KENYATAAN MEDIA POTENSI MINYAK SAWIT MALAYSIA KEKAL UTUH WALAUPUN HARGA CPO MELEMAH ________________________________________________________________________________
1. Eksport minyak sawit Malaysia dan produk-produk berasaskan minyak sawit menokok sebanyak 55.2 peratus kepada RM67.48 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini daripada RM43.47 bilion sepanjang tempoh sama pada 2021. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 66.1 peratus hasil eksport adalah daripada minyak sawit, iaitu RM44.63 bilion berbanding hanya RM28.8 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
2. Dari segi volum, eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini juga meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada 11.47 juta tan metrik (MT) berbanding 11.15 juta MT tahun lalu. Malaysia merekodkan eksport yang kukuh walaupun berlaku kemerosotan harga minyak sawit mentah (CPO) dan penyusutan pengeluaran CPO sebanyak 1.1 peratus kepada 8.27 juta MT sepanjang tempoh berkenaan berbanding 8.36 juta MT dalam tempoh separuh pertama 2021.
3. Kemerosotan yang berlaku adalah disebabkan pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang menyusut sebanyak 3.6 peratus per hektar sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2022, berbanding 7.16 tan per hektar sepanjang tempoh sama tahun lalu. Sementara itu, lonjakan mendadak dalam hasil eksport sebahagiannya adalah disebabkan peningkatan harga CPO, baik di dalam atau luar negara. Antara Januari hingga Jun 2022, harga CPO melonjak sebanyak 55.9 peratus kepada RM6,330 per MT daripada RM4,061.50 per MT bagi tempoh sama 2021.
4. Mengikut Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), hasil daripada eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini meningkat kepada RM56.47 bilion atau peningkatan sebanyak 58.8 peratus berbanding lima bulan pertama 2021.
5. Saya amat gembira dengan hasil menggalakkan yang direkodkan sepanjang enam bulan pertama 2022 yang membolehkan pemain-pemain industri - sama ada pekebun kecil atau syarikat perladangan senaraian awam - mendapat manfaat daripada peningkatan harga CPO untuk menjana perolehan yang lebih tinggi. Jelas sekali, lonjakan dalam perolehan hasil akan menyaksikan peningkatan dalam pendapatan yang kemudian boleh menyumbang dalam bentuk pelbagai cukai untuk digunakan oleh kerajaan Keluarga Malaysia bagi melaksanakan program-program berkaitan sosio-ekonomi yang penting bagi mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi negara daripada kesan pandemik COVID-19.
6. Kementerian dan saya secara peribadi amat gembira melihat sawit atau 'tanaman emas' kita sudah dapat diterima dengan meluas di peringkat global seperti ditunjukkan dalam bentuk eksport yang menggalakkan dalam tempoh separuh pertama 2022. Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan seluruh agensi berkaitan atas usaha agresif dan tidak pernah jemu dalam mempromosikan minyak sawit Malaysia, khususnya dalam pelbagai misi perdagangan bersama saya di luar negara.
7. Kementerian yakin potensi dan prospek untuk minyak sawit Malaysia akan kekal cerah untuk tempoh separuh kedua 2022, memandangkan penerimaan global kepada komoditi negara sudah semakin meluas, termasuk oleh pasaran-pasaran yang bukan tradisional. Saya melihat perkembangan ini sebagai satu kejayaan daripada kempen KPPK, iaitu 'Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit' atau 'The Global Movement to Champion the Goodness of Palm Oil' yang bertujuan menepis dakyah-dakyah dan maklumat-maklumat salah mengenai komoditi terbesar Malaysia ini.
DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 09 OGOS 2022
TARRC Mampu Tingkatkan Daya Saing Industri Getah Negara
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Penyelididkan Tun Abdul Razak (TARRC) di Brickendonbury, United Kingdom pada 23 Januari yang lalu. TARRC merupakan pusat penyelidikan dan penggalakan bagi Lembaga Getah Malaysia (LGM).
2. Ia diwujudkan dengan tujuan meningkatkan daya saing dan daya maju industry getah Malaysia dalam persekitaran global melalui penyelidikan dan pembangunan bertumpu, pindahan teknologi berkesan serta perkhidmatan sokongan berkualiti.
3. Antara fokus utama TARRC adalah konsultasi, penyelidikan dan pembangunan industri getah seperti tayar, aeroangkasa, perubatan dan penjagaan kesihatan. TARRC juga menyediakan perkhidmatan sokongan industri kepada pengeluar produk getah Malaysia dalam meningkatkan kualiti, produktiviti, prestasi serta memberi khidmat nasihat tentang teknologi pemprosesan terkini.
4. Pada masa sama, Menteri KPPK turut mengadakan pertemuan dengan pelajarpelajar di London ketika lawatan tiga hari beliau di sana. Dalam perjumpaan itu, Zuraida telah mengadakan sesi dialog bersama pelajar membincangkan bagaimana para pelajar boleh membantu meningkatkan penjenamaan produk agrikomoditi negara di United Kingdom.
5. “Mereka bagaikan duta kecil negara”. Beliau berkata, “Kami turut berbincang dengan Pejabat Suruhanjaya Perdagangan mengenai pembangunan polisi terbaru di UK. Ini sangat penting bagi Kementerian untuk memahami perkembangan terkini supaya kita dapat merangka strategi untuk produk agrokomoditi bersesuaian dengan pasaran di UK”
6. Turut serta dalam lawatan berkenaan adalah Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Dato’ Dr. Zairossani Mohd Nor, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia Encik Lee Chin Cheh bersama-sama dengan Setiausaha Bahagian Kanan (SUBK) Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (PSA) Encik S Letchumanan Shanmugam.
25 Januari 2022 Unit Komunikasi Korporat Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
SITUASI ISU BURUH DALAM SEKTOR PERLADANGAN SAWIT MALAYSIA
1. Susulan beberapa insiden yang melibatkan penahanan eksport produk agrikomoditi Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) oleh United States Customs and Border Protection (US CBP) kebelakangan ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ingin memberi penjelasan mengenai situasi buruh paksa di sektor perladangan sawit yang dilihat mempunyai hubungan dengan sekatan tersebut.
2. Tidak dinafikan, AS merupakan pasaran penting serta antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport agrikomoditi seperti produk sawit negara. Bagi tempoh Januari-Julai 2020, jumlah eksport agrikomoditi ke negara berkenaan bernilai RM11.8 bilion. Pada tahun 2009, sektor sawit Malaysia telah dimasukkan di dalam senarai The Department of Labor’s List of Goods Produced by Child Labor or Forced Labor oleh Jabatan Buruh AS (DOL) atas dakwaan menggunakan buruh paksa selaras dengan peruntukan undang-undang negara tersebut iaitu Trafficking Victims Protection Reauthorization Act (TVPRA). Ini diikuti dengan dakwaan penggunaan buruh kanak-kanak pada tahun 2014.
3. Isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak khususnya yangmelibatkan warga asing adalah kompleks kerana melibatkan faktor penentu yang unik dan berbeza bagi setiap negara serta berkait rapat dengan latar belakang ekonomi, perbezaan struktur sosiobudaya, peraturan dan undang-undang tempatan. Justeru, KPPK telah mengambil langkah permulaan menangani isu ini melalui pelaksanaan kajian awal situasi buruh dalam sektor perladangan sawit pada tahun 2014.
4. Pada tahun 2018, KPPK dengan kerjasama Pertubuhan BuruhAntarabangsa (ILO) selaku perunding teknikal kajian telah melaksanakan kajian menyeluruh situasi buruh di sektor perladangan sawit Malaysia. Ia dijalankan bagi memastikan hasil kajian yang lebih komprehensif.
5. Sebagai makluman, KPPK telah membentangkan kajian situasi buruh sektor perladangan sawit Malaysia dan telah diterima oleh Kabinet pada 24 Julai 2020. Dalam hal ini, laporan akhir kajian menyeluruh itu akan dikemukakan kepada DOL dan ILO sebagai salah satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada Senarai TVPRA. Langkah ini diharap dapat mengelakkan sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan.
6. KPPK akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pemegangpemegang taruh bagi mencari penyelesaian efektif untuk menangani isu tersebut. Selain itu road show turut dijalankan bagi memberi pemahaman dan penjelasan mengenai keperluan pematuhan syarat-syarat perburuhan untuk memastikan tiada amalan sedia ada boleh dikaitkan dengan buruh paksa. Namun, ia adalah proses berterusan dan akan memakan masa.
7. Malaysia komited mengenai isu perburuhan dalam sektor perladangan komoditi ini di mana elemen kawalan perburuhan telah dimasukkan sebagai salah satu syarat pelesenan ladang sawit di bawah pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang berkuat kuasa secara mandatori mulai 1 Januari 2020.
8. Pemahaman mengenai kewujudan buruh paksa dan buruh kanakkanak dalam konteks ekonomi dan budaya Malaysia serta usaha kolektif pelbagai pihak dalam isu ini amat penting untuk meyakinkan komuniti antarabangsa tentang komitmen utuh dan kesediaan kerajaan dalam usaha untuk menangani isu-isu terbabit dalam berkenaan khususnya dan sektor agrikomoditi amnya.
YB DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 1 Oktober 2020
IBS KENAF PEMANGKIN PENJANAAN PENDAPATAN BAHARU KONTRAKTOR TEMPATAN
1. YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Pengenalan Keusahawanan Sistem Binaan Berindustri (IBS) Kenaf Peringkat Terengganu yang bertujuan memberi pendedahan kepada kumpulan sasar khususnya dalam sektor pembinaan berkaitan penggunaan dan pemasangan IBS kenaf di negeri ini.
2. Kursus sehari anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Hotel Paya Bunga, Kuala Terengganu, Terengganu ini akan dijadikan sebagai platform kepada penggiat industri untuk mempromosi dan seterusnya menarik lebih ramai golongan berkenaan mengadaptasi penggunaan teknologi IBS berasaskan kenaf bukan sahaja di negeri ini malah diperluas ke negeri-negeri lain.
3. Pelaksanaan kursus ini juga selaras dengan tumpuan kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran produk berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam sekitar, dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri pembuatan termasuk pembinaan.
4. Program khusus ini dirangka oleh LKTN turut mendapat kerjasama daripada pihak swasta. Seramai 50 peserta yang terdiri daripada kontraktor pembinaan tempatan telah terpilih menghadiri kursus ini.
5. Kursus ini bukan sahaja diharap dapat meningkatkan pengetahuan para peserta malah turut membuka peluang dalam menjana pendapatan dan mewujudkan jaringan perniagaan melalui aktiviti pemadanan perniagaan.
6. Selain itu, ia juga bakal mewujudkan usahawan-usahawan baharu dalam industri pembinaan berasaskan IBS kenaf bukan sahaja di Terengganu malah ke negeri-negeri yang lain.
7. Kementerian akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program-program berkaitan pembangunan modal insan dan pemindahan teknologi kepada pihak-pihak yang berkepentingan demi memastikan pembangunan industri ini diperkasa bagi menjamin sosioekonomi serta memberi manfaat kepada rakyat khususnya dan negara amnya.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Kuala Terengganu 12 September 2020
MSPO MAMPU TINGKATKAN KUALITI KEMAMPANAN INDUSTRI SAWIT CHINA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini merasmikan Forum Minyak Sawit Mampan Malaysia-China secara maya yang diadakan di Chongqing, China. Forum bertemakan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) - “Sinergi ke Arah Persekitaran, Sosial dan Ekonomi yang Lebih Baik” adalah bertujuan untuk menggalakkan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan dan kerjasama dalam penerimaan MSPO di Negara Tembok Besar. Ia adalah medan untuk membincangkan kerjasama pemimpin dan penggiat industri China dalam pembangunan mampan industri sawit yang dihadiri oleh lebih 150 penggiat industri minyak dan lemak negara tersebut.
2. Sokongan dan penerimaan MSPO, membolehkan industri minyak sawit China meningkatkan imej korporat di samping memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dan merealisasikan Dasar Hijau Negara China. MSPO akan membantu memaparkan imej positif para pengeluar negara berkenaan menyokong usaha Malaysia meningkatkan taraf hidup pekebun kecil sawit serta melengkapkan matlamat Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China bagi mencapai pembangunan sosioekonomi di kedua-dua buah negara.
3. Industri agrikomoditi terutamanya minyak sawit, adalah salah satu tonggak utama ekonomi Malaysia. Sektor sawit telah banyak menyumbang kepada pendapatan eksport yang berterusan melalui agrikomoditi mentah dan produk bernilai tambah ke pasaran global. Pada tahun 2020, minyak sawit telah menyumbang sebanyak AS$18.3 bilion (RM73.3 bilion) manakala sehingga Ogos 2021, subsektor ini mencatatkan sebanyak RM63.7 bilion.
4. Kerajaan Malaysia telah memberi mandat kepada MSPO pada tahun 2020 dengan matlamat untuk meningkatkan pembangunan mampan industri sawit negara. Melalui skim pensijilan ini, Malaysia berhasrat untuk membasmi kemiskinan dengan meningkatkan taraf hidup pekebun kecil sawit dan Orang Asli, menggalakkan perlindungan alam sekitar serta meningkatkan ekonomi. Dengan Dasar Hijau Negara China dan ‘Dual Carbon Goals’ yang diperkenalkan pada awal tahun ini, China menjangkakan permintaan yang lebih besar untuk MSPO dan produk mesra alam pada tahun-tahun akan datang.
5. Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) telah menggiatkan pelbagai usaha sama dengan China seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara MPOB dan Universiti Tsinghua bagi pelaksanaan biodiesel di China serta kerjasama dengan Pusat Pembangunan Makanan Hijau China untuk mempromosi MSPO.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Putrajaya 18 Oktober 2021