INFO ARKIB ELEKTRONIK

 

 

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

JELAJAH AGRIKOMODITI #KELUARGA MALAYSIA BERI MANFAAT MENANG-MENANG UNTUK KPPK DAN PEKEBUN KECIL GETAH

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menghadiri program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Dewan Budiman, Kg Kepah, Hulu Terengganu, Terengganu. Program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia merupakan program anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sebagai medium untuk berkongsi maklumat dan aktiviti Kementerian dengan masyarakat setempat.

2. Pada program ini, para pekebun kecil diberikan taklimat oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengenai Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), sistem RRIMniaga, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) serta pendedahan berkaitan penyakit Pestalotiopsis. Selain itu, YB Meteri turut berdialog dengan pekebun kecil selain berkongsi maklumat projek terkini Kerajaan dan kemajuan penyelidikan serta teknologi dalam bidang agrikomoditi yang boleh dimanfaatkan oleh mereka.

3. Pada majlis berkenaan, pekebun kecil terbabit menerima sumbangan Majlis Getah Malaysia (MRC) di bawah program Penyerahan Bantuan Prihatin MRC. Sumbangan itu termasuk alat peranti tablet bersama pelan data Internet kepada keluarga terpilih.

4. YB Menteri berpeluang melawat Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) Kg Kepah Hulu Terengganu. Projek JLPK ini memberi impak menyeluruh ke atas pembangunan sosio ekonomi kawasan luar bandar dengan penyediaan kemudahan asas jalan ladang. Pembinaan ini dapat merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.

5. KPPK berharap program dialog seperti ini akan diteruskan dan menjadi medan kepada pekebun kecil getah menyampaikan maklumat secara langsung kepada Kerajaan seterusnya Kementerian dapat bertindak serta merancang dengan lebih baik untuk masa hadapan yang lebih terjamin kepada golongan berkenaan.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Hulu Terengganu, Terengganu
27 November 2021

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

HAMPIR 500,000 HEKTAR KEBUN SAWIT MILIK PEKEBUN KECIL DI SELURUH NEGARA TELAH MEMPEROLEH PERSIJILAN MSPO

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menghadiri program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Marang, Terengganu. Program diadakan bertujuan memberi penerangan kepada pekebun kecil sawit mengenai kepentingan dan keperluan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) komited memastikan penanam sawit terdiri daripada pengusaha ladang dan pekebun kecil dapat memenuhi kriteria MSPO.

2. Pensijilan MSPO adalah antara langkah bagi memastikan penanaman sawit menepati peraturan alam sekitar dan amalan pertanian baik yang diterima di peringkat antarabangsa. Pihak berkepentingan di luar negara sering mengaitkan penanaman sawit sebagai penyumbang kepada kemusnahan hutan, alam sekitar dan ancaman habitat hidupan liar. Tuduhan ini telah menjejaskan imej minyak sawit Malaysia. Bagi menangkis tohmahan negatif ini, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkukuhkan imej industri sawit.

3. Usaha bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil bagi Pensijilan MSPO melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) sedang giat dilaksanakan. Melalui SPOC, pekebun kecil akan dibantu oleh Pegawai Tunas Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk melaksanakan amalan pertanian baik dan seterusnya melaksanakan pensijilan MSPO di kebun masing-masing. Sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak 162 SPOC di bawah seliaan MPOB telah berjaya memperoleh MSPO membabitkan 126,496 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kebun 499,195.97 hektar.

4. Kerajaan menyediakan insentif sebanyak RM30 juta pada tahun 2019 bagi membiayai kos pensijilan MSPO. Insentif yang disediakan merangkumi kos yuran pensijilan MSPO, latihan, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

5. Kerajaan melalui KPPK juga telah mengambil inisiatif menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM). Tujuan penubuhan KPSM adalah untuk menyatukan pekebun kecil bagi menjalankan aktiviti ekonomi melalui amalan pertanian baik dan jualan buah sawit secara berkelompok terus ke kilang. Sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak 69 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu di Semenanjung (24), Sabah (27) dan Sarawak (18) dengan keahlian berjumlah 7,043 pekebun kecil.

6. Antara aktiviti ekonomi di bawah KPSM adalah jualan berkelompok buah tandan segar (BTS) melalui penubuhan pusat timbang. Sehingga 31 Oktober 2021, sebanyak 60 pusat timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah jualan BTS sehingga 217,675.97 tan. Di Terengganu, sebanyak tiga KPSM ditubuhkan iaitu KPSM Daerah Besut Berhad, KPSM Daerah Hulu Terengganu Berhad dan KPSM Kuala Nerus Berhad. Jumlah keahlian untuk KPSM di negeri ini adalah 130 ahli.

7. Secara amnya pekebun kecil mendapat manfaat dari kewujudan KPSM apabila pesaing-pesaing juga telah meningkatkan tawaran harga kepada pekebun setara dengan tawaran harga KPSM. Selain itu, penggunaan mesin pemotong buah sawit atau Cantas bagi penuaian buah sawit terbukti berupaya meningkatkan produktiviti tuaian sebanyak dua kali ganda, daripada 1.8 tan kepada 3.2 tan BTS bagi seorang pekerja sehari berbanding penuaian menggunakan galah secara manual.

8. KPPK berharap usaha dapat dipertingkatkan dengan lebih ramai pekebun kecil persendirian memperoleh pensijilan MSPO pada masa akan datang, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan pendapatan.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Marang, Terengganu
27 November 2021

Jata

KENYATAAN MEDIA


JUMLAH DAGANGAN SEKTOR AGRIKOMODITI JAN-JUN 2020
RM82 BILION BERBANDING JAN-JUN 2019


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali bersama delegasi melakukan kunjungan hormat ke atas Yang diPertua Negeri Melaka Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Datuk Seri Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam di Ayer Keroh, Melaka.


2. Kunjungan berkenaan bertujuan memaklumkan kepada TYT Tun mengenai hal ehwal semasa dan hala tuju sektor agrikomoditi negara, khususnya peranan dan penglibatan negeri Melaka dalam sektor ini dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


3. Dalam tempoh Januari hingga Jun 2020, sektor agrikomoditi menyumbang kepada nilai eksport sebanyak RM63.7 bilion berbanding RM61.1 bilion bagi tempoh sama tahun 2019, iaitu peningkatan sebanyak 4.4 peratus. Jumlah dagangan sektor itu bagi tempoh sama tahun 2020 ialah sebanyak RM82 bilion berbanding tahun 2019 sebanyak RM79.8 bilion dengan peningkatan sebanyak 2.74 peratus. Imbangan dagangan enam bulan pertama 2020
mencatatkan nilai positif RM45.5 bilion berbanding RM42.3 bilion dalam tempoh sama tahun 2019. Hampir sejuta pekebun kecil orang yang terlibat dalam sektor ini dengan keluasan 2.44 juta hektar atau 34.7 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman agrikomoditi negara.


4. Secara khusus, sektor agrikomoditi di Melaka meliputi kawasan tanaman sawit seluas 57,340 hektar, getah 14,115 hektar, koko 18 hektar, lada 10 hektar dan kenaf 13 hektar dengan penglibatan seramai 12,412 pekebun kecil. Negeri ini mencatatkan pengeluaran minyak sawit mentah sebanyak 110,509 tan, getah 15,400 tan, lada 48 tan dan kenaf 121 tan dengan nilai sumbangan sekitar RM300 juta sepanjang tahun 2019.


5. Melaka menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan projek rintis aplikasi telefon pintar RRIMniaga mulai Jun 2018 melibatkan tiga pelesen. Sehingga Julai lalu, 47 peniaga getah telah mengguna pakai aplikasi itu dan memberi manfaat Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada 2,690 orang pekebun kecil yang merupakan pemegang kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G).

6. Bagi sektor kayu-kayan, kerjasama antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Malacensis Sdn Bhd. dalam membangunkan ladang karas di Empangan Jus, Jasin Melaka sedang giat dijalankan bagi menilai kaedah inokulasi terbaik supaya penanam pokok karas dapat memaksimumkan pendapatan melalui penghasilan gaharu yang terbaik.


7. Untuk sektor koko, KPPK dan kerajaan negeri akan merealisasikan hasrat untuk menjadikan ‘Malacca Chocolate City’ menerusi pembangunan industri hiliran koko berasaskan agropelancongan dan dengan mengeluarkan produk-produk koko beridentitikan Melaka.


8. Selain itu, KPPK juga menyediakan pelbagai insentif dan dana kepada sektor agikomoditi yang boleh dimanfaatkan oleh peladang dan pekebun kecil di Melaka, terutamanya golongan B40, antaranya melalui KPSM, Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40), Skim Pembiayaan Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), IPG dan Insentif Tanaman Kenaf Bagi Pengeluaran Batang dan Insentif Belian Batang Kenaf.


9. Justeru, KPPK berharap kerjasama erat dicapai bersama kerajaan negeri untuk membantu menghebahkan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Pusat kepada pekebun kecil di Melaka. Dana dan insentif yang diberikan diharap dapat membantu meringankan beban pekebun kecil dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan mereka.


YB DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
27 Ogos 2020

Jata

KENYATAAN MEDIA
MYKOMODITI 2021 JULANG SUMBANGAN AGRIKOMODITI
KEPADA PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Keluarga Malaysia: Minggu Agrikomoditi 2021 (MyKomoditi 2021) di Putrajaya. Penganjuran program ini adalah julung-julung kali oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi menghargai sumbangan sektor agrikomoditi dalam pembangunan negara.


2. MyKomoditi 2021 bermula pada 25 Oktober hingga 29 Oktober 2021 melibatkan penyertaan semua agensi serta majlis di bawah KPPK yang merangkumi subsektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf.


3. Antara kemuncak perasmian ialah pelancaran kenderaan baharu Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) iaitu sebuah bas yang mempunyai komponen diperbuat daripada gentian kenaf. Selain itu, sempena program ini juga, tiga pelancaran produk dan projek turut dilakukan iaitu produk Single-Origin Coklat Berkhasiat oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM), My Sawit Day oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan TimbeReality oleh Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC).


4. Pada tahun 2020, sektor agrikomoditi telah menjana pendapatan eksport negara sebanyak RM152 bilion. Sehingga bulan Ogos 2021 sahaja, nilai eksport untuk sektor agrikomoditi telah pun mencapai RM137.4 bilion. Di bawah subsektor sawit sahaja, nilai eksport sawit telah menyumbang sebanyak RM72.8 billion kepada negara pada tahun 2020 dan sehingga Ogos 2021 sahaja, subsektor ini telah mencatatkan sebanyak RM63.7 billion.


5. Kementerian merancang penganjuran MyKomoditi 2021 ini diteruskan sebagai acara tahunan melibatkan setiap negeri. Sektor agrikomoditi berupaya menyumbang dengan lebih banyak lagi dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab agrikomoditi utama dunia.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Putrajaya
27 Oktober 2021

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
YAYASAN MARGMA PERKUKUHKAN PROGRAM PENDIDIKAN PASCA
PANDEMIK DEMI MASA DEPAN PELAJAR


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Yayasan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) kepada Pertubuhan Harapan Indah Ampang Selangor di Hotel Grand Barakah, Ampang.


2. Penyerahan sumbangan ini adalah antara tanggungjawab sosial (CSR) Yayasan MARGMA bagi menyokong pelaksanaan Program Seminar Pendidikan Pasca Pandemik, yang dijalankan khusus untuk Ahli Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG) bagi 19 buah sekolah terpilih.


3. Program ini bertujuan untuk mengetengahkan peranan ibu bapa dan guru dalam mendepani kesan pandemik khususnya kepada sistem pendidikan serta kesihatan mental pelajar. Selain itu, seminar ini juga akan menyentuh topik pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan akan dikendalikan pakar-pakar bertauliah dalam bidang pendidikan dan psikologi.

4. Tema dipilih dalam program ini adalah “Ke Arah Kecemerlangan Sistem Pendidikan dan Kesejahteraan Mental Pelajar”, yang bermatlamat membantu ibu bapa dan guru mendalami pendidikan STEM, seiring dengan keperluan revolusi industri 4.0. Bahkan, program ini juga diyakini dapat membantu ibu bapa dan guru mendalami anjakan corak pengajaran dan pembelajaran terkini.


5. Program ini dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 16 Mei 2022 hingga 31 Oktober 2022, dengan menyasarkan keseluruhan penyertaan adalah seramai 760 orang peserta, yang terdiri daripada ibu bapa dan guru-guru.


6. Kementerian melalui agensi di bawahnya akan terus bekerjasama dengan pemain industri bagi memastikan negara bangkit daripada impak Covid-19 yang telah melanda negara sejak dua tahun lalu.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 APRIL 2022