KIT DIAGNOSTIK KOKOCORRECTTM DAN KOKOSELECTTM BANTU HASILKAN BAKA, AGRONOMI KOKO BERKUALITI TINGGI
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali hari ini menyempurnakan prapelancaran dua hasil penyelidikan bioteknologi Lembaga Koko Malaysia (LKM) iaitu Kit Diagnostik KokoCorrectTM dan KokoSelectTM di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), Sabah.
2. Kedua-dua kit diagnostik ini dibangunkan untuk membantu pembiak baka koko mengenal pasti baka dan ciri agronomi pokok seperti hasil dan lemak koko yang tinggi selain tahan serangan perosak serta penyakit pada peringkat anak pokok. Ini akan mempercepatkan dan meningkatkan kecekapan pemilihan bahan tanaman koko.
3. YB Menteri juga melawat Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko, LKM KKIP yang turut dikenali sebagai Pusat Kecemerlangan (CoE) Genom Koko bagi memantau pencapaian projek-projek penyelidikan LKM khususnya dalam bidang bioteknologi.
4. Penyelidikan bioteknologi koko oleh LKM meliputi tiga program utama iaitu agro, makanan serta farmaseutikal dan industri. Kajian bioteknologi koko ini merangkumi beberapa projek seperti Cocoa Genome, Genotyping of Cocoa Clones, kultur tisu, serta kawalan penyakit dan perosak koko secara biologi.
5. Antara produk akhir hasil penyelidikan adalah coklat probiotik, coklat antioksidan serta ekstrak antibakteria dan agen antikanser dari daun koko.
6. Melalui semua kajian serta dapatan hasil pembangunan dan penyelidikan bioteknologi ini, kementerian berharap akan dapat membantu pembiak baka koko seterusnya para pekebun untuk meningkatkan hasil tanaman dalam usaha merancakkan ekonomi selain meningkatkan pendapatan mereka.
YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Kota Kinabalu, Sabah 24 September 2020
KENYATAAN MEDIA INISATIF KEMAMPANAN MINYAK SAWIT NEGARA SEBAGAI PEMBINA HUBUNGAN PERDAGANGAN LEBIH BAIK DENGAN KESATUAN EROPAH (EU)
1. WALAUPUN Kesatuan Eropah (EU) menentang perdagangan minyak sawit sejak 2003, Malaysia berazam untuk memupuk hubungan baik dengan blok perdagangan itu demi penyelesaian menang-menang untuk industri sawit negara.
2. Ini sedang dilakukan melalui pelbagai platform, antaranya, Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-EU, program seminar atau webinar dan dialog serta perbincangan melalui misi promosi ekonomi dan minyak sawit di EU. Malaysia bertekad untuk terus menyalurkan pelbagai maklumat terkini mengenai industri minyak sawit – khususnya dari aspek kesihatan dan pemakanan dan kemampanan, bagi menghapus tanggapan yang salah mengenai minyak sawit dan produk berkaitannya dalam kempen anti-minyak sawit di EU.
3. Sejajar dengan usaha ini, dua inisiatif - program perkongsian Malaysia-EU yang bertujuan untuk meningkatkan kelestarian perdagangan minyak sawit dan kerjasama di bawah Majlis NegaraNegara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) telah dilakukan oleh Kementerian.
4. Di bawah inisiatif perkongsian Malaysia-EU, terdapat dua program yang penting - projek Kelestarian Minyak Sawit Malaysia dan Indonesia, yang juga dikenali sebagai Keberlanjutan Sawit Malaysia dan Indonesia (KAMI); dan Inisiatif Kebangsaan Pekebun Kecil Kelapa Sawit Mampan dan Pintar Iklim (NI-SCOPS) dengan Belanda. Dalam inisiatif CPOPC, Malaysia bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk menentang kempen anti-minyak sawit di peringkat global dengan pelbagai program untuk menggagalkan kempen anti-minyak sawit.
5. Antara program penting di bawah CPOPC adalah:
i) Misi bersama ke Eropah di bawah CPOPC dengan penyertaan Malaysia dan Indonesia untuk mengadakan perbincangan dan perundingan dengan EU dalam pengurusan isu berkaitan minyak sawit di Eropah; ii) Menyerahkan surat bantahan secara bersama kepada negara/blok perdagangan yang mendiskriminasi minyak sawit, iaitu EU; dan iii) Pelaksanaan Program Advokasi EU; strategi komunikasi dan promosi di China, Pakistan, India dan Bangladesh serta kempen media sosial di kalangan negara anggota CPOPC.
6. Malaysia dan Indonesia, dua pengeluar minyak sawit terbesar dunia, telah pun menghantar surat bantahan kepada EU pada April 2019 mengkritik keputusan untuk tidak lagi menganggap minyak sawit sebagai biofuel, yang juga mengancam hubungan blok itu dengan kedua-dua negara. Ini berlaku selepas Suruhanjaya Eropah (EC) memutuskan bahawa minyak sawit telah mengakibatkan penebangan hutan yang berlebihan dan ia tidak lagi boleh dianggap sebagai bahan api pengangkutan boleh diperbaharui, kecuali untuk beberapa pengecualian.
7. Perkara ini telah menyebabkan Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap EU dan dua ahlinya – Perancis dan Lithuania – pada 15 Januari 2021 di bawah Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
8. Tindakan ini diambil berikutan keputusan EU untuk mengklasifikasikan minyak sawit sebagai tanaman yang berisiko tinggi untuk perubahan status guna tanah tidak langsung.
9. EU juga menganggap industri minyak sawit menyumbang kepada penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti dan negara-negara EU juga menggunakan European Union Renewable Energy Directive II dalam proses perundangan mereka. Semua ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, yang selaras dengan gerakan global untuk memperjuangkan kebaikan minyak sawit.
10. Mengambil kira situasi terkini Ukraine-Rusia dan perubahan cuaca yang menyebabkan kekurangan bekalan minyak soya dan bunga matahari, ini merupakan peluang keemasan untuk Malaysia mempromosikan kebaikan minyak sawit kepada EU agar dapat dapat mengisi kelompangan bekalan minyak masak dunia.
11. Dunia seharusnya meyakini potensi minyak sawit Malaysia kerana inisiatif kemampanan minyak sawit negara. Ini dilakukan menerusi pelbagai kempen berterusan Kementerian yang giat dilaksanakan bagi mempertahankan imej minyak sawit yang memiliki reputasi harga komoditi yang tinggi selain situasi pengeluaran minyak masak dunia yang tidak stabil buat masa ini.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 27 Jun 2022
KENYATAAN MEDIA PENGARAH EKSEKUTIF KOMUNITI LADA ANTARABANGSA DI JAKARTA, INDONESIA AKAN DITERAJUI MALAYSIA MENGGANTIKAN VIETNAM
1. Malaysia akan mengambil alih giliran jawatan Pengarah Eksekutif Komuniti Lada Antarabangsa (IPC) yang beribu pejabat di Jakarta, Indonesia daripada Vietnam untuk tempoh selama tiga tahun mulai 5 Mei 2021. Keputusan tersebut dipersetujui oleh semua Ketua Perwakilan IPC negara anggota. Malaysia menyertai IPC pada 22 Mac 1972. 2. Puan Firna Azura Ekaputri Marzuki, pegawai Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah dipilih mewakili Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif IPC yang baharu secara pinjaman untuk tempoh berkenaan. Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada tahun 2008 sebelum menjawat jawatan Ketua Penolong Setiausaha di KPPK. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Korporat dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). 3. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengucapkan syabas dan tahniah kepada Puan Firna Azura Ekaputri dan berharap beliau dapat melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi serta amanah demi negara khususnya, bersama negara-negara pengeluar lada di seluruh dunia untuk memajukan sektor komoditi berkenaan. 4. IPC telah ditubuhkan pada tahun 1972 di bawah naungan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) dan merupakan sebuah organisasi antara Kerajaan dalam kalangan negara-negara pengeluar lada dunia. IPC yang berpusat di Jakarta, Indonesia diterajui oleh Pengarah Eksekutif dengan dianggotai lima negara iaitu India, Indonesia, Malaysia, Sri Lanka dan Vietnam manakala Papua New Guinea dan Filipina merupakan ahli-ahli bersekutu. 5. Pelantikan wakil dari Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif IPC diharap dapat memberi manfaat dalam memperkasakan industri lada negara selain memperkukuhkan hubungan kepakaran dan penyelidikan yang terjalin sejak tahun 1972. Selain itu, ia juga demi memastikan kepentingan industri lada negara terus terpelihara bersama dengan negara-negara anggota IPC yang lain.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI Putrajaya 29 April 2021
SIARAN MEDIA KPPK KOMITED TERUS BANTU PEKEBUN KOKO SABAH MELALUI PROGRAM TANAMAN BAHARU (TB)
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin pada hari ini telah menyempurnakan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 dengan mengadakan lawatan kerja ke Kelompok Tani Koko di Kampung Lokub, Kiulu, Tamparuli, Sabah.
2. Di Kiulu, bilangan pekebun koko sedia ada adalah seramai 40 orang dengan jumlah keluasan tanah sebanyak 30 hektar. Kebanyakan pekebun adalah merupakan peserta Program Tanaman Baharu (TB) Lembaga Koko Malaysia (LKM) dengan pengeluaran tertinggi adalah sebanyak 2,300 kilogram pada tahun 2019. Pengeluaran biji koko kering pada tahun 2020 dan 2021 semasa tempoh pandemik COVID-19 adalah sekitar 1,000 kg setahun. Adalah dijangkakan pada tahun 2022, pengeluaran mereka akan terus meningkat. Setakat Januari hingga Jun tahun ini, pengeluaran biji koko dari kelompok ini telah mencecah 1,000kg.
3. Seramai 14 peserta baharu dari Kiulu telah menyertai Program TB 2022 dengan setiap seorang mengusahakan satu (1) hektar kawasan tanaman baharu koko. Dengan menyertai program ini, peserta diberikan khidmat pembersihan kawasan, 1,000 anak pokok koko dan pokok pelindung iaitu pokok pisang serta input baja. Satu mini pengering biji koko berkapasiti 500 kilogram juga telah dibina di Kampung Lokub yang kini beroperasi dalam fasa percubaan. Mesin ini dapat memproses biji koko kering secara optimum dengan membantu menghasilkan biji koko kering berkualiti.
4. Kementerian yakin dengan kerjasama berterusan antara Lembaga Koko Malaysia dan pemain industri koko di Sabah akan dapat meningkatkan lagi daya saing industri ini dalam mendepani keperluan dan permintaan pasaran tempatan memandangkan sektor ini mempunyai potensi untuk dikembangkan.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 03 SEPTEMBER 2022