Label makanan secara umumnya memberi gambaran terhadap maklumat kandungan bahan sesuatu produk untuk rujukan pengguna seperti kandungan khasiat, cadangan hidangan, langkah penyajian dan sebagainya.
Namun, terdapat juga label-label yang digunakan sebagai taktik pemasaran licik pada produk-produk tertentu dalam pasaran dengan niat untuk mengelirukan pengguna.
MALAYSIA SEDIA BANTU NIGERIA KEMBANGKAN PASARAN PRODUK HALAL AGRIKOMODITI ________________________________________
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali semalam menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Ekspo Maya Halal Dunia dan Siri Webinar 2020 yang antara lain memfokuskan kepada industri halal dunia yang kini bernilai kira-kira AS$2.3 trilion (RM9.57 trilion) dan kaitannya dengan produk-produk agrikomoditi.
2. Industri halal bukan sekadar membabitkan segmen makanan dan minuman dalam masyarakat malah meliputi produk hiliran komoditi seperti coklat, sarung tangan getah, produk minyak sawit, kosmetik dan pelbagai lagi.
3. Pasaran halal telah muncul sebagai komponen progresif dalam ekonomi global hari ini dengan peningkatan pengguna Muslim dan bukan Muslim setiap tahun. Industri ini akan menjadi amat berdaya saing dalam dunia perniagaan antarabangsa selain memiliki tahap standard kualiti yang tinggi atau elemen 'thoyyiban' yang menjadi unsur penting dalam Islam.
4. Kadar pertumbuhan tahunan industri berkenaan adalah sebanyak 20 peratus menjadikan ia adalah perniagaan yang berkembang pesat di dunia. Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia di mana pembangunan industri halal disokong oleh kerajaan selain menggalakkan sinergi kerjasama antara sektor swasta dan sektor awam.
5. Pasaran halal tidak hanya berkembang di negara-negara majoriti umat Islam, tetapi juga di negara-negara majoriti bukan Islam termasuk China, Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Nigeria yang merupakan antara negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia selepas Indonesia, sememangnya memiliki pasaran halal yang kian berkembang dari segmen makanan meneroka ke bidang baharu seperti logistik, fesyen, kosmetik, perbankan Islam, rantaian bekalan dan banyak lagi.
6. Lebih banyak syarikat kini memenuhi pasaran Muslim dengan menghasilkan barangan halal. Kini masa yang tepat untuk Malaysia bekerjasama dengan Nigeria bagi membangunkan Hab Perniagaan Halal di negara itu untuk menghasilkan produk halal, pensijilan makanan halal, pengurusan makanan halal dan banyak lagi. Ini adalah contoh terbaik untuk menjalinkan hubungan global dalam perkembangan industri halal di seluruh dunia dan ummah secara keseluruhan.
7. Dalam konteks kerjasama Malaysia dan Nigeria, negara dari Afrika itu akan dapat mengambil perspektif yang berbeza mengenai trend semasa industri halal global terutama membabitkan produk berasaskan agrikomoditi. Dengan 50 peratus penduduk Islam di negara itu, Nigeria bertanggungjawab untuk menjaga sebilangan besar pengguna halal tempatan mereka.
8. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersedia untuk membantu Nigeria khususnya membabitkan produk-produk halal berasaskan agrikomoditi keluaran tempatan bagi mengembangkan lagi pasaran produk halal di negara itu.
YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Putrajaya 1 Oktober 2020
SUMBANGAN KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN UNTUK MEMERANGI COVID-19
1. Industri getah merupakan antara 6 sektor komoditi utama di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang telah menyumbang eksport negara sebanyak RM30.9 billion pada tahun 2019.
2. Antara produk yang dihasilkan adalah sarung tangan (gloves), justeru seiring dengan usaha kerajaan, KPPK turut bersama meringankan beban petugas barisan hadapan (frontliner) dengan sumbangan sebanyak 2.5 juta sarung tangan getah kepada Kementerian Dalam Negeri untuk diagihkan kepada semua agensi di bawahnya.
3. Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali juga bersetuju memperuntukan sejumlah sejuta sarung tangan kepada petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
4. Tidak ketinggalan juga Angkatan Tentera Malaysia di bawah Kementerian Pertahanan akan menerima sumbangan sejuta sarung tangan getah yang akan diserahkan pada 2hb April 2020.
5. KPPK berharap sumbangan berkenaan mampu melancarkan lagi tugas penguatkuasaan anggota keselamatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) sekaligus mampu menghentikan wabak COVID-19.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi PUTRAJAYA 1 April 2020
AFGHANISTAN BUKA LALUAN IMPORT MINYAK SAWIT MALAYSIA, BAKAL JADI ‘GERBANG EMAS’ PASARAN ASIA TENGAH
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali pada 8 April 2021 menerima kunjungan hormat daripada Duta Republik Islam Afghanistan ke Malaysia, TYT Dr. Mohib Rahman Spingar. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Ravi Muthayah; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir. Mengiringi Dr Mohib ialah Ketua Kanselor, Abdul Mueen Shahid dan Penasihat Kedutaan, Naseem Khanam.
2. Dalam kunjungan hormat tersebut, Afghanistan dan Malaysia menyambut baik cadangan untuk mengimport lebih banyak minyak sawit Malaysia selain kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka potensi dalam usaha mengembangkan eksport minyak sawit Malaysia secara langsung ke Afghanistan yang pada masa ini sebanyak 75,000 tan setahun kepada 150,000 tan setahun.
3. Persefahaman itu sekali gus membuka lembaran baharu kepada sawit Malaysia untuk dipasarkan ke Asia Tengah dengan Afghanistan sebagai laluan pintu masuk atau 'gerbang emas' ke negara-negara lain di rantau berkenaan seperti Turkmenistan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan sehingga ke Kazakhstan serta lain-lain negara melalui Pelabuhan Chabahar di Iran seperti yang dihasratkan oleh YB Menteri iaitu untuk meneroka pasaran baharu sawit ke rantau berkenaan.
4. Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi untuk menjadi Afghanistan sebagai pintu masuk eksport agrikomoditi Malaysia yang lain iaitu seperti getah, lada, koko dan kayu-kayan. Kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi tujuan tersebut tidak lama lagi.
5. KPPK percaya persefahaman ini dicapai kerana dunia yakin dengan kualiti minyak sawit Malaysia yang premium dan sekaligus menunjukkan tindakan Sri Lanka yang menyekat import bahan mentah komoditi itu baru-baru ini tidak akan menjejaskan pasaran sawit negara malah akan membuka lebih banyak pasaran baharu di rantau yang lain.
YB DATO’ DR MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Putrajaya 10 April 2021