INFO ARKIB ELEKTRONIK

 

KENYATAAN MEDIA

YB TERESA KOK
MENTERI INDUSTRI UTAMA

CADANGAN MALAYSIA DALAM USAHA MENGIMBANGI JURANG PERDAGANGAN DENGAN INDIA

Menteri Industri Utama, YB Teresa Kok telah mempengerusikan mesyuarat pada 14 Oktober 2019 yang melibatkan pegawai kanan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bagi membincangkan usaha untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan India.

Mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat susulan daripada perbincangan antara YB Teresa Kok, Menteri Industri Utama bersama Hon. Piyush Goyal, Menteri Perdagangan dan Industri India di New Delhi pada awal Ogos tahun ini. Semasa perbincangan tersebut, YB Teresa Kok telah menegaskan sekali lagi komitmennya untuk merapatkan jurang perdagangan antara kedua-dua negara. Dalam hal ini, Malaysia akan meneroka peluang untuk meningkatkan import gula mentah dari India pada tahun 2020.

Selain itu, syarikat-syarikat tempatan juga digalakkan untuk mengimport lebih banyak produk dari India dengan memanfaatkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA). Di samping itu, Malaysia juga sedang mengkaji prospek untuk mengimport lebih banyak daging kerbau dari India selaras dengan peningkatan permintaan pasaran tempatan.

Langkah ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan India sebagai pasaran eksport ketiga terbesar pada tahun 2018 bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit dengan nilai eksport sebanyak RM6.84 bilion. Jumlah ini menyumbang 10.1% kepada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit negara yang jelas menunjukkan betapa pentingnya pasaran India kepada Malaysia.

YB Teresa Kok mengambil perhatian terhadap berita-berita semasa mengenai isu-isu yang menggugat hubungan baik antara Malaysia dan India, yang telah lama terjalin dan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara sejak 6 dekad yang lalu. Dalam hal ini, Malaysia sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan India dalam mengimbangi jurang perdagangan antara kedua-dua negara.

YB TERESA KOK
15 Oktober 2019

KENYATAAN MEDIA

MENTERI INDUSTRI UTAMA MENGENAI PELAKSANAAN SKIM EKSPORT MINYAK SAWIT MENTAH TANPA DUTI EKSPORT

Kementerian Industri Utama menyeru para pengeksport untuk mengambil kesempatan pengecualian duti eksport minyak sawit mentah (crude palm oil) yang dilaksanakan dari 1 Mei 2019 sehingga 31 Disember 2019.

Tempoh bebas cukai ini akan membolehkan pihak industri untuk merancang dengan lebih rapi langkah untuk meningkatkan eksport dan membuka pasaran baharu. Ia akan memberi ruang bagi pengeksport untuk memperluaskan lagi pasaran untuk minyak sawit Malaysia.

Pengecualian ini akan diberikan walaupun harga minyak sawit mentah mencecah RM2,250 se tan metrik dan ke atas, iaitu paras yang boleh dikenakan cukai.

Kementerian Industri Utama amat prihatin dengan situasi semasa industri sawit di mana kadar stok minyak sawit berada di paras 2.92 juta pada 31 Mac 2019 dan harga minyak sawit mentah pada 26 April 2019 adalah RM2,014.50. Dalam keadaan seperti ini, langkah pro-aktif yang sewajarnya perlu diambil bagi meningkatkan daya saing industri sawit.

Kementerian berharap Skim Eksport Minyak Sawit Mentah Tanpa Duti Eksport ini dapat mengurangkan stok minyak sawit dan seterusnya meningkatkan harga CPO. Dengan itu, langkah ini akan membantu industri sawit kita termasuk pekebun kecil di seluruh negara.

Kementerian Industri Utama juga akan terus memantau paras stok minyak sawit bagi memastikan ia mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan industri hiliran sawit negara.

YB Teresa Kok
Menteri Industri Utama
2 Mei 2019

KENYATAAN MEDIA
PENAMATAN PELANTIKAN KHIDMAT SETIAUSAHA SULIT KANAN
KEPADA YB TIMBALAN MENTERI INDUSTRI UTAMA

Satu pengakuan yang tidak beretika di dalam media sosial telah dibuat menerusi klip video oleh Encik Haziq Abdullah bin Abdul Aziz, yang merupakan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Timbalan Menteri Industri Utama pada 12 Jun 2019.

Pihak Kementerian memandang perkara tersebut sebagai satu pelanggaran nilai, etika dan Peraturan-peraturan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa termasuk Perintah Am serta Perjanjian Kontrak. Surat tunjuk sebab telah diberikan dengan serta-merta dan Encik Haziq Abdullah telah menjawab. Bagaimanapun pihak Kementerian tidak berpuas hati dengan jawapan balas yang diberikan.

Sehubungan itu, Kementerian telah mengambil langkah menamatkan kontrak perkhidmatan beliau berkuat kuasa pada 18 Jun 2019.

Kementerian tidak akan bertolak ansur dalam sebarang soal perilaku yang menjejaskan reputasi serta imej Kementerian. Dengan penamatan ini, pihak Kementerian tidak lagi mempunyai apa-apa kaitan dengan Encik Haziq Abdullah.

KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
20 JUN 2019

 

KENYATAAN MEDIA

KERAJAAN NEGERI SARAWAK DAN KERAJAAN PERSEKUTUAN BERSAMA MEMBANTU RINTIHAN PARA PEKEBUN KECIL GETAH


1.Bagi pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), saya mengalu-alukan langkah proaftif Kerajaan Negeri Sarawak yang telah membantu pekebun kecil dengan memberi insentif tambahan RM0.50/kg terhadap harga getah, menjadikan jumlah Insentif Pengeluaran Getah (IPG) meningkat kepada RM1.90/kg. Inisiatif ini sudah tentu akan membantu meringankan bebanan dan meningkatkan pendapatan para pekebun kecil getah di Sarawak. Ini juga membuktikan gandingan kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan benar serius membela nasib rakyat.

2.Untuk makluman masyarakat, RM2.50/kg Cuplump adalah harga pengaktifan IPG oleh Kerajaan Persekutuan. Pada bulan Mac 2020, IPG telah diaktifkan kerana di Sarawak purata harga ladang bulanan Cuplump ialah RM1.80/kg, bermakna pekebun kecil akan dibayar IPG sebanyak RM0.70/kg cuplump (RM2.50-RM1.80 = RM0.70/kg). Oleh kerana cuplump cuma mengandungi 50% kandungan getah kering (KGK), nilai IPG ialah RM1.40/kg cuplump untuk 100% KGK.

3.Kerajaan Sarawak telah membantu pekebun kecil dengan memberi insentif tambahan RM0.50/kg, menjadikan jumlah IPG meningkat kepada RM1.90/kg (100% KGK). Sebagai contoh, jika pekebun kecil menghasilkan 400 kg cuplump (50% KGK) pada bulan Mac, jumlah insentif yang dibayar ialah RM380 berbanding RM280 pada kadar IPG biasa tanpa insentif tambahan dari Kerajaan Sarawak. Tanpa IPG, pendapatan pekebun kecil dari jualan cuplump hanya RM720. Dengan insentif IPG tambahan di Sarawak, pendapatan pekebun kecil ialah RM1,100 (RM720+RM380).

4. Oleh kerana yang sedemikian, saya juga mengesa para pekebun kecil getah yang belum mendaftar kad Permit Autoriti Transaksi – Getah
(PAT-G) untuk mendaftar di seluruh Pejabat Pertanian di Negeri Sarawak dan juga mana – mana pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM) supaya mereka boleh mendapat manfaat IPG dan supaya mereka tidak tercicir. Sebarang pertanyaan mereka juga boleh hubungi Talian Hotline LGM di 1-800-888-474 (Isnin-Jumaat) 9.00 pagi-5.00 petang atau 019-602 6001, 019-625 7800 selepas jam 5.00 petang.

 

YB TUAN WILLIE MONGIN
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
15 April 2020

jata mpic hd hitam bm small

KENYATAAN MEDIA

UCAPAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH KEPADA KERAJAAN NEGERI SABAH



1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengalu-alukan keputusan pihak Kerajaan Negeri Sabah dalam memberikan kelonggaran untuk beroperasi secara bersyarat kepada ladang sawit dan kilang sawit di enam (6) daerah di Sabah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Semporna, Kunak dan Kalabakan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa. Keputusan yang dinanti-nantikan ini sudah semestinya akan disambut baik oleh syarikat perladangan dan kilang sawit di enam daerah tersebut khususnya yang tidak dijangkiti virus COVID-19.

2. Kementerian ini sentiasa bersedia membantu dari segi pemantauan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta komitmen daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan Persatuan Pemilik Ladang Sawit Malaysia (MEOA) dalam memastikan ladang dan kilang sawit di seluruh negeri Sabah mematuhi Panduan Pengoperasian Ladang Semasa Wabak COVID-19 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

3. Kebenaran bersyarat dan panduan pengoperasian yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah hendaklah diberi perhatian serius supaya syarikat perladangan dan kilang sawit dapat terus beroperasi. Kementerian ini juga tidak akan berkompromi ke atas syarikat perladangan, kilang sawit dan kilang penapis minyak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang di dapati melanggar atau tidak mematuhi syarat-syarat seperti ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri sejajar dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara.

 

YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
11 April 2020