INFO ARKIB ELEKTRONIK

 

 Jata

KENYATAAN MEDIA

KPPK, KERAJAAN NEGERI SABAH SEPAKAT PERKASAKAN INDUSTRI AGRIKOMODITI PERINGKAT HULUAN

1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali 5 April 2021 lalu melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor di pejabat beliau di Kota Kinabalu, Sabah. Kunjungan tersebut adalah rangka kerja bagi memperkukuhkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah.

2. Di dalam perbincangan yang berlangsung lebih sejam itu, kedua-dua pemimpin berkenaan mencapai beberapa kesepakatan bagi memaju dan memperkasakan sektor agrikomoditi di Sabah khususnya di peringkat huluan. Kerjasama yang bakal dijalinkan ini melibatkan empat sektor agrikomoditi iaitu buluh, koko, getah dan sawit.

3. Dalam sektor buluh, Kerajaan Negeri Sabah akan menyediakan tanah yang dikendalikan oleh salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri. Peranan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ialah memadankan dengan syarikat swasta berkaitan buluh di peringkat hiliran bagi melengkapkan kitaran pasaran komoditi itu nanti.

4. KPPK dan Kerajaan Kegeri juga berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan Negeri Di Bawah Bayu itu sebagai pengeluar koko yang unggul. Justeru, suatu langkah bersepadu akan diambil oleh kedua-dua pihak bagi meningkatkan dan saiz ladang koko. Usaha ini dijangka dapat membantu rakyat meningkatkan pendapatan mereka lebih-plebih lagi selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.

5. Persetujuan konsensus turut dicapai membabitkan Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET) yang bakal diperluaskan di negeri berkenaan khusus bagi penghasilan getah krip. Ini bersesuaian dengaan Sabah yang mempunyai ramai pekebun getah.

6. Persefahaman yang dipersetujui seterusnya adalah dalam memperkasakan promosi kemampanan dan kelestarian hutan menerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Sawit Malaysia (MPOGCF), sebuah yayasan di bawah agensi KPPK iaitu Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC). Beberapa program yang signifikan telah dan sedang dilaksanakan antaranya Inventori Populasi Orang Utan Sabah, menanam 1 juta pokok hutan di Lower Kawag iaitu sebahagian dari Kawasan Hutan Simpan Ulu Segama Malua dan Projek Santuari Hidupan Liar Gajah Borneo. Ia bakal diperkukuhkan lagi dengan aktiviti-aktiviti baharu yang berterusan.

7. KPPK berharap kerjasama erat yang dijalinkan dengan Kerajaan Negeri Sabah ini, bakal melonjakkan lagi aktiviti ekonomi sektor agrikomoditi negara selari dengan usaha memulihara flora dan fauna negara.

YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
10 April 2021

Jata

KENYATAAN MEDIA


SEKTOR PERKAYUAN AKAN TERUS BERPERANAN MEMACU
EKONOMI NEGARA 2021


 


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis KayuKayan Malaysia (MTC), Mazli Zakuan Mohd Noor dan Ahli Pemegang Amanah serta Pengurusan Tertinggi di Ibu Pejabat MTC, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2020.

2. Pertemuan ini amat bermakna memandangkan ia merupakan kali pertama diadakan secara rasmi bersama semua Ahli Pemegang Amanah MTC dan pihak pengurusan di bawah kepimpinan baharu. Perbincangan tertumpu kepada langkah dan usaha MTC untuk terus mengukuhkan kedudukan industri perkayuan yang merupakan antara penyumbang utama kepada eksport komoditi negara.

3. Sebagai subsektor ketiga terbesar selepas sawit dan getah, prestasi eksport kayu-kayan negara sehingga Oktober 2020 mencatatkan nilai sebanyak RM17.8 bilion dan dijangka dapat melepasi RM20 bilion sebagai sumbangan sektor ini kepada pendapatan eksport negara bagi tahun ini.

4. Bagi memastikan sektor perkayuan terus kekal pada masa hadapan, kerajaan melalui KPPK telah menyediakan pinjaman sebanyak RM500 juta di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Usaha membangunkan ladang hutan di bawah PPLH ini merupakan usaha kerajaan bagi menjamin bekalan bahan mentah kepada industri perkayuan pada masa hadapan.

5. Sebagai agensi berkaitan, MTC akan memperuntukkan sebanyak RM5.4 juta untuk Program Bantuan Import dan sebanyak RM2.8 juta bagi Insentif Kewangan Untuk Pembelian Mesin (FIPM) pada tahun hadapan berbanding RM2.56 juta yang disalurkan kepada 81 syarikat pada tahun ini.

6. Usaha merancakkan penglibatan Bumiputera untuk lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa dalam sektor perkayuan di bawah Program Pembangunan dan Pemerkasaan Industri Bumiputera akan dilaksanakan dengan MTC bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta persatuan industri sedang merancang program pembangunan untuk meningkatkan keupayaan mereka.

7. KPPK yakin bahawa industri perkayuan akan terus berkembang dan memberi kemakmuran kepada negara dengan pelbagai insentif dan peruntukan yang disediakan Kementerian melalui agensi dan majlis di bawahnya. KPPK juga berharap agar penglibatan pemain industri dan sokongan persatuan industri perkayuan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan hasrat Kerajaan untuk memastikan industri ini terus dipacu demi kesinambungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
Putrajaya
10 Disember 2020

JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
LARANGAN EKSPORT MINYAK SAWIT INDONESIA BUKA
PELUANG UNTUK INDUSTRI SAWIT NEGARA


1. Pengusaha ladang kelapa sawit dan pengeluar minyak sawit di Malaysia harus berganding bahu bagi merebut peluang yang wujud selepas keputusan Indonesia untuk menghentikan eksport minyak sawit. Sebagai pengeluar minyak sawit yang terbesar di dunia, Indonesia menetapkan larangan ini untuk menurunkan harga komoditi dan seterusnya mengatasi kekurangan bekalan domestiknya.


2. Walaupun Malaysia bersimpati dengan situasi yang telah menjejaskan industri minyak sawit Indonesia, namun ini adalah satu kesempatan yang perlu digunakan oleh industry minyak sawit Malaysia. Memandangkan terdapat kekaburan tentang jangka masa larangan ini akan berkuatkuasa, industri minyak sawit negara perlu segera meningkatkan keupayaan inovasi sambil meneroka strategi yang terbaik untuk memenuhi permintaan pasaran dunia.


3. Negara India mengimport antara 13.0 dan 13.5 juta tan metrik minyak masak dengan import minyak sawitnya merangkumi antara 8.0 juta dan 8.5 juta tan metrik (63%). India yang juga merupakan konsumer terbesar minyak sawit Indonesia, dengan hampir 45% daripada kuantiti ini datang dari negara jiran kita manakala selebihnya diperoleh dari Malaysia.


4. Larangan eksport ini juga secara tidak langsung mengetatkan lagi pasaran global minyak masak akibat konflik antara Rusia dan Ukraine dan isu pemanasan global. Harga sawit, kacang soya, minyak rapeseed Eropah dan minyak kanola kini juga berada pada paras tertinggi dalam sejarah. Meskipun secara logiknya, Malaysia patut menjadi benefisiari sebagai pengeksport kedua terbesar minyak sawit selepas Indonesia, terdapat keraguan sama ada Malaysia mampu menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan untuk meningkatkan pengeluaran.


5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) kekal optimistik dalam memenuhi permintaan global yang semakin meningkat ketika kemungkinan cabaran isu kekurangan pekerja masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya. Berdasarkan analisis dan unjuran trend pasaran, KPPK yakin Malaysia mempunyai apa yang diperlukan untuk mengisi jurang dalam bekalan global minyak sawit.


6. Memandangkan harga minyak sawit akan kekal tinggi kerana stok yang rendah di negara asal dan destinasi, serta harga yang turun naik, Kementerian yakin industri sawit Malaysia akan mendapat kesan positif meskipun situasi ini dijangka akan berubah sekiranya Indonesia mengkaji semula dasar larangannya sebaik sahaja bekalan domestik dan struktur harganya menjadi
stabil. Penganalisis pasaran menjangkakan larangan eksport oleh Indonesia akan ditarik balik pada penghujung suku kedua 2022 (sekitar Julai) dan terdapat kemungkinan Indonesia akan membanjiri pasaran global dengan inventori sawitnya yang terkumpul ketika larangan eksport.


7. Selain itu, Kementerian juga ingin mengingatkan pemain industri sawit negara bahawa terdapat kemungkinan perubahan harga mendadak yang akan berlaku memandangkan industri sawit memasuki tempoh puncak dalam pengeluaran bermusim sekarang. Tambahan pula dengan prospek Korea Selatan yang merupakan salah satu pasaran minyak sawit yang paling pesat berkembang, melepaskan stok simpanannya. Perlu diingati bahawa jika konflik antara Rusia dan Ukraine selesai, terdapat prospek kedua-dua negara ini melepaskan stok minyak rapeseed dan bunga matahari. Mengambil kira risiko-risiko tersebut, industri sawit negara perlu segera mengambil kesempatan daripada keadaan semasa dan bukannya membiarkan peluang tersebut berlalu.


8. Kementerian juga ingin memberi jaminan kepada pemain industri bahawa usaha untuk memenuhi permintaan tenaga kerja asing terutamanya untuk sektor perladangan sedang dilakukan. Pada September tahun lalu, kerajaan telah meluluskan pengambilan 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit dan mereka telah mula tiba sejak awal tahun ini. Malaysia kini
menjangkakan kumpulan baharu pekerja asing akan tiba pada bulan Mei dan Jun, sekali gus mengatasi masalah tenaga kerja untuk musim menuai buah sawit.


9. Untuk jangkamasa panjang, KPPK mengunjurkan pengeluaran dan eksport minyak sawit akan meningkat sebanyak 30% menjelang akhir 2022. Kementerian berkeyakinan bahawa tahap pengeluaran akan meningkat walaupun pengeluaran minyak sawit berada pada paras yang rendah disebabkan kekurangan pekerja asing pada kemuncak pandemik sejak dua tahun yang lalu berikutan pembukaan semula sempadan negara dan Pelan Pemulihan Negara pasca COVID-19. Justeru, Kementerian yakin tahap pengeluaran akan meningkat dan Malaysia berada di landasan yang betul serta mampu memenuhi permintaan minyak sawit dunia.

YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
10 Mei 2022

 

KENYATAAN MEDIA

YB DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

 

1. Bismillahhirahmanirrahim, kita mulakan langkah dengan BISMILLAH. Amanah dan tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Namun, dengan doa kepada Allah agar sentiasa diberikan petunjuk dan ilham, dengan bantuan semua pihak yang bekerja secara kolektif dan mengamalkan konsep syura, berbincang dan berunding, dengan merujuk kepada pakar-pakar bidang dan pemain industri, InsyaAllah secara bersama, kita mampu lakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

2. Pertamanya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi jutaan terima kasih kepada YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia di atas kepercayaan beliau menyerahkan amanah ini kepada saya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama kedua-dua Timbalan Menteri I, YB Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng serta Timbalan Menteri II, YB Willie anak Mongin.

3. Selaras dengan fungsi dan peranan Kementerian ini, saya bersama-sama YB Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng dan YB Willie anak Mongin akan berusaha sedaya upaya menggalas tanggungajawab serta amanah ini dengan komited dan berintegriti.

4. Saya percaya terhadap keupayaan dan kemahiran pegawai-pegawai MPIC untuk membantu saya dalam merealisasikan visi MPIC untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju pasaran global bagi industri utama melalui kemajuan industri secara mampan untuk kesejahteraan negara.

5. Bagi mencapai hasrat ini Kementerian akan memperkasakan amalan urus tadbir yang baik (good governance) dengan penekanan pada dua paksi utama iaitu integriti dan kualiti dengan menguruskan sumber awam secara berkesan.

6. Saya juga akan berusaha menyediakan pasukan kerja yang mantap menggabungkan pelbagai kepakaran samada pada tenaga fikir kementerian, pengkaji dan penyelidik universiti mahupun juga pengalaman pemain industri bagi menghadapi pelbagai cabaran dalam sektor perladangan dan komoditi seperti isu kemampanan, diskriminasi produk dan kempen anti minyak sawit di peringkat antarabangsa.

7. Saya juga mahu Kementerian terus meneroka potensi pasaran-pasaran baru yang masih belum kita kuasai sepenuhnya di samping mengekal dan mengukuh pasaran sedia ada.

8. Menerusi gerak kerja yang baik dan cekap, menggunakan konsep memanfaatkan kepakaran dan pengalaman serta memperkasakan perbincangan dan rundingan, saya yakin Kementerian ini akan terus menjadi antara agensi peneraju kepada pembangunan negara terutamanya ketika Kerajaan berusaha gigih untuk memulihkan ekonomi negara dan sekaligus menjaga kesejahteraan serta kebajikan rakyat.

Kepada Allah, kami memohon petunjuk dan ilham serta taufik dalam melaksanakan segala gerak kerja.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
10 Mac 2020
Putrajaya

 Jata

KENYATAAN MEDIA

PENINGKATAN HARGA SAWIT: KERAJAAN JANGKA PEROLEH KEUNTUNGAN CUKAI LEBIH RM348 JUTA

1. Harga minyak sawit mentah (MSM) yang melepasi paras RM3,000 setan dijangka terus meningkat. Ia dipacu oleh sentimen pasaran yang positif, jangkaan penurunan stok dan peningkatan eksport serta perkembangan ekonomi dan politik global pada penghujung tahun 2020.

2. Harga minyak sawit di pasaran ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran. Selain itu, faktor asas dan sentimen pasaran turut mempengaruhi pergerakan harga MSM di pasaran. Harga MSM telah menunjukkan trend peningkatan yang begitu ketara, melonjak kepada RM3,424 setan pada 6 November 2020 berbanding paras terendahnya, iaitu RM2,021.50 setan pada 12 Mei 2020, peningkatan sebanyak RM1,402.50 atau 69.4 peratus.

3. Harga MSM yang mencecah RM3,424 setan ini adalah tertinggi sejak 3 Mei 2012 iaitu pada RM3,417.50 per tan. Peningkatan harga MSM telah menyumbang kenaikan harga Buah Tandan Segar (BTS) kepada RM727 per tan (berdasarkan OER untuk gred 20 peratus) pada 6 November 2020 berbanding RM408 per tan pada 12 Mei 2020. Trend MSM itu menunjukkan bahawa usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan telah berjaya meningkatkan harga minyak sawit.

4. Berdasarkan prestasi dan jangkaan harga dan pengeluaran BTS dari estet sepanjang tahun 2020, potensi hasil kutipan levi keuntungan luar biasa (Windfall Profit Levy) oleh kerajaan pada tahun 2020 adalah dianggarkan sebanyak RM348 juta berbanding hanya RM256,000 sahaja pada tahun 2019. Sebagai panduan, levi dikenakan pada kadar 3 peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM2,500/tan di Semenanjung dan 1.5 peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM3,000/tan di Sabah dan Sarawak.

5. Dalam usaha merancakkan lagi pembangunan industri sawit, kementerian juga sedang mengkaji struktur keseluruhan percukaian dan ses dalam sektor perladangan komoditi ini.

6. Ini menunjukan kenaikan harga sawit bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil serta estet tetapi juga dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi demi kemakmuran negara.

YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
11 November 2020