INFO ARKIB ELEKTRONIK

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
MALAYSIA SEDIA BANTU INDIA PENUHI KEPERLUAN MINYAK SAWIT
________________________________________________________________________________

1. MALAYSIA bersedia memenuhi permintaan India untuk minyak sawit memandangkan kemungkinan bekalan tidak menentu dari Indonesia. Dalam tempoh kurang daripada setahun, pengeluar minyak sawit terbesar dunia Indonesia, telah memperkenalkan beberapa dasar tentang eksport komoditi tersebut yang mengakibatkan ketidaktentuan pasaran dan kesukaran kepada negara pengimport seperti India.


2. India adalah antara pengguna minyak sawit terbesar dunia selepas Indonesia dengan tahap penggunaan 8.7 juta tan pada 2021 dan 8 juta tan sahaja pada suku pertama 2022. Seperti yang dinyatakan oleh presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayur India (IVPA) Sudhakar Desai pada Ekspo dan Sidang Kemuncak Agricommodity Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 baru-baru ini, Malaysia telah mengekalkan dasar berkaitan perdagangan minyak sawit secara konsisten. Ini sekali gus memenuhi permintaan India semasa tempoh larangan eksport minyak sawit oleh Indonesia.


3. Sudhakar juga dipetik di dalam media menyatakan bahawa rantaian bekalan Malaysia yang stabil memainkan peranan penting dalam keselamatan minyak makan untuk permintaan India dalam dua bulan lepas. Kepercayaan India terhadap Malaysia – pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia – sebagai pembekal yang dipercayai telah diperkukuh lagi dengan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara IVPA dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di MIACES 2022 baru-baru ini.


4. Secara umumnya, MOU itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara India dan Malaysia dalam industri minyak sawit, meningkatkan kerjasama untuk mempromosikan industri minyak sawit India, bertukar maklumat berkaitan usaha kemampanan serta penyelidikan dan pembangunan setakat tanaman emas berkenaan.


5. Bagi tujuan ini, saya setuju dengan Sudhakar bahawa IVPA dan MPOC mampu menangani isu berkaitan dasar secara dinamik untuk manfaat industri di kedua-dua negara. Pada masa ini, IVPA telah menganggarkan import minyak sawit India dari Malaysia kekal stabil pada separuh kedua 2022, iaitu kira-kira 55% daripada jumlah import minyak sawit India, walaupun Indonesia telah giat mempromosikan eksport komoditi tersebut kebelakangan ini.


6. Malah, IVPA telah meramalkan lonjakan permintaan kepada 800,000 tan sebulan bagi untuk enam bulan akan datang, atau peningkatan kira-kira 20% daripada separuh pertama 2022. Optimisme India terhadap minyak sawit Malaysia adalah tanda keyakinan terhadap tanaman emas negara. Kami berharap ini akan menggalakkan lebih banyak pasaran bukan tradisional untuk mula beralih kepada minyak sawit, yang telah terbukti lebih berkhasiat dan lebih mampan berbanding dengan alternatif.


7. Dalam hal ini, KPPK akan meningkatkan usaha untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia, bukan sahaja di India tetapi di seluruh dunia, termasuk pasaran bukan tradisional selaras dengan kempen "Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit".


DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
04 OGOS 2022

SIARAN MEDIA
YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH YUSOF MEMULAKAN TUGAS SEBAGAI
TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERLADANGAN DAN
KOMODITI
_________________________________________________________

 

1. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof menyempurnakan sesi mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermulanya tugas rasmi di Kementerian Perladangan dan Komoditi, di bangunan Kementerian Perladangan dan Komoditi, Presint 2, Putrajaya pada jam 8.30 pagi, hari ini.


2. Sesi mengimbas kad perakam waktu beliau telah disaksikan bersama oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Encik Mad Zaidi bin Mohd Karli; Setiausaha Bahagian Kanan (SUBK) Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (PSA), Encik Pubadi Govindasamy dan Ketua Komunikasi Korporat, Puan Nor Ratna Sridewi binti Mokhtar.


3. YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof turut menghadiri mesyuarat kali pertama bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian. Dalam ucapannya, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof menyeru agar semua pihak terutamanya penjawat awam memainkan peranan masing-masing dalam membantu meningkatkan sektor komoditi negara. Sekaligus, merapatkan jurang pembangunan antara
Semenanjung dan Malaysia Timur.


4. Memandangkan krisis ekonomi pada tahun hadapan dijangka akan menjadi cabaran kepada negara, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof turut menekankan bahawa Kementerian Perladangan dan Komoditi ini memainkan peranan penting dan memberikan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.


5. YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 3 Disember 2022 lalu semasa Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia bagi barisan Kabinet negara yang
baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.


6. Beliau berasal dari Sarawak dan merupakan Ahli Parlimen bagi kawasan P.194 Petrajaya selama empat penggal berturut-turut sejak tahun 2004. YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof merupakan mantan Menteri Kanan Kerja Raya semasa Kabinet terdahulu.


7. Seluruh warga Kementerian Perladangan dan Komoditi mengalu-alukan kedatangan YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
05 DISEMBER 2022

JATA LATES
KENYATAAN MEDIA
PENINGKATAN HARGA MINYAK SAWIT MENTAH (MSM) DI PARAS TERTINGGI MEMBERI KEUNTUNGAN BUAT PEKEBUN KECIL SELURUH NEGARA


1. Peningkatan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) selama dua hari berturut-turut di paras RM5,750 setiap tan pada 3 dan 4 Februari 2022 pastinya memberi khabar gembira dan keuntungan kepada hampir 400,000 pekebun kecil di seluruh negara memandangkan ia merupakan harga tertinggi dalam sejarah industri sawit negara.

2. Peningkatan ini adalah bukti komitmen Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui agensi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bersama Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dalam membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif dan dasar Kerajaan.

3. KPPK akan terus berusaha memperluaskan pasaran minyak sawit Malaysia ke pasaran luar negara khususnya di Asia Barat seperti di Turki dan Arab Saudi memandangkan terdapat peningkatan eksport minyak sawit Malaysia ke Turki dengan jumlah 703,588 tan pada 2021 dan komitmen Arab Saudi untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia kepada 500,000 tan dengan nilai dianggarkan mencecah RM1.5 bilion tahun ini.

4. Baru-baru ini juga, menerusi lawatan saya dan delegasi KPPK ke Arab Saudi, beberapa memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani dengan beberapa syarikat antaranya Savola Group, yang merupakan pengimport dan pengedar minyak makan terbesar di Arab Saudi.

5. Bahkan, KPPK turut menjalinkan tiga bidang kerjasama termasuk pembinaan terminal penyimpanan tangki di Jeddah, menjadikan Arab Saudi sebagai hab eksport semula minyak sawit Malaysia dan kempen bersama bagi mempromosikan kebaikan minyak sawit Malaysia ke negara berkenaan dan dunia. Saya yakin industri sawit negara akan terus berkembang maju dengan usaha berterusan Kementerian ini.

6. Walaupun pada ketika ini terdapat sekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit Malaysia, KPPK akan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan lain.

7. Sekali lagi, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan Kementerian dalam usaha menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara-negara barat yang dengan jelas bertujuan untuk menjatuhkan industri minyak sawit negara. Kita perlu memastikan industri sawit negara akan terus menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
5 FEBRUARI 2022



KEMENTERIAN PERUSAHAAN
PERLADANGAN DAN KOMODITI

KENYATAAN MEDIA

LAWATAN KERJA YB TUAN WILLIE MONGIN, TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI KE KOTA SAMARAHAN, SARAWAK BAGI MENINJAU KEMAJUAN PEMBANGUNAN INDUSTRI KOKO

 

1. Pada hari ini, 5 Jun 2020, YB Tuan Willie Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah melawat Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Lembaga Koko Malaysia di Kota Samarahan, Kuching, Sarawak bagi meninjau perkembangan dan kemajuan terkini pembangunan kompleks SARA Cocoa Cluster.

2. SARA Cocoa Cluster merupakan kawasan penanaman koko yang tertumpu di Sebuyau, Asajaya, Kota Samarahan dan Padawan yang turut melibatkan kawasan parlimen Puncak Borneo. SARA Cocoa Cluster ini dicadangkan untuk diperluaskan lagi sehingga merangkumi kawasan Tebedu dan Serian. Di negeri Sarawak, keluasan tanaman koko adalah seluas 860 hektar dengan seramai 1,138 orang pekebun kecil koko.

3. Program Pembangunan Rantaian Cocoa Cluster merupakan game changer di peringkat huluan koko yang telah dirangka oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan dilaksanakan mengikut konsep Farm to Table iaitu model beans to chocolate.

4. Melalui pelaksanaan program ini, pengeluaran biji koko dan pendapatan pengusaha-pengusaha koko serta komuniti setempat dapat ditingkatkan. Pekebun kecil koko pula diberi bantuan subsidi bagi tanaman baru yang berpotensi untuk dimajukan. Selain itu, bantuan turut diberikan kepada pekebun kecil yang hendak meluaskan kebun atau menggantikan kebun yang tidak lagi ekonomik untuk diselenggarakan. Sebanyak RM12.8 juta telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi tujuan ini.

5. Di bawah Pakej Rangsangan PRE PRIHATIN 2020, Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM2.69 juta bagi 3,895 hektar kebun koko dalam bentuk bantuan input pertanian kepada 4,943 pekebun kecil koko yang layak. Pemberian bantuan ini diharap dapat membantu pekebun kecil koko yang terkesan akibat penularan wabak COVID 19 bagi tujuan penyelenggaraan kebun.

6. Kementerian melalui Lembaga Koko Malaysia akan terus membantu pekebun kecil koko dan melaksanakan program-program bersesuaian untuk meningkatkan kemajuan industri koko. Adalah diharapkan agar usaha ini dapat membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil koko dan seterusnya pembangunan industri koko negara.

 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
6 Jun 2020

 Jata

PEJABAT MENTERI


KENYATAAN MEDIA
PEMAKLUMAN PELANTIKAN PENGERUSI MPOB DAN LGM

1. Adalah dimaklumkan bahawa YB Dato' Ahmad Nazlan Idris telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) berkuat kuasa 15 April 2021 menggantikan YB Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang telah meletakkan jawatan.

2. Bagaimanapun berikutan kenyataan media YB Dato' Ahmad Nazlan yang menolak jawatan pelantikan sebagai Pengerusi MPOB, calon baharu bagi jawatan tersebut akan ditentukan semula oleh YB Menteri. Justeru, bagi melancarkan pentadbiran dan pengurusan, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Mad Zaidi Mohd Karli dilantik sebagai Pengerusi Interim Lembaga Pengarah MPOB untuk terus mengelola Lembaga itu.

3. Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa perkhidmatan YB Dato’ Ahmad Nazlan sebagai Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah ditamatkan pada 14 April 2021 dan YM Raja Dato Idris Raja Kamaruddin dilantik menjadi Pengerusi LGM berkuat kuasa pada 15 April 2021.

4. Sebagai tokoh korporat, antara mandat utama yang diamanahkan oleh Menteri kepada YM Raja Dato Idris ialah menyusun kembali hala tuju hartanah yang dimiliki oleh LGM, menyelesaikan isu berbangkit melibatkan lima fasiliti di Sungai Buloh yang masih tergendala sejak beberapa tahun yang lalu dan pelan strategik baru LGM serta LGM Properties Corporation (LGMPC) sebagai anak syarikat yang menguruskan hartanah termasuk ladang-ladang milik LGM.

5. Selaku tokoh korporat yang pernah mengetuai Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan TDM Berhad, anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, diharapkan pelantikan beliau bakal membawa LGM ke mercu tanda pengurusan yang lebih baik dan profesional, berintegriti serta telus berasaskan konsep tadbir urus Rabbani yang ditekankan oleh YB Menteri kepada semua Pengurusan Tertinggi KPPK serta agensi dibawahnya.

YB DATO' DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
5 JUN 2021