PAKEJ BANTUAN PERMAI: SEKTOR AGRIKOMODITI KOMITED BANTU KUKUHKAN EKONOMI NEGARA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. Sebagai kementerian yang terlibat secara langsung dengan pertumbuhan ekonomi negara dan eksport sebagai aktiviti utamanya, KPPK akan terus berperanan dalam usaha memastikan sektor agrikomoditi terus menjadi sumber aset yang menyumbang kepada kemajuan negara.
2. Seperti yang diketahui bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP 2.0 ini tidak sama dengan PKP 1.0 memandangkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk beroperasi, dengan kata lain, melalui inisiatif PERMAI, kerajaan sedar bahawa kesan ke atas ekonomi akan lebih dapat dikawal.
3. Sektor agrikomoditi telah menyumbang melalui pendapatan eksportnya sebanyak RM133.2 bilion atau 15.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara sehingga November 2020. Nilai ini meningkat sebanyak 13.6 peratus berbanding RM117.2 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya. Produk berasaskan sawit adalah penyumbang terbesar iaitu sebanyak 48.6 peratus daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi, mencatatkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus kepada RM64.8 bilion.
4. Dengan pemulihan perdagangan dunia, pertumbuhan eksport diramalkan akan terus memberangsangkan, justeru, sektor perladangan dan komoditi akan memanfaatkan kebenaran beroperasi bagi sektor perladangan dan komoditi oleh Kerajaan sepanjang PKP dan tempoh darurat. Sehubungan dengan itu KPPK mengunjurkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada tahun 2021 sebanyak 19.70 juta tan berbanding 19.14 juta tan pada tahun 2020. Ini berikutan jangkaan pengembangan kawasan tanaman sawit matang serta kesan cuaca kering yang mempengaruhi pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dan seterusnya pengeluaran MSM.
5. KPPK juga menyokong sepenuhnya Inisiatif 4 PERMAI iaitu Memperkukuh Saringan Kesihatan Pekerja. Kementerian akan memastikan para pemain industri agrikomoditi memperketatkan amalan prosedur operasi standard (SOP), menambah baik penginapan dan kawalan pergerakan pekerja asing serta meningkatkan saringan bagi menyokong usaha membendung penularan COVID19. Kementerian juga akan memastikan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dipatuhi kerana kegagalan mematuhinya boleh menyumbang kepada penyebaran wabak COVID-19.
6. Sebagai usaha kerajaan membantu rakyat khususnya golongan B40 dan M40, KPPK amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri melalui Inisiatif 5 PERMAI iaitu Mempercepatkan Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat dengan bayaran fasa terakhir Bantuan Prihatin Nasional, atau BPN 2.0 akan dipercepatkan iaitu mulai 21 Januari membabitkan seramai 11.1 juta penerima dengan bayaran sebanyak RM2.38 bilion. Bagi Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR pula, bayaran fasa pertama akan melibatkan lebih daripada 8 juta penerima.
7. KPPK berharap dengan pengumuman pakej bantuan khas PERMAI mampu menjadi stimulus kepada usaha merancakkan ekonomi negara walaupun dalam keadaan yang sukar ketika ini kesan wabak COVID-19.
DATO' DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 21 Januari 2021
PEMBANGUNAN PERUSAHAAN PRODUK KARAS/GAHARU AKAN TERUS DIPERTINGKATKAN DENGAN NILAI EKSPORT RM8.8 JUTA
1. Lawatan kerja ke kilang pemprosesan Pati Minyak Gaharu (PMG) adalah yang kali pertama sejak YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bertujuan untuk melihat pembangunan perusahaan pembuatan PMG di negara ini.
2. Selain itu, menyaksikan sendiri penglibatan penduduk luar bandar dan masyarakat di dalam sektor industri gaharu bermula dengan fasa perladangan, proses inokulasi pada pokok karas, pemprosesan gaharu (blok dan serpih), pemprosesan PMG dan pemasaran produk di pasaran tempatan serta antarabangsa yang dilaksanakan oleh syarikat Oud Agarwood Sdn Bhd di Kuala Balah, Jeli, Kelantan.
3. Industri penanaman karas terus berkembang pesat dengan bertambahnya bilangan ladang di Malaysia. Sehingga Disember 2019, sebanyak 217 syarikat/individu telah berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sebagai penanam karas berkeluasan 2,398 hektar dengan jumlah pokok sebanyak 2.3 juta. Jumlah pengeksport/pengimport gaharu yang berdaftar dengan MTIB adalah sebanyak 13 syarikat dan sebanyak 22 syarikat/individu adalah pengilang PMG manakala lebih 50 syarikat pengusaha produk gaharu dikenal pasti di seluruh Malaysia.
4. YB Menteri turut mengadakan pertemuan dengan pemain industri gaharu untuk mendengar pandangan mereka dalam usaha memperluaskan lagi potensi industri ini sehingga ke peringkat hiliran seperti usahawan wangian berasaskan gaharu dan lain-lain. 5. Penjualan hasil karas/gaharu masih banyak bergantung kepada pokok karas hutan dan tertakluk dengan kuota tahunan berdasarkan garis panduan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Liar Fauna atau Flora (CITES). Sepanjang tahun 2018 dan 2019, KPPK melalui MTIB telah menetapkan kuota eksport produk karas/gaharu adalah sebanyak 150,000 kilogram (kg).
6. Nilai eksport produk karas/gaharu negara pada tahun 2019 berjumlah RM8.8 juta melibatkan produk seperti kayu serpai dan blok gaharu (RM7.4 juta), PMG (RM0.96 juta) dan kepingan gaharu (RM0.44 juta). Manakala, sebanyak 3,742.40 kg PMG telah dieskport pada tahun yang sama.
7. Bagi meningkatkan pengeluaran dan jualan hasil karas, penekanan perlu diberi kepada pengeluaran ladang yang memerlukan proses inokulasi yang tepat supaya dapat menghasilkan gaharu. Pokok karas yang berjumlah lebih 2.3 juta di ladang negara ini, perlu dipastikan mampu menghasilkan gaharu dan penanam tidak terbeban untuk menggunakan kaedah inokulasi yang tepat.
8. Kementerian melalui MTIB akan terus menyokong dan membangunkan industri karas/gaharu agar ia terus berkembang melalui kerjasama persatuan, pemain industri dan agensi kerajaan yang lain. MTIB juga telah memohon peruntukan bagi projek pembangunan insentif usahawan dan pekebun kecil gaharu di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi menyokong industri ini.
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Kuala Balah, Jeli, Kelantan 21 Jun 2020
KENYATAAN MEDIA ANUGERAH PENANAM KENAF JAYA KEBANGSAAN IKTIRAF PEKEBUN KECIL BERKOMITMEN TINGGI DALAM MEMPERTINGKATKAN HASIL DAN KUALITI PENGELUARAN _______________________________________________________
1. YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah menyempurnakan penyampaian Anugerah Penanam Kenaf Jaya Kebangsaan pada hari ini. Majlis ini telah dihadiri oleh 200 orang yang terdiri daripada pekebun kecil dan pengusaha tanaman kenaf dari seluruh negara. Program Anugerah Penanam Kenaf Jaya ini telah dimulakan pada tahun 2014 dan diteruskan sehingga kini.
2. Anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada penanam kenaf yang memberikan komitmen tinggi serta sebagai galakan kepada penanam untuk mempertingkatkan lagi hasil dan kualiti secara berterusan pada masa hadapan.
3. Anugerah Penanam Kenaf Jaya Kebangsaan mempunyai tiga kategori iaitu:
a. Penanam Kenaf Jaya Bagi Pengeluaran Batang Kenaf, b. Pengeluaran Fiber Premium; dan c. Pengeluaran Biji Benih. Seramai sembilan orang telah menerima anugerah dalam pelbagai kategori.
4. Kenaf mempunyai pasaran meluas dan mempunyai permintaan tinggi. Penghasilan tuaian batang kenaf merekodkan jumlah yang memberansangkan dengan hasil sebanyak 6,450.10 tan melibatkan 934 orang penanam di seluruh Malaysia pada tahun 2020.
5. Selain itu, penghasilan biji benih berkualiti telah dihasilkan sebanyak 54.72 tan melibatkan 127 orang penanam kenaf bagi tahun 2020.
6. Tahun 2021 Malaysia masih berada dalam fasa pandemik dan industri kenaf turut terkesan. Namum hasil jualan domestik masih mampu mencapai nilai jualan sebanyak RM4.229 juta dan nilai eksport natural fiber ialah RM2.464 juta.
7. Kementerian melalui LKTN akan terus melaksanakan langkahlangkah yang perlu bagi terus meneraju dan mempelopori sektor kenaf ini agar terus dapat menyumbang dalam membangunkan industri komoditi negara
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 21 MAC 2022
BERHUBUNG PENGIMPORTAN SEMULA MINYAK SAWIT MENTAH MALAYSIA OLEH INDIA
India merupakan antara rakan dagang terpenting Malaysia dalam sektor agrikomoditi. Perkara ini terbukti di mana India telah menjadi pengimport terbesar minyak sawit dan produk berasaskan sawit pada tahun 2019 dengan jumlah sebanyak 4.5 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit berjumlah RM9.8 bilion. Jumlah eksport ini meningkat kira-kira 67% berbanding tahun 2018 dengan jumlah eksport sebanyak 2.7 juta tan.
Namun begitu, beberapa siri peristiwa telah mencetuskan trend kejatuhan mendadak dalam eksport minyak sawit Malaysia ke India. Sepanjang suku pertama tahun 2020, kebanyakan import minyak sawit oleh India adalah dari negara pengeluar lain. Berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport minyak sawit Malaysia ke India pada bulan Januari – April 2020 telah menunjukkan penurunan drastik hampir 94% kepada 96,145 tan berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019, iaitu 1.6 juta tan.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama MPOB dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) telah giat berusaha sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan mengadakan beberapa siri rundingan secara maya untuk menarik pengimport dari India agar membeli minyak sawit Malaysia.
Perubahan pendirian Kerajaan India yang tidak melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit ditapis juga telah membantu peningkatan import oleh negara berkenaan. Kerajaan Malaysia menyambut baik tindakan India untuk tidak memperbaharui arahan tersebut pada 4 Mac 2020. Di samping itu, kesediaan Kerajaan Malaysia untuk memastikan jurang dagangan yang sebelum ini menjadi isu juga merupakan faktor penting peningkatan tersebut.
Selain itu, salah satu sebab peningkatan import adalah kerana harga pasaran minyak sawit mentah yang kini berada di bawah paras percukaian duti eksport Malaysia. MPOC sentiasa memantau pasaran dan mendapati terdapat peningkatan signifikan sebanyak 47% minyak sawit yang didagangkan di Bursa Malaysia dengan peningkatan 66,427 lot semalam berbanding purata 45,200 lot setiap hari sepanjang minggu lalu.
Perkembangan hubungan diplomatik kini bertambah baik dengan kontrak belian minyak sawit bagi bulan Jun dan Julai 2020. Kerajaan menjangkakan situasi ini akan memberikan impak positif ke atas industri sawit dan ekonomi negara. Industri sawit negara memberikan pendapatan kepada hampir 500 ribu pekebun kecil sawit termasuk kira-kira 258 ribu pekebun kecil persendirian.
Kerajaan juga menjangkakan perkembangan baik ini akan mengukuhkan harga minyak sawit di pasaran dengan kembalinya pengimport India membeli minyak sawit daripada Malaysia. Semoga dengan perkembangan terbaharu ini, India akan terus mengimport minyak sawit Malaysia bagi memenuhi keperluan minyak sayuran dan lelemak negara tersebut.
Di kesempatan ini, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia komited untuk menjaga hubungan baik dengan Kerajaan India bagi meningkatkan lagi hubungan diplomatik dan perdagangan kedua-dua negara. Hubungan ini perlu supaya kepentingan kedua pihak dapat dipelihara dan rakyat dapat menikmati hasilnya.
KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN REBUT PELUANG PASARAN LEMAK BAKERI DI CHINA UNTUK TERUS PERKUKUH SEKTOR HILIRAN SAWIT NEGARA
1. Industri bakeri di China yang semakin mengembang, di mana lemak bakeri (shortening) merupakan antara bahan mentah utama dijangka mendorong keberlimpahan ekonomi bagi segmen hiliran sektor minyak sawit Malaysia.
2. Dengan produk bakeri seperti kek dan roti yang semakin popular di kalangan penduduk China, permintaan juga dijangka meningkat untuk bahan seperti shortening dan marjerin yang menggunakan minyak sawit sebagai bahan mentah.
3. Buat masa ini, pengeluaran tahunan shortening di China tidak mampu menampung permintaan penggunaan domestik yang semakin meningkat setiap tahun. Negara itu terpaksa mengimport bahan mentah terutamanya dari Indonesia dan Malaysia. Negara kita mengeksport sebanyak 7,655 tan metrik (MT) shortening ke sana pada tahun 2021.
4. Pada waktu yang sama, pasaran marjerin China juga berkembang pesat dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 20%. Negara paling ramai penduduk di dunia yang juga ekonomi global kedua terbesar itu mengimport bekalan marjerin dari Indonesia manakala jumlah import marjerin dari Malaysia pula adalah sebanyak 650 MT pada tahun 2021, dengan peningkatan sebanyak 10% daripada 590 MT pada tahun 2020.
5. Walaupun bahagian pasaran Malaysia dalam industri bakeri China ketika ini kecil, Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia mampu mengembangkan bahagian pasarannya dengan strategi promosi dan pemasaran yang betul. Mengambil kira perkara ini, pengeluar shortening dan marjerin tempatan harus secara proaktif menjalinkan hubungan dengan pengusaha bakeri terkemuka di China.
6. Walaupun masih terdapat sekatan secara sporadis kerana dasar sifar COVID-19 di China, pembukaan semula sempadan negara tersebut secara beransur-ansur kepada peniaga dalam masa terdekat boleh dijadikan peluang yang baik untuk pemain industri lemak bakeri Malaysia untuk membina hubungan perniagaan, sekali gus meningkatkan eksport ke negara tersebut.
7. Dari 2017 hingga 2021, saiz pasaran industri bakeri China telah meningkat kepada 265.7 bilion yuan (RM172.53 bilion) daripada 187.7 bilion yuan (RM121.88 bilion) dengan purata kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) kira-kira 9%, iaitu jauh lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan saiz pasaran industri bakeri global. Saiz pasaran industri makanan bakeri China dijangka mencecah 287.4 bilion yuan (RM186.62 bilion) pada 2022.
8. Selain itu, pendaftaran syarikat bakeri di China telah melonjak daripada 2,040 kepada 6,395 dalam tempoh 2017-2021 dengan purata CAGR kira-kira 33%. Dalam enam bulan pertama tahun ini sahaja, bilangan syarikat berkaitan bakeri di China yang berdaftar berjumlah 2,815. 2021 juga menyaksikan pelaburan dalam industri bakeri China mengatasi 26 industri lain dengan jumlah keseluruhan 6.14 bilion yuan (RM3.98 bilion). Ini disebabkan oleh pemulihan rancak ekonomi negara tersebut pasca COVID-19.
9. Untuk melengkapkan penyertaan industri hiliran minyak sawit, Kementerian ingin menekankan bahawa Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memulakan kempen "Gerakan Global untuk Memenangi Kebaikan Minyak Sawit" sebagai platform bagi mencetuskan kesedaran tentang kualiti minyak sawit Malaysia serta menangkis dakyah dan berita palsu mengenai komoditi nombor satu negara.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 21 SEPTEMBER 2022