KENYATAAN MEDIA MINYAK SAWIT MALAYSIA TEMBUSI PASARAN BAHARU DENGAN PENERIMAAN GLOBAL YANG LEBIH BESAR
1. Minyak sawit Malaysia telah dapat menembusi pasaran global baharu dan ini membuktikan komoditi utama negara mendapat pengiktirafan dan penerimaan antarabangsa yang lebih tinggi, seiring dengan matlamat kempen “Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit”.
2. Sekurang-kurangnya tiga buah negara yang sebelum ini tidak pernah mengimport minyak sawit Malaysia - Estonia, Republik Czech dan Hungary - telah mula membeli sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
3. Melihat kepada perkembangan semasa, saya menyambut baik situasi ini. Bagi saya, ia bukanlah perkara mustahil, setelah melihat usaha agresif dilakukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk memasarkan minyak sawit negara di peringkat global, serta menangkis mitos yang dimainkan pihak tertentu dan propaganda Barat.
4. Sejak Januari hingga Julai tahun ini, Estonia telah mengimport 2,501 tan minyak sawit Malaysia bernilai RM20.22 juta, Republik Czech bernilai 95 tan bernilai RM0.88 juta, dan Hungary bernilai 853 tan bernilai RM6.73 juta.
5. Walaupun jumlah dan nilai import minyak sawit Malaysia dari negara-negara ini tidak setinggi seperti di India dan Turkiye, ia masih merupakan perkembangan yang menggalakkan kerana ia merupakan pasaran baru. Dengan selangkah kaki masuk ke pintu negara-negara ini, ia membolehkan kita mengembangkan lagi pasaran minyak sawit Malaysia di sana untuk tempoh jangka masa panjang.
6. Kementerian sedar pasaran baharu ini wujud sebahagiannya disebabkan oleh konflik yang berlaku di Ukraine, yang mengakibatkan gangguan kepada bekalan minyak bunga matahari dan minyak rapeseed. Bagaimanapun, saya percaya ini adalah permulaan yang baik dan minyak sawit Malaysia akan terus mendapat permintaan walaupun setelah konflik ini tamat.
7. KPPK juga pada masa sama telah menetapkan sasaran untuk mengeksport minyak sawit Malaysia ke lebih banyak negara bukan tradisional khususnya di Kesatuan Eropah (EU) serta akan berusaha mengembangkan pasaran dalam kalangan negara-negara pengimport.
8. Ini akan dilakukan melalui: i. Memperkukuh pasaran eksport utama sedia ada, khususnya di India, China, Pakistan dan EU, serta mempromosikan produk minyak sawit secara lebih agresif untuk menembusi pasaran baharu seperti di Afrika dan rantau Asia Tengah; ii. Meningkatkan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam pengeluaran produk baharu serta menambah nilai produk komoditi dalam industri hiliran dan; iii. Meningkatkan akses kepada pasaran yang lebih luas melalui perundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala serta perundingan serantau atau pelbagai hala.
9. Maklum balas yang diterima daripada pasaran-pasaran baharu juga menunjukkan bahawa negara-negara berkenaan yakin dengan kualiti minyak sawit Malaysia kerana produktiviti yang tinggi dan ketersediaannya sepanjang tahun, serta kepelbagaian kegunaan dalam sektor makanan dan bukan makanan.
10. KPPK akan terus memanfaatkan kekuatan ini, sekaligus menunjukkan kejayaan kempen “Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit”. Sebelum ini, ramai khususnya di EU, tidak tahu tentang kelebihan dan manfaat minyak sawit Malaysia berikutan kempen fitnah yang berterusan selama beberapa dekad.
11. Penerimaan minyak sawit di pasaran Malaysia kini semakin meningkat berikutan kesedaran yang tinggi, hasil usaha promosi warga Kementerian termasuk melalui misi perdagangan antarabangsa yang telah kami adakan. Usaha ini tidak akan terhenti di sini, KPPK komited untuk terus memacu sektor sawit kukuh dan kekal berdaya saing.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 14 SEPTEMBER 2022
1. Pada hari ini, 15 April 2020, YB Dato Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah memaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai status pembangunan industri buluh negara dan akan potensinya untuk dimajukan sebagai sumber pertumbuhan baru dalam sektor agrikomoditi.
2. Saiz pasaran global bagi produk buluh dianggarkan berjumlah USD68 bilion pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, sumbangan eksport industri berasaskan buluh negara adalah masih rendah iaitu sekitar RM9 juta pada tahun 2019. Oleh itu, industri buluh mempunyai potensi yang besar untuk diusahakan dan dimajukan di negara ini.
3. Pokok buluh merupakan pokok mudah ditanam dan dijaga. Tempoh matang pokok buluh adalah singkat iaitu di antara tiga (3) hingga empat (4) tahun dan boleh dituai selepas tempoh berkenaan.
4. Pada masa kini terdapat lebih kurang 100 pengusaha buluh dalam pelbagai kategori seperti perabot, makanan, fabrik, kraftangan, kutleri, pembinaan dan eko-pelancongan.
5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dibawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) juga menyediakan insentif pinjaman mudah (soft loan) bagi menggalakkan pembangunan ladang buluh. Pinjaman sejumlah RM10,000 sehektar disediakan untuk pembangunan ladang skala kecil (20-40 hektar), skala sederhana (41–2,499 hektar) dan skala besar (2,500 hektar ke atas). Lima (5) spesies buluh yang telah dikenalpasti di bawah PPLH adalah spesies Buluh Betung, Buluh Semantan, Buluh Beting, Buluh Beti dan Buluh Hitam.
6. Bagi menyokong pembangunan industri buluh, kementerian akan membangunkan Makmal Tisu Kultur dan Tapak Semaian Buluh di Lahat, Negeri Perak di kawasan seluas 1.72 hektar (4.2 ekar) dalam usaha untuk menghasilkan anak benih buluh berkualiti. Makmal tisu kultur tersebut berupaya menghasilkan sehingga 100,000 anak benih buluh sebulan apabila beroperasi sepenuhnya kelak.
7. Kementerian akan terus memberi penekanan ke atas pembangunan industri Buluh sebagai program game changer dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMKe-12). Disamping itu, Kementerian juga sedang menyediakan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh, 2021-2025 yang dijangka akan diumumkan pada penghujung tahun ini.
YB DATO DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi 15 April 2020
SIARAN MEDIA IMPAC BAKAL LAHIRKAN 95 RIBU GRADUAN MENJELANG 2025
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, hari ini menyempurnakan Majlis Konvokesyen Institut Perladangan Dan Komoditi Malaysia (IMPAC) Ke-8 di Hotel Everly, Putrajaya hari ini.
Majlis ini dianjurkan bersama oleh IMPAC dan enam (6) agensi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).
Sesi kali ini melibatkan 584 graduan meliputi 360 graduan daripada program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), manakala selebihnya adalah dariprogram latihan kemahiran kelolaan IMPAC dan agensi pelaksana.
Sehingga September 2022, IMPAC telah melahirkan seramai 80,290 pelatih melalui pusat-pusat latihan di bawah enam agensi Kementerian atau pada purata 7,300 pelatih setiap tahun. IMPAC menjangkakan seramai 95,000 peserta akan dapat dilatih menjelang tahun 2025.
IMPAC melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC)juga telah dikenalpasti oleh SkillsMalaysia sebagai COE (Centre of Excellence) bagi bidang Cabinetmaking oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM), Joinery dan Carpentry oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk melatih peserta negara yang membawa cabaran ke setiap pertandingan ASEAN Skills Competition (ASC) dan juga WorldSkills Competition (WSC) bagi merealisasikan pingat untuk negara dalam pertandingan yang disertai.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pembatalan Pertandingan Worldskills Competition Shanghai 2022 akibat pandemik COVID-19, seorang peserta negara dalam bidang ‘cabinet making’, Muhamad Ali Azamuddin bin Allias masih mampu memberi cabaran sengit kepada para peserta dari negara-negara lain di Pertandingan Worldskills Competition-Special Edition Switzerland yang telah dilangsungkan Oktober tahun ini.
Pada tahun 2022, IMPAC juga telah membangunkan 6 Kajian Pembangunan Bahan Pengajaran Bertulis bagi sektor sawit, getah, perkayuan, koko dan kenaf. Pembangunan bahan pengajaran ini akan menjadi bahan utama dalam pross pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan hasil pembelajaran (learning outcome) yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) tercapai dan mengikut standard yang ditetapkan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Siti Aminah Aching, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Zurinah Pawanteh, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IMPAC, Datuk Zunaidah Idris dan Ketua Eksekutif Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Puan Nazatul Niza Nordin.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 15 DISEMBER 2022
MALAYSIA MULAKAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG KE ATAS KESATUAN EROPAH BERIKUTAN KEMPEN ANTIMINYAK SAWIT
1. Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Julai 2020, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) pada hari ini bertarikh 15 Januari 2021 dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Kesatuan Eropah (EU) serta negaranegara anggotanya iaitu Perancis dan Lithuania dengan memfailkan suatu permohonan untuk konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian atau Dispute Settlement Mechanism (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
2. Tindakan undang-undang ini adalah susulan dari langkah-langkah yang dikenakan oleh EU dan negara-negara anggota EU tersebut berkaitan pelaksanaan Delegated Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive 2018/2001 (EU RED II) yang memberi kesan kepada industri sawit negara. Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah termasuklah mengadakan Misi Ekonomi dan Teknikal ke Eropah selain memberikan maklum balas terhadap pelaksanaan EU RED II. Namun begitu, EU tetap meneruskan pelaksanaan EU RED II tersebut tanpa mengambil kira komitmen serta pandangan Malaysia.
3. Pelaksanaan EU RED II ini telah mengklasifikasikan minyak sawit sebagai suatu produk yang mempunyai kadar risiko perubahan guna tanah secara tidak langsung atau Indirect Land Use Change (ILUC) yang tinggi. Hal ini akan menyebabkan penggunaan minyak sawit sebagai biobahan api di EU tidak diambil kira dalam pengiraan sasaran tenaga boleh diperbaharui (renewable energy target) dan seterusnya mewujudkan sekatan perdagangan yang tidak wajar terhadap industri sawit negara. Tindakan EU ini juga adalah bertentangan dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang telah digariskan oleh WTO.
4. Tindakan undang-undang ini menunjukkan keseriusan Kerajaan dalam melindungi kepentingan industri sawit Negara terhadap dasar yang dilaksanakan EU tersebut. Malaysia berharap supaya WTO melalui Badan Penyelesaian Pertikaian (Dispute Settlement Body) dapat meneliti dan memperhalusi hujah serta keterangan Malaysia secara adil dan saksama selaras dengan prinsip undang-undang WTO. Malaysia akan memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya dalam proses ini khususnya dalam sesi konsultasi kelak dan seterusnya perbincangan bersama Panel WTO yang akan diadakan kelak.
5. Pada masa yang sama, Malaysia juga akan terus menjadi pihak ketiga bagi tindakan undang-undang yang telah difailkan oleh Indonesia (Kes No. DS 593: European Union – Certain measures concerning palm oil and oil palm cropbased biofuels) melalui DSM di WTO. Penglibatan Malaysia ini adalah penting sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap negara pengeluar sawit.
6. Kerajaan Malaysia melalui KPPK akan terus memberikan komitmen yang tinggi dalam mempertahankan kepentingan industri sawit negara yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 15 Januari 2021
SISTEM BAMBOO STICK DAN DRIPPING KAEDAH INOKULASI TERBAIK PENGHASILAN GAHARU
1. Lawatan kerja YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ke Ladang Karas, Jasin di Melaka adalah untuk melihat kaedah inokulasi terbaik berdasarkan sample kajian yang dilakukan ladang ini sejak November 2017. Kajian telah dilakukan ke atas 100 batang pokok oleh dua penyelidik dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM100,000. Kos yang dibelanjakan untuk inokulasi adalah RM210 per pokok.
2. Berdasarkan kajian tersebut, kaedah inokulasi terbaik adalah menggunakan sistem Bamboo Stick dan Dripping berbanding beberapa kaedah inokulasi lain seperti:- i. Direct Induce menggunakan chemjet ii. Bag Dripping System iii. Bottle Inducement Kedua-dua kaedah tersebut dilihat paling berkesan dan menghasilkan kuantiti Gaharu paling optimum dengan kos yang efektif. Ini dapat dilihat dengan penghasilan Gaharu teras secara purata sebanyak 5kg bagi setiap pokok dengan nilai jualan pasaran RM800/kg. 3. Setelah dua tahun MTIB dengan kerjasama UPEN Melaka melakukan kajian inokulasi itu mulai 2017, kini hasil yang komprehensif berkaitan penghasilan Gaharu dan pati minyak Gaharu (PMG) bagi setiap kaedah tersebut. Langkah ini seterusnya akan memanfaatkan penanam-penanam Karas bagi menjalankan proses inokulasi terbaik bagi penghasilan Gaharu.
4. Diharapkan perkembangan ini dapat dimanfaatkan oleh para usahawan Gaharu yang aktif di Malaysia. Jumlah pengeksport/pengimport Gaharu yang berdaftar dengan MTIB adalah sebanyak 13 syarikat, 22 syarikat/individu telah direkodkan sebagai PMG dan lebih 50 syarikat telah dikenal pasti sebagai pengusaha produk Gaharu di seluruh Malaysia.
5. Hasil kajian ini akan dijadikan penanda aras serta rujukan bagi MTIB dan Kementerian untuk merangsang pertumbuhan industri Gaharu di Malaysia khususnya menerusi Projek Bantuan Inokulasi yang telah dirangka di bawah Rancangan Malaysia ke-12 yang mana jika diluluskan akan memanfaatkan hampir 500 pengusaha Karas dan Gaharu di negara ini kelak.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Jasin, Melaka 15 Julai 2020