KUNJUNGAN HORMAT OLEH SEKRETARIAT COUNCIL OF PALM OIL PRODUCING COUNTRIES (CPOPC) KE ATAS
YB MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Pada 19 Mei 2020, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Bin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah menerima kunjungan hormat oleh YBhg. Tan Sri Datuk Dr. Yusof Basiron, Pengarah Eksekutif, Council Of Palm Oil Producing Countries(CPOPC).
CPOPC yang merupakan organisasi pengeluar sawit telah ditubuhkan bersama oleh Malaysia dan Indonesia pada tahun 2015 bagi memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan industri sawit. Sebagai negara pengeluar terbesar dan kedua terbesar di dunia, Indonesia dan Malaysia berusaha untuk mencari kesepakatan dalam membangunkan industri sawit dan menjaga kepentingan industri berkenaan kepada kedua-dua negara. Dalam tempoh terdekat, Columbia dan Ghana dijangka akan menyertai CPOPC secara rasmi. Beberapa negara lagi telah menunjukkan minat untuk menganggotai CPOPC yang kini dipengerusikan oleh Malaysia sehingga 31 Disember 2020.
Semasa sesi kunjungan hormat, pelbagai isu berkaitan dengan industri sawit telah dibincangkan yang antara lain seperti:
usaha mempertingkatkan kerjasama Malaysia dengan CPOPC;
komitmen dan tindakan Malaysia dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan kempen anti-minyak sawit bagi menjaga kepentingan industri sawit; dan
cadangan mengatasi isu berkaitan harga minyak sawit mentah rendah yang memberi kesan kepada pihak berkepentingan terutama pekebun-pekebun kecil dan pihak industri.
KPPK turut menzahirkan penghargaan kepada Sekretariat CPOPC dan berharap ia akan menjadi jambatan kepada hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.
PRAPELANCARAN KEMPEN SAWIT ANUGERAH TUHAN HARGAI SUMBANGAN BESAR INDUSTRI SAWIT
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kempen ini bertujuan untuk menghargai sumbangan besar industri sawit kepada negara selama ini, di samping meningkatkan kesedaran terhadap khasiat dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada masyarakat.
2. KPPK melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan melaksanakan kempen ini dengan memberi tumpuan kepada peranan yang dimainkan oleh industri sawit negara dalam pembangunan sosioekonomi. Selain itu, sumbangan sektor sawit terhadap industri makanan dan bukan makanan merangkumi produk kesihatan serta pemuliharaan alam sekitar akan turut diberi penekanan.
3. Pelbagai aktiviti promosi bagi menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat akan dijalankan di seluruh negara menerusi pelbagai platform. Pelaksanaan program secara bersepadu merangkumi aktiviti fizikal dan maya akan dijalankan. Penggunaan media baru dan aplikasi sosial akan menjadi keutamaan dengan elemen pendidikan, kesedaran, tarikan visual serta nilai diterapkan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.
4. Sawit merupakan anugerah Tuhan yang cukup istimewa dengan pelbagai kelebihan. Ia dizahirkan melalui pengenalan Logo Rasmi kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang berasaskan konsep kehebatan dan kemampanan sawit melalui kombinasi empat warna menarik. Warna merah melambangkan pelbagai khasiat minyak sawit kepada kesihatan, melalui sumber kandungan beta-karotena dan Vitamin E tokotrienol yang tinggi. Warna tersebut juga menandakan kelebihan penggunaan minyak sawit Malaysia dalam pelbagai produk makanan dan bukan makanan. Daun sawit yang menghijau melambangkan kelestarian alam sekitar dan lingkaran kuning keemasan di sekeliling logo menggambarkan pengeluaran minyak sawit mampan. Buah sawit pula melambangkan keuntungan berterusan dan berkekalan yang amat bernilai bukan sahaja kepada negara, bahkan kepada seluruh dunia.
5. Moto ‘Sawit Anugerah Tuhan’ dalam warna putih melambangkan kesucian produk sawit Malaysia yang jelas dari aspek halalan-thoyyiban. Paparan dalam tipografi moden menggambarkan hala tuju industri minyak sawit negara yang sentiasa dinamik, bertujuan menarik minat golongan muda untuk menghargai dan terlibat dalam bidang komoditi ini.
6. Sempena pra-pelancaran kempen hari ini, KPPK mengedarkan sebanyak 550 pelitup muka dengan logo rasmi kempen kepada semua Ahli Parlimen, kenamaan dan media sebagai simbolik kesepaduan kempen ini dengan usaha memerangi pandemik wabak COVID-19 selain menzahirkan pelaksanaan kempen dengan norma baharu.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 19 November 2020
KENYATAAN MEDIA PEROLEHAN EKSPORT PRODUK AGRIKOMODITI TERUS CATAT LONJAKAN RM155 BILION PADA SUKU KETIGA 2021
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memaklumkan perolehan eksport produk agrikomoditi bagi suku ketiga tahun 2021 melonjak sebanyak 49 peratus kepada RM155 bilion berbanding RM104 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2020. Faktor peningkatan ini adalah berikutan kenaikan harga harian minyak sawit mentah sehingga yang tertinggi dalam sejarah iaitu RM5,404 setiap tan dan pertambahan lebih 100 peratus eksport sarung tangan getah.
2. Sehingga September lalu, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar sebanyak 48 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM74 bilion. Nilai yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya adalah RM52 bilion. Namun begitu, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak 6 peratus.
3. Pandemik COVID-19 terus memberikan kesan kepada pengeluaran dan eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia malah kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia. Bagaimanapun isu berkenaan dijangka dapat diatasi apabila kemasukan 32,000 pekerja asing di sektor perladangan direalisasikan mulai awal bulan depan.
4. Bagi produk getah yang menyumbang sebanyak 38 peratus kepada keseluruhan nilai eksport berkenaan, telah meningkat sebanyak 89 peratus kepada RM59 bilion berbanding RM31 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. Nilai eksport produk berasaskan lateks seperti sarung tangan getah dan lain-lain terus melonjak sebanyak 111 peratus kepada RM49 bilion berbanding RM23 bilion dalam tempoh sama pada tahun lalu. Sarung tangan getah yang kebanyakannya untuk kegunaan perubatan, mencatat kenaikan sebanyak 118 peratus kepada RM47 bilion berbanding RM22 bilion pada suku ketiga 2020.
5. Dalam pada itu, produk berasaskan kayu-kayan telah menyumbang sebanyak 10.3 peratus. Nilai eksport sektor ini telah meningkat 1.15 peratus kepada RM16 bilion dibandingkan RM15.7 bilion pada tempoh sama 2020.
6. Eksport produk koko turut mencatatkan kenaikan sebanyak 10 peratus kepada RM5.1 bilion berbanding tahun sebelumnya iaitu RM4.6 bilion. Senario itu turut membabitkan produk lada yang meningkat sebanyak 18 peratus kepada RM100 juta berbanding RM85 juta pada tempoh sama 2020.
7. Berdasarkan prestasi yang direkodkan, KPPK yakin dapat mencatatkan pertumbuhan dan nilai yang lebih baik menjelang suku keempat 2021 berbanding tahun 2020. Kementerian juga yakin sasaran nilai eksport sebanyak RM180 bilion tahun ini mampu dicapai.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Putrajaya 19 November 2021
KENYATAAN MEDIA KPPK YAKIN UNJURAN PENDAPATAN KOKO RM6.5 BILION TAHUN INI MAMPU DICAPAI
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini melakukan lawatan kerja ke tapak lokasi cadangan pembangunan hab perdagangan koko di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor. Di samping itu beliau mengadakan pertemuan dengan pengisar dan pengilang coklat selain taklimat berkaitan projek pembangunan industri koko oleh PTP dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
2. Industri koko telah menyumbang sebanyak RM6.2 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun 2020. Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, pendapatan eksport telah mencecah RM4.5 bilion, justeru, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin unjuran pendapatan keseluruhan bagi tahun 2021 sebanyak RM6.5 bilion mampu dicapai.
3. Perkembangan ini disokong oleh pertumbuhan positif dalam pasaran eksport dan produk-produk koko yang berkembang pada kadar tahunan sebanyak 3.2 peratus sejak tahun 2014. Produk berasaskan koko seperti coklat, lemak koko, serbuk koko dan pes koko di Malaysia mempunyai liputan pasaran yang luas dan diterima baik oleh pengguna peringkat antarabangsa.
4. Pada tahun lepas juga, Malaysia adalah negara pemproses biji koko yang kedua terbesar di Asia dan keenam di dunia yang menyumbang sebanyak 7 peratus jumlah pengisaran dunia. Dalam tempoh 5 tahun hingga 2020, nilai eksport coklat telah meningkat sebanyak 98.7 peratus, peningkatan juga membabitkan serbuk koko dan lemak koko, masing-masing sebanyak 31.4 peratus dan 16 peratus.
5. Kementerian menerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) dalam perancangan untuk membangunkan hab perdagangan koko di Pelabuhan Pasir Gudang dan PTP. Kedua-dua pelabuhan tersebut telah tersedia infrastruktur, tenaga kerja dan jaringan domestik yang sangat baik.
6. KPPK berharap dengan lawatan yang dilaksanakan akan dapat meningkatkan lagi kerjasama di antara Kementerian, agensi kerajaan tempatan dan pihak industri bagi merancakkan lagi pembangunan sektor koko khususnya di Johor.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Gelang Patah, Johor 10 Oktober 2021
PROGRAM VAKSINASI BARISAN HADAPAN EKONOMI SEKTOR AGRIKOMODITI SASAR MATLAMAT KOMUNITI KELOMPOK
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik keputusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) pada 1 Julai 2021 yang telah meluluskan sektor perladangan dan komoditi sebagai sektor ekonomi keempat yang terlibat dalam program Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN).
2. Dalam menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada kumpulan barisan hadapan ekonomi, kelulusan yang telah diberikan oleh CITF adalah merupakan perkhabaran yang sangat ditunggu-tunggu oleh industri sektor itu.
3. Dua lokasi PPVIN dijangka akan beroperasi selewat-lewatnya akhir bulan ini untuk pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang akan memfokuskan kepada sektor perladangan sawit di Ladang Tennamaram di Bestari Jaya, Selangor dan juga di Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC) di Olak Lempit, Banting, Selangor.
4. Nama khas untuk PICK di bawah sektor agrikomoditi yang akan dilaksanakan ini ialah Program Vaksinasi untuk Sektor Agrikomoditi atau Vaccination Programme for the Agricommodity Sector (VACOMS).
5. KPPK juga amat menghargai penglibatan langsung pemain industri daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) bersama Sime Darby Plantation Berhad (SDPB) bagi pengoperasian PPVIN di Ladang Tennamaram yang mensasarkan 6,400 pekerja dan penglibatan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi pengoperasian PPVIN di FIDEC, Olak Lempit yang mensasarkan 7,800 pekerja.
6. Kementerian amat mengharapkan lebih banyak PPVIN sektor agrikomoditi akan dapat dibuka oleh pihak industri serta persatuan bagi membantu Kerajaan menjayakan PICK dalam tempoh yang telah disasarkan bagi mencapai imuniti kelompok untuk menjayakan matlamat Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Walau bagaimanapun, pembukaan PPVIN yang seterusnya adalah tertakluk kepada pertimbangan serta kelulusan CITF.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 2 Julai 2021