Kuala Lumpur: Trend permintaan lada dunia dijangka terus meningkat pada tahun ini dan berterusan sehingga ke tahun depan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata potensi kegunaan komoditi lada dalam pelbagai bidang seperti farmaseutikal dan kosmeseutikal merupakan antara faktor yang mendorong kepada trend peningkatan positif tersebut.
"Pada 2023, penggunaan lada dunia berjumlah kira-kira 291,000 tan, peningkatan sebanyak 40,000 tan berbanding tahun sebelumnya.
"Namun eksport lada Malaysia sedikit menurun pada 2023 kepada 5,800 tan bernilai RM149 juta berbanding 6,700 tan pada tahun sebelumnya dengan nilai RM180 juta," katanya dalam ucapan beliau pada majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia 2024 yang julung kali diadakan tahun ini bertemakan "Memantapkan Pertumbuhan Industri Lada".
Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.
Johari berkata, Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar di dunia dengan pengeluaran kira-kira 31,000 tan pada 2023 dibelakang Vietnam, Brazil, India dan Indonesia.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini industri lada menghadapi situasi yang sedikit mencabar sama ada di peringkat tempatan mahupun global berikutan isu ketidakseimbangan bekalan dan permintaan yang memberi tekanan ke atas harga.
Justeru, katanya, bagi memastikan kemampanan industri lada, kerajaan, melalui Lembaga Lada Malaysia (MPB) sedang melaksanakan beberapa program, projek dan juga bantuan yang lebih dinamik dan bersepadu seperti menawarkan pelbagai insentif dan bantuan kepada pekebun kecil dan juga usahawan lada untuk merancakkan perkembangan industri huluan dan hiliran.
Antara bantuan yang ditawarkan ialah Skim Tanaman Lada Baharu dan Skim Tanaman Lada Matang bagi meringankan beban kos, yang mana di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk memastikan usaha ini berjaya, katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan projek lada berkualiti premium dan RM5 juta lagi diperuntukkan untuk meningkatkan penglibatan usahawan hiliran yang berdaya saing.
Sementara itu, mengenai persidangan tersebut Johari berkata ia diadakan bertujuan untuk meningkatkan permintaan dan penggunaan lada serta memperkukuhkan sektor hiliran.
Persidangan tersebut menghimpunkan pelbagai pemegang kepentingan dalam sektor lada seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengeksport, pengimport, industri makanan, hotel, restoran dan kafe.
"Persidangan ini adalah bukti komitmen kerajaan ke arah pertumbuhan industri lada tempatan yang berdaya saing sekali gus mampu menjana nilai berganda kepada ekonomi negara," katanya.
KUCHING: Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyokong penuh kemajuan dan pelaksanaan teknologi baharu dalam industri lada negeri.
Uggah berkata, industri itu amat penting kepada negeri dan pekebun luar bandar yang sejak sekian lama bergantung kepada komoditi tersebut untuk meraih pendapatan.
Menurutnya, beliau telah diberitahu oleh Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia (MPB) Vincent Sawat bahawa pihaknya akan merealisasikan penggunaan teknologi baharu dalam penanaman lada.
"MPB misalnya, menjalankan projek perintis untuk mengaplikasi Internet Benda (IoT) dan kaedah moden seperti fertigasi di Semenggok, Kuching dan di Sarikei," ujarnya selepas merasmikan ceramah Pembangunan Industri Lada yang diadakan di Rumah Joseph Sanda di Jambu Kerampak di Layar, Betong hari ini.
Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu.
Uggah menambah, teknologi baharu itu akan menjadi talian hayat baharu bagi industri terbabit.
"Saya telah diberitahu bahawa dengan teknologi baharu, petani boleh menjangkakan dapat menuai kira-kira empat kilogram bagi setiap pokok lada berbanding purata dua kilogram pada masa ini.
"Ini boleh menarik petani muda baharu yang akan menanam tanaman baharu," katanya.
Sementara itu, Uggah berkata Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah memperuntukkan sejumlah RM3 juta untuk membantu pembangunan industri itu di Betong.
Ia juga katanya, bagi melengkapi usaha MPB dan Jabatan Pertanian.
"Kita mahu menggalakkan lebih ramai anak muda baharu dalam penanaman lada.
"Mereka boleh menghasilkan tanaman baharu untuk menghasilkan kualiti yang lebih baik dengan kuantiti lebih banyak," katanya.
Beliau menambah, pihaknya juga mahu membantu petani sedia ada mengatasi aliran menurun dalam kitaran harga pasaran supaya mereka dapat mengekalkan ladang.
"Di kawasan saya (Bukit Saban), lada masih merupakan tanaman yang sangat penting.
"Ia telah menyediakan dan akan terus memberikan mereka (petani) pendapatan untuk perbelanjaan harian," katanya.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Uggah menyeru MPB agar menghasilkan sistem sokongan bagi harga lada.
Ini katanya, akan membolehkan petani terlibat untuk terus memperoleh sedikit pendapatan apabila harga komoditi turun di pasaran, sekali gus membantu ekonomi negara.
Menurut statistik MPB, Sarawak merupakan pengeluar lada terbesar di negara ini dengan sekitar 38,277 petani yang mengusahakan 8,015 hektar tanah.
Sarawak diunjurkan mengeluarkan 31,900 tan metrik lada tahun lepas dengan Bahagian Betong merupakan antara pengeluar terbesar negeri dengan sejumlah 2,338 petani yang mengusahakan kawasan seluas 659.7 hektar.
Pada majlis sama, Uggah turut menyampaikan geran MPB berjumlah RM1.737 juta kepada pelbagai kategori penanam dan pengeluar lada.
KUCHING, 24 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sarawak diharap dapat memperuntukkan lebih banyak kawasannya bagi tujuan penanaman lada, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.
Katanya Sarawak mempunyai tanah yang luas sememangnya sesuai untuk penanaman komoditi itu sekali gus mampu menampung permintaan bekalan lada yang meningkat ketika ini.