INFO ARKIB ELEKTRONIK

KUALA LUMPUR – Pasaran getah dijangka diniagakan mendatar pada minggu depan dengan kecenderungan menyusut, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata, kebanyakan pembekal dan peniaga tidak aktif berikutan cuti Aidiladha pada Isnin.

Selain itu, Low berkata pengurangan bilangan kapal belayar susulan krisis Laut Merah, telah meningkatkan kos atau kadar pengangkutan hampir dua kali ganda dengan beberapa laluan menyaksikan peningkatan dua kali ganda dan boleh menjejaskan harga getah global.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata kalangan penggiat pasaran juga bersedia berikutan laporan mengenai kemungkinan fenomena cuaca La Nina melanda wilayah utara pada minggu-minggu akan datang.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya rendah seiring dengan prestasi pasaran niaga hadapan serantau getah yang lemah.

Sebagai perbandingan asas Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 turun 27 sen kepada 829 sen sekilogram daripada 856 sen sekilogram minggu lepas manakala susu getah pukal susut satu sen kepada 793.50 sen sekilogram daripada 794.50 sen sebelum ini.

Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal mencecah 823 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 793 sen sekilogram. – BERNAMA

 

https://malaysiagazette.com/2024/06/16/pasaran-getah-diniaga-mendatar/#google_vignette

 

Sumber : Malaysia Gazette

KUALA LUMPUR, 11 Mei - Pasaran getah tempatan dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan dengan kecenderungan meningkat disebabkan kewujudan aktiviti penambahan stok secara berkala bagi mengekalkan harga getah.

Pakar industri Denis Low berkata cuaca yang semakin memuaskan, akan datang serta berakhirnya musim dingin mungkin mendorong bekalan yang bertambah baik.

“Harga minyak serta dolar US yang tidak menentu mungkin akan memberi kesan kepada harga dan permintaan.

“Keadaan seperti ini mencerminkan ketidaktentuan selain, pada masa yang sama, akan meningkatkan kewaspadaan dan kebimbangan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang peniaga lain berkata harga komoditi akan terus menjejaki prestasi pasaran hadapan getah serantau, kekuatan ringgit berbanding dolar US termasuk penanda aras harga minyak mentah.

Beliau berkata pasaran akan disokong oleh kebimbangan yang berlarutan mengenai gangguan getah asli berikutan cuaca yang tidak menentu di negara pengeluar utama dalam tempoh terdekat.

“Peniaga akan terus memantau petunjuk lanjut mengenai prospek kadar faedah Amerika Syarikat dan langkah rangsangan dari China sambil terus memerhatikan perkembangan dalam konflik geopolitik di Timur Tengah yang masih berterusan,” katanya.

Minggu ini, pasaran getah tempatan menokok pada asas mingguan, disokong oleh kebimbangan terhadap bekalan getah asli yang terganggu di beberapa negara pengeluar akibat keadaan cuaca buruk.

Dari Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 melonjak 13.5 sen kepada 767.5 sen sekilogram daripada 754 sen yang dicatatkan pada minggu lepas, manakala lateks pukal naik 8.5 sen kepada 725.5 sen sekilogram berbanding 717 sen sebelumnya.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal berada pada 764.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 724.5 sen sekilogram. - BERNAMA

 

https://berita.rtm.gov.my/ekonomi/senarai-berita-ekonomi/senarai-artikel/pasaran-getah-diniagakan-dalam-jajaran-kecil-tetapi-menaik-minggu-depan

 

Sumber : Berita RTM

KUALA LUMPUR, 19 Jun- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Rabu, menjejaki harga minyak mentah yang menjadi penanda aras dan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.

Beliau berkata harga minyak mentah bercampur-campur hari ini berikutan kebimbangan mengenai konflik yang meningkat di Eropah dan Timur Tengah yang mengimbangi kebimbangan mengenai permintaan susulan peningkatan yang tidak dijangka dalam inventori minyak Amerika Syarikat (AS).

“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang berikutan peniaga meneliti unjuran prospek permintaan getah asli global yang meningkat oleh Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli dan kebimbangan mengenai bekalan getah yang terhad berikutan pengeluar utama Thailand mengunjurkan cuaca buruk dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sentimen pasaran disokong oleh jangkaan yang diperkukuh mengenai penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan berikutan data ekonomi AS yang lemah.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) merosot tiga sen kepada 804 sen sekilogram manakala susu getah pukal kekal tidak berubah pada 792 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal sebanyak 802 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 789.5 sen sekilogram.- BERNAMA

 

https://berita.rtm.gov.my/ekonomi/senarai-berita-ekonomi/senarai-artikel/pasaran-getah-ditutup-bercampur-campur-15

 

Sumber : Berita RTM

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini dengan penanda aras Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) merekodkan paras tertinggi 24 bulan, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan langkah rangsangan berterusan di China, kata seorang peniaga.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 melonjak 21 sen kepada 760.5 sen sekilogram (kg), tertinggi sejak Februari 2022 manakala susu getah pukal naik 1.5 sen kepada 688.5 sen sekilogram pada tengah hari.

Peniaga itu memberitahu Bernama bahawa aliran menaik dalam pasaran fizikal juga selari dengan pasaran fizikal getah serantau di tengah-tengah kelemahan ringgit berbanding dolar AS.

Beliau menambah niaga hadapan getah Jepun meningkat hari ini selepas merosot selama dua hari, didorong oleh pasaran saham domestik yang meningkat tinggi dan jangkaan pengukuhan yang berterusan tahun ini.

"Pengendali pasaran dilihat boleh menyerap kekurangan getah asli global yang semakin teruk," katanya.

Pada 5.05 petang, harga bagi penanda aras minyak mentah Brent naik 0.33 peratus kepada AS$83.30 setong.

Sementara itu, pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk getah fizikal SMR 20 berada pada 756 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 693 sen sekilogram. - BERNAMA

 

https://www.astroawani.com/berita-bisnes/pasaran-getah-ditutup-kukuh-smr-20-catat-paras-tertinggi-24-bulan-459409

 

Sumber : Astro Awani

PASARAN getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Selasa berikutan harga minyak mentah yang menjadi penanda aras lemah, selain petunjuk dalam pasaran niaga hadapan getah serantau yang kurang menggalakkan apabila ekonomi China yang lembap menjejaskan sentimen pasaran, kata peniaga.

Bagaimanapun, katanya penurunan seterusnya dikekang oleh ringgit yang lemah berbanding dolar AS dan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan getah asli berikutan unjuran cuaca buruk di negara pengeluar utama Thailand.

"Niaga hadapan getah Jepun merosot untuk sesi ketiga berturut-turut pada Selasa, didorong oleh data ekonomi yang lemah daripada pengguna utama China dan harga minyak yang rendah,” katanya kepada Bernama.

Pada masa ini, harga minyak mentah Brent merosot 0.72 peratus kepada AS$84.25 setong.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) berkurangan setengah sen kepada 766 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut 4.5 sen kepada 637 sen sekilogram.

Pada jam 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal sebanyak 771.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 633 sen sekilogram.

 

https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/675404

 

Sumber : Sinar Harian