KERJASAMA STRATEGIK PEMEGANG TARUH LONJAKKAN PASARAN LADA MALAYSIA DI PERINGKAT ANTARABANGSA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini bertemu dan menyampaikan amanat kepada warga kerja MPB sempena lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Lembaga Lada Malaysia (MPB) Kuching, Sarawak.
2. Sebagai sebuah agensi di bawah kementerian, MPB bertanggungjawab untuk melaksanakan program dan aktiviti bersama pemegang taruh industri lada. Pelaksanaan aktiviti seperti promosi, seminar bengkel dan sebagainya adalah penting agar golongan sasar dapat diberi pendedahan mengenai potensi pasaran komoditi lada.
3. Pembangunan industri lada sama ada di peringkat huluan mahupun hiliran akan digandakan bagi membolehkan industri ini terus bersaing dan Malaysia sebagai pasaran penting. Peluang untuk meneroka pasaran antarabangsa akan dipergiat dengan menjalin kerjasama strategik dengan agensi-agensi yang berkaitan.
4. Malaysia adalah negara pengeluar lada kelima terbesar dunia dengan pengeluaran sebanyak 35,539 tan metrik. Berdasarkan rekod melalui Sistem E-Pekebun MPB sehingga 5 September 2020, jumlah pekebun lada di negara ini sudah mencecah seramai 36,682 orang dengan keluasan tanaman seluas 7,659 hektar. Sebagai makluman, 98 peratus komoditi ini adalah ditanam di Bumi Kenyalang.
5. Bersempena dengan lawatan, YB Menteri turut menyampaikan baucar kepada enam penerima Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) PRIHATIN serta surat kelulusan kepada enam penerima bantuan Skim Tanaman Baru Lada di Kuching.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Kuching, Sarawak 28 September 2020
SIARAN MEDIA KPPK TERUS SOKONG INDUSTRI BAGI MENJAMIN KEMAMPANAN SEKTOR SAWIT MALAYSIA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini telah mengadakan lawatan rasmi ke Kilang Delima Oil Products Sdn. Bhd. dan FGV Kernel Products Sdn. Bhd. Berhad di Pasir Gudang, Johor.
2. FGV Holdings Berhad merupakan antara pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di dunia yang menyumbang kepada 15 peratus daripada jumlah pengeluaran tahunan MSM Malaysia. Bahagian hiliran di FGV menyokong operasi huluan dengan menyediakan jaminan pengambilan MSM yang ditapis menjadi pelbagai produk berasaskan minyak sawit seperti oleokimia, biodiesel, minyak, lemak dan fast moving consumer goods (FMCG).
3. Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOPSB) merupakan anak syarikat FGV Holdings Berhad yang telah memulakan operasi pada tahun 2000 dan terus berkembang serta menguasai tiga (3) operasi utama iaitu melibatkan penapisan minyak sawit, pengilangan produk minyak sawit diproses, pengedaran produk perindustrian dan pengguna. Produk dan jenama DOPSB kini dikenali di pasaran utama seperti ASEAN, Timur Tengah, Asia Barat, Eropah dan Afrika Barat. Antara jenama keluaran DOPSB ialah Saji, Adela, Seri Pelangi dan Tiga Udang. FGV Kernel Products Sdn. Bhd. (FGVKPSB) pula telah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan perniagaan terasnya melibatkan pemprosesan isirung sawit (PK) untuk menghasilkan Crude Palm Kernel Oil (CPKO) dan Palm Kernel Expeller (PKE).
4. Sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan eksport negara telah meningkat kepada RM108.52 bilion pada tahun 2021 berbanding RM73.33 bilion pada tahun 2020. Sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021 juga bernilai RM44.98 bilion atau mewakili 53.38 peratus daripada keseluruhan sumbangan KDNK sektor agrikomoditi negara.
5. Kementerian sentiasa menyokong penglibatan industri dalam memperkasa pengeluaran eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit untuk memastikan sektor agrikomoditi terus mencatat sumbangan KDNK yang memberangsangkan bagi menggalakkan pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 28 September 2022
KENYATAAN MEDIA MAJLIS IFTAR KASIH RAMADAN BERSAMA ASNAF DAN WARGA EMAS
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin menghadiri Majlis Iftar Kasih Ramadan bersama asnaf dan warga emas anjuran oleh Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) bertempat di Hadramawt Kitchen, Ampang hari ini.
2. Majlis ini merupakan inisiatif IMPAC untuk menyantuni golongan sasar iaitu asnaf dan warga emas dalam menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan serta memberikan sumbangan bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
3. YB Menteri bersama Pengerusi IMPAC, YBhg Datuk Zunaidah Idris menyampaikan sumbangan baju raya kepada 51 anak-anak asnaf dan bantuan duit raya kepada 54 warga emas dan asnaf sebelum berbuka puasa pada majlis ini.
4. Kementerian dan IMPAC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lembaga Koko Malaysia, Mamee Malaysia, Percetakan Zainol Kassim, Al Najwa Production Sdn Bhd serta individu-individu yang memberikan sumbangan untuk diagihkan kepada asnaf, warga emas dan tetamu jemputan.
5. Program seumpama ini bukanlah kali pertama diadakan oleh Kementerian menerusi agensi dan majlis, malah akan diteruskan untuk mendekati masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan dari semasa ke semasa.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 29 APRIL 2022
KENYATAAN MEDIA MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
USAHA MENCARI JALAN PENYELESAIAN ISU PENUTUPAN KILANG MARDEC PROCESSING SDN BHD, KUALA BERANG, TERENGGANU
1. Saya mengambil perhatian kepada berita cadangan penutupan operasi kilang getah MARDEC Processing Sdn Bhd di Kuala Berang, Terengganu. Penutupan operasi kilang tersebut yang mempunyai kapasiti memproses lebih 2,000 tan sebulan akan memberi impak kepada aktivti-aktiviti pengeluaran dan pemprosesan getah yang melibatkan pekebun-pekebun kecil di kawasan sekitar Hulu Terengganu selain menyebabkan lebih 110 orang pekerja kilang hilang pekerjaan.
2. LGM sebagai agensi di bawah Kementerian saya yang bertanggungjawab kepada kawal selia, operasi dan khidmat teknikal kepada sektor pemprosesan getah melihat cadangan penutupan Kilang MARDEC Processing Sdn Bhd, Kuala Berang akan memberi impak kepada aktiviti pengeluaran dan penjualan getah pekebun kecil yang akan menjejaskan pendapatan mereka.
3. Rekod LGM menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada 2,700 pekebun kecil di Hulu Terengganu dan juga akan mempunyai kesan secara tidak langsung kepada 19,350 pekebun kecil di seluruh Terengganu.
4. Kementerian menerusi LGM bersedia memberi khidmat teknikal dan membantu pihak Pengurusan MARDEC Berhad untuk membuat kajian menyeluruh dengan maklumat berkaitan bagi mengenalpasti masalah operasi kilang dan punca-punca yang menyebabkan Kilang MARDEC Kuala Berang mengalami kerugian dan seterusnya tidak dapat meneruskan operasi. Ini adalah bertujuan memastikan kilang tersebut dapat meningkatkan daya saing dan terus beroperasi untuk memproses getah yang dihasilkan di Hulu Terengganu dan juga di seluruh Negeri Terengganu.
YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Bin Aman Razali Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi 29 Jun 2020