INFO ARKIB ELEKTRONIK

 Jata

KENYATAAN MEDIA

SYARIKAT ANTARABANGSA TURKI JALIN KERJASAMA PERNIAGAAN BERSAMA MPOC BERKAITAN INDUSTRI DEDAK ISIRUNG SAWIT MALAYSIA

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semalam menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan BRB Holding (BRB), sebuah syarikat Turki bertaraf multinasional yang terlibat dengan pelbagai projek antarabangsa di lebih 100 buah negara merangkumi bidang penternakan.

2. Melalui memorandum persefahaman ini, BRB yang ditubuhkan pada tahun 1994 akan mendapatkan khidmat nasihat MPOC dari sudut bekalan dan pasaran makanan haiwan berasaskan sawit iaitu dedak isirung sawit (PKC) di Turki dan pasaran Eropah terpilih. Dalam hal ini, kedua-dua pihak akan memperincikan kerjasama dari sudut teknikal dan bekalan seperti mana dipersetujui.

3. Selain itu, MPOC juga akan membantu BRB dalam mendapatkan maklumat dan penerangan mengenai faedah tekno-ekonomi makanan haiwan berasaskan sawit melalui penganjuran seminar serta kesedaran mengenai kelebihan produk PKC kepada sektor ruminan Turki.

4. Pada majlis berkenaan, MPOC diwakili Pengurus Pemasaran dan Pembangunan Pasaran, Encik Muhammad Kharibi Zainal Ariffin manakala BRB oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Harun Macit. Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, YM Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Encik Mad Zaidi Mohd Karli.

5. PKC mempunyai potensi besar untuk dimajukan dan digunakan secara meluas dalam industri makanan haiwan memandangkan kelebihannya dari sudut kandungan nutrien dan kos. Berdasarkan kajian, penyediaan makanan haiwan dengan menggunakan PKC adalah lebih kompetitif berbanding rumusan konvensional. Kelebihan dari sudut penjimatan kos dijangka akan melonjakkan industri ini. Dari Januari hingga Mei 2021, eksport PKC ialah sebanyak 730,000 tan dengan nilai sebanyak RM468,000. Berdasarkan kajian, purata eksport PKC adalah dianggarkan 2.4 juta tan setahun. Namun, pada tahun 2020, Malaysia telah mengeksport sebanyak 2.6 juta tan. Manakala, pasaran tempatan memerlukan bekalan sebanyak 20 peratus daripada pengeluaran PKC negara.

6. KPPK berharap agar usaha yang sedang dan akan dilaksanakan oleh MPOC dengan kerjasama agensi berkaitan dapat membantu perkembangan industri PKC negara dan seterusnya melonjakkan industri tersebut.

DATO' DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Istanbul, Turki
11 Julai 2021

 

KENYATAAN MEDIA

LAWATAN KERJA YB MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI KE NEGERI JOHOR BAGI MENINJAU INDUSTRI KOKO

1. YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengadakan lawatan kerja ke Johor pada 11 Mei 2020 bagi memantau tahap pematuhan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Lawatan kerja ini juga bagi meninjau isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri koko dengan lebih dekat terutama semasa tempoh PKPB.

2. Terkini Malaysia adalah merupakan negara pemproses biji koko yang kedua terbesar di Asia dan ketujuh di dunia dengan menguasai 22 peratus pasaran produk berasaskan koko bagi rantau Asia dan Oceania. Nilai eksport coklat khususnya adalah sebanyak RM1.14 bilion pada tahun tersebut berbanding RM1.03 bilion pada tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak 10.7 peratus.

3. Walau bagaimanapun, adalah dijangkakan bahawa sumbangan aktiviti pengisaran dan pendapatan eksport daripada koko dan produk-produk berasaskan koko akan menurun sebanyak 18 peratus berikutan pelaksanaan PKP.

4. Antara syarikat yang dikunjungi adalah Guan Chong Cocoa Manufacturer Sdn. Bhd. iaitu syarikat pengisar koko terbesar di Malaysia. Syarikat ini merupakan pengisar keempat terbesar di dunia dengan kapasiti pengisaran sebanyak 250,000 tan metrik setahun dan merupakan pembekal utama kepada syarikat-syarikat coklat dan industri makanan dan minuman (F&B) seperti Nestlé, Mars, Hershey’s dan Cadbury.

5. Selain itu, lawatan turut diadakan ke syarikat HSRICH Chocolate yang merupakan usahawan bimbingan di bawah Program Pembangunan Usahawan Coklat, Lembaga Koko Malaysia. Pada tahun ini, seramai 224 usahawan coklat termasuk 22 usahawan di Johor dibimbing melalui program ini.

6. Lawatan kerja sehari ini telah memberi peluang kepada YB Menteri mendengar secara terus dari pemain industri tentang permasalahan dan potensi industri koko dan coklat negara. Lawatan tersebut turut berjaya meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin ke satu tahap yang lebih baik terutama antara Kementerian dengan pihak industri bagi merancakkan lagi pembangunan industri koko dan pembuatan coklat khususnya di negeri Johor.

7. Kementerian juga komited untuk memperkasakan industri koko di peringkat huluan di samping hiliran menerusi program integrasi tanaman dengan komoditi yang lain sebagai hala tuju baru RMK12.

 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
11 Mei 2020

 

Jata

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT SATELIT MTIB, MTC MUAR BAKAL RANCAKKAN
INDUSTRI KAYU DAN PERABOT NEGARA


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini menyempurnakan pembukaan Pejabat Satelit Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) di Muar, Johor. Pembukaan pejabat ini merupakan antara langkah konstruktif untuk memulihkan dan merancakkan industri perkayuan serta perabot pasca pandemik COVID-19.


2. Antara fungsi utama yang akan diberi tumpuan oleh pejabat satelit tersebut adalah menyelaras isu-isu industri perabot di daerah ini. Ia juga berperanan bagi menggalakkan penggunaan teknologi automasi dan inovasi dalam industri perkayuan selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).


3. Kerjasama antara Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan Kerajaan Negeri Johor akan terus diperkukuh bagi menggalas cabaran keperluan tenaga kerja, pematuhan kepada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta pembangunan Muar Furniture Park (MFP). Selain itu, kerjasama khidmat teknikal dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui pejabat ini mengenai aspek pembangunan reka bentuk produk, kepakaran teknikal dan ujian perabot akan diberi tumpuan.


4. Potensi besar industri perabot dan kayu-kayan khususnya di Muar merupakan salah satu faktor kepada pembukaan pejabat ini. Muar yang merupakan Bandar Perabot Malaysia, menjadi lokasi kepada 700 syarikat pengusaha perabot dengan 80 peratus daripadanya adalah kilang sederhana kecil. Pada tahun 2020, nilai eksport perabot kayu Malaysia mencatatkan sebanyak RM10.6 bilion dengan sumbangan daripada Johor adalah sebanyak 69 peratus dengan Muar merupakan penyumbang sebanyak 46 peratus kepada negeri ini.


5. Industri perkayuan Muar khususnya sektor perabot mempunyai potensi untuk dibangunkan dengan lebih pesat dengan adanya kemudahan dan infrastruktur yang mampan. KPPK akan terus memperkasa peranan sektor perkayuan dan perabot sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara yang signifikan dengan memberikan tumpuan terhadap peningkatan tahap produktiviti.


6. Kementerian berharap pihak industri di daerah Muar dapat mengambil manfaat secara maksimum penubuhan pejabat satelit ini dengan menyertai pelbagai program berkaitan penggunaan teknologi, inovasi, automasi, kecekapan dan produktiviti yang akan diatur oleh MTIB dan MTC kelak.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
11 Oktober 2021

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
AKADEMI HEVEA MALAYSIA
CAWANGAN LANGKAWI BANGUNAN MENARA PERTAMA DI
MALAYSIA MENGGUNAKAN GALAS GETAH SEISMIK


1. YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah merasmikan pusat latihan Akademi Hevea Malaysia Cawangan Langkawi (AHML) di Kuah, Langkawi, Kedah.


2. Pembinaan AHML adalah sebagai pusat dan sumber pengetahuan berkaitan pembangunan getah huluan dan hiliran bagi penggiat industri getah, penjawat awam dan penyelidik dan merupakan antara usaha LGM bagi melaksanakan pelbagai kursus yang berkaitan dengan aktivitI huluan, pemprosesan dan hiliran untuk kemajuan getah negara.


3. AHML juga merupakan bangunan menara pertama di Malaysia menggunakan galas getah seismik yang direka khas oleh LGM. Penggunaan galas getah seismik dapat memberi perlindungan maksimum kepada struktur daripada kerosakan akibat gegaran gempa bumi.


4. Kementerian yakin bahawa potensi getah huluan dan hiliran boleh dipertingkatkan lagi dan seterusnya menyumbang kepada rasa pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Langkawi, Kedah
12 April 2022

Jata

KENYATAAN MEDIA

IBS TASBLOCK BERASASKAN KENAF MAMPU MENJIMATKAN KOS PEMBINAAN BANGUNAN

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan pejabat Sistem Binaan Berindustri (IBS) Tasblock di Lot 1099, Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf, Setiu Terengganu. Lawatan berkenaan bagi meninjau perkembangan proses pembinaan pejabat serta ruang pameran menggunakan teknologi IBS Tasblock berasaskan kenaf.

2. Industri kenaf negara telah mencipta sejarah apabila berjaya menghasilkan bahan binaan berasaskan kenaf hasil kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan Tasblock (M) Sdn. Bhd. Kos pembinaan projek adalah dianggarkan sebanyak RM81,000 dengan keluasan 700 kaki persegi menggunakan 600 kilogram gentian kenaf, dilengkapi dengan ruangan pejabat, bilik mesyuarat, stor dan tandas.

3. Penggunaan kenaf dalam sistem Tasblock ini mampu menghasilkan produk berkualiti tinggi sekali gus merancakkan lagi pembangunan industri pembinaan berasaskan kenaf. Teknologi baharu itu juga mampu menjimatkan kos pembinaan, tenaga kerja, logistik dan masa. Tempoh masa untuk menyiapkan pejabat dan ruang pameran itu hanya mengambil masa selama 30 hari berbanding tiga hingga empat bulan dengan menggunakan kaedah secara konvensional.

4. Inovasi yang dihasilkan melalui kerjasama LKTN dan pihak swasta ini adalah selaras dengan tumpuan kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran produk serta meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran. Usaha berterusan akan dilaksanakan agar permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuk pembinaan.

5. Kementerian melalui LKTN akan terus memberi perhatian dan usaha-usaha serta melaksanakan pelbagai inisiatif serta kemudahan demi memastikan pembangunan industri ini diperkasa dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan keseluruhan rantaian nilai industri kenaf dan sosioekonomi dapat memberi manfaat kepada rakyat khususnya penduduk di luar bandar, serta negara amnya.

 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Setiu, Terengganu
12 Disember 2020