INFO ARKIB ELEKTRONIK

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
SISA ISIRUNG SAWIT SEBAGAI MAKANAN HAIWAN MEMBANTU
MENGAWAL HARGA DAN MENSTABILKAN BEKALAN AYAM DALAM
NEGARA
_____________________________________________________________


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meningkatkan usaha mempromosikan penggunaan sisa isirung sawit sebagai makanan haiwan bagi memastikan Malaysia mempunyai bekalan ayam yang mampan dalam jangka panjang. Antara punca harga ayam naik adalah disebabkan harga makanan ayam yang tinggi. Telah dilaporkan bahawa harga makanan ayam telah meningkat daripada RM500 setan kepada RM1,900 setan dalam beberapa kes.


2. Disebabkan ini, ayam kurang diberi makan, menyebabkan ternakan membesar dengan lebih perlahan daripada biasa, dan seterusnya memberi kesan terhadap bekalan ayam. Buat masa ini Malaysia mengimport sebahagian besar makanan ayam, dan kebanyakannya diperbuat daripada bijirin seperti jagung dan kacang soya. Sumber ini menghadapi kekurangan di seluruh dunia akibat perang di Ukraine dan keadaan cuaca yang tidak menentu.


3. Ladang kelapa sawit Malaysia menghasilkan bekalan sisa isirung sawit yang banyak. Kajian menunjukkan bahawa memberi makan kek isirong sawit (PKC) yang ditapai dan lemak pemakanan yang tinggi kepada ayam pedaging, boleh menggantikan makanan import yang digunakan oleh hampir semua ladang ayam komersial hari ini. KPPK juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan lain untuk mengkaji semula dasar eksport PKC yang akan lebih memihak kepada ayam pedaging tempatan. Pada masa ini, PKC dieksport untuk industri lembu Eropah.


4. Kementerian juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Kerajaan Negeri untuk melihat dengan segera bagaimana ketersediaan sisa isirong sawit sebagai makanan haiwan untuk industri ayam Malaysia dapat dilakukan dengan segera.


5. Selain itu, KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan institut penyelidikan seperti universiti awam untuk melihat cara meningkatkan kualiti PKC bagi menjadikannya pilihan utama penternak ayam. Ini termasuk kajian untuk mengurangkan kandungan serat dalam PKC.


6. Dengan semangat Keluarga Malaysia, KPPK akan terus komited untuk memainkan peranan dalam membantu mengurangkan pergantungan Malaysia kepada makanan ternakan yang diimport. Kementerian akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan memastikan sektor komoditi terus menyumbang secara konsisten kepada pembangunan ekonomi negara.

YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
31 MEI 2022

KENYATAAN MEDIA

CADANGAN INISIATIF BELANJAWAN 2021 BAGI SEKTOR PERLADANGAN DAN KOMODITI


1. Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan bagi sektor perladangan dan komoditi dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta menyediakan peluang pekerjaan melalui inisiatif yang bakal dilaksanakan. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memberi tumpuan kepada empat fokus utama seperti mana digariskan oleh Kementerian Kewangan iaitu memperkukuh kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, mengupaya kehidupan lestari dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.

2. Antara inisiatif utama yang dicadangkan oleh KPPK adalah memperkenalkan semula skim Geran Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS-G). Namun, skim tersebut jika diluluskan akan dihadkan kepada pekebun kecil dalam kalangan B40 dengan saiz pemilikan tanah di bawah 3.5 hektar. Dengan pemberian geran TSPKS-G, pendapatan pekebun kecil persendirian dijangka meningkat dengan hasil pengeluaran lebih tinggi menggunakan anak benih berkualiti untuk menggantikan pokok sawit berumur melebihi 25 tahun yang tidak lagi produktif.

3. Bagi meneruskan kesinambungan jaminan bekalan bahan mentah kepada sektor perkayuan, KPPK turut mencadangkan agar Dana Pusingan (Revolving Fund) bagi Program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) diperkenalkan. Pendekatan baru ini adalah merupakan penambahbaikan kepada PPLH yang telah dilaksanakan di negara ini sejak 2007. Melalui pemberian dana pusingan, bekalan bahan mentah untuk masa hadapan sektor perkayuan adalah terjamin. Ia penting agar sumbangan kepada pendapatan ekport negara daripada sektor ini iaitu antara RM22 bilion hingga RM23 bilion setiap tahun dapat dikekalkan atau ditingkatkan.

4. KPPK amat prihatin dengan cabaran yang diharungi oleh pekebun kecil getah dalam meneruskan kelangsungan hidup terutama mereka yang memerlukan. Oleh itu, kementerian telah mengemukakan cadangan Inisiatif Pembangunan Koridor Lateks Wilayah Timur di Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi meningkatkan pengeluaran lateks negara. Inisiatif ini akan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui harga premium yang bakal dinikmati berbanding harga getah cumplump. Selain itu, KPPK turut berharap agar skim penstabilan pendapatan pekebun kecil menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dapat diteruskan. KPPK turut mengesyorkan pembangunan secara agresif bagi industri coklat negara melalui penubuhan Hab Coklat di Langkawi dan Pusat Perdagangan Koko di tiga pelabuhan utama di Malaysia.

5. Kementerian berharap Belanjawan 2021 dapat dizahirkan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran industri agrikomoditi yang merupakan teras kepada pembangunan ekonomi negara.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya

4 November 2020

 

KENYATAAN MEDIA

HOSPITAL SELAYANG TERIMA SUMBANGAN MESIN VENTILATOR DAN KIT UJIAN (TEST KIT) COVID-19 BERNILAI RM334,000

 

1. Sektor perladangan dan industri sawit negara sentiasa prihatin dengan usaha kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan wabak pendamik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini.

2. Sebagai tanda sokongan berterusan dan meringankan beban kerajaan, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini menyumbangkan dua unit ICU Ventilator model Elisa bernilai RM240,000 dan Kit Ujian (Test-Kit) COVID-19 sebanyak 2,000 set menjadikan jumlah nilai keseluruhan sumbangan adalah RM334,000.

3. Sumbangan berkenaan disampaikan oleh YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dengan disaksikan oleh Datuk Mohamad Nageeb Ahmad Abdul Wahab, Ketua Eksekutif MPOA kepada Pengarah Hospital Selayang, Dr. Sakinah Alwi.

4. Untuk rekod, MPOA sebelum ini telah menubuhkan Tabung COVID-19 pada peringkat awal penularan wabak berkenaan dalam usaha untuk menyalurkan sumbangan bagi membantu dan menyokong usaha kerajaan serta KKM daripada sektor perladangan dan industri sawit negara.

5. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), MPOA telah menyalurkan beberapa sumbangan berupa peralatan perubatan seperti Ventilator, Kit Ujian COVID-19, sanitasi tangan, pelitup muka, barangan kesihatan dan beg makanan kepada KPPK selain beberapa buah hospital di bawah KKM seperti Hospital Kuala Lumpur (10 April 2020) dan Hospital Serdang (26 Mac 2020) yang kesemuanya bernilai RM5.16 juta.

6. Dengan sumbangan berkenaan, KPPK dan MPOA berharap ia dapat membantu pihak hospital dalam membendung dan merawat pesakit COVID-19 di negara ini.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Selayang, Selangor
4 Ogos 2020

 

 

KENYATAAN MEDIA

 MEMPERKASAKAN INDUSTRI GETAH DAN PENGGALAKAN RAKYAT MALAYSIA BEKERJA DI SEKTOR HILIRAN GETAH

 

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dengan keadaan ekonomi rakyat dan negara akibat penularan wabak COVID-19.

2. Sebagai usaha mengembalikan kerancakan ekonomi negara, KPPK yakin eksport sarung tangan getah berpotensi besar untuk terus berkembang sehingga 25 peratus mengambil kira situasi semasa COVID-19 yang melanda dunia. Malaysia yang menguasai 65 peratus pasaran sarung tangan getah dunia dijangka akan terus kekal sebagai pengeluar utama berikutan lonjakan permintaan terhadap sarung tangan getah perubatan.

3. Dalam pada itu, selaras dengan tanggungjawab mempromosi barangan getah negara di pasaran domestik dan global, Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), iaitu agensi di bawah KPPK, akan dijenamakan semula sebagai Majlis Getah Malaysia (MRC). Ia mencerminkan peranan agensi yang lebih luas dalam pembangunan industri hiliran berasaskan getah, modal insan dan adaptasi teknologi termaju serta promosi pelaburan industri getah negara.

4. Sejajar dengan dasar baharu Kerajaan yang mengutamakan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, MRC akan menubuhkan dana khas berjumlah RM36 juta bagi menggalakkan industri hiliran terutamanya sektor pengeluaran sarung tangan getah untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan.

5. Dana berkenaan menyasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 10,000 pekerja tempatan dalam lebih daripada 200 buah syarikat di sektor industri getah. Dana khas terbabit, akan dibuka kepada syarikat pembuatan berasaskan getah untuk menggiatkan lagi mengupah pekerja tempatan mulai Ogos 2020 sehingga Disember 2021.

6. Kementerian terus komited dalam memperkasakan industri getah negara dan memastikan industri ini terus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

 

YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Kuala Lumpur
4 Ogos 2020

 

 

 

 

 

 

 

 

2

JATA LATES

SIARAN MEDIA
SESI LIBAT URUS BERSAMA SARAWAK TIMBER ASSOCIATION
(STA) BERKAITAN KERUGIAN TERKUMPUL PERNIAGAAN MELEBIHI
10 TAHUN


1. YB Datuk Willie Anak Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hari ini telah mengadakan sesi libat urus dengan Sarawak Timber Association (STA) bagi membincangkan isu berkaitan kerugian terkumpul perniagaan yang tidak dibenarkan untuk dibawa ke hadapan bagi tempoh melebihi 10 tahun.


2. STA melalui Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah mengemukakan rayuan kepada Kerajaan berhubung kegusaran industri akan keputusan Kerajaan hanya membenarkan kerugian perniagaan terkumpul yang dibenarkan untuk digunakan sebagai elemen pengurangan cukai pendapatan korporat sehingga tempoh 10 tahun sahaja. Sehubungan dengan itu, sesi libat urus ini diadakan bagi mendapatkan pandangan daripada pihak industri perkayuan Sarawak yang diwakili oleh STA yang dibincangkan bersama wakil Kementerian Kewangan (MoF), Lembaga Perindustrian Kayu Negara (MTIB) dan Malaysian Timber Council (MTC).

3. MoF telah meneliti semula dasar dan memanjangkan tempoh sekatan tersebut daripada 7 tahun kepada 10 tahun dalam pengumuman Bajet 2022 bagi semua industri. Pada masa yang sama, MoF juga telah mengumumkan bahawa kajian terperinci akan dijalankan bagi sektor/industri yang bersifat menunggu hasil jangka panjang (longgestation period) seperti perladangan hutan, pembalakan, pertanian, komoditi serta projek infrastruktur berskala besar seperti stesen jana kuasa dan lebuh raya.


4. Aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) adalah untuk memodenkan industri perkayuan negara ke arah peningkatan daya tahan sektor berkenaan. Sasaran nilai pasaran eksport bagi kayu dan produk kayu pada tahun 2030 adalah sebanyak RM32.8 bilion iaitu 70% eksport adalah terdiri daripada produk hiliran. Pada tahun 2021, industri perkayuan merupakan penyumbang ketiga tertinggi bagi sektor agrikomoditi negara dengan nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM22.74 bilion. Sarawak telah menyumbangkan sebanyak RM3.53 bilion atau 15% dan eksport utama adalah papan lapis, balak serta papan gentian.


5. Kementerian melalui MTIB, MTC dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) sentiasa komited untuk memberikan khidmat nasihat dalam industri perkayuan negara. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Sarawak telah bekerjasama dengan MTCC untuk mempromosikan dan memperkukuhkan pelaksanaan pensijilan kayu dan produk kayu bagi meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa menerusi Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf oleh Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC).

6. Kementerian positif bahawa kerjasama berterusan bersama pemegang taruh di Sarawak dapat meningkatkan lagi daya saing industri perkayuan negara dalam mendepani keperluan dan permintaan pasaran antarabangsa. Seterusnya, kerjasama ini akan menyumbang kepada kemampanan industri perkayuan negara serta kemakmuran bersama.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
4 OGOS 2022