PADANG TERAP, 6 Februari-Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kedah membuka Depo Pengumpulan Lateks (DPL) di negeri itu sebagai usaha untuk menggalakkan lebih ramai penoreh dan pekebun kecil getah menghasilkan susu getah atau lateks.
DPL Kampung Kubang Kenyeng bawah seliaan Pejabat RISDA Stesen Naka bersama RISDA Plantation SDN BHD merupakan yang ke-6 dibuka dan mula beroperasi secara rasmi semalam.
Lima DPL telah beroperasi sebelum ini adalah DPL Kampung Kayu Tiga Enterprise, Pendang; DPL Kampung Labu Besar, Kulim/Bandar Baharu; DPL Kampung Paya, Pokok Sena; DPL Kampung Kuala Pai, Kuala Nerang; dan DPL Kampung Tas, Baling.
Pengarah RISDA Negeri Kedah Abdul Aziz Awang berkata, terdapat beberapa DPL akan dibuka dalam masa terdekat.
"Kami menyeru semua pekebun kecil yang berminat untuk menghasilkan lateks datang ke Pejabat Risda Stesen Naka atau Pejabat RISDA Daerah Padang Terap, untuk kami damping seterusnya memberi tunjuk ajar cara memghasilkan lateks sehingga berjaya," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian DPL Kampung Kubang Kenyeng di sini.
RISDA turut menyediakan pelbagai bantuan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil antaranya Skim Insentif Lateks dan Insentif Harga Lateks bagi membantu pekebun kecil meningkatkan penghasilan susu getah.
Menerusi skim tersebut, RISDA akan memberi bantuan penyelenggaraan kebun, bantuan baja, racun dan penggalak susu serta tambahan hasil penjualan susu getah di DPL.
Setiap pekebun kecil juga layak menerima insentif Pengeluaran Getah Berkelompok (IPGB) sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh 12 bulan.
"Kita harap menerusi bantuan-bantuan yang disediakan oleh pihak RISDA ini dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil," katanya.
Penghasilan susu getah mampu melonjakkan pendapatan penoreh dan pekebun kecil sehingga 30 peratus berbanding getah skrap.
Ketika ini, harga semasa getah lateks sekitar RM7.55 sekilogram berbanding getah skrap, RM3.35 sekilogram.
MACHANG – Sebanyak 15 buah syarikat perladangan di Kelantan telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia bagi menyediakan latihan dan kemahiran kepada Orang Bebas Berlesen (OBB) yang akan mengikuti program pemulihan dalam komuniti.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, kerjasama itu sekali gus akan memberi peluang pekerjaan kepada 750 prospek (penghuni penjara) menjalani kehidupan dalam komuniti sepanjang tahun ini bermula Mac depan.
Menurutnya,setakat ini, 15 syarikat yang menjalinkan kerjasama melalui Program Corporate Smart Internship (CSI) membabitkan industri perusahaan getah di daerah Tanah Merah dan Kuala Krai yang berminat untuk mendapatkan tenaga pekerja daripada prospek.
“Kita telah menjalankan kerjasama dengan 15 buah syarikat itu dalam usaha menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam industri getah di negeri ini.
“Jadi, setiap ladang boleh menawarkan 50 peluang pekerjaan kepada prospek. Setakat ini, kita sudah mengumpul 150 prospek di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang untuk menghadiri kursus selama dua hari bersama Lembaga Getah Malaysia ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pembukaan Panel Torehan dan Teknik Torehan Getah kepada OBB di PPA Machang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ibrisam memberitahu, menerusi program itu, majikan akan bertindak sebagai penyelia dan perlu menyediakan kemudahan asrama kepada prospek sepanjang tempoh yang ditetapkan berdasarkan baki hukuman.
Katanya, torehan getah merupakan latihan dan kursus pertama dilaksanakan di Kelantan malah ia mampu dikembangkan ke negeri lain sekiranya mendapat permintaan daripada syarikat perladangan.- KOSMO! ONLINE
KOTA BHARU - Penjara Kelantan bakal melahirkan lebih ramai penoreh getah profesional dalam kalangan banduan melalui latihan di bawah Program Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dan parol bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) cawangan Kelantan.
Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaakob berkata, usaha itu juga bagi membolehkan penghuni penjara yang sudah bebas mengusahakan ladang getah terbiar di negeri ini.
Menurut Mat, jabatan berkenaan juga perlu menyediakan seramai 750 banduan yang akan dilatih sebagai penoreh getah profesional tahun ini dan menerima sijil daripada LGM.
"Semalam (Ahad) kita melepaskan seramai 93 penghuni penjara secara PBSL untuk bekerja di ladang di Kuala Krai dan Tanah Merah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Penjara ke-234 Peringkat Penjara Negeri Kelantan dan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa pada Isnin.
Mat turut memberitahu, kolaboratif itu membolehkan mereka mengusahakan lebih banyak ladang getah yang ada di negeri ini dan sasaran terbaharu ialah di Gua Musang sebelum diperluaskan ke seluruh negeri.
Selain itu, beliau turut memaklumkan, sebanyak 99.9 peratus banduan di Kelantan mendapat pekerjaan sebaik sahaja mereka dibebaskan.
Menurut Mat lagi, kerjasama dengan kira-kira 48 majikan turut membantu banduan dilatih dalam pelbagai sektor pekerjaan termasuk perladangan, perkilangan, pembuatan, runcit dan makanan.
"PBSL terbukti membantu banduan hidup lebih baik dalam masyarakat dan di Kelantan hanya 0.24 peratus yang kembali semula ke penjara.
"Kita turut berharap mereka akan kembali kepada masyarakat sebagai rakyat yang normal dan selepas tamat hukuman ditawarkan bekerja di syarikat korporat," katanya.
KUALA NERANG: Harga getah yang tidak menentu mendorong seorang penoreh dari Kampung Musa di sini mengusahakan tanaman cendawan Volvariella atau cendawan jerami sejak lapan tahun lepas dan kini menjadi sumber pendapatan utama.
Ismail Ibrahim, 67, berkata berbanding pendapatan sebagai penoreh getah iaitu sekitar RM1,500 sebulan sebelum ini, dia kini mampu menjana pulangan sehingga RM3,000 sebulan dengan menjual cendawan itu yang turut dikenali sebagai cendawan kelapa sawit.
"Saya mula mengusahakan tanaman cendawan ini pada 2016 di kawasan kebun getah saya untuk mencari sumber pendapatan sampingan disebabkan harga getah tidak menentu pada masa itu.
"Tanaman ini hasilnya boleh dituai dalam tempoh kurang sebulan bermula dengan penyediaan medium tanaman menggunakan tandan kelapa sawit sebagai batas diikuti menabur benih yang dihasilkan sendiri," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Ismail yang muncul Naib Johan Anugerah Inovasi Teknologi Pertanian (Kategori Petani) tahun lepas berkata dia mengambil inisiatif menanam Volvariella selepas diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Padang Terap pada 2015 sebagai tanaman altenatif bagi menjana pendapatan pekebun kecil getah.
Mampu mengutip hasil sekitar 20 hingga 30 kilogram (kg) setiap hari, Ismail kini mengusahakan tanaman berkenaan di dalam enam khemah dengan keluasan kira-kira 464.5 meter yang boleh mengeluarkan sekurang-kurangnya 180 kg Volvariella bagi satu pusingan tanaman iaitu tiga hingga empat bulan.
"Sekarang saya ada tiga khemah dan disebabkan hasil memberangsangkan, saya bercadang nak luaskan lagi kawasan tanaman untuk tambah pengeluaran setiap musim," katanya yang berhenti menoreh getah sejak 2019.
Ismail turut menganjurkan kursus penanaman cendawan Volvariella di tapak tanaman di Kampung Musa.
"Walaupun harga getah sedang naik, penoreh perlu cuba cari sumber pendapatan sampingan termasuk tanam cendawan Volvariella kerana boleh bantu jika harga getah turun pada masa akan datang," katanya yang banyak menerima bantuan dari segi khidmat nasihat dan peralatan daripada Jabatan Pertanian.
Ismail berkata permintaan cendawan itu sangat memberangsangkan dengan pasaran tertumpu di sekitar Kuala Nerang malah turut mempunyai pelanggan tetap selain mengiklankannya di Facebook.
Menurut Ismail selain digoreng tepung, cendawan Volvariella juga sesuai dimasak sup atau lemak dan dia kini sedang mengorak langkah dengan menghasilkan serunding yang turut mendapat banyak permintaan.
PETALING JAYA: Eksport getah asli Malaysia berjumlah 58,965 tan metrik pada Mac 2024, meningkat 7.0 peratus berbanding 55,083 tan metrik pada Februari 2024.
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 48.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mac diikuti Jerman (9.3 peratus), Emiriah Arab Bersatu (9.2 peratus), India (6.9 peratus) dan Pakistan (4.5 peratus).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.
“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.14 billion pada Mac 2024, meningkat 3.9 peratus berbanding RM1.1 bilion pada Februari 2024.
Bagaimanapun, ujar beliau, pengeluaran getah asli menurun 9.2 peratus pada Mac iaitu 26,966 tan metrik berbanding 29,691 tan metrik pada bulan sebelumnya.
“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 0.8 peratus (Mac 2023: 27,188 tan metrik). Pengeluaran getah asli Malaysia pada Mac disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.5 peratus) berbanding sektor estet (11.5 peratus).
“Jumlah stok getah asli pada Mac menurun 3.3 peratus kepada 222,455 tan metrik berbanding 229,940 tan metrik pada Februari.
“Kilang memproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.4 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.5 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” ujarnya.
Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 8.2 peratus (Mac 2024: 740.37 sen sekilogram; Februari 2024:RM684.19 sekilogram) manakala sekerap meningkat sebanyak 5.9 peratus (Mac 2024:RM640.54 sekilogram; Februari 2024: RM604.59 sekilogram).
Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 4.2 peratus hingga 8.1 peratus.
Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 5.8 peratus (daripada AS$1.56/kg kepada AS$1.65/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 18.1 peratus (daripada AS$2.02/kg kepada AS$2.39/kg).
Prestasi suku pertama 2024 menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 7.5 peratus kepada 86,944 tan metrik berbanding 93,956 tan metrik pada suku keempat 2023.
Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku pertama 2024 pula mencatatkan peningkatan 3.7 peratus berbanding suku pertama 2023 (83,848 tan metrik).
Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Mac 2024, pasaran getah Kuala Lumpur bercampur-campur pada Mac apabila G.M.M 20 mencatatkan paras tertinggi baharu sejak April 2017 pada 20 Mac 2024 iaitu pada harga RM805/kg sebelum berkurangan menjelang penghujung bulan.
Pasaran getah asli semakin berkurang dengan jangkaan bekalan getah asli yang terhad berikutan keadaan cuaca dan musim daun luruh.
Namun, rangsangan dan langkah-langkah yang berterusan serta jualan kereta yang lebih baik di China yang disumbangkan oleh kenderaan elektronik (EV) turut memberi sokongan kepada sentimen pasaran. – UTUSAN