Kuala Lumpur: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), mensasarkan nilai eksport industri perkayuan mencecah RM28 bilion menjelang 2030.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pada 2023, industri perkayuan di Malaysia menyumbang RM21.8 bilion kepada pendapatan eksport negara dengan produk berasaskan kayu dari Malaysia dieksport ke lebih 173 negara.
Namun begitu, kata beliau, sama seperti industri agrikomoditi yang lain, prestasi industri perkayuan juga terkesan akibat isu dan cabaran yang dihadapi baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
"Antara isu dan cabaran adalah seperti ketegangan geopolitik, dasar perlindungan perdagangan oleh negara pengimport, persepsi negatif serta persaingan dengan negara-negara pengeksport produk kayu di dunia.
"Susulan itu, nilai eksport kayu dan produk berasaskan kayu jatuh 13.3 peratus pada 2023 berbanding dengan tahun sebelumnya manakala kuantiti pula menurun dengan kadar 4.2 peratus pada tempoh yang sama," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 (APC 2023), pelancaran Polisi Keselamatan Siber MTIB dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Persidangan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, di sini, hari ini.
Johari berkata, satu daripada sebab kemerosotan eksport industri perkayuan ialah kedudukan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu menyebabkan permintaan berkurangan.
"Justeru, saya amat menggalakkan KPK dan MTIB untuk terus bekerjasama dengan pihak industri dalam menangani cabaran-cabaran global.
"Ia bagi memastikan hala tuju pembangunan industri kayu negara adalah selari dengan sasaran yang sudah ditetapkan.
"Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 dan Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara (NTISP) 2021-2025 menyasarkan supaya nilai eksport industri perkayuan dapat mencapai RM28 bilion manakala nilai pasaran domestik mencapai RM20 bilion menjelang 2025," katanya.
Sementara itu, kata beliau, keselamatan siber adalah sangat penting bagi setiap kementerian termasuk KPK dan agensi-agensi di bawah seperti MTIB, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Johari berkata, pada masa ini, penggodam bukan sahaja mensasarkan bank namun turut menyerang agensi kerajaan dan syarikat.
"Mungkin bank susah dia (penggodam) nak godam sebab bank banyak laburkan sistem 'firewall' yang begitu mahal, susah dan sangat kompleks untuk digodam.
"Dulu, apabila cerita pasal keselamatan siber ini kita fikirkan membabitkan bank. Sekarang tak boleh, semua kena buat persediaan.
"Ia termasuklah mana-mana agensi kerajaan seperti MTIB, MPOB, LGM dan anak syarikat di bawahnya.
Ini juga termasuk kepada syarikat besar di luar sana sangat penting kita pastikan keselamatan siber ini mesti di tahap sangat tinggi," katanya.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu beberapa premis milik syarikat dan syarikat amanah yang mendalangi skim pelaburan haram, dikenali sebagai Kenaf Development Fund (KDF), yang didapati mengaut hampir RM140 juta daripada 1,919 pelabur.
SSM memaklumkan, serbuan semalam dijalankan susulan aduan diterima daripada pelabur KDF yang tidak berpuas hati dengan pihak syarikat kerana gagal membayar pulangan seperti yang dijanjikan.
Operasi dijalankan serentak di tiga lokasi berbeza iaitu di KL Sentral, Petaling Jaya dan Seberang Perai dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Cyber Security Malaysia.
Hasil serbuan itu, SSM turut menyita rekod akaun syarikat terbabit, dokumen berkaitan penganjuran KDF dan telefon bimbit milik suspek.
"Modus operandi Skim Pelaburan KDF, yang mula ditawarkan kepada orang awam sekitar September 2021 hingga Januari 2023 adalah pelabur dijanjikan dengan pulangan sekitar tiga peratus sebulan dan selepas 12 bulan, pelabur akan menerima semula wang pelaburan mereka.
"Skim ini dikatakan dianjur bagi membiayai projek penanaman pokok kenaf di Chuping, Perlis.
"Siasatan awal turut mendapati skim ini tidak berdaftar di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang mendalanginya ialah seorang individu bankrap," katanya dalam kenyataan, hari ini.
SSM berkata, siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 43, 198 dan 213 Akta Syarikat 2016 serta Seksyen 3 Akta Skim Kepentingan 2016.
SSM menegaskan, pihaknya memandang serius kesalahan membabitkan penganjuran skim pelaburan yang mengumpul deposit daripada orang awam tanpa kelulusan atau lesen yang sah.
"SSM turut ingin mengingatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutama yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi dengan risiko yang rendah atau tanpa risiko," katanya.
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu beberapa premis milik syarikat dan syarikat Amanah yang mendalangi skim pelaburan haram dikenali sebagai Kenaf Development Fund (KDF).
SSM berkata, serbuan dijalankan susulan aduan diterima daripada pelabur KDF yang tidak berpuas hati dengan pihak syarikat kerana gagal membayar pulangan seperti dijanjikan.
Menurutnya, operasi dijalankan serentak di tiga lokasi berbeza iaitu di KL Sentral, Petaling Jaya dan Seberang Perai dengan kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Cyber Security Malaysia semalam.
"Skim Pelaburan KDF mula ditawarkan kepada orang awam pada sekitar September 2021 hingga Januari 2023 dan mengaut hampir RM140 juta daripada 1,919 orang pelabur.
"Modus operandi Skim Pelaburan KDF ialah pelabur dijanjikan dengan pulangan sekitar tiga peratus sebulan dan selepas 12 bulan, pelabur akan menerima semula wang pelaburan mereka. Dikatakan skim pelaburan KDF ini dianjurkan bagi membiayai projek penanaman pokok kenaf di Cuping, Perlis," katanya dalam kenyataan.
Menurut SSM, siasatan awal turut mendapati Skim Pelaburan KDF ini tidak berdaftar mengikut Akta Skim Kepentingan 2016 serta Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang mendalangi Skim Pelaburan KDF adalah merupakan seorang individu bankrap.
"Siasatan dijalankan bagi kemungkinan kesalahan mengikut Seksyen 43 Akta Syarikat 2016, Seksyen 198 Akta Syarikat 2016, Seksyen 213 Akta Syarikat 2016 dan Seksyen 3 Akta Skim Kepentingan 2016.
"Hasil daripada operasi serbuan itu, pihak SSM menyita rekod akaun syarikat, dokumen berkaitan penganjuran KDF dan telefon bimbit milik suspek," katanya.
Katanya, SSM memandang serius kesalahan membabitkan penganjuran skim pelaburan yang mengumpul deposit daripada orang awam tanpa kelulusan atau lesen yang sah.
"SSM turut ingin mengingatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi dengan risiko yang rendah atau tanpa risiko," katanya.