INFO ARKIB ELEKTRONIK

Kuala Berang: Pekebun di enam kampung di daerah ini gusar apabila kebun kelapa sawit dan nanas yang diusahakan menjadi sasaran gajah liar sejak tiga tahun lalu.

Pekebun, Zamani Yusof, 56, dari Kampung Teris, di sini berkata, konflik antara manusia dan gajah masih tiada kesudahan berikutan mamalia itu semakin mudah ditemui di kawasan kebun milik penduduk.

Menurutnya, serangan gajah semakin buruk sejak awal tahun ini apabila sudah empat kali kebun penduduk dicerobohi sehingga memusnahkan pokok kelapa sawit dan nanas.

Katanya, masalah itu merunsingkan pekebun apabila perlu mengeluarkan modal besar setiap kali berlaku kerosakan namun serangan gajah liar kembali berulang beberapa bulan kemudian.

"Saya membelanjakan lebih RM54,000 bagi mengupah pekerja untuk membersihkan kebun, sewa jentera berat, membeli benih, tanam semula tetapi tiga atau empat bulan selepas itu, pokok-pokok kembali dirosakkan.

"Kalau ikutkan hati saya hampir berputus asa apabila melihat kemusnahan disebabkan serangan gajah liar ini.

"Apatah lagi mengenangkan puluhan ribu ringgit yang dilaburkan hangus begitu saja angkara gajah dan situasi itu bukan saja saya alami malah pekebun-pekebun lain juga," katanya.

Menurutnya, pelbagai cara sudah dilakukan seperti membakar tayar dan memasang pagar namun haiwan berkenaan tetap datang untuk mencari makanan.

Rakannya, Mohd Shukri Majid, 45, berkata, serangan terbaru tiga hari lalu menyebabkan kemusnahan kepada tanaman kelapa sawit.

"Saya berharap pihak berkenaan mengambil langkah drastik menangani konflik ini yang dihadapi pekebun dari Kampung Teris, Chapu, Gerdong, Padang Setar, Ulu Sat dan Kuala Jeneris.

"Bulan ini saja sudah tiga, empat kali kami membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhubung kejadian pencerobohan gajah liar ke kawasan kebun.

"Kakitangan Perhilitan ada datang ke kawasan kebun untuk membuat siasatan dan apa yang kami harapkan adalah gajah-gajah liar ini dapat dipindahkan," katanya.

Menurutnya, Perhilitan ada bagi cadangan memasang pagar elektrik bagi menghalang pencerobohan gajah liar tetapi kami tidak mampu kerana kos yang terlampau tinggi.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya sememangnya membuat kawalan dari masa ke semasa di kawasan yang dilaporkan.

"Kita juga dalam perancangan untuk membina pagar elektrik kekal berkemungkinan akan dilaksanakan pada tahun ini atau tahun hadapan.

"Untuk rekod dari tahun 2022 hingga 2023, sudah lima ekor gajah dipindahkan dari kawasan terbabit ke lokasi yang lebih jauh," katanya.

Menurutnya, kedudukan kampung selain kebun berhampiran hutan menjadi tarikan haiwan untuk keluar mencari makan.

 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/05/1094324/hampir-putus-asa-lihat-tanaman-dimusnahkan-gajah#google_vignette

 

Sumber : Harian Metro

KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami dagangan dengan kecenderungan meningkat minggu depan, didorong prospek eksport yang lebih kukuh, kata peniaga.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Sathia Varqa berkata laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang neutral juga dijangka menunjukkan pemulihan berterusan dalam niaga hadapan MSM.

"Laporan MPOB akan dikeluarkan pada 13 Disember. Sementara pelabur menunggu data industri, harapan permintaan lebih tinggi di Indonesia susulan kemungkinan wujudnya peraturan biodiesel baharu juga telah menaikkan harga MSM," katanya kepada Bernama.

Indonesia dilaporkan mungkin melaksanakan program untuk menggunakan B35 mulai Januari 2023 berikutan harga minyak mentah dijangkakan kekal tinggi tahun depan.

B35 ialah bahan api yang mengandungi 35 peratus campuran bahan api berasaskan minyak sawit.

Sementara itu, Peniaga Minyak Sawit, David Ng berkata MSM ditutup tinggi pada Jumaat berikutan kebimbangan mengenai pengeluaran yang lebih lemah selain stok dijangkakan lebih rendah menjelang laporan MPOB.

"Laporan itu meningkatkan sentimen lebih tinggi. Oleh itu, kami menjangkakan ia didagangkan pada kecenderungan meningkat di antara RM3,900 dengan RM4,300 satu tan minggu depan," katanya.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, niaga hadapan MSM kebanyakannya lebih tinggi menjejaki kenaikan niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Dagangan Chicago (CBOT) selain paras pengeluaran dan stok yang dijangkakan lebih rendah di negara ini.

Berasaskan mingguan, Disember 2022 susut RM76 kepada RM3,924 satu tan, Januari 2023 turun RM77 kepada 3,948 satu tan, Februari 2023 merosot RM90 kepada RM3,995 satu tan, Mac 2023 menguncup RM41 kepada RM4,032 satu tan dan April 2023 kurang RM17 kepada RM4,035 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 352,786 lot daripada 308,528 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 214,515 kontrak daripada 292,073 lot.

Harga MSM fizikal bagi November Selatan meningkat RM30 kepada RM4,030 satu tan.

– Bernama

https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2022/12/1037734/harga-minyak-sawit-dijangka-meningkat-minggu-hadapan
Sumber: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 12 bulan pada 15 Mac lalu, hampir 10 peratus melebihi harga penutup pada Februari.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dalam satu kenyataan berkata, aliran harga kukuh yang diperhatikan pada suku pertama 2024 sebahagian besarnya dibentuk oleh pertumbuhan bekalan defisit yang dinamik.

"Pergerakan harga yang meningkat daripada paras semasa RM4,250 berkemungkinan bukan disebabkan bekalan kacang soya yang mencukupi dari Amerika Selatan memasuki pasaran global mulai April dan seterusnya, serta pemulihan bermusim secara beransur-ansur pengeluaran minyak sawit di Malaysia.

"Harga minyak sawit didagangkan pada premium AS$40 (RM188.55) hingga AS$95 (RM447.81) pada Mac," katanya.

MPOC berkata, memandangkan musim rendah pengeluaran minyak sawit berakhir pada Mac, harga minyak sawit mungkin mula mencerminkan pemulihan dalam tahap pengeluaran dan inventori pada April dan Mei, yang berpotensi mengehadkan harga minyak sawit.

Selain itu, katanya, harga premium minyak sawit berbanding 'soft oil' terus meningkat pada Mac dan telah melepasi harga tiga 'soft oil' utama secara serentak sejak Februari di pasaran Eropah.

"Stok minyak sawit Malaysia meneruskan aliran menurun pada Februari 2024, turun sebanyak lima peratus kepada 1.919 juta tan. Ini menandakan paras terendah stok yang didaftarkan sejak Julai 2023," katanya.

Organisasi itu menjelaskan, pengurangan dalam inventori minyak sawit pada Februari didorong terutamanya oleh pengurangan import dan penggunaan domestik yang kukuh.

"Dalam dua bulan pertama 2024, import minyak sawit Malaysia mengalami penurunan 70 peratus tahun ke tahun, menjunam kepada 62,000 tan.

"Jumlah ini menyumbang hanya 6.9 peratus daripada jumlah import pada tahun 2023. Dari segi sejarah, inventori minyak sawit Malaysia telah banyak bergantung kepada import," katanya.

Justeru, MPOC berkata, pemantauan rapi angka import bulan akan datang adalah penting untuk mengukur tahap stok minyak sawit di Malaysia.

"Satu lagi faktor penting yang menyumbang kepada penurunan dalam stok ialah penggunaan domestik yang kukuh. Penggunaan domestik minyak sawit Malaysia pada Januari dan Februari 2024 meningkat 11.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

"Tidak mungkin stok minyak sawit Malaysia akan mengalami sebarang pertumbuhan pada Mac berikutan penggunaan domestik yang teguh, terutamanya pada Ramadan. Selain itu, pengeluaran dijangka tidak meningkat sehingga April dan seterusnya.

"Harga minyak sawit dijangka kembali ke julat dagangan RM3,800 hingga RM4,000 pada April," katanya.

MPOC berkata, pengumuman oleh Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI) berhubung inventori 3.14 juta tan minyak sawit setakat Disember 2023 menunjukkan lagi bekalan komoditi itu yang terhad.

Justeru, katanya diramalkan bahawa gabungan stok minyak sawit Malaysia dan Indonesia adalah kurang daripada lima juta tan pada Februari.

"Pada 2024, pengeluaran minyak sawit global diunjurkan meningkat dengan minimum sebanyak 0.11 peratus, yang mana pertumbuhan pengeluaran bagi minyak kacang soya, minyak 'rapeseed' dan minyak bunga matahari masing-masing dijangka meningkat 2.88 peratus, 3.48 peratus dan3.94 peratus," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/03/1225357/harga-minyak-sawit-mentah-tertinggi-dalam-tempoh-12-bulan

 

Sumber : Berita Harian

Bangi: Harga minyak sawit Malaysia akan menjadi tidak kompetitif berbanding negara pengeluar lain jika levi keuntungan luar biasa (WPL) ke atas minyak sawit di negara ini tidak disemak semula.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya akan meneliti dan menyemak semula WPL sebelum hasil keputusan itu akan dihantar kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, perkara itu juga secara tidak langsung akan menggalakkan penanaman semula tanaman itu apabila produk kelapa sawit menjadi persaingan, sekali gus meningkatkan pelaburan dalam negara.

"Apabila produk ini jadi kompetitif kemudian lebih ramai orang (pelabur) datang dan melabur dalam tanah yang kita sudah ada.

"Sebanyak RM57 juta untuk mereka melabur bagi penanaman semula dan meningkatkan hasil jangka panjang," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, mengenai jangkaan keputusan perkara berkenaan, Johari berkata, pihaknya akan membentangkan semakan itu kepada MOF untuk pihak berkenaan memahami secara tuntas mengenainya.

"Ia untuk pastikan mereka faham kenapa pentingnya untuk kita galakkan penanaman semula supaya produk kita lebih kompetitif dan meningkatkan hasil yang tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, Malaysia mempunyai 5.7 juta hektar tanah untuk penanaman kelapa sawit dan negara mengeksport lebih kurang 15 juta tan.

"Jadi, sudah tentu kalau kita banyak buat pembangunan dan penyelidikan (R&D) banyak produk kelapa sawit kita boleh buat untuk aktiviti hiliran atau produk hiliran seperti produk gris gred makanan terbiodegradasi berasaskan sawit," katanya.

 

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2024/07/1107859/harga-sawit-tak-kompetitif

 

Sumber : Harian Metro

KUALA LUMPUR: Halal Development Corporation Bhd (HDC) menyokong cadangan untuk menggabungkan pematuhan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bersama keperluan pensijilan halal bagi pemasaran minyak sawit negara.

Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun, berkata dengan memasukkan pensijilan MSPO dalam proses pensijilan halal, Malaysia boleh menunjukkan komitmennya terhadap prinsip-prinsip Islam dan penggunaan yang beretika.

Langkah itu juga akan mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju global dalam pengeluaran minyak sawit yang mampan sambil memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk halal merentas pelbagai pasaran.

Khairul Azwan menambah, negara-negara seperti India, China, Jepun, Korea Selatan dan pelbagai negara Eropah seperti Belanda semakin mencari minyak sawit yang diperakui halal untuk pelbagai jenis produk, termasuk makanan, kosmetik dan farmaseutikal.

"Sinergi antara pensijilan halal dan MSPO mewakili peluang penting untuk industri minyak sawit. Kami percaya bahawa dengan menggalakkan amalan mampan dalam pengeluaran minyak sawit, Malaysia boleh meningkatkan lagi kedudukannya sebagai pembekal utama produk halal di seluruh dunia.

"Dalam usaha mempromosikan perdagangan kami di luar negara, kami telah menyaksikan permintaan yang besar untuk produk-produk sampingan minyak sawit yang diperakui halal, jadi kami menjangkakan perdagangan produk sampingan dan derivatif minyak sawit halal akan berkembang dengan ketara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata kementeriannya akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memasukkan pensijilan MSPO bersama pensijilan halal sebagai keperluan untuk pemasaran minyak sawit.

-BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/03/1222185/hdc-setuju-gabungkan-mspo-sijil-halal-bagi-promosi-minyak-sawit

 

Sumber : Berita Harian