KUALA LUMPUR – Jumlah perdagangan kayu dan produk kayu Malaysia meningkat sebanyak 10.1 peratus kepada RM8.69 bilion pada suku pertama 2022 daripada RM7.89 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021.
Industri perkayuan Malaysia telah mendapat manfaat daripada gangguan yang sedang berlaku dalam rantaian bekalan global serta perang Rusia-Ukraine, meningkatkan permintaan untuk produk berasaskan kayu Malaysia dan menaikkan harga kayu.
Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), Norrida Yusoff berkata, industri itu menunjukkan kesan positif dalam eksport susulan daripada lawatan perdagangan ke Amerika Syarikat (AS) dan Eropah baru-baru ini serta usaha promosi komoditi pertanian oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi ke Timur Tengah telah membuka banyak peluang perniagaan.
“Industri kayu Malaysia mencatatkan peningkatan ketara dalam eksport bagi suku pertama 2022 apabila permintaan global meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Eksport kayu dan produk kayu Malaysia dari Januari hingga Mac tahun ini meningkat sebanyak 8.2 peratus kepada RM6.54 bilion berbanding RM6.04 bilion setahun lalu.
Perabot kayu kekal sebagai penyumbang tertinggi dengan eksport RM3.1 bilion atau 47.3 peratus pada suku pertama 2022, diikuti papan lapis (RM896.5 juta: 13.7 peratus) dan kayu gergaji (RM640.9 juta: 9.8 peratus).
Tiga destinasi eksport utama bagi kayu dan produk kayu Malaysia ialah AS (34.8 peratus), Jepun (14.8 peratus) dan China (9.0 peratus).
Eksport perabot kayu Malaysia pula adalah AS (59.3 peratus), diikuti Jepun (5.6 peratus) dan Singapura (4.4 peratus).
Terdapat juga peningkatan 16.4 peratus dalam import kayu dan produk kayu kepada RM2.1 bilion pada suku pertama 2022 berbanding RM1.8 bilion setahun lalu dengan import dari China (37.5 peratus) diikuti Indonesia (20.2 peratus) dan Vietnam (8.6 peratus).
Antara bahan mentah yang diimport ialah kayu gergaji (RM218.6 juta) dan venir (RM127.2 juta) yang masing-masing meningkat sebanyak 54.1 peratus dan 57.1 peratus tahun ke tahun.
Bagaimanapun terdapat penurunan dalam import untuk papan partikel/kayu serpai dan kayu balak, masing-masing pada RM101.1 juta dan RM48.8 juta, mewakili penurunan masing-masing sebanyak 22.8 peratus dan 21.8 peratus, tahun ke tahun. – MalaysiaGazette
SEKTOR pembuatan Malaysia mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu RM142.4 bilion dengan pertumbuhan 18.8 peratus pada November 2021, berbanding dengan bulan yang sama 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOMS).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai jualan ini meningkat sebanyak 1.2 peratus berbanding dengan bulan sebelumnya.
KUALA LUMPUR – Nilai eksport kayu dan produk berasaskan kayu merosot sebanyak 13.3 peratus pada tahun 2023 berbanding dengan tahun sebelumnya.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kuantiti pengeluaran juga merosot 4.2 peratus bagi tempoh yang sama.
“Kemerosotan itu berlaku ada dua, tiga sebab. Salah satu sebab adalah kedudukan ekonomi Amerika Syarikat pun tidak menentu, jadi permintaan berkurangan.
“Dahulu, kita punya eksport hampir mencecah 40 peratus industri perkayuan, termasuklah produk-produk kayu kita pergi ke Amerika Syarikat, jadi bila itu berlaku, maka terjejaslah sedikit kita punya eksport.
“Paling penting, saya nak pastikan bahawa kita mesti ada kualiti, kredibiliti apabila menghasilkan produk-produk kayu-kayan kita dalam negara kita..mestilah asli dimana bahan itu datang daripada Malaysia.
Kalau import pun, sebahagian besar komponen mesti datang dari Malaysia, barulah boleh kata yang ia sebagai produk Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 (APC 2023), pelancaran Polisi Keselamatan Siber MTIB dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Persidangan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, di sini, hari ini.
Katanya, penekanan harus diberikan kepada semua industri perkayuan supaya tahap pematuhan dan pengeluaran produk berasaskan kayu dapat dicapai, sekali gus meningkatkan kepercayaan pembeli.
Sementara itu, Johari berkata, kementeriannya menerusi Lembaga MTI mensasarkan nilai eksport industri perkayuan mencecah RM28 bilion menjelang 2030.
Jelas beliau, industri perkayuan di Malaysia menyumbang RM21.8 bilion kepada pendapatan eksport negara dengan produk berasaskan kayu dari Malaysia dieksport ke lebih 173 negara.
Dalam perkembangan lain, Johari turut menegaskan keselamatan siber adalah sangat penting bagi setiap kementerian termasuk KPK dan agensi-agensi di bawah seperti MTIB, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Johari berkata, pada masa ini, penggodam bukan sahaja mensasarkan bank namun turut menyerang agensi kerajaan dan syarikat.
“Mungkin bank susah dia (penggodam) nak godam sebab bank banyak laburkan sistem ‘firewall’ yang begitu mahal, susah dan sangat kompleks untuk digodam.
“Dulu, apabila cerita pasal keselamatan siber ini kita fikirkan membabitkan bank. Sekarang tak boleh, semua kena buat persediaan,” pesannya. – KOSMO! ONLINE