INFO ARKIB ELEKTRONIK

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
JELAJAH AGRIKOMODITI ANTARABANGSA PERKUKUH PROMOSI HASIL
KOMODITI NEGARA
___________________________________________________________________

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini telah mengadakan sidang media bagi merumuskan lawatan-lawatan Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia dari bulan Januari 2022 sehingga April 2022. Program Jelajah Agrikomoditi ini meliputi pembangunan agrikomoditi negara bagi memastikan sektor ini terus berdaya saing dan kekal terpelihara.


2. Pada awal tahun ini sektor agrikomoditi terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan walaupun negara berdepan dengan Covid-19. Nilai eksport komoditi Jan dan Feb 2022 meningkat sebanyak 5% iaitu RM 31.61 bilion berbanding tempoh yang sama 2021 dengan nilai RM 30.01 billion.


3. Peningkatan eksport ini banyak didorong oleh nilai komoditi yang tinggi khususnya membabitkan produk berasaskan sawit. Antara faktor penyumbang ialah kenaikan permintaan global terhadap minyak sawit. Seterusnya, kenaikan harga minyak mentah Brent akibat konflik Rusia-Ukraine dan had pengeluaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC). Selain itu, trend kenaikan harga minyak kacang soya di pasaran global. Permintaan yang lebih tinggi untuk minyak sawit akan menyumbang kepada penurunan stok minyak sawit dan membawa kepada kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).


4. Malaysia tidak dapat lari daripada menghadapi cabaran terutamanya sekatan yang dilakukan oleh pihak tertentu khususnya media barat terhadap agrikomoditi negara seperti sawit dan getah yang dikaitkan dengan buruh paksa. Walaubagaimanapun, Kementerian sentiasa bersedia untuk berhubung dengan pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat
bagi menjawab dakwaan buruh paksa terhadap sektor industri sawit Malaysia.


5. YB Menteri juga turut mempromosikan Program Malaysian International Agricommodity Expo and Summit 2022 (MIACES) yang akan berlangsung 26 Julai sehingga 28 Julai 2022. Program ekspo ini kelak akan menjadi sebuah program jaringan kerjasama antara pemain industri dalam dan luar negara, yang akan mempertingkatkan usaha sama antarabangsa dalam sektor industri perusahaan komoditi. Ekspo ini dijangka akan membuka peluang yang lebih meluas bagi potensi pasaran eksport agrikomoditi negara.


6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus berusaha untuk memperluas pasaran agrikomoditi negara ke pasaran luar negara. Usaha KPPK akan dipergiat walaupun ketika ini terdapat tuduhan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit Malaysia. Kementerian menyeru agar seluruh rakyat Malaysia bersama-sama dengan KPPK dalam usaha menangani propaganda anti minyak sawit yang jelas tujuannya untuk menjatuhkan industri agrikomoditi negara.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
22 APRIL 2022

Jata

KENYATAAN MEDIA


KERAJAAN MAHU PERSATUAN INDUSTRI BERPERANAN PASTIKAN
SYARIKAT SEKTOR PERLADANGAN DAN KOMODITI JAGA
KEBAJIKAN PEKERJA



1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dan memandang serius terhadap insiden yang berlaku ke atas kebajikan pekerja asing di sebuah kilang sarung tangan getah seperti yang dilaporkan pada 21 Disember 2020 (Isnin).

2. KPPK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir syarikat yang sengaja melanggar atau enggan mematuhi undang-undang dan peraturan sebaliknya hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira faktor keselesaan serta keselamatan pekerja yang merupakan penyumbang utama kepada keuntungan syarikat. Ini kerana tanpa pekerja-pekerja terbabit, syarikat dan industri tidak mungkin memperoleh keuntungan berlipat ganda lebih-lebih lagi semasa musim pandemik COVID-19 ini.

3. Sebagai majikan yang bertanggungjawab, adalah menjadi kewajipan bagi pihak syarikat untuk menjaga kebajikan para pekerja mereka dengan sebaik mungkin tanpa mengira sama ada mereka terdiri daripada pekerja tempatan atau pun pekerja asing.

4. Dalam hal ini, KPPK ingin menggesa pihak industri di semua sektor termasuklah sektor perladangan dan industri komoditi yang lain supaya sentiasa patuh kepada undang-undang perburuhan dan juga peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan pekerja sentiasa terpelihara.

5. Kementerian turut berharap agar persatuan industri mengambil tanggungjawab mengingatkan semua ahli di bawah naungan masingmasing supaya sentiasa patuh kepada peruntukan undang-undang dan peraturan serta bekerjasama dengan kerajaan bagi menangani isu ini daripada terus berlarutan pada masa akan datang.

 


DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
22 Disember 2020

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
MALAYSIA TIDAK AKAN BERDIAM DIRI DENGAN SERANGAN KEMPEN ANTIMINYAK SAWIT NEGARA BARAT


1. Sebagai pengeluar minyak sawit utama dunia, Malaysia dan Indonesia telah berdepan selama lebih dua dekad dengan pelbagai kempen anti-minyak sawit yang dimainkan oleh negara-negara barat hingga telah menjejaskan pasaran minyak sawit dan produk-produk berkaitan.


2. Jika kita tidak menghentikan kempen fitnah ini secara sistematik dan strategik, ia boleh menjejaskan daya saing eksport minyak sawit Malaysia dalam jangka masa panjang akibat persepsi negatif dari negara-negara barat terhadap minyak sawit.


3. Industri minyak sawit dan produk berkaitan pada masa ini menjadi penyumbang utama kepada hasil ekonomi negara serta memainkan peranan penting dalam mengurangkan kemiskinan luar bandar dengan menyediakan pekerjaan dan penambahbaikkan infrastruktur.


4. Untuk melindungi peranan penting ini, Malaysia telah menentang tuduhan berniat tidak berasas ini melalui pendekatan 'rundingan secara berdiplomasi' (soft consultancy). Imej negatif minyak sawit mula terbentuk di Eropah sejak 2003 dan ia berkisar isu berkaitan kemampanan industri tetapi ia kini telah beralih kepada aspek nutrisi minyak sawit.


5. Amalan semasa yang digunakan di Perancis dan Belgium dengan pelabelan 'tiada minyak sawit' atau 'bebas minyak sawit', telah mula dikesan sejak tahun 2008 lagi, ia apabila rangkaian runcit Perancis iaitu Carrefour mula menggantikan minyak sawit dalam kerepek kentang dengan minyak bunga matahari.


6. Tindakan menyasarkan minyak sawit dengan kempen pemasaran dan pelabelan 'tanpa minyak sawit' itu secara tidak langsung telah membentuk pemikiran pengguna bahawa minyak sawit adalah tidak baik dari segi nutrisi atau alam sekitar, atau kedua-duanya.


7. Pada 2019, Kesatuan Eropah (EU) telah mengklasifikasikan minyak sawit sebagai tanaman yang berisiko tinggi untuk perubahan guna tanah secara tidak langsung. Ini menyumbang kepada anggapan berlakunya penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti.


8. Negara-negara anggota EU kini menggunakan “European Union Renewable Energy Directive II” dalam perundangan mereka masing-masing. Klasifikasi ini akan memberi kesan kepada minyak sawit sebagai sumber biofuel yang berpotensi, memandangkan penggunaannya akan dikurangkan secara beransur-ansur mulai 2023 sebelum 'dihapuskan sepenuhnya' sebagai sumber biofuel EU pada 2030.


9. Isu ini telah menyebabkan Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap EU dan dua ahlinya –Perancis dan Lithuania– pada 15 Januari 2021 di bawah Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).


10.Ini berlaku selepas EU meneruskan pelaksanaan arahan itu tanpa mengambil kira komitmen dan pandangan Malaysia, walaupun kita telah memberi maklum balas dan menghantar misi ekonomi dan teknikal ke Eropah.


11.Malaysia juga akan bertindak sebagai pihak ketiga dalam kes WTO berasingan yang difailkan oleh Indonesia, pengeluar minyak sawit terbesar dunia, sebagai tanda solidariti dan sokongan.


12.Kita tidak mempunyai pilihan selain bertindak balas terhadap tuduhan tidak berasas yang berterusan ini walaupun kita tahu bahawa proses undangundang ini adalah mahal dan bakal mengambil masa yang lama sebelum penyelesaian dapat dicapai. Namun kita perlu mempertahankan hasil komoditi negara.


13.Tindakan undang-undang ini memerlukan persediaan yang rapi dan teliti. Hal Ini kerana, dokumen-dokumen yang diperlukan untuk penghujahan memerlukan penyelidikan yang teliti serta perbincangan berjam-jam dalam kalangan panel yang ditugaskan.


14.Setakat ini, tiada sekatan lain dikenakan oleh EU terhadap minyak sawit, bagaimanapun kempen anti-minyak sawit yang dilakukan negara-negara barat telah menjejaskan imej minyak sawit di mata pengguna di Eropah untuk tempoh jangka masa sederhana hingga jangka masa panjang.


15.Sehubungan itu, Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus memantau dengan teliti sebarang perkembangan terkini dari sudut perundangan EU yang berpotensi mencemarkan reputasi minyak sawit, sekali gus menjejaskan daya saing minyak sawit dan industri berkaitan minyak sawit di Malaysia. Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk bangkit bersama KPPK mempertahankan minyak sawit negara di mata dunia.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
22 JUN 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
PENSIJILAN MINYAK SAWIT MAMPAN MALAYSIA (MSPO) 2022 BAGI
MEMASTIKAN MALAYSIA TERUS KEKAL SEBAGAI PENGELUAR MINYAK
SAWIT MAMPAN DUNIA
___________________________________________________________________

1. Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) telah melancarkan Standard MSPO 2022 sempena Forum Certified Sustainable Palm Oil (CSPO). MSPO merupakan skim kebangsaan untuk ladang kelapa sawit, pekebun kecil bebas dan terancang, dan fasiliti pemprosesan minyak sawit yang ingin diperakui mengikut keperluan Standard MSPO.


2. Siri Standard MS 2530:2013 MSPO pertama telah diterbitkan pada 2013 oleh Jabatan Standards Malaysia (JSM) dan diterajui oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kemudian disemak semula pada 2022 (MS 2503:2022). Pensijilan MSPO telah diwajibkan pada awal tahun 2020.


3. MSPO 2022 mengambil kira perubahan dalam keperluan kemampanan global dan mempertimbangkan kebolehgunaan terhadap industri minyak sawit Malaysia. Keperluan seperti United Nation Sustainable Development Goals (UNSDG), No Deforestation, Peat, and Exploitation (NDPE), dan Alam Sekitar, Sosial, Tadbir Urus (ESG) dimasukkan, dan pelbagai elemen telah dimasukkan ke dalam Standard MSPO.


4. Di samping itu, MS 2530:2022 kini terdiri daripada lapan (8) bahagian berbanding empat (4). Rangka kerja baharu untuk Standard MSPO hanya mempunyai lima (5) prinsip berbanding tujuh (7) prinsip versi sebelumnya. Ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal MSPO (TC MSPO) untuk memperkemaskan keperluan selaras dengan keperluan industri semasa.


5. Tiada perbezaan yang ketara antara Prinsip 1 hingga 5 Standard MS2530:2013 dan MS2530:2022. Prinsip 6 MSPO 2013 telah digabungkan ke dalam Prinsip 1, 2, 4, dan 5. Manakala keperluan untuk penanaman baharu telah ditambah baik dan digabungkan terutamanya ke dalam Prinsip 1, dengan keperluan sokongan terdapat dalam Prinsip 4 dan Prinsip 5.


6. Malaysia akan meneruskan usaha ke arah pelaksanaan pensijilan MSPO secara menyeluruh. Proses ini bermula dengan mempromosikan faedah minyak sawit yang diperakui MSPO untuk tujuan pasaran eksport antarabangsa. Di samping mengukuhkan prinsip dan kriteria di dalam Standard MSPO bagi mencerminkan pengembangan amalan pertanian baik di peringkat antarabangsa.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
22 MAC 2022

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

EKSPORT MINYAK SAWIT MENINGKAT 26.9 PERATUS KEPADA RM17.12 BILION JANUARI HINGGA APRIL 2021

1. Nilai eksport minyak sawit negara meningkat sebanyak 26.9 peratus iaitu RM17.12 bilion untuk tempoh Januari hingga April 2021 berbanding RM13.49 bilion dalam tempoh sama pada tahun 2020. Faktor yang menyumbang kepada peningkatan itu adalah kenaikan harganya dan lelemak saingan yang lain di pasaran dunia.

2. Dengan prestasi ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin sasaran eksport sawit sebanyak RM75 bilion tahun ini mampu dicapai dengan sokongan program-program baharu KPPK iaitu inisiatif tambahan dalam bentuk geran padanan sebanyak RM20 juta melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang memanfaatkan 65 Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) dan geran padanan RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi serta automasi.

3. Program-program ini akan meningkatkan pembelian jentera dan amalan mekanisasi dalam industri komoditi itu. Ia disokong dengan penglibatan KPSM secara aktif dan dijangka menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada semua pengusaha sawit termasuk pekebun kecil di seluruh negara.

4. Industri minyak sawit Malaysia merupakan sektor ekonomi utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada 2020, industri ini menyumbang sejumlah RM73.25 bilion daripada hasil eksport dengan sumbangan KDNK sebanyak 3.6 peratus. Malaysia juga menyumbang sebanyak 26 peratus kepada pengeluaran minyak sawit dunia dan 34 peratus kepada jumlah eksport minyak sawit dunia pada tahun 2020.

5. Cabaran pandemik COVID-19 dijangka berterusan sepanjang tahun ini, bagaimanapun, KPPK akan terus gigih mendepaninya dalam usaha membangunkan industri agrikomoditi yang merupakan penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar. Kementerian yakin dan percaya bahawa peranan tersebut mampu digalas demi mencapai hasrat kerajaan dan rakyat.

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
22 Mei 2021