SIARAN MEDIA PUSAT KEUSAHAWANAN COKLAT TANJUNG PIAI ANTARA USAHA KEMENTERIAN LAHIRKAN USAHAWAN TEMPATAN BERDAYA SAING DALAM RANTAIAN INDUSTRI KOKO
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng telah merasmikan Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai pada 24 Julai 2022 di Pekan Nanas, Johor. Pusat ini merupakan yang pertama dibangunkan dengan kerjasama Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).
2. Sempena pembukaan Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai, beliau turut merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Johor anjuran LKM yang diadakan pada 24 hingga 25 Julai 2022 di pusat ini. Seramai 30 orang peserta menghadiri kursus siri kedua yang dianjurkan di negeri Johor ini. Kursus siri pertama telah berjaya diadakan di Kukup Golf Resort, Pekan Penerok pada 6 Mac 2022 yang lalu.
3. Pusat ini akan mengendalikan kursus dan latihan pembuatan coklat kepada masyarakat tempatan. Dalam usaha ke arah melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berdaya saing di pelbagai peringkat dan aktiviti rantaian industri koko, para peserta kursus akan diberikan pendedahan kepada kemahiran pembuatan coklat buatan tangan, asas-asas keusahawanan serta diberikan bantuan pemasaran dan penjualan hasil produk di premis yang sama sebagai khidmat sokongan permulaan (kick-start) untuk menjadi seorang usahawan coklat.
4. Penubuhan pusat ini juga bertujuan untuk mempromosikan produkproduk coklat keluaran usahawan tempatan khususnya di negeri Johor. Penubuhan pusat ini akan dapat mempelbagaikan produk koko dan coklat buatan tangan serta meningkatkan pendedahan dan permintaan kepada produk-produk coklat tempatan.
5. Pada peringkat awal pelaksanaan, pusat ini dijadual akan membimbing seramai 300 bakal usahawan. Pusat ini berupaya untuk mencipta peluang bagi menjana pendapatan kepada golongan berstatus B40 di kawasan ini yang berminat untuk menceburi industri pembuatan coklat buatan tangan.
6. Bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi Malaysia yang inklusif, seimbang dan mapan, LKM telah melaksanakan Program Pembangunan Usahawan Coklat untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan usahawan-usahawan PKS untuk menceburi industri koko serta mengeluarkan produk-produk berasaskan koko terutamanya coklat.
7. Usahawan coklat bimbingan LKM dibangunkan untuk menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan serta melatih dan mendedahkan mereka dengan pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam berkaitan dengan teknologi coklat serta pemasaran produk dengan lebih efektif untuk menghasilkan produk yang berdaya saing.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 24 Julai 2022
LAWATAN KERJA YB TUAN WILLIE MONGIN DAN YB TUAN ANYI NGAU, KE LEMBAGA KOKO MALAYSIA, NILAI , 24 JUN 2020
1. YB Tuan Willie Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta YB Tuan Anyi Ngau, Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah melawat Pusat Inovasi & Teknologi Koko (PITK), LKM di Nilai, Negeri Sembilan pada 24 Jun 2020 buat julung kalinya.
2. Semasa lawatan tersebut, YB Willie Mongin dan YB Anyi Ngau telah diberi taklimat pengenalan mengenai LKM serta mengenai fungsi dan peranan PITK Nilai yang merangkumi penyelidikan dalam bidang pemprosesan koko, pembangunan produk, peningkatan kualiti dan penyelenggaraan produk koko. Selain itu, pusat ini juga menawarkan kursus pembuatan coklat buatan tangan, kursus coklat panning, kursus sensori coklat serta menjalankan aktiviti pelesenan dan penggredan. Di samping itu, PITK juga menjalankan penyelidikan bagi pembangunan produk bukan makanan berasaskan koko. Antara produk bukan makanan yang telah berjaya dikomersialkan adalah produk ubat gigi dan produk mandian berasaskan koko.
3. Semasa lawatan di sekitar kompleks PITK, LKM telah memberi penerangan mengenai perkhidmatan yang ditawarkan di PITK Nilai seperti analisis produk-produk koko, pengeluaran blok coklat untuk usahawan coklat bimbingan LKM dan penyewaan mesin Makmal Rintis Coklat. LKM juga mempamerkan hasil-hasil penyelidikan LKM.
4. YB Anyi, telah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan atas pemberian bantuan input pertanian di bawah Pakej Rangsangan PRE PRIHATIN 2020 sebanyak RM2.69 juta kepada 4,566 orang pekebun kecil koko yang layak bagi kawasan tanaman koko seluas 3,134 hektar di seluruh negara. Pemberian bantuan ini akan membantu pekebun kecil koko yang terkesan akibat penularan wabak COVID 19. Beliau juga telah menekankan harapan beliau supaya peranan dan fungsi LKM di perkasa bagi memacu pembangunan industri koko negara.
KENYATAAN MEDIA KOLABORASI STRATEGIK LADANG KOKO PINTAR PERTAMA DI MALAYSIA BAKAL KELUARKAN BIJI KOKO PREMIUM DAN BERPERISA UNIK
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ladang Koko Pintar di Setul, Negeri Sembilan, pada 24 Mac 2022. Ladang seluas 100 hektar dimiliki sepenuhnya oleh Syarikat Permaju Industries Berhad (PIB) akan diusahakan dengan kolaborasi strategik bersama Lembaga Koko Malaysia (LKM).
2. Ladang yang bakal diurus dengan menggunakan teknologi pintar iaitu Cocoa Information Management System (CIMS) yang dibangunkan dari negara Austria. Teknologi ini bakal meningkatkan kecekapan dalam pengurusan ladang dan meningkatkan pengeluaran hasil buah koko selain menjadi ladang contoh penggunaan teknologi pintar yang akan menarik lebih ramai pelabur dan generasi muda untuk mengusahakan tanaman koko.
3. LKM akan memberikan khidmat nasihat dalam pemilihan dan penyediaan bahan tanaman koko yang berkualiti tinggi, teknologi penanam koko termasuk kawalan penyakit dan perosak, teknologi penanam intergrasi koko dengan tanaman ekonomi lain serta pengurusan kebun ke arah mendapatkan pensijilan MyGAP (Good Agriculture Practices) dan skim sijil MyOrganic.
4. Projek ini akan meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan terutamanya bagi memenuhi sasaran Malaysia sebagai negara pengeluar biji koko berperisa unik. Pengeluaran koko dari ladang ini dijangka akan melebihi 30 tan metrik setahun yang mampu untuk memenuhi permintaan pengeluar coklat premium.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 24 Mac 2022
KPPK DAN KERAJAAN NEGERI SARAWAK TINGKAT KERJASAMA MAJUKAN SEKTOR AGRIKOMODITI
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Willie Mongin hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Uggah di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak.
2. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Sarawak untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit bagi memastikan kelangsungan sektor agrikomoditi di Sarawak seperti sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, sago dan kenaf. Antaranya, isu-isu pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), pelaksanaan program Biodiesel B20: Sektor Pengangkutan, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan potensi penanaman lada.
3. Sehingga 31 Julai 2020, seramai 17,785 Pekebun Kecil Persendirian (PKP) dengan keluasan tanah 99,354.46 hektar di dalam 34 Kelompok Minyak Sawit (SPOC) telah memperoleh pensijilan MSPO. Namun, pencapaian mandatori MSPO di Sarawak masih rendah apabila hanya 21,606 PKP dengan tanah seluas 129,783.34 hektar yang masih belum mendapat pensijilan MSPO.
4. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati peratusan pensijilan MSPO dalam kalangan PKP masih rendah. Antaranya kelompok Q8 (Pantu, Bukit Begunan, Lingga, Simanggang), Q22 (Marudi) dan Q30 (Sebauh). Bagi mengukuhkan lagi pensijilan MSPO, surat amaran mandatori MSPO akan mula diedarkan kepada pemegang lesen SH (pekebun kecil) yang masih belum mendaftar kerana pensijilan itu diwajibkan bermula 1 Januari 2021.
5. Untuk tujuan Semakan Semula Piawaian MSPO yang sedang dilaksanakan, penanaman di kawasan Zon Penampan Sungai (Riparian Zone) dan di kecerunan melebihi 25 darjah adalah bercanggah dengan konsep High Conservation Values (HCV) yang akan dimasukkan di dalam piawaian pensijilan MSPO. Sehubungan itu, bagi mengelak penarikan balik pensijilan MSPO dalam kalangan PKP Sarawak, mereka akan diberikan peringatan tentang peraturan ini. 6. Program Biodiesel B20: Sektor Pengangkutan (adunan 20 peratus biodiesel sawit dengan 80 peratus petroleum) akan mula dilaksanakan di Sarawak pada 1 September 2020. Pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan berupaya mewujudkan pertambahan penggunaan CPO sebanyak 534,000 tan setahun kepada 1.06 juta tan setahun berbanding penggunaan sebanyak 534,000 tan Program Biodiesel B10 pada ketika ini.
7. Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga akan menambah baik dan memperluaskan kaedah tuntutan IPG khususnya bagi pekebun kecil yang tinggal jauh di pedalaman yang berikutan kurang prasarana komunikasi di Sarawak.
8. Selain itu, KPPK menerusi Lembaga Lada Malaysia (LLM) akan turut mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berminat untuk menceburi penanaman lada demi mengerakkan industri lada untuk lebih berdaya saing. Ini kerana keluasan kawasan penanaman lada pada tahun 2019 adalah 7,132 hektar dengan jumlah pengeluaran 33,164 tan diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil tempatan.
9. Untuk itu, KPPK berharap dapat meningkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan melalui penghasilan sawit yang berkualiti seterusnya melonjakkan lagi penjualan hasil komoditi negara.
Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi 24 Ogos 2020
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI KAJI BANTUAN KEPADA PEKEBUN KECIL DAN CADANGAN AKTIVITI YANG BERPOTENSI MENINGKATKAN PENDAPATAN
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali semalam menerima kunjungan delegasi Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) yang diketuai Presiden PKPKM, Dato’ Aliasak Ambia bagi meningkatkan kerjasama dalam membantu dan membela nasib pekebun kecil di seluruh negara.
2. Dalam pertemuan itu, PKPKM telah menyuarakan keluhan pihak pekebun kecil yang terkesan akibat perubahan dasar Kerajaan terdahulu berkaitan bantuan tanaman semula sawit yang telah ditukar daripada geran kepada bentuk pinjaman. Sehubungan itu, pelaksanaan semula Skim Bantuan Tanam Semula adalah disarankan dalam usaha membantu golongan pekebun kecil yang kebanyakannya sudah berumur dan tidak lagi mampu menanggung bebanan hutang.
3. Selain daripada itu, pihak persatuan juga telah mengemukakan beberapa cadangan yang boleh meningkatkan pendapatan melalui tanaman integrasi, penubuhan koperasi dan latihan yang diperlukan oleh pekebun kecil. Cadangan ini adalah bertepatan memandangkan Kementerian turut memberi tumpuan dan penekanan kepada usaha-usaha pemerkasaan pekebun kecil. Koperasi adalah langkah terbaik dan akan menjadi peneraju kepada pekebun kecil sekiranya diurus tadbir dengan baik melalui penglibatan golongan muda yang berkelayakan. Ia juga boleh menjadi jambatan bagi menarik lebih ramai terlibat dalam sektor agrikomoditi.
4. Semua syor dan perkara berbangkit yang dikemukakan akan dikaji serta diteliti bagi menghasilkan keputusan yang terbaik untuk golongan pekebun kecil dan kedua-dua pihak diharap dapat berganding bahu dalam usaha KPPK mencapai matlamatnya iaitu untuk membantu rakyat termasuk menarik lebih ramai golongan muda supaya terus menyumbang kepada kelestarian dan kemampanan ekonomi negara.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 25 Jun 2020