INFO ARKIB ELEKTRONIK

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
INDUSTRI GETAH SEBAGAI ANTARA PENYUMBANG PERCEPAT
PEMULIHAN EKONOMI NEGARA PASCA PANDEMIK COVID-19


1. YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah mengadakan lawatan ke Meditech Gloves Sdn. Bhd. di Nilai, Negeri Sembilan pada hari ini.


2. Malaysia merupakan antara pengeksport getah dan produk getah utama dunia dan peningkatan nilai eksport getah negara menjangkau RM71 bilion pada tahun 2021,menunjukkan peningkatan sebanyak 46.3% berbanding tahun sebelumnya. Industri getah negara mempunyai potensi untuk berkembang pada tahun ini berikutan permintaan yang semakin meningkat daripada pasaran utama, sejajar dengan peralihan Malaysia ke fasa endemik mulai 1 April 2022.


3. Pelbagai program telah dilaksanakan oleh Kementerian menerusi Malaysian Rubber Council (MRC) bagi membantu pemain industri getah, antaranya penyediaan pakej insentif yang bertujuan untuk menyokong pengeluar produk getah dan mengukuhkan syarikat untuk memastikan kehadiran mereka di peringkat antarabangsa. Pakej Rangsangan COVID-19 diperkenalkan pada 2020 bagi menyokong dan memudahkan industri produk getah meneruskan aktiviti promosi pasaran di bawah senario norma baharu. Kementerian juga berusaha untuk menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram kepada RM3.50 sekilogram bagi membantu para pekebun kecil.


4. Sejajar dengan itu, Kementerian dengan kerjasama MRC juga memperkenalkan Industry Linkage Fund (ILF) untuk menggalakkan kerjasama antara industri dan universiti/institusi penyelidikan dalam projek R&D yang akan menyumbang kepada pembangunan industri getah di Malaysia. Kementerian yakin bahawa industri getah merupakan antara penyumbang pemulihan ekonomi negara dan komited dalam usaha meningkatkan nilai tambah getah pasca COVID-19.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
14 April 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
MENTERI KPPK SAKSI PENYERAHAN BANTUAN TUALA WANITA DAN
TEPUNG GANDUM BAGI GOLONGAN B40 SEKTOR AGRIKOMODITI
___________________________________________________________________

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini menerima sumbangan tuala wanita bernilai sebanyak RM144,100.00 daripada Best Eternity Recycle Technology bagi Program Period Poverty yang diterajui oleh Girl2Leader. Selain itu, KPPK turut menerima sumbangan satu (1) tan tepung daripada Lotus FKM Berhad untuk program di bawah kelolaan Yayasan Komuniti Negara.


2. Sumbangan yang diserahkan oleh wakil syarikat Best Eternity Recycle Technology, Encik Ng Kim Fan Rex dan Lotus FKM, Cik Lee Wai Fun kepada Girl2Leader dan Yayasan Komuniti Negara telah disaksikan oleh Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Penaung Yayasan Komuniti Negara.


3. YB Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan oleh pihak industri kerana ini dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para penerimanya, terutamanya golongan wanita B40 yang sering YB Menteri temui semasa Program Jelajah Agrikomoditi bersama-sama pekebun kecil.


4. Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila perempuan atau keluarga mereka tidak mampu memiliki tuala wanita disebabkan kekangan kewangan dan ini bukanlah satu masalah baru yang dihadapi oleh sebilangan wanita di negara ini. Menyedari akan permasalahan itu, Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin bersama Persatuan Girl2Leader mengambil inisiatif memulakan
Program Period Poverty.


5. Sumbangan satu (1) tan tepung gandum akan diagihkan kepada lebih 500 keluarga yang memerlukan bagi meringankan beban terutamanya ketika di bulan Ramadan.


6. Kementerian akan terus mendekati masyarakat pelbagai lapisan, khususnya golongan pekebun kecil dan memberi bantuan sewajarnya bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
14 APRIL 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
STESEN PENYELIDIKAN LAPANGAN LEMBAGA LADA MALAYSIA (MPB) BAKAL MEMPERKUKUH SEKTOR AGRIKOMODITI LADA




1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin hari ini telah meluangkan masa meninjau Projek Stesen Penyelidikan Lapangan, Lembaga Lada Malaysia (MPB) bertempat di Semenggok, Kuching.
2. Penubuhan Stesen Penyelidikan Lapangan MPB adalah bertujuan untuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan perladangan bagi meningkatkan aktiviti ujian lapangan tanaman lada, membangunkan plot – plot ujian ladang untuk menguji keberkesanan hasil R&D serta menyelenggara koleksi germplasma lada di Malaysia.
3. Penubuhan stesen penyelidikan lapangan ini adalah selari dengan hala tuju MPB dan industri lada untuk memperkasakan aktiviti R&D melalui kemudahan penyelidikan yang moden dan canggih. Ia juga akan menjadi pemangkin kepada aktiviti penyelidikan di lapangan yang membolehkan MPB menjalankan pelbagai jenis R&D berkaitan lada secara sistematik dan pengumpulan germplasma serta varieti bagi penghasilan varieti lada baru.

4. Antara kemudahan yang dibina di stesen ini merangkumi empat (4) unit greenhouse berkeluasan 168m2 setiap unit. Greenhouse tersebut akan digunakan untuk kajian penyakit dan perosak, kultur tisu, pembiakbakaan dan agronomi lada; satu (1) unit bangsal tumbuhan berkeluasan 150m2 akan digunakan untuk menyelenggara koleksi germplasma lada. Selain itu, kemudahan asas lain seperti sistem perparitan, sistem saliran air dan kumbahan, jalan serta kelengkapan ICT turut dibina.
5. Dua (2) plot ujian ladang iaitu Plot Koleksi Germplasma Lada sebagai sumber bahan kajian untuk penyelidikan dan penyelenggaraan sumber genetik lada di Malaysia serta Plot Ujian Ladang untuk menguji keberkesanan hasil R&D turut dibangunkan. Plot-plot tersebut akan membantu aktiviti pemantauan dan mengurangkan ralat yang boleh mengganggu kesahihan data saintifik sekaligus meningkatkan pendedahan hasil R&D dan inovasi lada kepada orang awam.
6. Justeru, melalui penubuhan stesen seumpama ini pemerkasaan R&D lada dapat diperkukuh dengan meningkatkan penemuan R&D dan inovasi baru bagi komoditi lada ke arah pembangunan industri lada yang mampan.
7. Pembinaan stesen dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.83 juta ini telah siap sepenuhnya secara fizikal dan dijangka akan diserahkan kepada Lembaga Lada Malaysia pada bulan Mac 2022.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
14 FEBRUARI 2022

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

PEMBUKAAN PEJABAT SERANTAU AGRIKOMODITI MALAYSIA SEBAGAI HUB KOMODITI DI JEDDAH PERTINGKAT PASARAN KE TIMUR TENGAH DAN AFRIKA

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kejayaan rundingan di antara Malaysia dan Arab Saudi dalam pelbagai perkara termasuk mempromosi industri sawit negara terutamanya untuk meningkatkan pasaran minyak sawit Malaysia ke negara berkenaan.

2. Pertemuan YAB Perdana Menteri bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu di Istana Al-Yamamah telah memberi peluang kepada syarikat-syarikat negara ini untuk mengeksport minyak sawit dengan kuantiti yang lebih besar. Arab Saudi telah menunjukkan komitmen untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia daripada 318,000 tan bernilai RM900 juta pada tahun lalu kepada 500,000 tan bernilai kira-kira RM1.5 bilion bagi tahun 2021.

3. Susulan kepada potensi pasaran yang tinggi, KPPK sedang dalam usaha untuk membuka Pejabat Serantau Agrikomoditi Malaysia merangkumi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) di Jeddah, Arab Saudi. Pejabat serantau ini akan dijadikan Hub Komoditi Malaysia untuk memperluaskan pasaran agrikomoditi negara ke benua Afrika dan Timur Tengah yang masing-masing memiliki populasi penduduk seramai 1.34 bilion orang dan 457 juta orang. Pembukaan pejabat ini merupakan usaha KPPK dalam merealisasikan hasrat menjadikan produk komoditi Malaysia untuk menguasai pasaran di rantau berkenaan termasuk produk oleokimia dan biobahan api pada masa hadapan.

4. Hubungan antarabangsa melalui strategi pembukaan pejabat serantau seperti ini adalah penting bagi meningkatkan lagi penerimaan produk sawit Malaysia di pasaran global. Ia juga selaras dengan kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang dilancarkan pada 10 Februari 2021 yang lalu bertujuan untuk mempromosikan kelebihan dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada dunia dengan menggunakan elemen pendidikan dan pada masa sama menangkis kempen antiminyak sawit.

 

YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
14 Mac 2021

JATA LATES

SIARAN MEDIA
KPPK SEDIA PELBAGAI INSENTIF BANTUAN DAN PERGIAT AKTIVITI
MSPO SEBAGAI USAHA BANTU PEKEBUN KECIL KELAPA SAWIT


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng hari ini merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di Pekan Nanas, Johor anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).


2. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui MPOB sedang giat berusaha meneruskan aktiviti Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) di seluruh negara melalui program latihan, taklimat dan promosi bagi sektor pekebun kecil. Bagi meringankan beban pekebun kecil dalam melaksanakan Pensijilan MSPO, kerajaan juga telah menyediakan menyediakan pelbagai insentif merangkumi pembiayaan kos latihan, kos pengauditan, kos peralatan perlindungan diri, papan tanda kebun dan rak penyimpanan bahan kimia.


3. Sehingga 31 Mac 2022, jumlah keluasan kebun yang diusahakan oleh pekebun kecil persendirian di negeri Johor adalah 159,487 hektar. Daripada jumlah tersebut, 44,824 orang pekebun kecil dengan keluasan 118,092 hektar telah memperoleh MSPO iaitu bersamaan dengan 74% daripada keluasan kawasan tanaman sawit yang diusahakan.


4. Kerajaan telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) untuk membantu mengurangkan kos pengangkutan, mendapatkan harga pasaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi dan menggalakkan penjanaan pendapatan dan pengagihan dividen kepada ahli-ahlinya. Penyertaan pekebun kecil dalam KPSM bertujuan untuk meningkatkan produktiviti tanaman sawit dan pendapatan melalui pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan.


5. KPSM menjalankan aktiviti utama jualan berkelompok buah tandan segar (BTS) melalui penubuhan Pusat Timbang. Sehingga Mac 2022, sebanyak 65 buah pusat timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah jualan buah tandan segar (BTS) mencecah 82,612.37 tan. Purata jualan bagi satu pusat timbang adalah 400 tan sebulan.


6. Sehingga Mac 2022 sebanyak 69 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara iaitu 24 di Semenanjung Malaysia, 27 di Sabah dan 18 di Sarawak. Di negeri Johor  sebanyak lima (5) KPSM telah ditubuhkan iaitu KPSM Kluang Utara Berhad, KPSM Daerah Kulaijaya Berhad, KPSM Daerah Pontian Berhad, KPSM Yong Peng Utara Berhad, dan KPSM Daerah Segamat Berhad. Keahlian bagi lima KPSM ini keseluruhannya berjumlah 318 orang pekebun kecil.


7. Kementerian melalui MPOB menyediakan bantuan seperti Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe), Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS). Selain itu, kerajaan juga telah mengumumkan dana bantuan baharu iaitu Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40).


8. Dengan adanya pelbagai insentif yang disediakan oleh Kementerian yang memberi tumpuan kepada pembangunan pekebun kecil tanaman sawit, ia dijangka menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kualiti pengeluaran hasil sawit serta pendapatan pekebun kecil.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
14 Mei 2022