INFO ARKIB ELEKTRONIK

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi akan terus mengukuhkan usaha dan menambah baik pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk memenuhi keperluan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Ia terutama berkaitan elemen kebolehjejakan, bebas penyahhutanan, pemilikan sah ke atas tanah dan amalan buruh yang baik supaya minyak sawit negara diterima baik di seluruh pasaran dunia.

Menjelaskan demikian, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, berkata Malaysia berusaha mempertahankan kepentingan industri minyak sawit dalam menghadapi cabaran EU.

"Ia melalui usaha di peringkat domestik dan antarabangsa serta penekanan kepada amalan penanaman sawit secara mampan dan pematuhan terhadap standard kelestarian yang diiktiraf.

"Pelbagai usaha dilaksanakan kementerian untuk meyakinkan dan memastikan bahawa pensijilan MSPO dapat memenuhi perundangan EUDR supaya minyak sawit Malaysia tidak didiskriminasi di pasaran Eropah dan dunia," jawabnya.

Beliau berkata, antara usaha dilakukan, termasuklah penubuhan pasukan petugas bersama Ad Hoc Joint Task Force on EUDR (Ad Hoc JTF) dengan kerjasama Indonesia, Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dan Suruhanjaya Eropah (EC).

"Melalui platform ini, pihak EU bersetuju untuk membantu menangani kekangan dihadapi Malaysia dan Indonesia dalam memenuhi keperluan EUDR," katanya dalam jawapan kepada soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu).

Bakri mahu tahu sejauh mana usaha kementerian dalam kempen meyakinkan EU bahawa MSPO adalah pensijilan yang memenuhi piawaian EUDR supaya minyak sawit Malaysia tidak didiskriminasi di pasaran Eropah dan dunia.

Pada masa sama, menurut Johari, mesyuarat pertama Ad Hoc JTF pada Ogos tahun lalu, mengenal pasti lima kekangan utama merangkumi isu pembabitan pekebun kecil dalam rantaian bekalan, skim pensijilan nasional yang berkaitan.

Selain itu, katanya, kekangan turut membabitkan kebolehjejakan daripada pengeluar kepada pengguna akhir, data saintifik mengenai penyahhutanan serta degradasi hutan dan perlindungan data peribadi.

"Melalui platform ini juga, MSPO telah bekerjasama dengan Institut Perhutanan Eropah (EFI) bagi menjalankan kajian analisis jurang perbezaan di antara skim pensijilan MSPO dengan perundangan EUDR.

"Hasil awal kajian menunjukkan MSPO berpotensi besar untuk memenuhi keperluan peraturan EUDR. Ini kerana Malaysia telah menyemak semula piawaian MSPO 2.0 supaya selari dengan norma antarabangsa.

"Ia bagi meningkatkan kredibiliti dan mengembangkan skop yang lebih luas untuk pengiktirafan daripada pasaran global. MSPO 2.0 ditambah baik dengan kemasukan beberapa elemen membabitkan isu sosial dan amalan pertanian baik," katanya.

Beliau berkata, ia seperti Penilaian Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), Penilaian Kesan Sosial (SIA) dan kuantifikasi pelepasan gas rumah hijau (GHG).

"Ia juga membabitkan penetapan tarikh akhir pada 31 Disember 2019 bagi penebangan hutan asli, kawasan yang dilindungi dan kawasan HCV untuk penanaman sawit,"katanya.

Menurut Johari, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) juga menerbitkan hasil analisis pakar pensijilan kemampanan minyak sawit dari Belgium, Pierre Bois d'Enghien, yang mendapati pensijilan MSPO berpotensi memenuhi semua keperluan EUDR.

Katanya, usaha penambahbaikan dalam pensijilan itu akan memastikan bahawa MSPO boleh diterima pakai sebagai 'compliance tool' untuk EUDR.

"Hasil kajian ini dapat mengesahkan status MSPO sebagai standard pensijilan bertaraf dunia yang akan membantu usaha industri sawit Malaysia untuk mengeksport minyak sawit mampan yang mematuhi ketetapan EUDR.

"Hasil kajian ini akan dikongsikan dalam sesi libat urus Malaysia dengan EU supaya MSPO dapat diterima dan diiktiraf oleh EU," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/07/1271961/malaysia-berusaha-pertahan-kepentingan-industri-minyak-sawit-negara

 

Sumber : Berita Harian

SEORANG menteri baru-baru ini cadangkan Malaysia perkenal ‘diplomasi orang utan’ kepada negara-negara pembeli sawit. Sasarannya ialah Kesatuan Eropah, India dan China.

SELAMA beberapa dekad, minyak masak telah bergelut untuk mendapatkan perhatian khalayak dengan menawarkan pelbagai faedah yang unik.

Minyak Sawit Merah (RPO) antaranya, seharusnya mendapat perhatian khusus. Memiliki ciri yang berwarna cerah, RPO menawarkan banyak kelebihan kesihatan melalui kandungan karotenoid provitamin A dan tokotrienol Vitamin E yang dimilikinya.

Karotenoid, pigmen larut lemak semulajadi yang bertanggungjawab memberi warna kuning, oren dan merah yang terang dalam banyak tumbuhan adalah penting dalam untuk kita dalam penjagaan kesihatan yang optimum.

Kesemuanya dikelaskan kepada dua kumpulan utama iaitu karoten dan xantofil, menjadikan RPO benar-benar luar biasa dalam sebatian penting ini.

Menurut British Journal of Biomedical Science, RPO bertindak sebagai antioksidan yang kuat, melindungi sel kita daripada kerosakan dan berpotensi mengurangkan risiko penyakit kronik.

Dengan tiga belas jenis karotenoid yang berbeza, RPO berfungsi sebagai sumber pigmen berfaedah yang tiada tandingannya. Salah satu ciri RPO yang paling luar biasa ialah potensinya dalam memberikan setara retinol, pendahulu kepada Vitamin A.

Nilai ini amat penting memandangkan peranan penting Vitamin A dalam pelbagai proses fisiologi termasuk penglihatan, fungsi imun dan pertumbuhan selular terutamanya penting untuk kanak-kanak.

Satu kajian yang ditemui dalam Institut Kesihatan Nasional menyatakan bahawa RPO mempunyai setara retinol lima belas kali ganda lebih tinggi daripada lobak merah dan tiga ratus kali ganda lebih banyak daripada tomato, menunjukkan nilai nutrisinya yang tiada tandingan.

Kepentingan karotenoid tidak boleh disalah anggap terutamanya mengenai sifat larut lemaknya. Adalah penting untuk menyedari bahawa pigmen ini memerlukan lemak untuk penukaran optimum kepada Vitamin A.

Sinergi yang wujud antara karotenoid dan matriks RPO yang kaya dengan lipid ini memastikan penyerapan dan penggunaan yang cekap oleh badan, dengan itu memaksimumkan manfaat kesihatannya.

Tambahan pula, kehadiran Vitamin E Tocotrienols meningkatkan lagi profil pemakanan RPO.

Tocotrienols merupakan Vitamin E yang kurang dikenali tetapi sama bermanfaat, mempamerkan sifat antioksidan yang luar biasa, menawarkan perlindungan terhadap tekanan oksidatif dan keradangan.

Sinergi antara karotenoid dan tokotrienol ini menekankan pendekatan holistik RPO ke arah kesihatan dan kesejahteraan.

Walaupun memiliki nutrisi yang hebat, RPO sering dibayangi persepsi salah mengenai kandungan lemak tepunya. Adalah penting untuk menghapuskan mitos ini dan menyedari bahawa tidak semua lemak tepu adalah sama.

Komposisi unik RPO, diperkaya dengan fitonutrien yang bermanfaat, membezakannya daripada sumber lemak tepu konvensional, menjadikannya tambahan yang bernilai kepada diet seimbang.

RPO adalah dalam masakan Malaysia dan sebati dengan selera dan gaya masakan kita. Kepelbagaian dan ketersediaannya dalam pelbagai kulinari menjadikannya pilihan yang disukai di kalangan tukang masak dan suri rumah.

* Dr Shanmuganathan Ganesan ialah Presiden Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM)

 

https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/666262

 

Sumber : Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 23 Jun - Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun minggu depan.

Ini disebabkan kebimbangan paras saham yang meningkat.

Peniaga minyak sawit menjangkakan julat dagangan antara RM3,800 satu tan metrik dan RM3,950 satu tan metrik.

Penganalisis Kanan Fastmarkets, Sathia Varqa berpandangan peniaga akan menumpukan pada pengeluaran data pengeluaran Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dari 1 hingga 20 Mei untuk petunjuk arah pasaran.

Beliau berkata, prospek pengeluaran yang lebih tinggi juga boleh memberi tekanan kepada harga jika eksport tidak bertambah baik.

 

Minyak sawit mentah, dagangan di bursa dijangka diniaga menurun minggu depan

https://berita.rtm.gov.my/ekonomi/senarai-berita-ekonomi/senarai-artikel/minyak-sawit-mentah-dagangan-di-bursa-dijangka-diniaga-menurun-minggu-depan

 

Sumber : Berita RTM

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), menahan empat individu dan merampas minyak sawit mentah serta peralatan bernilai RM6.4 juta.

MCBA dalam kenyataan memaklumkan, penahanan dan serbuan melalui Op Taring Palma itu dijalankan di sebuah syarikat memproses minyak sawit di Batu 14, Jalan Labuk, di Sandakan pada petang 7 Jun lepas.

Katanya, serbuan dilakukan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Sabah, Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA), Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan dan penguatkuasa MPOB Sandakan mendapati syarikat berlesen itu membuat pembelian minyak sawit mentah daripada pihak tidak berlesen pada harga lebih rendah.

“Antara rampasan adalah sebuah lori muatan tiga tan, tangki 1000 liter (tujuh), pam elektrik dan hos (empat), tong dram (empat), tangki skid berkapasiti 40,000 liter (lima), tangki simpanan berkapasiti 1000 tan (lima) dan anggaran 775.1 tan minyak sawit mentah.

“Empat individu terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia ditahan kerana bersekongkol dalam aktiviti pembelian minyak sawit mentah secara haram,” katanya hari ini.

MCBA berkata, kesemua suspek diserahkan kepada MPOB Sandakan untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

 

https://www.kosmo.com.my/2024/06/12/minyak-sawit-mentah-peralatan-bernilai-rm6-4-juta-dirampas/

 

Sumber : Kosmo