kilang pengguna getah (7.5 peratus) dan ladang getah (0.1 peratus).

Mohd Uzir menyatakan bahawa untuk April, eksport getah asli Malaysia adalah sebanyak 47,796 tan, turun 18.9 peratus daripada 58,965 tan yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli, menyumbang 44.8 peratus daripada jumlah eksport pada April. diikuti India (11.4 peratus), Jerman (8.0 peratus), Emiriah Arab Bersatu (4.3 peratus) dan Pakistan (3.9 peratus).

"Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan, tayar, tiub dan benang getah," katanya.

Sarung tangan merupakan eksport utama dalam kalangan produk berasaskan getah, dengan nilai RM1.09 bilion pada April 2024, jatuh 3.8 peratus daripada RM1.14 bilion pada Mac 2024.

DOSM turut menjelaskan analisis harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat berkurangan 0.9 peratus pada April 2024 kepada 733.58 sen sekilogram, manakala getah sekerap susut 0.1 peratus kepada 639.62 sen sekilogram.

"Harga bagi semua Getah Standard Malaysia (SMR) menurun antara 0.3 peratus sen kepada 0.9 peratus," katanya.

Sementara itu, Malaysian Rubber Board Digest keluaran April 2024 melaporkan trend bercampur-campur dalam pasaran getah Kuala Lumpur, dengan SMR 20 pada mulanya menunjukkan pergerakan menaik sebelum melemah menjelang akhir bulan.

"Pasaran getah asli juga terencat akibat cuaca buruk di negara pengeluar utama.

"Bagaimanapun, sentimen pasaran mendapat sokongan daripada data ekonomi China yang menggalakkan, langkah sokongan berterusan dari China, ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan unjuran pertumbuhan ekonomi yang stabil oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)," tambahnya.

-BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/06/1257447/pengeluaran-getah-asli-negara-merosot-209-peratus-pada-april

 

Sumber : Berita Harian

SUNGAI PETANI - Penetapan harga getah sekerap yang meningkat kepada RM4 sekilogram mampu memberi kegembiraan menjelang Aidilfitri buat penoreh sekiranya ia benar direalisasikan

Penoreh, Shahrizal Razak, 36, dari Sik, berkata, kenaikan harga baharu pada Isnin ditetapkan mencecah RM3.70 sekilogram berbanding RM3.40 sekilogram sebelum ini.

Menurutnya, jika harga meningkat sehingga RM4 sekilogram, sudah pasti memberi khabar gembira kepada golongan penoreh.

"Saya jangka kenaikan ini mungkin berlaku tidak lama, dalam tempoh beberapa hari sahaja, besar kemungkinan, harga akan turun dengan keadaan tidak menentu, namun jika meningkat lagi, Alhamdulillah,” katanya.

Selain itu, Rosli Napiah, 60, dari Merbok berkata, setakat ini, harga yang dijual kepada pembeli sekitar RM2.40 sekilogram meningkat kepada RM2.80 sekilogram sejak bulan lalu.

Menurutnya, peningkatan harga kemungkinan didorong permintaan tinggi akibat kekurangan hasil getah disebabkan cuaca panas melanda Kedah.

"Alhamdulillah kalau naik sehingga RM4 sekilogram, memang kita seronok sangat sebab membantu mengurangkan beban sepanjang Ramadan dan ketibaan Syawal tidak lama lagi,” jelasnya.

Selain itu, Siti Sarah Che Tan, 64, turut mengakui cuaca panas yang melanda beberapa lokasi di Kedah menyebabkan hasil susu getah berkurangan berbanding kebiasaan.

"Setakat ini, saya kumpulkan sekerap dua minggu sekali, baru boleh jual kerana hasil agak berkurangan, kemungkinan itu salah satu faktor harga meningkat,” katanya.

Selain itu, Ramli Mat Piah, 64, berkata, secara kebiasaan, hasil sekerap meningkat sekitar September - Oktober di mana ketika itu taburan hujan turut meningkat, namun kekangan bagi penoreh ketika mahu melakukan kerja-kerja menoreh dalam cuaca hujan.

"Jika naik sehingga RM4 sekilogram memang seronoklah, kami juga memohon agar harga yang ditetapkan terus kekal, tidak berubah-ubah bagi memudahkan urusan jual beli pada masa akan datang,” katanya.

Difahamkan, penetapan harga bagi sekilogram getah sekerap di beberapa daerah di negeri Kedah, tidak seragam dan sentiasa berubah-ubah antaranya termasuk Padang Terap (RM3.72), Pendang (RM3.65) dan Baling (RM3.10).

 

https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/655526

 

Sumber : Sinar Harian

GUA MUSANG: Kira-kira 400 penoreh dan pekebun getah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah di sini mendakwa pendapatan mereka terjejas susulan kemarau apabila susu getah yang ditoreh berkurangan.

Pekebun, Ahmad Fauzi Sal­leh, 73, berkata, situasi itu me­nyebabkan ada dalam kalangan mereka mengambil keputusan berehat sementara sejak bulan lalu akibat kekurangan hasil.

“Setiap kali musim panas, penghasilan susu getah menurun dan hasil yang diperoleh berkurangan sehingga 50 peratus.

“Ketika ini susu getah yang ditoreh cepat kering dan berhenti mengeluarkan susu. Ka­­lau dalam keadaan biasa, pe­noreh boleh menoreh getah selang sehari. Namun kini, dalam tempoh tiga hari sekali baru boleh menoreh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi pekebun, Mohd. Rosdi Ayub, 54, berharap kerajaan dapat menyediakan insentif atau bantuan bagi me­ringankan beban mereka yang terjejas.

Katanya, penoreh kini ter­sepit dengan pendapatan tidak menentu dan perlu menyara keluarga.

“Saya harap kerajaan dapatlah mempertimbangkan ca­da­ngan ini dan dapat meringan­kan beban kami menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini.

“Apabila tidak dapat be­kerja setiap hari hasil getah juga berkurangan malah pendapatan lebih rendah berban­ding dahulu. Sebelum musim panas, pendapatan kami men­cecah RM1,000 tetapi kini ha­sil susu sangat sedikit,” ujar­nya.

Sebelum ini, media mela­porkan kerajaan disaran mempertimbangkan insentif khas kepada penoreh getah dan pekebun kecil yang terjejas pendapatan sehingga 50 peratus akibat fenomena cuaca panas. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/03/susu-getah-kurang-jejaskan-rezeki-400-penoreh-pekebun/

 

Sumber : Utusan

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah sedikit pada Isnin, seiring dengan aliran menurun di pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Beliau berkata, sentimen global terjejas oleh kebimbangan terhadap cadangan tarif ke atas kenderaan elektrik (EV) dari China oleh Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dikekang oleh kebimbangan terhadap bekalan getah di negara-negara pengeluar getah asli (NR) utama ketika para peniaga menunggu pengumuman data inflasi AS yang akan mempengaruhi kenaikan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata agensi meteorologi Thailand memberi amaran ramalan hujan sangat lebat yang boleh mengakibatkan kejadian banjir kilat dari 24 hingga 26 Jun ini.

Selain itu beliau juga berkata China dan EU sedang berunding mengenai cadangan pelaksanaan tarif ke atas EV buatan China yang diimport ke pasaran Eropah.

“Pengesahan itu dibuat selepas Kementerian Perdagangan China bersetuju untuk memulakan rundingan berhubung siasatan anti-subsidi EU ke atas EV China,” katanya.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) turun 1.5 sen kepada 794.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal berkurangan lima sen kepada 762 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal berada pada 794 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 757.5 sen sekilogram.-BERNAMA

 

 

https://berita.rtm.gov.my/ekonomi/senarai-berita-ekonomi/senarai-artikel/pasaran-getah-ditutup-rendah-sedikit-seiring-aliran-menurun-pasaran-niaga-getah-serantau

 

Sumber : Berita RTM

SUMBER: BERITA HARIAN, MS 25
17 OGOS 2022