KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI MELALUI AGENSI PERKASA BANTUAN PASCA PANDEMIK COVID-19 KEPADA GOLONGAN ASNAF
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi agensi di bawahnya Majlis Getah Malaysia (MRC) meraikan seramai 300 orang daripada golongan asnaf yang kurang berkemampuan, ibu-ibu tunggal , warga emas dan ahli kariah masjid dalam satu majlis berbuka puasa di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak (TAR), Ampang, hari ini.
2. Hadir sama adalah Pengerusi Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Sallehuddin Othman; Tuan Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Yang Berusaha Tuan Mohd Fauzi; Pengerusi MRC, YB Dr. Daroyah Alwi dan Ketua Pegawai Eksekutif MRC, En. Nor Hizwan Ahmad.
3. Majlis ini disempurnakan Yang Berhormat Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui penyerahan sumbangan berjumlah RM20,000.00 daripada MRC kepada Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang, dan dua buah lagi surau di bawah pentadbiran masjid tersebut iaitu Surau Ihsaniah, Ampang Jaya dan Surau Ubudiah, Jalan 4M, Ampang Jaya.
4. Menerusi sumbangan ini, Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang akan menerima pembahagian sumbangan sebanyak RM10,000.00 manakala Surau Insaniah dan Surau Ubudiah masing masing akan menerima sumbangan sebanyak RM5,000.00. Program yang julung kali diadakan oleh Kementerian akan diteruskan di beberapa lokasi lain selepas ini, sebagai antara langkah membantu golongan terkesan.
5. Menurut YB Datuk Hajah Zuraida, Ramadan kali ini lebih meriah apabila negara kini memasuk fasa peralihan endemik selepas lebih dua tahun menjalani fasa pandemik. Bahkan, tentunya pelbagai persiapan menyambut Syawal sedang dilakukan, namun disebalik kemeriahan itu masih terdapat segelintir pihak yang kurang bernasib baik, terjejas akibat Covid-19 dan wajar diberi perhatian.
6. Agensi dan majlis di bawah KPPK serta pemain industri dialu-alukan untuk turut mengambil peluang bersempena di bulan mulia ini bagi bersama menjalankan tanggungjawab sosial korporat memastikan kemakmuran bersama.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 13 APRIL 2022
KENYATAAN MEDIA PUSAT MINI PEMPROSESAN KOKO DAN JALAN LADANG KAMPUNG KETIMBONG ANTARA USAHA KEMENTERIAN MEMPERKASA SEKTOR KOKO PASCA COVID-19
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin pada hari ini telah menjayakan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di Rumah Panjang Unga, Kampung Ketimbong, Sebuyau, Simunjan, Samarahan, Sarawak. Beliau juga telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Mini Pemprosesan Koko dan Jalan Ladang Kampung Ketimbong.
2. Pusat Mini Pemprosesan Koko Kampung Ketimbong telah mula dibina pada April 2021 dan siap sepenuhnya pada Julai 2021, dilengkapi dengan kotak pemeraman dengan kapasiti 100 kilogram biji koko basah dan pelantar pengering biji koko. Pusat pemprosesan ini dibina bagi menyediakan kemudahan kepada petani koko di sekitar Sebuyau, Sarawak untuk memproses biji koko yang lebih berkualiti dan berpotensi untuk dijual dengan harga yang tinggi.
3. Jalan Ladang Kampung Ketimbong yang telah siap sepenuhnya pada November 2020 dibangunkan melalui dua (2) fasa. Fasa pertama adalah pada tahun 2018 melibatkan sepanjang 0.75 kilometer manakala fasa kedua pada tahun 2020 dengan tambahan panjang jalan sebanyak 1 kilometer.
4. Pembinaan Pusat Mini Pemprosesan Koko dan Jalan Ladang ini bakal mempermudah pengendalian aktiviti huluan koko serta memberi faedah kepada pekebun koko di bawah Kelompok Kampung Ketimbong, Sebuyau. Kelompok ini dibangunkan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM) melalui Program Tanaman Baru Tahun 2018 (TB18) dan pada tahun 2019 (TB19).
5. Jumlah terkini keluasan tanaman adalah seluas 14.13 hektar dan diusahakan oleh 16 orang pekebun. Peserta program yang terlibat menerima insentif seperti baja, peralatan kecil pertanian serta khidmat latihan dan nasihat.
6. Kementerian yakin dengan pembukaan semula sempadan dan kelonggaran pergerakan bermula awal April lalu, pengeluaran industri koko disasar akan meningkat sekali ganda dan bakal menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 13 April 2022
RUBBER FORUM 2021: MANFAATKAN PIHAK BERKEPENTINGAN SEKTOR GETAH TINGKATKAN PENDAPATAN PEKEBUN KECIL
1. Industri getah merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport negara. Pada tahun 2020, industri getah telah menyumbang kepada pendapatan eksport negara sebanyak RM48.54 bilion, iaitu meningkat RM17.6 bilion atau 57 peratus lebih tinggi berbanding RM30.92 bilion pada tahun 2019. Menyedari kepentingannya kepada ekonomi negara, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah merancang pelbagai program serta inisiatif bagi meneruskan agenda pemerkasaan industri getah negara melalui pelbagai platform.
2. Terkini, KPPK melalui LGM menganjurkan Rubber Forum 2021 pada 9 Mac lalu. Lebih 200 peserta dalam kalangan wakil industri, persatuan getah dan agensi berkaitan telah menyertai program tersebut secara maya. Program ini dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan turut disertai oleh Pengerusi LGM YB Dato’ Ahmad Nazlan Idris.
3. Rubber Forum merupakan platform bagi perkongsian maklumat dan sesi interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan. Isu-isu dan masalah terkini dibincangkan untuk mengukuhkan industri getah negara di sektor huluan dan hiliran. Antara perancangan Kerajaan yang telah dikongsikan dengan peserta adalah berkaitan Projek Transformasi Perusahaan Industri Getah (TARGET) membabitkan pengeluaran getah krip berbanding getah sekerap yang akan memberikan nilai tambah pendapatan kepada pekebun kecil. Pekebun kecil yang berminat untuk menyertai projek ini boleh menubuhkan koperasi getah di kawasan masing-masing sebagai persediaan awal bagi menyertainya. Bagi menjayakan pelaksanaan projek, sejumlah RM6 juta telah diperuntukkan.
4. Di samping itu, turut dimaklumkan kepada peserta ialah pembangunan Koridor Lateks Pantai Timur yang akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM16 juta pada tahun ini. Melalui pelaksanaan projek ini, KPPK mensasarkan peningkatan 5,000 hingga 10,000 tan lateks setahun dengan sumbangan kepada pendapatan bulanan pekebun kecil sehingga 30 peratus.
5. Selain itu, beberapa topik perbincangan telah diwacanakan merangkumi pencapaian industri getah, prospek bagi tahun 2021, perakuan klon benih getah bagi tahun 2021 dan lain-lain. Dialog dan sesi bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu semasa sektor getah merupakan proses penting dalam membantu KPPK dan LGM menambahbaik perancangan bagi membangunkan industri getah negara.
6. Antara pencapaian terbaik tahun 2020 bagi LGM seperti yang dimaklumkan semasa forum berkenaan adalah kejayaan memenangi 10 anugerah peringkat nasional dan antarabangsa. Ini termasuk anugerah berprestij di International, Invention, Innovation & Technology Award (ITEX) 2020, Lawrence D'Eicher Award (LDE Award) 2020, Anugerah Keseluruhan Bersempena Tahun Pengkomersilan Malaysia 2020 dan kedudukan ditangga ke-13 oleh LGM bagi pemohon paten tertinggi di Malaysia pada tahun 2020.
7. Adalah diharapkan Rubber Forum 2021 dapat memberi manfaat dengan sebaiknya kepada semua pihak dan menjadikannya antara forum yang dinanti-nantikan setiap tahun.
YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 13 Mac 2021
KENYATAAN MEDIA PROJEK TARGET DILANCARKAN DI PROGRAM JELAJAH AGRIKOMODITI KELUARGA MALAYSIA DI KEDAH BAKAL MENINGKATKAN DAYA SAING PEKEBUN KECIL
1. Yang Berhormat Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Pemprosesan Getah Krip dan sekali gus melancarkan Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET) pada 13 Mac 2022 di Padang Terap, Kedah.
2. Dengan pembukaan pusat pemprosesan getah krip, Kementerian yakin ini akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Komitmen pihak NGO tempatan turut membantu merapatkan jurang ekonomi antara sektor huluan dan hiliran industri getah negara. Getah krip yang boleh dijual pada nilai harga yang lebih tinggi merupakan satu alternatif baharu buat pekebun-pekebun kecil getah dalam mempelbagaikan sumber pendapatan. Ia juga bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil pengeluaran lateks atau getah beku mangkuk (cuplump) semata-mata. Getah krip mengandungi kandungan getah yang lebih tinggi dan disebabkan itu mempunyai harga yang lebih tinggi berbanding cuplump.
3. Manakala projek TARGET merupakan usaha Kementerian untuk meningkatkan pendapatan dan daya saing pekebun kecil getah. Koperasi dan peniaga getah bakal mendapat manfaat dengan menyertai program ini. Pendekatan projek TARGET adalah untuk memendekkan rantaian perniagaan getah, pengurangan ketirisan dan meningkatkan ketelusan dalam urusniaga getah serta mengukuhkan kesatuan pekebun kecil melalui koperasi. Di samping itu, dapat meningkatkan amalan pertanian baik dan memberi peluang sektor pekebun kecil meningkatkan nilai tambah produk mereka melalui penyertaan dalam bidang pemprosesan getah.
4. Koperasi dan peniaga getah yang layak akan dibantu dengan sokongan teknikal dan pembiayaan tertentu. Kementerian sememangnya prihatin terhadap isu-isu yang berkaitan dengan para pekebun kecil getah terutama sekali dalam mendepani jurang ekonomi yang dihadapi dan sentiasa memikirkan cara untuk membantu meningkatkan pendapatan dan membaik pulih taraf kehidupan mereka.
5. Dalam majlis berasingan, YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga telah merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia dan seterusnya Penyerahan Penyertaan Projek TARGET di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Naka, Kuala Nerang, Kedah. YB Menteri turut menyaksikan penyerahan borang permohonan Koperasi Pekebun Kecil Padang Terap, Koperasi FELCRA Bukit Tampoi dan Koperasi FELCRA Belimbing Tualak bagi menyertai program TARGET.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 13 MAC 2022
INDUSTRI UKIRAN KAYU DAN POTENSINYA UNTUK DIMAJUKAN DI BAWAH PEMBANGUNAN INDUSTRI KAYU KAYAN NEGARA
1. Pada hari ini, 13 Mei 2020, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai industri ukiran kayu dan potensinya untuk dibangunkan di bawah industri kayu-kayan negara.
2. Ukiran kayu mempunyai nilai estetika yang tinggi dan mempunyai potensi untuk dikembangkan. Industri ini mampu untuk mencapai nilai pasaran tempatan yang dianggarkan di antara RM150 juta hingga RM200 juta setahun. Selain daripada produk ukiran yang mempunyai nilai tinggi, komponen ukiran juga boleh dimanfaatkan sebagai produk nilai tambah kepada produk-produk lain terutamanya dalam pembuatan perabot, kapal mahupun produk panel. Kombinasi perabot yang ditambah nilai dengan seni ukiran mampu memberi pulangan harga yang lebih baik kerana mempunyai identiti tersendiri, unik dan mempunyai potensi untuk dimajukan.
3. Pada masa ini, terdapat seramai 500 orang usahawan ukiran kayu di seluruh Malaysia. Pengukir-pengukir yang masih aktif beroperasi di beberapa buah negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Daerah Besut di Terengganu merupakan kawasan termasyhur bagi industri ukiran kayu negara. Ramai pengukir-pengukir tersohor negara dalam industri ukiran kayu dilahirkan di daerah Besut, Terengganu.
4. Dalam hal ini, Kementerian sedang menyediakan Pelan Strategi Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara bagi tempoh 2021-2030. Pelan ini merangkumi pelbagai aspek seperti latihan dan kemahiran modal insan, promosi seni ukiran, keusahawanan dan penggunaan mesin serta peralatan. Pelan tersebut dirangka bagi memartabatkan industri ini yang bakal menjadi kebanggaan Malaysia pada masa hadapan.
5. Kementerian melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Pengukir iaitu sebuah persatuan yang dianggotai oleh para pengukir tempatan akan mempromosikan seni ukiran kayu Malaysia di peringkat negeri dan nasional. Selain itu, Kementerian juga berhasrat menjadikan Besut sebagai Hub Ukiran Kayu Negara di mana pelbagai program berkaitan pembangunan seni ukiran akan dilaksanakan.
6. Sehubungan itu, bagi meneruskan kelangsungan seni ukiran kayu sebagai warisan bangsa dan negara berkekalan, pembangunan industri ini adalah perlu supaya hasil seni ukiran oleh pengukir dapat diteruskan dan menjadi penyumbang kepada ekonomi negara.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Putrajaya 13 MEI 2020