INFO ARKIB ELEKTRONIK

 

KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA

DI

MAJLIS PELANCARAN
PROGRAM BIODIESEL B20 DI SEKTOR PENGANGKUTAN

20 FEBRUARI 2020
DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR

1. Kerajaan telah melaksanakan Program Biodiesel B20 (adunan 20% metil ester sawit (PME) dan 80% diesel petroleum) di sektor pengangkutan secara berfasa pada Januari 2020 bermula di Langkawi serta Labuan dan akan diperluaskan ke Sarawak (April 2020), Sabah (Ogos 2020) dan seterusnya seluruh Semenanjung Malaysia pada Jun 2021.

2. Sebelum ini, Kerajaan telah melaksanakan secara mandatori Program Biodiesel B10 (adunan 10% PME dan 90% diesel petroleum) di sektor pengangkutan pada 1 Februari 2019 dan Program Biodiesel B7 (adunan 7% PME dan 93% diesel petroleum) di sektor industri pada 1 Julai 2019.

3. Dengan usahasama syarikat-syarikat petroleum seperti Petronas, Shell, Petron, Chevron dan BHP, biodiesel B20 akan dibekalkan secara berfasa ke lebih 3,400 buah stesen minyak di seluruh Malaysia mengikut pelan pelaksanaan Program Biodiesel B20. Pelaksanaan Program B20 dijangkakan dapat dilaksanakan sepenuhnya pada pertengahan tahun 2021.

4. Sebagai pilihan kepada pengguna, Euro5 B7 masih dijual di stesen-stesen minyak tertentu manakala stesen-stesen minyak di tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands di Pahang, dan Kundasang di Sabah akan terus membekalkan B7.

5. Pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan adalah satu langkah proaktif Kerajaan bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik dengan anggaran pertambahan penggunaan minyak sawit sebanyak 534,000 tan setahun. Menerusi pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan and pengekalan Program Biodiesel B7 di sektor industri pada masa ini, kira-kira 1,300,000 tan minyak sawit setahun akan digunakan dalam negara dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.8 juta tan CO2 setara setahun.

6. Pelaksanaan program biodiesel menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap pengurangan pelepasan GHG dan kebergantungan tenaga bahan api fosil serta menggerakkan Malaysia ke arah pembangunan tenaga mapan untuk generasi akan datang.

KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
20 FEBRUARI 2020

Jata

KENYATAAN MEDIA


SUBSIDI MINYAK MASAK KURANGKAN IMPAK NEGATIF TURUN
NAIK HARGA MINYAK SAWIT DI PASARAN DUNIA


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dengan isu kenaikan harga minyak masak di pasaran tempatan yang berlegar di media sosial kebelakangan ini yang mengaitkannya dengan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM). Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa sekitar 1 juta tan minyak sawit adalah untuk kegunaan pasaran minyak masak tempatan dengan pecahan 0.72 juta tan untuk yang bersubsidi dalam paket plastik 1 kilogram (kg). Manakala, selebihnya sebanyak 0.28 juta tan adalah tidak bersubsidi yang boleh didapati dengan botol 1 kg hingga 5 kg dan tin 17 kg.

2. Dalam masa yang sama, Malaysia mengeksport sebanyak 24 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM64.8 bilion bagi tempoh dari Januari hingga November 2020.

3. Sepanjang tahun 2019 hingga 2020, harga purata MSM di pasaran tempatan telah mencatatkan paras terendah pada Julai 2019 iaitu RM1,879.00 satu tan dan meningkat ke paras tertinggi iaitu RM3,620.50 satu tan pada Disember 2020. Harga MSM telah meningkat sebanyak 92.7 peratus atau RM1,741.50 satu tan berbanding paras terendah yang direkodkan pada tahun 2019. Harga minyak sawit dan produk berasaskan sawit adalah ditentukan oleh pasaran dunia melibatkan faktor-faktor seperti pemintaan dan
penawaran minyak serta lelemak dunia serta pelbagai faktor lain.

4. Peningkatan harga MSM ini juga telah meningkatkan hasil kepada negara selain dapat membantu kira-kira 500,000 pekebun kecil sawit meningkatkan taraf sosioekonomi pada ketika ini. Kementerian berharap agar harga pasaran sawit dunia akan terus kekal tinggi bagi tahun 2021 supaya rakyat dapat menikmati manfaat daripada kenaikan harga tersebut melalui pulangannya oleh Kerajaan.

5. Walaupun harga MSM telah meningkat dengan ketara dalam tempoh antara Julai 2019 hingga Januari 2021, namun peningkatan harga minyak masak di pasaran tempatan adalah pada kadar rendah. Ini menunjukkan strategi subsidi yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengurangkan impak negatif akibat turun naik harga minyak sawit di pasaran dunia terhadap pengguna tempatan. Selain itu, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli minyak masak bersubsidi 1 kg pada harga RM2.50 terutamanya bagi golongan B40.

YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
20 Januari 2021

Jata

KENYATAAN MEDIA


KPKK YAKIN STRATEGI PEMULIHAN EKONOMI PEMERKASA SINERGI MELONJAKKAN SEKTOR AGRIKOMODITI NEGARA

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat menghargai keprihatinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menambah peruntukan sebanyak RM20 juta dalam bentuk geran padanan bagi membantu Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) melalui pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) semalam.

2. Melalui Inisiatif Kesembilan PEMERKASA menerusi Fokus Kedua: Memacu Pemulihan Ekonomi iaitu Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi ini, peruntukan tersebut akan memberikan manfaat kepada 65 KPSM dengan keahlian seramai 6,000 peserta. Semasa Belanjawan 2021, kerajaan sudah pun meluluskan geran padanan sebanyak RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi bagi merancakkan industri sawit khususnya di peringkat penuaian di ladang.

3. Selain itu Geran Padanan Digitalisasi di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) yang sebelum ini dimanfaatkan oleh syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang turut diperluaskan kepada koperasi akan memberikan manfaat untuk koperasi-koperasi agrikomoditi yang akan diperkasakan lagi selepas ini oleh KPPK bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka melalui platform digital.

4. KPPK turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada kementerian ini dengan peruntukan sewajarnya dalam memacu pertumbuhan industri agrikomoditi negara ke tahap yang lebih tinggi. Komitmen tidak berbelah bahagi oleh kementerian bagi memastikan sentiasa bersedia melaksanakan program serta inisiatif ke arah pengukuhan ekonomi negara.

5. Dengan adanya dana tambahan ini, KPPK yakin sasaran eksport sawit pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM75 bilion mampu dicapai berikutan penambahan pembelian jentera dan perolehan mekanisasi dapat dipertingkatkan. Ia disokong dengan penglibatan koperasi sawit secara aktif bagi menjana pendapatan pekebun kecil sawit di seluruh negara. Jumlah eksport sektor agrikomoditi bagi tahun 2020 meningkat 17.11 peratus kepada RM150.5 bilion berbanding RM128.5 bilion pada 2019.

6. Tahun ini merupakan tahun yang penuh dengan cabaran. Namun, KPPK akan terus gigih mendepani cabaran membangunkan industri agrikomoditi negara yang merupakan penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar. Kementerian yakin dan percaya bahawa peranan tersebut mampu digalas demi mencapai hasrat kerajaan dan rakyat

 

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
20 Mac 2021

 

KENYATAAN MEDIA

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

BERHUBUNG PELAKSANAAN INSENTIF PENGELUARAN GETAH (IPG) KEPADA PEKEBUN KECIL GETAH SEHINGGA MAC 2020

1. Pada hari ini, 20 Mei 2020, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai pelaksanaan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada pekebun kecil getah sehingga Mac 2020.


2. IPG merupakan salah satu bentuk bantuan khas yang diberikan oleh Kerajaan bagi menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan pekebun kecil getah supaya mereka terus menjalankan aktiviti penorehan bagi menyokong industri getah negara.


3. IPG mula dilaksana sejak September 2015 dengan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG terkini pada harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 sebanyak RM6.10 sekilogram atau harga getah sekerap (cuplump) sebanyak RM2.50 sekilogram. IPG akan teraktif apabila harga purata bulanan SMR20 atau cuplump di bawah PHP tersebut. Pekebun kecil akan dibayar IPG berdasarkan perbezaan harga PHP dan harga semasa cuplump.


4. Bagi tempoh September 2015 sehingga Mac 2020, Kerajaan telah membuat pembayaran IPG sebanyak RM282.3 juta bagi 462.7 juta kilogram getah merangkumi 2.0 juta tuntutan di seluruh Malaysia. Pekebun kecil yang layak menuntut IPG perlu memiliki kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang mana sehingga bulan Mac 2020, sebanyak 456,421 kad PAT-G telah didaftarkan di seluruh Malaysia.


5. Walau bagaimanapun, Kementerian mendapati bahawa pekebun kecil yang menuntut IPG adalah rendah dan dianggarkan secara purata hanya 12.4% sahaja. Sehubungan itu, Kementerian melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan memperkasa dan menambahbaik mekanisme IPG agar hasrat Kerajaan untuk membela nasib pekebun kecil lebih terbela di bawah Kerajaan yang prihatin.


6. Dalam hal ini, LGM sedang giat mempromosikan penggunaan RRIMNIAGA di kalangan pembeli getah berlesen bagi memudahkan pekebun kecil. Mereka tidak perlu lagi menuntut IPG kerana semua transaksi penjualan dan pembelian getah akan direkodkan di dalam pangkalan data LGM. Rekod tersebut akan disemak oleh LGM dan sekiranya layak, IPG akan terus disalurkan ke dalam akaun pekebun kecil.


7. Dengan adanya penggunaan teknologi seperti ini secara meluas, adalah dijangkakan pekebun kecil akan banyak menerima manfaat sejajar dengan hasrat Kementerian untuk memperkasa pekebun kecil dan membangunkan industri getah negara ke tahap yang lebih tinggi.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 MEI 2020
PUTRAJAYA

 

 

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN AKAN PANTAU PERKEMBANGAN TERKINI DI INDONESIA;
YAKIN PERMINTAAN MSM AKAN KEKAL STABIL


Hakikat bahawa inventori minyak sawit meningkat buat kali pertama sejak Oktober 2021 sebanyak 11.5% bulan ke bulan kepada 1.64 juta tan pada April 2022 didorong oleh pengeluaran yang lebih tinggi (+3.6% kepada 1.46 juta tan) dan eksport yang lebih lemah (- 17.7% hingga 1.06 juta tan) tidak sepatutnya membimbangkan.


Ini kerana simpanan minyak sawit berkemungkinan dijangka merosot pada Mei 2022 berikutan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah (berpunca daripada bulan Ramadhan) dan eksport yang lebih kukuh (berikutan langkah Kerajaan Indonesia baru-baru ini untuk meluaskan larangan eksport ke atas bahan mentah untuk minyak masak).


Ini juga berikutan eksport yang lebih rendah ke China (-50.8%), Kesatuan Eropah (EU) (-23.2%) dan Pakistan (-90.3%) disebabkan beberapa faktor termasuk (i) sekatan ketat COVID-19 yang menghalang penghantaran minyak sawit ke China, dan (ii) penyusutan permintaan akibat harga yang tinggi.


Namun begitu, data awal daripada AmSpec Agriculture Malaysia menunjukkan bahawa permintaan minyak sawit telah melonjak sebanyak 40.32% dalam tempoh 10 hari pertama bulan Mei sahaja disebabkan larangan eksport Indonesia, ringgit yang lemah dan harga minyak kacang yang secara relatifnya, lebih tinggi.


KENAIKAN HARGA MINYAK SAWIT MENTAH (MSM)


Harga MSM melonjak melepasi paras RM7,000/tan sehingga mencecah paras tertinggi iaitu RM7,516/tan berikutan tindakan Indonesia untuk mengharamkan eksport minyak sawit mulai 28 April. Larangan itu hanya akan ditarik balik jika harga minyak masak pukal turun kepada 14,000 rupiah/liter di seluruh Indonesia (sehingga 6 Mei, purata harga minyak masak tempatan telah turun kepada 17,200 rupiah/liter daripada sekitar 26,000 rupiah/liter).


Memandangkan Indonesia bergantung kepada eksport minyak sawit dan keputusan ini boleh memberi kesan kepada ekonomi Indonesia, larangan eksport Indonesia seperti yang dijangka telah pun ditarik balik sebagaimana yang telah diumumkan oleh Presiden Joko Widodo semalam.


Namun memandangkan situasi penarikan semula larangan ini adalah masih terlalu awal untuk dilihat kesannya ke atas penawaran dan permintaan ke atas industri minyak sawit Malaysia, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK) akan tetap meneruskan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk kemungkinan mengurangkan cukai eksport minyak sawit Malaysia kepada 4%-6% daripada 8%, dan pada masa yang sama, melambatkan pelaksanaan mandat biodiesel Malaysia untuk membantu memenuhi permintaan global di tengah-tengah kekurangan minyak makan.


Cadangan pemotongan sementara ini sedang masih di dalam peringkat awal perbincangan dan keputusan adalah tertakluk kepada keputusan Kementerian Kewangan. Namun begitu, KPKK menggesa pemain industri untuk menumpukan perhatian kepada pembolehubah pasaran yang mampu mencetuskan ketidaktentuan harga.


Antara pembolehubah ini adalah


(i) dasar eksport Indonesia;
(ii) pemulihan pengeluaran minyak sawit di Malaysia;
(iii) pelarasan dasar biodiesel di pelbagai negara;
(iv) perkembangan konflik Rusia-Ukraine; dan
(v) cuaca di AS dan Amerika Selatan.


PROSPEK CERAH (BUAT MASA INI)


Statistik eksport pada bulan April mungkin agak mengelirukan memandangkanpermintaan antarabangsa untuk minyak makan, termasuk minyak sawit, adalah jauh lebih lemah. Harga April juga mungkin lebih rendah berbanding Mac namun kekal pada paras yang belum pernah dicapai sebelum ini.


Setakat ini, harga MSM adalah pada purata RM6,300/tan, satu kadar yang jauh lebih tinggi daripada purata RM4,300/tan seperti yang diunjurkan oleh penganalisis pasaran untuk 2022. Harga MSM berkemungkinan akan turun disebabkan aliran naik yang belum selesai dalam pengeluaran tandan buah segar (FFB). Namun begitu, harga MSM sepatutnya kekal tinggi disebabkan faktor-faktor berikut:


• Isu Bekalan: Bekalan minyak masak yang bersaing dengan minyak sawit. Harga minyak sayuran seperti minyak kacang soya, biji sesawi dan bunga matahari juga kukuh. Bersama-sama dengan pengeluaran minyak sawit yang lebih kuat pada separuh kedua tahun 2022, bekalan minyak dan lemak yang boleh dimakan akan berkurangan menjelang suku keempat 2022, tetapi tidak banyak. Prospek pemulihan dijangka lebih tinggi pada tahun 2023; oleh itu, harga minyak sawit mungkin kekal tinggi sehingga pertengahan 2023.


• Permintaan stabil: Walaupun terdapat kejatuhan permintaan disebabkan harga yang sangat tinggi, secara keseluruhan, pasaran minyak sawit dijangka kekal teguh. Cabaran Indonesia untuk memenuhi keperluan domestik menunjukkan kekuatan pasaran antarabangsa minyak sawit.


• Permintaan dari China: Pasaran utama minyak sawit, China, bersedia untuk meningkatkan permintaan minyak sawitnya pada akhir tahun kerana ekonominya hanya dibuka semula secara beransur-ansur daripada wabak COVID-19. Begitu juga, permintaan daripada EU berkemungkinan meningkat berikutan gangguan bekalan tradisional minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi dari Ukraine dan Rusia.


• Kenaikan harga minyak: Konflik Rusia-Ukraine juga telah mengakibatkan kenaikan harga bahan api hidrokarbon, mewujudkan permintaan terpendam untuk bio bahan api jika harga minyak sayuran turun. Kementerian akan terus memantau situasi terkini yang melibatkan perubahan polisi Indonesia dan seterusnya memastikan industri sawit yang merupakan komoditi utama
negara terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, sekaligus memberi manfaat kepada semua terutamanya pekebun kecil dan pemain industri.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 MEI 2022