INFO ARKIB ELEKTRONIK

 

KENYATAAN MEDIA

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

BANTUAN KEPADA PENANAM KENAF DAN INSENTIF PENGELUARAN GETAH (IPG) UNTUK PEKEBUN KECIL NEGERI KEDAH

SEMPENA LAWATAN KERJA MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI KE KEDAH

 

1. Pada hari ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menyampaikan Bantuan Prihatin Kenaf 2020 berjumlah RM47,950 kepada 54 penanam kenaf yang mengusahakan seluas 95.5 hektar tanaman di negeri ini.

2. Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memperuntukkan sebanyak RM968,680 bantuan prihatin khusus kepada penanam-penanam kenaf di seluruh negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Jumlah ini melibatkan 1,357 penanam dengan keluasan tanaman 1,937.36 hektar.

3. Peruntukan yang disalurkan melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ini diberikan dalam bentuk input pertanian pada kadar RM500 bagi setiap hektar tanaman.

4. YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin turut melawat pejabat LKTN Kedah dan telah diberi taklimat mengenai operasi Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf serta demonstrasi pemprosesan biji benih kenaf.

5. Pada majlis berasingan pagi tadi, seramai 20 pekebun kecil menerima Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berjumlah hampir RM6,000. Ia adalah insentif yang disediakan oleh kerajaan bertujuan untuk menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan pekebun kecil.

6. IPG diaktifkan sekiranya harga purata bulanan SMR 20 FOB berada di paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang berada pada paras RM2.50 sekilogram ke bawah. Tuntutan IPG di negeri Kedah sehingga 30 April 2020 adalah sebanyak 35,284 pekebun kecil membabitkan sejumlah RM6.5 juta.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
15 JUN 2020

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
PENUBUHAN JAWATANKUASA DAKWAAN BURUH PAKSA LANGKAH
WAJAR SELESAI ISU MINYAK SAWIT DAN GETAH


Washington, D.C -15 Mei 2022. Saya amat mengalu-alukan keputusan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja dengan Kerajaan Malaysia bagi menangani isu dakwaan buruh paksa. Ini adalah langkah wajar untuk menyelesaikan isu berkaitan komoditi negara khususnya minyak sawit dan getah.


Dalam semangat Keluarga Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Sumber Manusia YB Datuk Seri M. Saravanan kerana mendapat komitmen daripada CBP untuk menubuhkan jawatankuasa kerja ini semasa lawatan beliau ke AS yang sedang berlangsung. Semasa lawatan kerja saya ke AS yang dijadualkan bermula dari 11 Mei hingga 16 Mei 2022, Kementerian akan lakukan perkara susulan lebih dekat dengan pihak berkuasa di sini demi mencari penyelesaian segera. Saya juga akan mengadakan beberapa mesyuarat penting dan saya yakin resolusi yang baik boleh dicapai dalam tempoh terdekat.


Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kebanyakan dakwaan buruh paksa yang dibuat oleh NGO dan kumpulan berkepentingan lain, tidak disahkan oleh pihak berkuasa AS. Namun tindakan ke atas produk Malaysia seperti minyak sawit dan produk minyak sawit telah diambil dan ini merupakan langkah yang kurang adil kepada industri komoditi negara kita. Kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif bagi memantau dan mencegah buruh paksa dengan terus komited untuk hapuskan buruh paksa dan buruh kanak- kanak melalui ratifikasi Konvensyen Asas Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) No. 29 (Buruh Paksa) dan Konvensyen No.182 (Worst Forms of Child Labour).


Di samping itu, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen No.98 (Perundingan Bersama), Konvensyen No.100 (Imbuhan Sama Rata) dan Konvensyen No.138 (Umur Minimum) dan Konvensyen no.131 (Gaji Minimum). Konvensyen-konvensyen ini menyediakan panduan dalam menentukan kewajipan Malaysia berkenaan dengan perlindungan hak pekerja asing. Pada masa ini, Malaysia juga telah terlibat dalam Projek BRIDGE dengan ILO, bertujuan menyokong usaha dalam memerangi buruh paksa di bawah Protokol 29 (Protokol tambahan kepada Konvensyen 29) sebagai panduan tentang langkahlangkah untuk menghapuskan semua bidang buruh paksa (pencegahan, perlindungan terhadap mangsa dan akses kepada keadilan). Malaysia juga telah menjalankan kajian menyeluruh mengenai The Labour Situation in Palm Oil Plantation Sector in Malaysia pada tahun 2018. Dapatan kajian ini telah dihantar ke Jabatan Buruh Amerika Syarikat (US DOL) dan diterbitkan sebagai dokumen awam. Pada 19 November 2021, Kerajaan Malaysia juga telah bersetuju untuk meratifikasi Protokol ILO 29 yang merupakan Protokol 2014 kepada Konvensyen Buruh Paksa, 1930, serta penyertaan Malaysia sebagai negara Pathfinder di bawah SDG Alliance 8.7 sebagai sebahagian usaha berterusan usaha kerajaan membasmi buruh paksa di Malaysia.


Kerajaan melalui Kementerian akan terus memastikan industri komoditi negara yang merupakan antara penyumbang utama kepada pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19 akan terus dilindungi dari propaganda mengelirukan dari pelbagai pihak. Saya juga ingin menyeru agar semua rakyat Malaysia bersama KPPK dalam usaha menentang kempen anti-sawit dan terus mempromosi kebaikan minyak sawit Malaysia yang penuh kebaikan.

 

YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

 

KPPK TUMPU EMPAT KOMODITI UTAMA DI KELANTAN

 Kuala Lumpur, 15 Ogos: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bersetuju untuk memberikan tumpuan kepada empat komoditi utama di Kelantan iaitu karas, buluh, koko dan lada bagi memajukan ekonomi negeri seterusnya negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sehubungan itu pihaknya sedia untuk berbincang dengan lebih terperinci seperti memfokuskan kepada penanaman karas berkaitan penyediaan kaedah inokulasi bagi memastikan pokok itu menghasilkan gaharu yang berkualiti tinggi.

Katanya, KPPK bercadang menawarkan geran bahan inokulasi mulai tahun hadapan dan kerajaan negeri boleh menyediakan dana untuk proses tanaman semula menggunakan benih yang dibekalkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk tujuan terbabit.

"Bagi prospek buluh pula, cadangan Bandar Baru Dabong sebagai lokasi Hab Buluh Negara kita amat alu-alukan dan kementerian sedia memberikan bantuan kerana buluh ini mesti ditanam secara perladangan untuk memastikan bekalan yang konsisten.

"Kelantan boleh ambil peluang ini kerana industri buluh, pasaran antarabangsanya bernilai AS$65 bilion (RM273 bilion)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama delegasi kerajaan negeri yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail di Parlimen, kelmarin.

Selain itu, Mohd. Khairuddin berkata, kementerian juga berhasrat melanjutkan perbincangan secara lebih terperinci dengan kerajaan negeri untuk mengembangkan tanaman koko dan lada di negeri berkenaan.

Bagi tanaman koko, beliau sendiri amat berminat dengan industri penghasilan coklat yang merupakan sektor hiliran komoditi itu berikutan prospeknya yang amat baik selain memberikan peluang kepada usahawan tempatan kecil dan sederhana memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

"Ia memang menjadi fokus saya untuk menjadikan Malaysia ini 'Raja Coklat Asia', dan untuk itu kita akan isytihar Langkawi sebagai Hab Coklat Malaysia," katanya.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
15 Ogos 2020

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

PEROLEHAN EKSPORT PRODUK AGRIKOMODITI MELONJAK 65 PERATUS KEPADA RM105 BILION PADA SUKU KEDUA 2021

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan perolehan eksport agrikomoditi dan produk agrikomoditi bagi suku kedua tahun 2021 melonjak sebanyak 65 peratus kepada RM105 bilion berbanding nilai dalam tempoh yang sama pada tahun 2020 iaitu hanya RM64 bilion.

2. Sehingga Jun tahun ini, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM46 bilion. Nilai yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya adalah RM33 bilion. Namun begitu, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak 5 peratus kepada 11.5 juta tan.

3. Pandemik COVID-19 terus memberikan kesan kepada pengeluaran dan eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia malah kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia. Melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan sehinggalah kepada Program Pemulihan Negara (PPN) secara berjadual sepanjang enam bulan ini telah memberikan kesan secara langsung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan agrikomoditi itu.

4. Malaysia masih berhadapan masalah kekurangan pekerja di ladang sawit. Bagaimanapun, berikutan prestasi yang memberansangkan ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin sasaran eksport sawit sebanyak RM75 bilion tahun ini mampu dicapai.

5. Bagi produk getah yang menyumbang sebanyak 42 peratus kepada keseluruhan nilai eksport barangan agrikomoditi berkenaan, telah meningkat mendadak sebanyak 150 peratus kepada RM44 bilion daripada RM17.77 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. Berikutan pandemik COVID-19, nilai eksport produk berasaskan lateks seperti sarung tangan getah dan lain-lain melonjak sebanyak 200 peratus kepada RM37 bilion berbanding RM12 bilion dalam tempoh sama pada tahun 2020. Sarung tangan getah yang kebanyakannya untuk kegunaan perubatan, mencatat pertumbuhan melebihi tiga kali ganda atau 210 peratus kepada RM37 bilion berbanding RM12 bilion pada separuh pertama 2020.

6. Dalam pada itu, produk berasaskan kayu-kayan telah menyumbang sebanyak 11 peratus kepada eksport barangan agrikomoditi. Nilai eksportnya meningkat 21 peratus kepada RM12 bilion dibandingkan RM10 bilion pada tempoh sama 2020.

7. Eksport produk koko turut mencatatkan kenaikan sebanyak 7 peratus kepada RM3.4 bilion berbanding tahun sebelumnya iaitu RM3.1 bilion. Senario itu turut membabitkan produk lada yang meningkat sebanyak 19.24 peratus kepada RM62 juta berbanding RM52 juta pada tempoh sama 2020.

8. Berdasarkan prestasi berkenaan, KPPK yakin prestasi eksport agrikomoditi akan mencatatkan pertumbuhan dan nilai yang lebih baik berbanding tahun 2020.

YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Serdang
15 Ogos 2021

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
USAHA PERCEPAT PENGAMBILAN PEKERJA WARGANEGARA INDONESIA PERLU
DISELARASKAN GUNA PLATFORM DIGITAL SEPENUHNYA


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) maklum akan kebimbangan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengenai risiko negara kehilangan hasil sehingga RM21 bilion pada tahun 2021 dan dijangka meningkat kepada RM28 bilion pada tahun ini sekiranya pekerja asing tidak dibawa masuk dengan segera.


2. Isu kekurangan pekerja asing bermula susulan penutupan sempadan negara disebabkan pelaksanaan beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 memuncak dan meruncing sehingga menjejaskan proses menuai hasil di ladang-ladang seluruh negara.


3. Kementerian pada masa sama turut menyambut baik persetujuan dilakukan oleh Republik Indonesia atas keputusan membenarkan semula kemasukan pekerjanya ke Malaysia yang telah berkuat kuasa sejak 1 Ogos 2022 lalu, selepas menarik balik sekatan sebelum itu, yang dibuat berikutan kebimbangan mengenai isu berkaitan hak-hak pekerja warganegaranya.


4. Bagi mempermudahkan proses pengambilan pekerja asing, KPPK sedar bahawa proses itu perlu dilaksanakan dengan berkesan dan lengkap. Sehubungan itu, pihak kementerian berharap proses berkenaan diselaraskan secara berperingkat kepada platform digital sepenuhnya dan seboleh-bolehnya tanpa melibatkan penggunaan tenaga manusia.


5. Untuk penyelesaian jangka panjang, KPPK menggalakkan pemilik ladang untuk memberikan latihan semula kemahiran dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja warga tempatan, selain mengamalkan pengurusan tenaga buruh dengan baik yang penting untuk mengekalkan pekerja-pekerja asing digajikan mereka.


6. Dasar pengurusan tenaga buruh yang baik bukan sahaja dapat menggelakkan pekerja asing yang digajikan mereka daripada melarikan diri, malah ia juga membolehkan majikan mengelakkan risiko terlibat dalam isu-isu berkaitan buruh paksa dan pemerdagangan manusia, yang dilihat boleh menjejaskan urusan eksport bagi tempoh jangka masa panjang.


7. Kementerian tidak akan berkompromi dalam isu-isu berkaitan buruh paksa di dalam negara serta Malaysia akan terus mematuhi garis panduan ditetapkan dalam Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Bahkan, terus menyokong Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) yang dibangunkan dalam usaha menangani serta membasmi isu buruh paksa dalam negara.


8. Kementerian yakin usaha-usaha murni yang digerakkan ketika ini dapat membantu menggerakkan kempen ‘Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit ’atau ‘The Global Movement to Champion the Goodness of Palm Oil’ yang antara lain bertujuan meneroka dan menembusi pasaran-pasaran baharu serta meningkatkan eksport minyak sawit negara kita.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
15 OGOS 2022