INFO ARKIB ELEKTRONIK

Jata


KENYATAAN MEDIA


KPPK MAHU LAPORAN RASMI YAYASAN PENGGUNA NEGARA
MALAYSIA BERSERTA BUKTI


 


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil berat dan memandang serius dakwaan Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) melalui laporan akhbar UtusanMalaysia yang bertajuk ‘Jual beli minyak sawit haram’ pada 19 September 2020. Laporan itu menyebut kononnya ada agensi kerajaan yang mengawal selia industri sawit tidak mengambil tindakan terhadap aduan berkaitan kegiatan berkenaan.


2. Selain itu agensi berita, Bernama dan portal Malaysia Gazette pada 21 September 2020 turut menerbitkan berita, masing-masing bertajuk ‘YPNM mohon PM atasi ketirisan industri sawit negara’ dan ‘Ada ‘orang dalam’ bantu sindiket jual minyak pasaran gelap’. Keduadua artikel itu melaporkan Presiden YPNM menghantar memorandum kepada YAB Perdana Menteri supaya tindakan diambil ke atas sindiket industri sawit yang menjejaskan pendapatan pekebun kecil di seluruh negara.


3. Kementerian menegaskan bahawa setiap aduan yang diterima dikategorikan sebagai amat penting dan disiasat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan serta peruntukan perundangan yang berkuat kuasa. Kementerian juga sedia maklum Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengguna pakai Sistem Pemantau Sawit (SPS) sejak tahun 2014 bagi mengawal selia setiap pergerakan kenderaan yang membawa minyak sawit untuk mengelakkan daripada terlibat aktiviti salah laku.


4. Justeru, KPPK meminta pihak yang membuat dakwaan supaya melaporkan perkara ini kepada kementerian dengan mengemukakan bukti-bukti agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil. Kementerian juga menggalakkan agensi dan persatuan industri sawit lain seperti FELCRA, FELDA, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan lainlain untuk emberikan maklum balas berkaitan dakwaan yang dibuat.


5. Sekiranya terbukti terdapat salah laku pegawai, maka tindakan tegasmengikut undang-undang akan dilaksanakan. Kementerian sentiasamengutamakan amalan berintegriti dalam semua urusan kerajaan.


YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
22 September 2020

Jata
KEMENTERIAN PERUSAHAAN
PERLADANGAN DAN KOMODITI

KENYATAAN MEDIA

USAHAWAN AGRO DISERU TEROKA KEUSAHAWANAN HILIRAN
SEBAGAI BIDANG BAHARU KOMODITI LADA


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Tuan Willie Mongin, hari ini merasmikan Majlis Penutup Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada Siri 5 Tahun 2020 di Hotel UCSI Kuching. Bengkel yang telah diadakan selama dua hari bermula semalam, dihadiri oleh seramai 46 bakal usahawan dalam kalangan para pekebun, peraih, usahawan huluan dan hiliran yang berpotensi dari Serian, Padawan dan Simunjan.

2. Pada program itu, para peserta telah didedahkan dengan pengetahuan bagi membantu mereka menjadi usahawan lada yang berjaya iaitu pengetahuan mengenai pendaftaran dan pembiayaan perniagaan, persijilan halal, penguatkuasaan dan pelesenan serta potensi pasaran.

3. Bengkel kali ini merupakan sesi kelima yang telah diadakan selepas dilaksanakan di Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu dan Johor. Seterusnya, program ini turut dirancang untuk diadakan di Terengganu, Sarikei, Sri Aman dan Miri pada tahun ini.

4. Usaha mewujudkan lebih ramai usahawan agro atau agropreneur lada bukan sahaja dapat membantu bakal usahawan berkaitan pengetahuan berkenaan perniagaan, tetapi juga sebagai langkah mengukuhkan pasaran tempatan agar tidak terlalu bergantung kepada pasaran eksport selain mengurangkan kesan akibat daripada ketidaktentuan harga komoditi.

5. Para pekebun kecil yang berpotensi diseru untuk meningkatkan nilai tambah tanaman yang mereka usahakan dengan menerokai potensi komoditi tersebut serta menceburkan diri dalam bidang keusahawanan hiliran seterusnya tidak bergantung hanya kepada pengeluaran lada sahaja.

6. Selain itu, kejayaan para usahawan hiliran sedia ada akan dijadikan dorongan dan inspirasi oleh bakal usahawan untuk menjadi lebih kompetitif serta berdaya saing di samping dapat meningkatkan kualiti hidup ke tahap yang lebih baik.

 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Kuching, Sarawak
22 September 2020

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
PEMBANGUNAN INDUSTRI PERKAYUAN NEGARA DIPERKASA
MELALUI KERJASAMA ERAT ANTARA KEMENTERIAN
PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI BERSAMA
NEGERI SARAWAK
______________________________________________________________

1. YB Datuk Willie Anak Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada hari ini telah mengadakan lawatan ke Ladang Hutan Samarakan di Bintulu, Sarawak anjuran Jabatan Hutan Sarawak. Lawatan ini turut disertai oleh Kaunselor (Pertanian) Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, wakil Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC). Program ini bertujuan untuk meninjau perkembangan terkini pembangunan ladang hutan serta Pengurusan Hutan Mampan (SFM) di Malaysia terutamanya di Sarawak. Di samping itu, ia juga bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta pemegang taruh industri perkayuan di Sarawak.


2. Sarawak mempunyai unit pengurusan ladang hutan (FPMU) terbanyak dan terbesar di Malaysia. Keseluruhannya, 1.178 juta hektar kawasan hutan di Sarawak telah dipersijilkan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang merangkumi 6 FPMU dan 11 unit pengurusan hutan asli (FMU). Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Sarawak yang menetapkan agar pemegang lesen kayu pada jangka masa panjang mendapatkan Pensijilan Pengurusan Hutan menjelang tahun ini. KPPK melalui Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) akan terus mempromosi dan memperkukuhkan pelaksanaan pensijilan kayu dan produk kayu bagi meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa menerusi MTCS yang diiktiraf oleh Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC).


3. Aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 adalah untuk memodenkan industri perkayuan negara ke arah peningkatan daya tahan sektor berkenaan. Sasaran nilai pasaran eksport bagi kayu dan produk kayu pada tahun 2030 adalah sebanyak RM32.8 bilion iaitu 70% eksport adalah terdiri daripada produk hiliran. Pada tahun 2021, industri perkayuan merupakan penyumbang ketiga tertinggi bagi sektor agrikomoditi Negara dengan nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM22.74 bilion. Sarawak telah menyumbangkan sebanyak RM3.53 bilion atau 15% dan eksport utama adalah papan lapis, balak serta papan gentian.


4. Kerajaan telah dan sedang mengambil inisiatif serta tindakan bagi menggalakkan kemampanan yang menyeluruh di sepanjang rantaian nilai perkayuan (value chain). Antaranya termasuk penyediaan pinjaman sebanyak RM500 juta lagi menerusi Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH 2.0) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi menjamin bekalan bahan mentah industri perkayuan agar berterusan pada masa hadapan.


5. Kementerian positif bahawa kerjasama berterusan bersama pemegang taruh di Sarawak dapat meningkatkan lagi daya saing industri perkayuan Negara dalam mendepani keperluan dan permintaan pasaran antarabangsa. Seterusnya, kerjasama ini akan menyumbang kepada kemampanan industri perkayuan Negara serta kemakmuran bersama.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
1 APRIL 2022

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
MOU BERSAMA PEMAIN INDUSTRI KAYU KAYAN PAKISTAN
LANGKAH STRATEGIK KEMENTERIAN PERUSAHAAN
PERLADANGAN DAN KOMODITI TINGKATKAN EKSPORT
MALAYSIA
_________________________________________________________

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) terus berusaha meluaskan pasaran dan pembekalan produk kayu-kayan Malaysia ke pasaran luar negara.


2. Menerusi lawatan kerja rasmi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin bersama-sama delegasi KPPK ke Pakistan, satu perjanjian persefahaman (MoU) telah ditandatangani pada 30 Mac 2022 antara MTC dan pemain utama industri kayu, All Pakistan Timber Traders Association (APTTA).


3. Perjanjian persefahaman ini diyakini merupakan antara langkah strategik KPPK dalam usaha meningkatkan eksport produk kayu-kayan Malaysia, bertepatan dengan sasaran Kementerian pada tahun 2022 bermula Januari hingga Jun ini yang menyasarkan eksport bagi sektor kayu-kayan adalah sebanyak RM12 bilion.


4. Bahkan, pemain-pemain industri berkenaan turut didedahkan mengenai peluang yang boleh terus diperkukuhkan dalam sektor agrikomoditi seperti sawit, getah, lada, koko dan kenaf memandangkan Malaysia dan Pakistan telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang sekaligus membantu dalam membina kemampanan ekonomi kedua-dua negara.


5. KPPK komited untuk memastikan industri perkayuan dan komoditi negara akan terus berkembang maju dan pulih selepas dilanda pandemik Covid-19.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
1 APRIL 2022

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

PENGKOMERSIALAN TEKNOLOGI MPOB SUMBANG PENDAPATAN LEBIH RM5 BILION

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini menyempurnakan Webinar Pemindahan Teknologi (TOT) 2021 yang dianjurkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). TOT 2021 diadakan secara dalam talian bertepatan dengan norma baharu dan pematuhan prosedur standard (SOP) dalam tempoh pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi membendung penularan COVID-19. Ia adalah acara tahunan MPOB bagi memperkenalkan teknologi baharu yang dibangunkan oleh para penyelidik agensi berkenaan bagi tujuan pengkomersialan dan diguna pakai dalam industri sawit.

2. Sehingga kini, MPOB telah memperkenalkan sebanyak 709 teknologi dan 191 perkhidmatan kepada pihak industri dan usahawan tempatan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 221 atau 31.17% teknologi dan inovasi MPOB telah berjaya dikomersialkan termasuk dalam kalangan usahawan kecil sederhana.

3. Teknologi MPOB yang sedia untuk dikomersialkan meliputi pengeluaran bahan tanaman, formulasi baja sawit, teknik kawalan penyakit dan serangga perosak, kejenteraan ladang, teknologi pengilangan dan formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit. Pengkomersialan teknologi MPOB telah menyumbang pendapatan dengan anggaran nilai pasaran melebihi RM5 bilion.

4. Pada TOT 2021, MPOB melancarkan empat teknologi baharu merangkumi teknologi kawalan penyakit tanaman sawit, penghasilan produk biojisim sawit bagi rawatan efluen kilang kelapa sawit dan kejenteraan ladang bagi pengangkutan buah tandan segar. Empat teknologi tersebut adalah seperti berikut:

i. Teknologi menggunakan bakteria endofitik sebagai agen kawalan biologi yang berkesan bagi mengawal penyakit reput pangkal batang (BSR) disebabkan oleh kulat Ganoderma.

ii. Teknologi bagi mengawal penyakit reput batang atas (USR) pada pokok sawit dengan pengesanan simptom awal menggunakan racun sistemik, hexaconazole.

iii. Inovasi sistem rawatan bahan buangan sawit atau efluen kilang kelapa sawit (POME).

iv. Pembangunan jentera untuk membantu memunggah buah tandan segar (BTS) di ladang.

5. Pada TOT 2021 juga, tiga produk dilancarkan hasil kerjasama pengkomersialan dengan syarikat tempatan iaitu pengkomersialan teknologi kawalan penyakit Ganoderma, produk poliol berasaskan sawit bagi kegunaan sektor industri dan alat pemotong buah sawit berkuasa elektrik dikenali Cantas Elektro.

6. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui MPOB memberi penekanan kepada penyelidikan dalam bidang mekanisasi dan automasi seperti pembangunan jentera ladang khususnya bagi kerja-kerja penuaian buah sawit yang menyumbang kepada peningkatan produktiviti tenaga kerja dan kecekapan operasi ladang. Penggunaan mekanisasi juga adalah strategi kerajaan bagi mengurangkan kerbergantungan yang tinggi kepada tenaga kerja asing dalam perladangan sawit sekaligus menggalakkan penglibatan golongan belia untuk menceburi kerjaya dalam industri sawit.

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Bangi
1 Julai 2021