INDUSTRI BULUH NEGARA MASUKI FASA BAHARU, TRANSFORMASI KOMODITI MAMPU TINGKATKAN UNJURAN EKONOMI
1. Industri buluh negara memasuki fasa baharu dengan termeterainya Memorandum Perjanjian (MoA) antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd (BJA) dan Golden Pharos Berhad bagi pembangunan Manual Aplikasi Buluh dalam industri pembinaan di Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini. Pemeteraian MoA berkenaan disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
2. Pada majlis menandatangani MoA itu, Ketua Pengarah MTIB, Mohd Kheiruddin Mohd Rani mewakili agensi itu manakala BJA diwakili Pengarah Urusannya, Anum Nazahah Ahmad Mazlan dan Golden Pharos diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak. Manual itu akan menjadi rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin mendirikan bangunan menggunakan buluh sebagai komponen struktur.
3. Kedua-dua pemimpin berkenaan turut menyempurnakan program Seminar Aplikasi Buluh dalam Industri Pembinaan anjuran MTIB itu. Rakyat kini semakin cakna dengan perkembangan komoditi negara dan seiring bersama YB Menteri khususnya dalam usaha untuk membantu meneruskan agenda memperkasakan ekonomi golongan B40.
4. Sehubungan itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MTIB akan terus memastikan pelbagai program dan inisiatif untuk pembangunan industri buluh terus dipertingkatkan serta menjadi salah satu bidang agrikomoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan seterusnya menjana ekonomi negara yang lebih mampan.
5. Penggunaan buluh dalam industri tradisonal perlu ditransformasikan ke arah penggunaan untuk penghasilan produk bernilai tambah seperti papan komposit, papan lantai, perabot, bahan binaan bangunan dan produk biomass seperti pembuatan arang yang bukan sahaja berpotensi untuk kegunaan pasaran domestik malahan juga untuk pengeksportan secara komersial.
6. Malaysia mengeksport sebanyak RM9.6 bilion produk berasaskan kayu sehingga suku kedua tahun ini. Amerika Syarikat adalah pengimport terbesar produk kayu negara dengan nilai sebanyak RM2.87 bilion atau 30 peratus daripada keseluruhan eksport negara. Kesan pandemik wabak COVID-19 mengakibatkan penurunan eksport negara sebanyak 9.7 peratus. Daripada jumlah tersebut, eksport buluh dan produk berasaskan buluh adalah sebanyak RM3 juta.
7. Seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada wakil Kerajaan Negeri Terengganu dan KPPK serta pemain industri buluh di sekitar negeri ini hadir. Sebanyak empat kertas kerja mengenai industri buluh dibentangkan iaitu Status Industri Buluh Malaysia, Penggunaan Buluh Untuk Bangunan Resort, Penggunaan Buluh Global Dalam Industri Pembinaan dan Rekabentuk Konsep Buluh Kuala Nerus.
8. Bersempena dengan majlis berkenaan, sebuah buku bertajuk ‘Kaedah Rawatan & Teknik Pengawetan Buluh’ terbitan MTIB dengan kolaborasi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) turut dilancarkan. Mengetahui kaedah rawatan dan teknik pengawetan buluh amat penting supaya buluh terselamat daripada serangan agen perosak apabila diaplikasikan untuk kegunaan struktur dan bukan struktur. Buku itu boleh dijadikan rujukan kepada pemain industri yang ingin menceburi industri yang masih baru di negara ini.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi 29 Ogos 2020
SIARAN MEDIA PESTA LADA 2022 SEBAGAI USAHA KEMENTERIAN TINGKAT PROMOSI PRODUK LADA TEMPATAN
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Willie Anak Mongin pada 29 Oktober 2022 (Sabtu) telah merasmikan Pesta Lada 2022 di Pusat Beli Belah Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak.
2. Acara yang diadakan bermula 28 hingga 30 Oktober 2022 ini bersempena dengan sambutan ke-50 tahun International Pepper Community (IPC) ini turut dapat memperluaskan penggunaan lada sebagai bahan industri untuk meningkatkan pertumbuhan industri hiliran lada negara, memperkenalkan kepelbagaian penggunaan lada dalam masakan dan makanan serta menjana pendapatan sosioekonomi setempat.
3. Menerusi penganjuran Pesta Lada 2022, YB Datuk Willie Anak Mongin turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan UNIMAS Holdings Sdn Bhd. Memorandum berkaitan projek IOT Application In The Production Of White Peppercorns.
4. Memorandum berkenaan memfokuskan kerjasama pembangunan sistem penghasilan lada putih yang lebih sistematik serta memfokuskan kepada pemantauan kualiti air rendaman bagi menghasilkan kualiti lada putih bermutu tinggi.
5. Pada masa sama, MPB turut memeterai persefahaman bersama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang bersetuju untuk membangunkan Pemetaan Kawasan Tanaman Lada di Malaysia, bagi mendapatkan peta kawasan tanaman lada yang terkini di seluruh Malaysia.
6. Bahkan, MPB turut berkolaborasi bersama Swinburne University of Technology Sarawak (SUTS) dalam tiga projek penyelidikan, yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan amalan pengurusan penyakit dan penanaman lada serta mempelbagaikan kegunaan lada dalam industri hiliran lada.
7. Pada majlis sama, YB Datuk Willie Anak Mongin turut menyampaikan Skim Pembiayaan Pembangunan Keusahawanan Lada Tahun 2022 kepada tiga (3) penerima iaitu Zias Catering; Sophia Taha Holdings Sdn Bhd dan Leni Spice Sdn Bhd/ Leni Food Manufacturing Sdn Bhd. Skim ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran hiliran lada, kualiti dan mempelbagaikan produk keluarkan lada.
8. Bukan itu sahaja, YB Datuk Willie Anak Mongin turut menyampaikan anugerah kepada enam penerima iaitu syarikat MDF Global Sdn. Bhd. (Malaysia) yang menerima anugerah Excellence in Export of Value-Added Pepper Product 2020; Encik Ngerantar Anak Galau yang menerima Best Pepper Farmer 2020; Encik Chai Fook Yau yang menerima Pencalonan Anugerah Kategori Best Pepper Farmer Award 2021 Kategori Kebun Kurang dari 1 Hektar; syarikat Syn Ming Kong Sdn. Bhd. yang menerima Pencalonan Anugerah Kategori Excellence in Export of ValueAdded Pepper Products 2021; syarikat Sophia Taha Holdings Sdn. Bhd. yang menerima Pencalonan Anugerah Kategori Excellence in Manufacturers of Innovative Pepper Products 2021; dan Encik Tuing Anak Panting yang menerima Pencalonan Anugerah Kategori Best Pepper Farmer Award 2021 Kategori Kebun Lebih 1 Hektar. Anugerah IPC 2020 merupakan anugerah tahunan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan penggiat-penggiat industri lada seperti pekebun kecil / pengeksport / usahawan terhadap industri lada.
9. Industri lada negara merupakan salah satu komponen dalam sektor agrikomoditi yang telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pendapatan eksport negara. Pada tahun 2021, eksport komoditi lada telah menyumbang RM153.7 juta dengan jumlah keseluruhan sebanyak 7.41 ribu tan metrik.
10. Sehingga Ogos 2022, industri lada mencatatkan prestasi membanggakan dengan nilai eksport RM125 juta berbanding RM85.5 juta dalam tempoh sama pada tahun 2021. Destinasi utama eksport lada Malaysia ialah ke negara Jepun, Vietnam, Taiwan, Singapura dan Republik Korea. Usaha untuk meluaskan lagi pasaran eksport lada akan tetap diteruskan ke negara-negara lain seperti di rantau Timur Tengah, Australia dan Eropah. Prestasi ini menunjukkan Malaysia masih dapat mengekalkan momentum dan pertumbuhan yang berdaya saing, tahan dan maju dalam jangka masa panjang.
11. Bagi memastikan usaha ini tercapai, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) akan terus seiring dalam melaksanakan pembangunan industri lada berdasarkan lima (5) teras utama iaitu Kemampanan, Produktiviti, Penjanaan Nilai, Pembangunan Pasaran dan Keterangkuman.
12. Kementerian yakin dengan adanya hala tuju yang jelas serta pelan strategik yang menyeluruh, industri lada negara berpotensi untuk berkembang dan menyumbang kepada pendapatan negara lantaran senario harga lada yang menunjukkan trend peningkatan semenjak tahun lepas sekaligus dapat memberi keyakinan kepada pemegang taruh lada terhadap sektor komoditi lada di Malaysia.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 29 OKTOBER 2022
KABINET SETUJU PENGGUNAAN BITUMEN TERUBAH SUAI GETAH BEKUAN DIPERLUAS KE RANGKAIAN JALAN RAYA MARRIS BANTU TINGKAT PENDAPATAN 500,000 PEKEBUN KECIL
1. Pada 18 Januari 2017, Kabinet telah dimaklumkan hasil kajian Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bahawa hasil kajian mengenai penggunaan getah bekuan dalam bitumen dapat meningkatkan kualiti dan prestasi keseluruhan bitumen. Kejayaan itu dihebahkan kepada negara-negara lain bertujuan membantu meningkatkan permintaan terhadap getah asli dan menstabilkan harganya.
2. Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM7.2 juta di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan bitumen terubah suai getah bekuan atau Cuplump Modified Bitumen (CMB) ini. Pada masa yang sama, dalam pasaran serantau seperti Thailand telah meningkatkan penggunaan getah tempatan mereka untuk pembinaan jalan raya dengan tujuan yang sama membantu pekebun kecil getah bagi menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan mereka.
3. Bagi merealisasikan projek terbabit, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk memperbanyakkan turapan jalan raya mengunakan teknologi CMB dan siap sepenuhnya pada Mei 2020 yang merangkumi jalan raya sepanjang 202.68 kilometer di 106 lokasi.
4. Usaha menambah pendapatan pekebun kecil getah diteruskan dan Kabinet pada Jumaat lalu bersetuju dengan cadangan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk memperluaskan penggunaan CMB bagi pembinaan dan penyenggaraan jalan raya di seluruh negeri yang didaftarkan dalam Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
5. Penggunaan CMB dalam adunan untuk menghasilkan asfalt terubah suai getah bekuan atau Cuplump Modified Asphalt (CMA) dapat menambahkan kualiti dan prestasi keseluruhan bitumen melalui ciri-ciri kelikatan serta keanjalannya. Penambahbaikan ini meningkatkan daya tahan terhadap proses peredaran masa dan rintangan haba. Ini memberikan penjimatan terhadap keperluan menyenggara jalan akibat kerosakan seperti aluran, rekahan dan lubang dalam jangka masa panjang. Perluasan penggunaan CMB di jalan raya MARRIS seperti yang disyorkan KPPK, dapat mengukuhkan sumber rujukan domestik kejayaan aplikasi teknologi CMB sebelum ia dapat diperluas di peringkat antarabangsa.
6. Anggaran penjimatan menyeluruh daripada aspek penyenggaraan bagi 1,000 kilometer (km) adalah sebanyak RM167 juta atau 40 peratus lebih rendah berbanding penggunaan bitumen konvensional, sekiranya jangka hayat jalan CMB menjangkau 10 tahun. Perluasan penggunaan CMB adalah antara usaha mengurangkan impak kejatuhan harga ke atas pendapatan pekebun kecil di negara ini khususnya, berikutan wabak COVID-19 melalui peningkatan permintaan terhadap bekalan getah domestik.
7. Menjadi harapan KPPK dengan penggunaan CMB dapat mencapai matlamat berkenaan di samping menggalakkan golongan penoreh getah untuk terus menoreh bagi menjamin pengeluaran bekalan getah secara berterusan.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 3 Disember 2020
KUTIPAN KADAR SES BAHARU SAWIT BERKUATKUASA 1 MAC 2021 TINGKATKAN KECEKAPAN PENGELUARAN SAWIT
1. Sejak penubuhan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada tahun 2000, kadar kutipan ses adalah sebanyak RM15 bagi setiap tan minyak sawit mentah (MSM) dan minyak isirung sawit mentah (CPKO). Bagaimanapun, kadar ses tersebut telah diturunkan kepada RM13 mulai 1 Mac 2009. Menyedari keperluan semasa bagi menjaga kepentingan dan mendepani cabaran industri sawit negara, Kementerian dan MPOB telah meneliti semula kadar ses yang dikenakan pada tahun 2019.
2. Dalam hal ini, Kerajaan telah meluluskan kenaikan kadar kutipan ses oleh MPOB sebanyak RM3 iaitu daripada RM13 kepada RM16 pada tahun 2019 demi kepentingan industri tersebut walaupun harga MSM adalah rendah ketika itu. Namun, pelaksanaannya dilakukan secara berfasa dengan kenaikan RM1 mulai 1 Januari 2020 yang disalurkan kepada Yayasan Konservasi Hijau Sawit Malaysia (Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation – MPOGCF) bagi aktiviti konservasi sebagai usaha untuk menangani kempen antiminyak sawit.
3. Berikutan kenaikan harga MSM yang semakin tinggi ketika ini, pelaksanaan kadar baru yang telah dipersetujui terdahulu dilihat sesuai dilaksanakan. Kenaikan ini berkuatkuasa 1 Mac 2021 dan dikenakan kepada pengeluar CPO dan CPKO iaitu pemegang lesen kategori Kilang Buah Kelapa Sawit dan Kilang Pelumat Isirung Sawit. Ia adalah selari dengan prestasi harga minyak sawit yang meningkat melepasi paras RM3,000 setiap tan dan diunjurkan terus mengukuh di pasaran.
4. Peningkatan ses sebanyak RM2 setiap tan pada 1 Mac ini akan disalurkan bagi menyokong penubuhan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit atau Mechanisation and Automation Research Consortium of Oil Palm (MARCOP). Sebanyak RM30 juta daripada kutipan ini akan digunakan sebagai pelengkap oleh industri kepada peruntukan RM30 juta yang disediakan oleh Kerajaan melalui geran padanan seperti diumumkan semasa Belanjawan 2021. Mekanisasi dan automasi di sektor perladangan akan diberi tumpuan khusus yang turut selari dengan cadangan pihak industri.
5. Penubuhan MARCOP melibatkan kerjasama MPOB dan pihak industri bertujuan meningkatkan teknologi dan penggunaan kejenteraan ladang bagi mengoptimumkan kecekapan operasi serta penuaian buah sawit di samping mengatasi isu kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan. Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan adalah prihatin akan isu berkaitan kekurangan tenaga kerja dalam sektor ini.
6. Hasil kutipan ses juga disalurkan bagi pembiayaan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang diwujudkan bagi mengatasi cabaran secara bersama isu-isu minyak sawit di peringkat antarabangsa seperti kempen antiminyak sawit serta diskriminasi oleh Kesatuan Eropah ke atas biobahan api berasaskan sawit.
7. Selain itu, tambahan ses ini akan digunakan bagi pembiayaan penghasilan teknologi baru melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan, aktiviti galakan pasaran oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) termasuk aktiviti yang memberi tumpuan dan sokongan kepada pekebun kecil bagi peningkatan daya saing global serta kelestarian industri sawit negara.
8. KPPK berharap dengan keputusan terkini oleh Kerajaan mampu meningkatkan kecekapan bagi menambah hasil pengeluaran sawit negara dan kesinambungan industri berkenaan.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 3 Mac 2021
10,000 PEKERJA INDUSTRI PERKAYUAN DAN PERABOT DIVAKSINASI DI BAWAH PROGRAM VAKSINASI SEKTOR AGRIKOMODITI (VACOMS) DI PPVIN MTC@OLAK LEMPIT
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) MTC@Olak Lempit di bawah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS) yang telah memulakan operasinya pada 28 Julai 2021.
2. PPVIN MTC@Olak Lempit merupakan PPVIN kedua yang beroperasi selepas PPVIN Ladang Tennamaram dibuka pada 26 Julai 2021. Seramai 10,000 pekerja industri perkayuan dan perabot yang berada di sekitar Selangor akan divaksinasi di PPVIN MTC@Olak Lempit.
3. Operasi PPVIN melalui kerjasama dengan pihak industri adalah kaedah terbaik bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada semua pekerja sektor agrikomoditi tanpa perlu bergantung kepada PPV Awam yang mempunyai kekangan tersendiri. Seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, buat masa ini vaksinasi secara ‘walk in’ bagi bukan warganegara hanya akan dibuat di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil sahaja bermula 9 Ogos hingga 22 Ogos 2021 dan mereka tidak dibenarkan untuk hadir di mana-mana PPV Awam.
4. Dalam menyokong usaha Kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi ini, pihak industri digalakkan terlibat secara langsung sebagai pemudah cara dengan mewujudkan PPVIN sendiri di lokasi yang bersesuaian, setelah mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).
5. Bagi syarikat yang berada di bawah sektor agrikomoditi, permohonan menyertai Program VACOMS boleh dibuat melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sekiranya syarikat mempunyai jumlah pekerja sekurang-kurangnya 1,000 orang atau bergabung dengan syarikat lain bagi mencukupkan bilangan tersebut. Pelaksanaan kaedah PPV Bergerak juga boleh dibincangkan dengan lebih lanjut oleh pihak industri bersama penyedia perkhidmatan yang mempunyai trak vaksin dan dikemukakan permohonan kepada KPPK untuk diluluskan oleh CITF.
6. Pemberian vaksin adalah percuma, namun pihak syarikat masih perlu menanggung kos pentadbiran vaksin dan kos pengoperasian PPVIN sama ada di lapangan atau pun secara bergerak. Caj keseluruhan yang ditetapkan bagi setiap pekerja juga tidak melebihi RM100.
7. KPPK menyasarkan lebih banyak PPVIN di bawah Program VACOMS dapat dibuka oleh industri bagi mencapai imuniti kelompok dalam tempoh terdekat. Walau bagaimanapun, proses pembukaan PPVIN adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan CITF.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Banting 3 Ogos 2021