INFO ARKIB ELEKTRONIK

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
HARGA PASARAN MINYAK SAWIT MENTAH DIJANGKA MELEMAH SEMENTARA,
KPPK FOKUS KEPADA KEMAMPANAN JANGKA PANJANG


1. Harga minyak sawit Malaysia yang melemah kebelakangan ini sememangnya sudah dijangkakan memandangkan harga pasaran saham dunia juga telah menyusut, susulan kenaikan kadar faedah didorong situasi inflasi yang menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh mencetuskan kegawatan ekonomi.


2. Walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) tidak lagi berada di kemuncaknya yang mencecah lebih RM8,000 satu tan metrik (MT) pada Mac 2022 berikutan konflik Rusia-Ukraine menjejaskan bekalan minyak bunga matahari, Kenanga Research menjangkakan harga MSM sebagai 'masih baik' pada purata RM4,50O MT pada 2022 dan RM4,000 MT pada 2023.


3. Sektor perladangan sawit juga dibebani kos pengeluaran yang melonjak disebabkan peningkatan harga baja, upah buruh dan perbelanjaan pengangkutan, namun keseluruhannya, semua kos berkaitan dijangka berada dalam lingkungan RM2,000 hingga RM2,500 setiap MT, sekali gus masih mampu menjana margin huluan yang sihat bagi sektor perladangan ini.


4. Ketika ini, kedua-dua minyak sawit (dengan sekitar 35% penguasaan pasaran) dan minyak kacang soya (sekitar 25% penguasaan pasaran), kekal sebagai minyak makan utama di pasaran dunia walaupun pengeluaran minyak sawit sudah melepasi tahap kemuncaknya, manakala pengeluaran kacang soya Amerika Syarikat bagi musim 2022 pula baru bermula.


5. Dalam aspek ini, peladang sawit - sama ada syarikat besar atau pekebun kecil - mesti mempunyai keyakinan terhadap tanaman 'emas' ini memandangkan permintaan terhadap minyak makan masih mencatatkan pertumbuhan setara selama berdekad, disokong pula dengan pertambahan populasi penduduk dunia, faktor kemewahan - dan sehingga takat tertentu - perubahan gaya hidup manusia kepada gaya hidup yang lebih moden.


6. Secara purata, penggunaan minyak sawit tumbuh 3% dari tahun ke tahun atau 'yearon-year (y-o-y)’ sepanjang dekad terbaharu, manakala purata penggunaannya sepanjang 30 tahun pula lebih tinggi, iaitu pada 3.6%, menurut laporan Kenanga Research bertarikh 28 September 2022 yang turut mengulangi penarafan 'overweight' terhadap sektor ini.


PROSPEK JANGKA PANJANG YANG UTUH


7. Pandemik COVID-19 sememangnya memberi impak negatif kepada aktiviti ekonomi, terutama sektor hospitaliti, pengangkutan dan pelancongan, sekali gus menyebabkan permintaan terhadap minyak sawit menyusut kepada sekitar 1% y-oy sejak 2020.


8. Bagaimanapun, laporan pasaran menjangkakan permintaan kembali mencatatkan pertumbuhan 3% berikutan ekonomi dunia pasca pandemik kini mula dibuka kembali dari semasa ke semasa.


9. Walaupun timbul kebimbangan permintaan menguncup atau menurun lebih teruk berikutan ekonomi global yang perlahan dan pada masa sama dunia dibelenggu inflasi, kenaikan kadar faedah serta kerisauan terhadap kegawatan, semua itu dijangka sementara kerana China, iaitu pengguna utama minyak sawit dijangka melonggarkan secara berperingkat dasar sifar COVID-19 dilaksanakannya selama ini yang turut menjejaskan penggunaan dan permintaan terhadap komoditi berkenaan.


10.Umum sedia maklum, produk makanan serta bahan api adalah barangan keperluan asas yang mendapat permintaan utama dan ia adalah bahan yang pasti habis digunakan. Selain itu, Indonesia - pengeluar minyak sawit dan biodiesel terbesar - sudah melaksanakan semula ujian penggunaan biodiesel B40 sejak penghujung Julai lalu selepas tertangguh selama lima bulan. Indonesia ketika ini menggunakan biodiesel B30 campuran (blend) dengan perancangan selepas ini adalah menggunakan B40 campuran (mix), sama ada dalam tahun ini atau 2023.


11.Sesuatu yang sangat menggalakkan adalah sektor perladangan Malaysia kini sudah berkembang dengan penggiat-penggiat industri sudah menerima pakai prinsip tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) dalam operasi harian mereka.


12.Sebagai bukti, kira-kira 16 juta MT minyak sawit Malaysia sudah mendapat penarafan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), selain memenuhi beberapa standard tinggi ESG bagi hasil ladang yang dikeluarkan di seluruh dunia.


13.Sebagaimana hasil kajian Kenanga Research, kumpulan-kumpulan perladangan yang diurus tadbir dengan baik turut mengambil inisiatif sendiri dan tidak berdiam diri, dengan berusaha mendapatkan hasil minyak sawit yang lebih tinggi mencecah sehingga 6 MT per hektar atau kira-kira 10 kali ganda lebih tinggi berbanding hasil tanaman minyak makan yang lain.


14.Dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober nanti, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyarankan anjakan asas dalam strategi dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan intensif, didorong oleh hasil dan pelaburan sejajar dengan penekanan terhadap aspek kemampanan oleh negara-negara pengeluar utama dan pasaran pengguna yang semakin meningkat.


15.Sebagai tambahan, KPPK juga sudah melancarkan kempen 'Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit' demi menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai kualiti minyak sawit Malaysia, selain membidas tuduhan palsu  dan maklumat tidak tepat yang dilemparkan pihak tertentu terhadap minyak 'emas' negara.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
3 OKTOBER 2022

JATA LATES

SIARAN MEDIA
KERAJAAN KOMITED TERUS BANTU PEKEBUN KECIL MELALUI KOPERASI
PENANAMAN SAWIT MAMPAN (KPSM) DAN PENSIJILAN MINYAK SAWIT MAMPAN
MALAYSIA (MSPO)


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin telah merasmikan Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan Kimanis Berhad, Sabah hari ini.

2. Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) ditubuhkan sebagai langkah strategik Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi menjamin keterlibatan pekebun kecil dalam model ekonomi baharu yang memberi tumpuan kepada pengendalian koperasi serta industri kecil dan sederhana. KPSM menjalankan perniagaan yang memberi kesan langsung kepada peningkatan pendapatan ahli seperti jualan buah tandan segar (BTS) berkelompok dan pembelian input secara pukal selain boleh terbabit dalam perniagaan lain untuk
memperkukuh status kewangan koperasi yang kemudian diagih sebagai dividen kepada ahli.


3. Kerajaan melalui KPPK telah memperkenalkan geran bagi pembinaan pusat timbang sebanyak RM200,000 bagi sebuah koperasi sebagai modal untuk menampung kos penyediaan tapak, pembinaan platfom dan pembelian jambatan timbang oleh KPSM.


4. Kerajaan juga memperkenalkan Skim Pembiayaan Mudah Tanpa Faedah untuk disalurkan kepada KPSM terpilih dengan kadar RM200,000 bagi setiap koperasi untuk meningkatkan keupayaan KPSM terutama dalam pembelian secara bayaran tunai BTS yang dibekalkan oleh pekebun kecil. Sehingga Februari 2022, sebanyak 16 buah KPSM telah menikmati kemudahan ini. Skim Pembelian Jentera dalam bentuk geran padanan dengan peruntukan berjumlah RM20 juta turut disediakan bagi membolehkan KPSM membeli jentera sendiri bagi kelancaran operasi.


5. Sehingga Julai 2022, sebanyak 69 buah KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 24 di Semenanjung, 27 di Sabah dan 18 KPSM di Sarawak. Sebanyak 66 buah buah pusat timbang KPSM telah siap dibina sepenuhnya dan telah melaksanakan jualan kelompok BTS terus ke kilang dengan jumlah sebanyak 149,241 tan. Di Sabah, sebanyak 25 buah KPSM telah menjalankan urus niaga BTS berjumlah 222,389.32 tan, sekali gus memberi manfaat kepada 2,415 orang pekebun kecil yang menjadi ahli.


6. KPSM Kimanis Berhad telah ditubuhkan pada 15 Julai 2020 dengan keahlian berjumlah 56 orang setakat Julai 2022. Pusat Timbang KPSM Kimanis yang baru siap telah memulakan jualan BTS pada Jun 2022. Penubuhan KPSM di negara ini telah bermula sejak tahun 2010 mengikut Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di mana pelbagai bantuan oleh Kerajaan telah disalurkan bagi meningkatkan aktiviti dan sumbangan koperasi untuk pembangunan pekebun kecil sawit.


7. Kerajaan komited membantu pekebun kecil mendapat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi pengeluaran minyak sawit secara lestari dan peningkatan produktiviti BTS. Selain itu terdapat bantuan dalam bentuk yuran Pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO dan penyediaan peralatan perlindungan keselamatan diri (PPE). Sehingga Julai 2022, keluasan tanaman sawit pekebun kecil persendirian yang telah dipersijilkan MSPO adalah 637,564.89 hektar dengan penglibatan seramai 180,072 orang pekebun kecil.


8. Di Sabah, 29 Kelompok Minyak Sawit Mampan atau Sustainable Palm Oil Cluster (SPOC) telah dipersijilkan MSPO, melibatkan 26,464 orang pekebun kecil dengan keluasan tanaman sawit berjumlah 167,660 hektar. Bagi SPOC S5 yang merangkumi kawasan Kimanis, Papar dan Penampang, seramai 138 orang pekebun kecil telah memperoleh sijil MSPO dengan keluasan berjumlah 1,330 hektar.


9. KPPK sentiasa berusaha mempergiat pembangunan pekebun kecil tanaman sawit di negara ini, justeru pelaksanaan MSPO merupakan inisiatif tepat bagi mempertingkat mutu pengurusan penanaman kelapa sawit menerusi amalan pertanian terbaik bagi meningkatkan stardard minyak sawit Malaysia di peringkat antarabangsa.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
03 SEPTEMBER 2022


KENYATAAN MEDIA

USAHA BERTERUSAN MEMASARKAN PRODUK SAWIT MALAYSIA

 

1. Pada hari ini, 30 April 2020, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai Prestasi Eksport Sawit serta usaha berterusan Kementerian dalam memasarkan minyak dan produk sawit Malaysia.

2. Prestasi keseluruhan eksport produk sawit sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020, telah mencatatkan penurunan signifikan sebanyak 34.8 peratus atau 793,257 tan kepada 1,486,521 tan berbanding 2,279,778 tan bagi tempoh yang sama tahun 2019. Eksport minyak sawit (minyak sawit mentah dan minyak sawit proses) telah menurun sebanyak 41.7 peratus atau 636,847 tan kepada 890,331 tan berbanding 1,527,178 juta tan bagi tempoh yang sama.

3. Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar sawit dunia selepas Indonesia dengan pasaran minyak sawit di lebih 160 buah negara. KPPK melalui agensinya, terutama MPOB dan MPOC akan meneruskan usaha menempatkan minyak sawit Malaysia sebagai ‘solution provider’ bagi industri makanan dan bukan makanan.

4. Selain pasaran sedia ada yang akan terus diperkukuhkan terutamanya di India, China dan Kesatuan Eropah, KPPK telah mengenalpasti pasaran baharu yang berpotensi dibangunkan melalui pelaburan langsung atau pelaburan secara usaha sama. Di antara negara yang berpotensi adalah dari rantau Asia Pasifik (Filipina, Vietnam dan Myanmar), Timur Tengah (Mesir, Arab Saudi dan Jordan), negara rantau Afrika (Djibouti, Ethiopia, Somalia dan Mozambique) serta dari Asia Tengah (Afghanistan, Uzbekistan dan Kazakhstan). Anggaran pasaran bagi rantau ini adalah sebanyak 2 juta tan setahun.

5. Sebilangan besar negara yang dinyatakan di atas telah menunjukkan minat berkaitan aspek pembekalan atau terlibat dalam pengembangan serta pembuatan industri minyak dan lelemak menggunakan minyak sawit Malaysia. Perkembangan ini menunjukkan keyakinan negara-negara tersebut terhadap kualiti minyak sawit Malaysia. Ia juga membuktikan kelebihan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit dan boleh dipercayai sebagai rakan kerjasama dalam membangunkan industri minyak sawit dan lelemak berasaskan sawit di negara mereka.

6. KPPK akan meningkatkan usaha penerokaan pasaran baharu melalui pelbagai strategi yang bersesuaian dengan negara berkenaan. Malaysia juga bersedia untuk melaksanakan urusan berkongsi kepakaran dan kemahiran melalui misi perdagangan, penganjuran seminar berkaitan isu teknikal dan ekonomi, pelaksanaan program pengenalan industri sawit Malaysia serta berkongsi tadbir urus industri sawit.

 

YB DATO DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
30 April 2020

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

KEBENARAN PENGOPERASIAN SEKTOR PERHUTANAN DAN PERKAYUAN KEKALKAN BEKALAN BAHAN MENTAH

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil maklum dan amat menghargai keputusan Kerajaan membenarkan sektor perhutanan dan perkayuan serta rantaian melibatkan pembalakan bersama lain-lain beroperasi seperti biasa berkuat kuasa hari ini yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media kelmarin.

2. Kebenaran ini akan memberi kelegaan kepada industri perkayuan terutamanya sektor perabot di seluruh negara. Ia turut memberi manfaat kepada mangsa-mangsa banjir bagi memperoleh bekalan perabot mereka yang musnah akibat bencana berkenaan baru-baru ini. Sebagai makluman, sektor perabot dianggarkan menggunakan 85 peratus bahan mentah tempatan untuk menghasilkan perabot. Selain itu, kebenaran ini juga membolehkan sektor perkayuan untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

3. Memandangkan sektor perhutanan dan pembalakan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, KPPK ingin merakamkan ucapan penghargaan di atas kerjasama untuk memproses kebenaran beroperasi sektor tersebut. Ini akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi kepada sektor perkayuan di peringkat pemprosesan serta penghasilan produk primer dan hiliran.

4. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa semua pihak terbabit mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat sebagaimana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan kebenaran ini ditarik balik. Selain itu, pihak industri perlu memastikan segala peraturan dan undang-undang Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dipenuhi. Ia melibatkan penyediaan kemudahan kediaman bagi pekerja supaya dapat menyokong usaha Kerajaan mengurangkan penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja.

5. Harapan KPPK ialah sektor perkayuan dapat terus menyumbang kepada ekonomi negara walaupun dalam situasi yang sukar ketika ini demi kemakmuran pembangunan negara. Perdagangan sektor perkayuan bagi tempoh Januari hingga November 2020 masih menunjukkan prestasi yang baik dengan nilai eksport berjumlah RM19.8 bilion meskipun berhadapan dengan pandemik COVID-19.

YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
30 Januari 2021

Jata

KENYATAAN MEDIA
PENGHASILAN FIBER BULUH PEMANGKIN PROGRAM PERTANIAN
KOMUNITI BULUH 2021-2025


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, YB Dato’ Dr. Mohd Khairudin Aman Razali hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Industri Buluh Kebangsaan anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Majlis Pecah Tanah Ladang Buluh


2. Buluh merupakan tumbuhan yang sinonim dengan masyarakat Malaysia dengan produk kraftangan dan kegunaan harian. Inisiatif para penyelidik Pusat Penyelidikan Buluh (BambooRC) di bawah FTK telah menghasilkan inovasi baharu produk buluh  berasaskan serat (fiber). Kepelbagaian aplikasi produk daripada serat mampu membuka peluang baharu kepada sumber alternatif komoditi di Malaysia.


3. Melalui kerjasama UTHM dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), sebanyak 13 spesies buluh komersial telah dikaji dalam penentuan keboleh pemprosesan serat daripadanya. Dianggarkan kira-kira lima tan serat pelbagai fungsi mampu diekstrak keluar daripada ladang buluh seluas satu hektar.


4. Memandangkan kepada potensi tanaman komoditi ini yang tinggi, buluh telah diluluskan sebagai salah satu spesies di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi kawasan 4 hektar dan ke atas. Sehubungan itu juga, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MTIB memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk pelaksanaan Program Komuniti Agrikomoditi Buluh. Program ini akan dilaksanakan untuk tempoh lima tahun iaitu bermula pada tahun ini sehingga 2025.


5. Penekanan kepada aspek penyelidikan dan pembangunan produk hiliran serat adalah amat penting bagi menjamin kelestarian keluaran ladang kerana hasil produk akhir ini, mampu memberi pulangan ekonomi yang lebih tinggi berbanding serat mentah (crude fiber). Hasil usaha UTHM ini memungkinkan institusi ini mampu menjadi salah satu pusat pemprosesan serat terbaik di negara ini.


6. Selain MTIB, sebuah lagi agensi di bawah KPPK iaitu Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) turut menawarkan perkongsian pengalaman dan khidmat nasihat bagi merancakkan lagi perkembangan pusat ini selain jaringan kerjasama strategik bersama institusi penyelidikan dan pemain industri buluh tempatan. Penganjuran Persidangan Industri Buluh Kebangsaan yang bertemakan ‘Memperkasa Teknologi dan Inovasi Buluh Negara’ membuktikan bahawa hubungan kepakaran telah terbentuk antara UTHM dengan pemegang taruh industribuluh negara khususnya Kementerian.


7. Selaras dengan objektif persidangan, rancangan lima tahun pelan strategik pembangunan ekosistem pengeluaran serat buluh bagi universiti berkenaan bermula dari sektor perladangan buluh seluas hampir 1 hektar, sehingga penghasilan produk hiliran daripada aplikasi serat buluh seperti penebat bunyi dan haba, penapisan, produk lanskap, bahan binaan bangunan,geotextile dan produk tekstil.


8. Kementerian bersama agensi-agensi seperti MTIB dan LKTN akan terus memberi galakan dan insentif kepada industri dan universiti terutama UTHM untuk terus maju kehadapan sehingga sasaran menjadikan serat buluh sebagai sumber alternatif komoditi di Malaysia tercapai.


YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Pagoh, Johor
30 Mac 2021