LAWATAN YB TUAN WILLIE MONGIN, TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN
PERLADANGAN DAN KOMODITI KE SIBURAN DAN SERIAN SARAWAK
BAGI MENINJAU KEMAJUAN INDUSTRI GETAH
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang mempergiat usaha menarik lebih ramai pekebun kecil untuk membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) terutama ketika harga getah rendah termasuk di Sarawak.
2. Dianggarkan tidak sampai 2% pekebun kecil Sarawak yang menuntut insentif berkenaan. Berdasarkan pemilikan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), pekebun kecil di negeri itu adalah seramai 57,108 atau 12.5% daripada keseluruhan PAT-G Malaysia.
3. Pada hari ini 9 Jun 2020, YB Tuan Willie Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah mengadakan lawatan ke dua buah kilang memproses getah iaitu Kilang Lung Kong Rubber Sdn. Bhd., Siburan dan Kilang Hwah Yang Sdn Bhd, Serian, Sarawak.
4. Hampir keseluruhan getah asli ini dikeluarkan oleh pekebun kecil berbanding estet yang berada di Sarawak. Pada masa ini, hampir 18% penanaman getah Malaysia adalah di Sarawak membabitkan 7.2 ribu tan 2 atau 1.1% daripada sejumlah 639.8 ribu tan getah Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 2019.
5. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau secara lebih dekat perkembangan industri getah di Bumi Kenyalang dan mengenal pasti isu serta cabaran yang dihadapi oleh industri tersebut terutama sewaktu negara menghadapi pandemik COVID-19 pada masa ini.
6. Dua buah kilang pemproses yang dilawati ini berupaya memproses getah sebanyak 115 tan sehari dan lebih 50% getah asli yang diperolehi adalah diimport dari luar negara.
7. Di Sarawak, terdapat 9 buah syarikat yang terlibat di dalam industri hiliran iaitu syarikat pengeluaran tayar celup (retreader) dan tayar terpakai. Dalam hal ini, industri hiliran getah disaran untuk dikembangkan dan dipertingkatkan lagi bagi memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
8. Lawatan ini dijangka dapat membantu pihak Kementerian untuk memastikan perancangan program dan aktiviti bagi pemulihan semula ekonomi negara terutama kepada industri getah dapat dilakukan dengan lancar dan berkesan.
9. Pemulihan semula industri getah adalah penting agar industri ini terus menjadi antara penyumbang utama kepada penjanaan ekonomi negara melalui pendapatan eksport tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu yang kini menjadi amalan.
PRESTASI PERDAGANGAN SEKTOR AGRIKOMODITI JANUARI-APRIL 2021 KEKAL POSITIF
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ingin memaklumkan prestasi perdagangan sektor agrikomoditi bagi tempoh Januari hingga April 2021. Secara keseluruhan, sektor agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM88.3 bilion iaitu meningkat sebanyak RM34.2 bilion. Manakala, imbangan dagangan adalah sebanyak RM48 bilion.
2. Pendapatan eksport produk agrikomoditi merekodkan RM68.1 bilion atau 17.6 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. Pendapatan ini mencatatkan pertumbuhan positif iaitu sebanyak 66.5 peratus berbanding RM40.9 bilion bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya. Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan ketara harga agrikomoditi utama yang terus mencatatkan peningkatan harga purata sepanjang tempoh empat bulan tersebut.
3. Produk berasaskan getah merupakan penyumbang terbesar bagi eksport agrikomoditi dengan sumbangan sebanyak 43.9 peratus. Sektor ini terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencatatkan peratusan peningkatan eksport sebanyak 175 peratus atau RM29.9 bilion. Peningkatan ini adalah disebabkan oleh lonjakan nilai eksport produk berasaskan lateks terutama sarung tangan getah yang telah merekodkan peningkatan dua kali ganda iaitu sebanyak 257.6 peratus kepada RM24.5 bilion berbanding RM6.9 bilion tempoh sama pada tahun 2020.
4. Kuantiti eksport bagi sarung tangan getah turut mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 12.8 peratus kepada 349,100 tan berbanding 309,400 tan bagi tempoh yang sama pada 2020. Peningkatan ketara eksport produk berasaskan getah adalah didorong oleh permintaan tinggi daripada sektor kesihatan di seluruh dunia.
5. Produk berasaskan sawit yang merupakan 40.6 peratus daripada jumlah pendapatan eksport agrikomoditi telah mencatatkan peningkatan sebanyak 29.5 peratus iaitu RM27.6 bilion pada tahun ini. Namun, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak 4.5 peratus kepada 7.2 juta tan berbeza pada tahun sebelumnya dalam tempoh yang sama iaitu 7.6 juta tan.
6. Produk berasaskan kayu-kayan merupakan penyumbang ketiga terbesar dengan sumbangan sebanyak 12.2 peratus kepada pendapatan eksport keseluruhan sektor agrikomoditi. Sepanjang tempoh Januari hingga April 2021, nilai eksport adalah sebanyak RM8.3 bilion iaitu mencatatkan peningkatan 29.2 peratus.
7. Pendapatan eksport bagi produk koko dan lada masing-masing mencatatkan peningkatan. Pada tahun ini, nilai eksport produk koko adalah RM2.2 bilion dengan peningkatan 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Manakala, nilai eksport produk lada bagi tempoh berkenaan juga adalah RM42.1 juta iaitu peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding tahun 2020.
8. Berdasarkan prestasi perdagangan sektor agrikomoditi bagi tempoh Januari hingga April 2021, Kementerian yakin prestasi perdagangan ini akan kekal positif untuk sepanjang baki tahun 2021. KPPK juga percaya melalui suntikan dana tambahan oleh Kerajaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA+ akan merancakkan lagi momentum pembangunan industri Agrikomoditi negara.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 9 Jun 2021
KARNIVAL KERJAYA AGRIKOMODITI 2021 TAWAR LEBIH 8,600 JAWATAN KOSONG DALAM SEKTOR KOMODITI
1. Lebih 8,600 jawatan kosong daripada 26 majikan sektor perladangan dan industri komoditi ditawarkan pada Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 yang bermula hari ini. Seramai 3,000 peserta warga tempatan termasuk para siswazah dan komuniti Orang Asli dijangka mengambil bahagian dalam karnival dua hari ini.
2. Karnival anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dirasmikan secara maya oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini. Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri M. Saravanan. Majlis perasmiannya boleh ditonton melalui pautan https://bit.ly/3rguSgY.
3. Bagi pencari kerja, pendaftaran untuk menyertai Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 boleh dilakukan menerusi pautan https://careerfair.perkeso.gov.my. Selain daripada sesi temuduga secara maya, program taklimat tentang PenjanaKerjaya 2.0 dan Portal MYFutureJobs serta sesi Webinar Peluang Kerjaya Di Sektor Agrikomoditi turut diadakan.
4. Sejak Januari 2020, Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara MYFutureJobs telah mengumpul sebanyak 1,027,099 kekosongan jawatan dan dalam tempoh tersebut, sejumlah 187,251 individu telah berjaya mendapat pekerjaan menerusinya.
5. Program PenjanaKerjaya 2.0 yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, menawarkan insentif bulanan sebanyak RM500 hingga RM2,000 di bawah kategori ‘Malaysianization’ kepada pekerja tempatan yang mengisi kekosongan jawatan yang selalunya disandang oleh pekerja asing.
6. Bagi kategori tersebut, majikan layak menerima insentif sebanyak 40 peratus daripada gaji bulanan pekerja, dengan nilai maksimum yang akan diterima adalah RM4,000. Pekerja dan majikan dalam kategori ini akan menerima insentif untuk tempoh enam bulan. Selain itu, pekerja juga layak menerima Bantuan Mobiliti sebanyak RM500 atau RM1,000 secara one-off.
7. Semua pihak terutamanya golongan belia, graduan dan seluruh rakyat Malaysia adalah dijemput untuk menyertai karnival kerjaya ini bagi merebut peluang pekerjaan selain meneroka bidang baharu berikutan kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 di sektor agrikomoditi dan seterusnya membantu merealisasikan usaha Kerajaan untuk mengatasi isu pengangguran negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI & KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA Putrajaya 9 Mac 2021
KENYATAAN MEDIA DASAR AGRIKOMODITI NEGARA 2021-2030 (DAKN 2030) PENGGERAK SEKTOR AGRIKOMODITI UNTUK TERUS MEMACU EKONOMI NEGARA _____________________________________________________________________________________
1. Yang Berhormat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah melancarkan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) di Hotel Everly, Putrajaya hari ini.
2. DAKN 2030 yang merupakan kesinambungan kepada Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Januari 2022. Penggubalan dan hala tuju dasar ini adalah berteraskan kepada Agenda Nasional seperti Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG), Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rancangan Fizikal Negara Ke-3 (RFN3).
3. DAKN 2030 menggariskan hala tuju pembangunan industri Agrikomoditi negara yang merangkumi lapan komoditi utama iaitu kelapa sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, fiber berasaskan tumbuhan (kenaf), biojisim dan biobahan api.
4. DAKN 2030 digubal bagi memastikan sektor ini terus dipacu dan memberi sumbangan secara berterusan kepada negara melalui Keluaran Dalam Negeri Kasar Negara (KDNK) dan pendapatan eksport negara. Pada masa yang sama, DAKN 2030 dijangka akan dapat membangunkan rakyat dengan pengurangan jurang pendapatan dan kadar kemiskinan, terutamanya bagi masyarakat luar bandar.
5. Sumbangan sektor Agrikomoditi kepada pembangunan sosio ekonomi rakyat sejak sedekad yang lalu terbukti apabila telah menjana sumber pendapatan kepada hampir 1.3 juta pekebun kecil dan peluang pekerjaan kepada hampir sejuta rakyat tempatan.
6. Selain itu, pencapaian negara di peringkat antarabangsa juga menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. Malaysia merupakan pengeksport sarung tangan getah terbesar dunia, pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia selepas Indonesia, pengeksport kayu dan produk kayu ke-10 terbesar, pengeksport perabot kayu ke-12 terbesar, pengisar koko ke-6 terbesar dan pengeluar lada ke-5 terbesar di dunia.
7. Sumbangan sektor Agrikomoditi kepada KDNK negara juga tidak dapat dinafikan dengan nilai sumbangan yang menunjukkan peningkatan daripada RM76.2 bilion pada tahun 2010 kepada RM84.3 bilion pada tahun 2021. Peningkatan sebanyak 6.1% merupakan satu permulaan yang baik dalam usaha kerajaan untuk memastikan nasib pekebun kecil dan pemain industri dalam sektor ini terus terbela. Pada masa yang sama, sektor Agrikomoditi telah menyumbang sebanyak 44.5% kepada KDNK Sektor Pertanian. Sub sektor sawit merupakan penyumbang utama kepada KDNK Agrikomoditi iaitu sebanyak 53.4% diikuti dengan getah 19.9%, kayu 18.8%, lada 2.7%, koko 2.0% dan tembakau 3.2%.
8. Sektor Agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM270.2 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 39.7% berbanding tahun 2020 manakala, imbangan dagangan adalah sebanyak RM148.8 bilion. Pendapatan eksport adalah sebanyak RM209.5 bilion atau 16.9% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara. Sawit dan getah merupakan penyumbang utama dalam peningkatan nilai eksport agrikomoditi. Sawit meningkat sebanyak 48.0% kepada RM108.5 bilion manakala getah meningkat sebanyak 44.3% kepada RM71.0 bilion berbanding tahun 2020.
9. Justeru, bagi memastikan sektor ini terus kukuh dan mampan, Rangka DAKN 2030 digubal dengan tiga komponen utama berdasarkan Hala Tuju Strategik keseluruhan sektor Agrikomoditi (Visi dan Teras DAKN 2030), Aspirasi DAKN 2030 dan Keutamaan Rentas Sektor.
10. Secara keseluruhan, DAKN 2030 merangkumi lima teras utama iaitu Kemampanan, Produktiviti, Penjanaan Nilai, Pembangunan Pasaran dan Keterangkuman dengan 14 indikator dan sasaran keseluruhan. Manakala, lapan komoditi dan empat keutamaan rentas sektor pula mengandungi 130 strategi dan 112 indikator dan sasaran. DAKN 2030 juga turut menyenaraikan 11 program flagship dan memberi tumpuan untuk menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan Agrikomoditi dan mempertingkatkan penerimagunaan ekonomi kitaran.
11. Selain itu Kementerian juga akan menganjurkan Malaysia International Agricommodity Expo and Summit (MiACEs) pada pertengahan tahun ini dengan menghimpunkan kesemua sektor agrikomiditi negara di bawah satu ekspo bertaraf antarabangsa.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 9 Mac 2022
KENYATAAN MEDIA PERTANDINGAN PIDATO ‘HARGAI SAWIT MALAYSIA’ GALAK PELAJAR HARGAI DAN PERTAHANKAN KOMODITI SAWIT
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia telah menganjurkan pertandingan pidato ‘Hargai Sawit Malaysia’ dengan matlamat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan pelajar mengenai sawit Malaysia.
2. Pertandingan pidato ‘Hargai Sawit Malaysia’ yang melibatkan penyertaan pelajar-pelajar dari sekolah rendah dan menengah ini turut memfokuskan kepada usaha KPPK untuk mencari duta kecil bagi mempromosikan manfaat dan kebaikan minyak sawit keluaran Malaysia.
3. Menerusi pertandingan pidato ini, para pelajar didedahkan lebih awal mengenai sejarah dan perkembangan sektor sawit di dalam negara, selain memupuk pemikiran kreatif dan kritis dalam kalangan pelajar. Bahkan, penganjuran program ini juga dapat membantu mengasah bakat pelajar dalam pengucapan awam, sekaligus membina keyakinan diri dan membentuk personaliti yang baik.
4. Selain dapat menangkis maklumat-maklumat tidak tepat berkaitan sawit Malaysia, ia juga dapat menyuntik semangat patriotik dalam kalangan pelajar, seterusnya mendorong mereka mempertahankan industri sawit Malaysia sebagai khazanah negara.
5. Pertandingan pidato ini telah dijalankan dengan penyertaan secara dalam talian, di mana peserta perlu menyampaikan pidato dalam video pendek dengan durasi tiga hingga lima minit mengenai topik pilihan masing-masing berkaitan minyak sawit Malaysia.
6. Penganjuran pertandingan pidato ini selari dengan pendekatan KPPK sebelum ini yang berhasrat untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah berhubung fakta dan sumbangan sektor sawit, menerusi pemberian secara percuma 300,000 naskhah buku ‘Mari Kenali Sawit’ kepada pelajar sekolah rendah dan menengah kerajaan serta swasta di seluruh negara.
7. Sejumlah 1,828 penyertaan diterima dari semua kategori umur dan sejumlah 221 video disenarai pendek. Pemenang akan menerima hadiah berupa produk-produk berasakan sawit sumbangan FGV Holdings Berhad. Video-video yang terpilih telah di senarai pendek mengikut kategori masing-masing dan dinilai berdasarkan kriteria berikut: a. Kreativiti pembentangan slaid; b. Keyakinan menyampaikan pidato; c. Ketetapan maklumat yang disampaikan; d. Kefasihan pembentangan; dan e. Nilai promosi yang dibawa
Berikut merupakan pemenang yang menerima markah tertinggi adalah seperti berikut:
Kategori Bahasa Malaysia Bawah 12 Tahun
KELANTAN
NUR ZARALISYA ADLINA BINTI ABD ZULFIRMAN SK Dato Hashim 2
8. Pada masa yang sama, Program Jelajah Mari Kenali Sawit turut dijalankan di 100 buah sekolah menengah di Semenanjung Malaysia bagi menarik minat para pelajar menghargai hasil sumber komoditi sawit. Penerapan program ini juga sejajar dengan matlamat ke-9 Sustainable Development Goals (SDG) iaitu memperkasakan bidang industri, inovasi dan infrastruktur.
9. Kementerian yakin menerusi penganjuran program pidato dan jelajah ini dapat membantu dalam memperkasa dan mempertingkatkan industri sawit negara dari anasir dan persepsi negatif yang dibawa oleh negara luar. Sekaligus, membantu mempromosikan industri komoditi ini ke serata dunia.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 9 NOVEMBER 2022