INFO ARKIB ELEKTRONIK

KUALA LUMPUR, 11 Jun- Pasaran getah Kuala Lumpur menyusut pada Selasa susulan penurunan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah, disebabkan aktiviti pengambilan untung, kata seorang peniaga.

Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kemeorosotan pengeluaran getah asli tempatan dalam persekitaran bekalan getah yang terhad, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peniaga pasaran sentiasa memantau dengan teliti data ekonomi AS yang penting dan hasil mesyuarat dasar monetari AS minggu ini.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun 9.5 sen kepada 850 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut 2 sen kepada 798 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi fizikal SMR 20 berada pada 843 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 796.50 sen sekilogram. – BERNAMA

 

https://berita.rtm.gov.my/ekonomi/senarai-berita-ekonomi/senarai-artikel/pasaran-getah-ditutup-rendah-jejaki-penurunan-niaga-hadapan-serantau

 

Sumber : Berita RTM

 

https://www.bernama.com/radio/news.php?id=2319869

 

Sumber : Bernama

KUALA LUMPUR, 10 Mei- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup stabil hari ini, didorong oleh kenaikan dalam penanda aras harga minyak mentah berikutan sentimen telah dirangsang oleh ekonomi China yang semakin baik dan keyakinan baharu mengenai pengurangan kadar faedah global, kata peniaga.

Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dikekang oleh petunjuk lemah dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) memandangkan konflik Asia Barat yang berterusan menjejaskan sentimen global.

“Kontrak niaga hadapan getah Jepun merosot pada Jumaat, dijejaskan oleh permintaan yang tidak menentu dalam keadaan ekonomi yang suram di negara-negara pembeli getah utama, walaupun harga minyak yang tinggi dan kelemahan yen yang memberikan sedikit sokongan kepada pasaran,” katanya

kepada Bernama.

Harga minyak dilaporkan meningkat dalam perdagangan Asia pada Jumaat dan diramal menyaksikan minggu yang sengit selepas petunjuk positif terhadap permintaan bagi pengimport utama China, manakala harapan kepada gencatan senjata bagi konflik Timur Tengah dirasakan tidak mungkin.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) tidak berubah pada 767.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal merosot 0.5 sen kepada 725.5 sen sekilogram.

Sementara itu, pada pukul 5.00 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal sebanyak 764.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 724.5 sen sekilogram. -BERNAMA

 

https://berita.rtm.gov.my/ekonomi/senarai-berita-ekonomi/senarai-artikel/pasaran-getah-malaysia-ditutup-stabil-didorong-kenaikan-harga-minyak

 

Sumber : Berita RTM

PASARAN getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Isnin, disokong oleh aliran meningkat di pasaran niaga hadapan getah serantau dan ringgit yang rendah berbanding dolar AS.

Seorang peniaga berkata, sentimen pasaran turut didorong oleh jualan kereta di China yang kukuh dan pengeluaran getah asli (NR) yang merosot, seperti dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

"Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dikekang oleh penurunan harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama.

Katanya, niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Isnin dengan yen rendah dan keadaan cuaca buruk di negara pengeluar utama Thailand, bagaimanapun harga minyak yang rendah dan kebimbangan mengenai geopolitik menyelubungi pengguna utama China yang mengehadkan kenaikan.

Menurut DoSM, pengeluaran NR Malaysia merosot 9.2 peratus kepada 26,966 tan pada Mac 2024 berbanding 29,691 tan pada Februari. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran NR berkurangan 0.8 peratus daripada 27,188 tan pada Mac 2023.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 5.5 sen kepada 770 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat 1.5 sen kepada 726 sen sekilogram.

Sementara itu, pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal sebanyak 770 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 726 sen sekilogram. - Bernama

 

https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/664582

 

Sumber : Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli menurun 2.0 peratus pada Februari 2024 kepada 29,691 tan metrik berbanding 30,287 tan metrik pada Januari 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan semalam Jumaat, katanya perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 9.1 peratus daripada 27,209 tan metrik pada Februari 2023.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan sama berkata pengeluaran getah asli Malaysia pada Februari 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (85.7 peratus) berbanding sektor estet (14.3 peratus).

Jumlah stok getah asli pada Februari 2024 meningkat 11.8 peratus kepada 229,719 tan metrik berbanding 205,498 tan metrik pada Januari 2024.

Katanya kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.3 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.6 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

Eksport getah asli Malaysia meningkat 27.8 peratus kepada 55,082 tan metrik pada bulan berkenaan, berbanding 43,111 tan metrik pada Januari 2024 dengan China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu 52.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Februari 2024 diikuti Jerman (8.9 peratus), Emiriah Arab Bersatu (6.0 peratus), Amerika Syarikat (AS) (4.2 peratus) dan India (3.3 peratus).

Menurut kenyataan itu, sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah menyumbang kepada prestasi eksport dengan sarung tangan getah sebagai eksport utama bernilai RM1.09 bilion pada Februari 2024, meningkat 7.0 peratus berbanding RM1.02 bilion pada Januari 2024.

DOSM berkata, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat meningkat 16.8 peratus pada Februari 2024 kepada 684.19 sen sekilogram manakala sekerap meningkat 3.7 peratus kepada 604.59 sen sekilogram.

"Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) pula meningkat antara 3.5 peratus hingga 16.6 peratus," katanya.

Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Februari 2024, pasaran getah Kuala Lumpur menyaksikan kenaikan harga GMM 20 pada paras tertinggi sejak 2017 bagi bulan Februari 2024 iaitu pada harga 773.50 sen/kg.

"Sentimen pasaran positif dirangsang oleh ringgit yang lemah berbanding dolar AS serta jangkaan bekalan getah yang terhad daripada negara pengeluar utama Thailand kerana cuaca buruk dan wabak penyakit powdery mildew (kulat)," katanya.

-- BERNAMA

 

https://www.astroawani.com/berita-bisnes/pengeluaran-getah-asli-malaysia-bagi-februari-2024-menurun-20-peratus-perangkaan-465348

 

Sumber : Astro Awani